Persoalan : WAS-WAS DALAM BAB INSTINJAK (01045)

Assalamualaikum ustaz. Saya merupakan seorang yang menghidap penyakit was-was hampir 5 tahun. Saya ada beberapa soalan.

  1. Adakah sudah mencukupi untuk membasuh sebanyak 3 kali setelah membuang air kecil atau besar? Kebiasaannya, saya akan membasuh berulang ulang sehingga pernah menghabiskan masa selama 45 minit di dalam tandas.
  2. Setelah istinjak, saya akan membasuh tangan kiri saya berulang ulang sehingga betul betul yakin ianya suci. Saya akan membasuhnya bermula dari siku hingga ke jari. Adakah cara saya sudah dianggap berlebihan? Bagaimanakah cara yang sebenarnya untuk membasuh tangan tersebut? Adakah caranya sama seperti membasuh tangan selepas makan?
  3. Saya juga sering membasuh muka setelah istinjak bahkan pernah mandi dan membasuh pakaian kerana takut terkena najis.
  4. Setelah selesai istinjak, saya akan membasuh kedua-dua kaki saya. Saya akan membasuh kaki dan selipar tandas secara berasingan. Adakah sudah memadai jika saya membasuh kaki dan selipar tandas serentak dan mengalirkan air sekali sahaja?


Jawapan Ikhtisar:

Wa’alaikumussalam.

  1. Cara menyucikan  najis mutawassitah seperti air kencing atau tahi ketika istinjak cukup dengan basuhan menggunakan air sehingga hilang semua sifat-sifat najis tersebut iaitu bau, rasa dan warnanya. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi.
  2. Adalah sudah dikira suci dengan menggunakan air pada kawasan yang terkena najis sahaja seperti kawasan pergelangan tangan yang terlibat ketika istinjak dan tidak melibatkan anggota-anggota lain seperti bahu, siku, muka dan selainnya dengan alasan takut terkena najis.
  3. Hal yang sama ketika membasuh kaki saat ketika ia berada di atas selipar juga sudah memadai dan tidak perlu diasingkan pembasuhan.
  4. Perbuatan melebihkan basuhan hingga ke siku atau membasuh pakaian dan seumpamanya tanpa sebarang kepastian najis merupakan punca yang membawa kepada waswas yang berpanjangan.

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

 

Pengertian Najis, Pembahagiannya Dan Cara Menyucikannya

“Najis” dalam bahasa arab pada asalnya bererti segala sesuatu yang dianggap kotor meskipun suci seperti hingus, air ludah, sperma. Namun menurut istilah ilmu fekah, najis adalah segala sesuatu yang dianggap kotor yang menyebabkan solat tidak sah ketika tiada sebarang keringanan (Rukhsah). (Rujuk Ghayatul Muna Syarh Safinatun Naja, Hlm.218)

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa yang bersumber daripada keduanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, tahi manusia, darah dan sebagainya.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, Juz.1, Hlm.40-41)

 

Cara Menyucikan Najis Mutawassitah

Setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai najis mutawassitah seperti air kencing atau tahi, cara membersihkannya adalah dengan menggunakan air sehingga hilang semua sifat-sifat najis tersebut iaitu bau, rasa dan warnanya. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah memadai. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga. Sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).

Tahap yang dinamakan susah (حالة التعسر) ialah apabila tiga kali basuhan telah dibuat bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain namun sifat-sifat najis tersebut masih tidak dapat dihilangkan. 

Hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) terbahagi kepada dua, iaitu:

  • Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
  • Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka situasi seperti ini dianggap sebagai situasi keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, Hlm.136)

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa cara membersihkan najis mutawassitah seperti air kencing atau tahi cukup dengan menggunakan air pada kawasan yang terkena najis seperti kawasan pergelangan tangan yang terlibat ketika penyucian najis dan tidak melibatkan anggota-anggota lain seperti bahu, siku dan selainnya. Perbuatan melebihkan basuhan hingga ke siku atau membasuh pakaian dan seumpamanya tanpa sebarang kepastian najis merupakan punca yang membawa kepada waswas.

Imam al-Nawawi menukilkan ucapan Imam Ghazali ketika mengulas cara istinjak:

ولا يستقصى فيه بالتعرض للباطن فان ذلك منبع الوسواس: قال وليعلم أن كل مالا يصل الماء إليه فهو باطن ولا يثبت للفضلات الباطنة حكم النجاسة حتى تبرز وما ظهر ثبت له حكم النجاسة

Maksudnya: “Seseorang yang beristinjak tidak perlu melampau dalam menyucikan najis hingga melibatkan anggota dalaman kerana perbuatan melampau tersebut merupakan punca terjadinya waswas. Setiap kawasan yang tidak sampai air dikira kawasan batin dan segala kumuhan batin tidak dihukumkan najis hingga ia benar-benar muncul dan zahir barulah dihukumkan najis”. (Rujuk Majmu’ Syarah Muhazzab, Jld.2, Hlm.111)

Prinsip tidak keterlaluan seperti yang diterangkan oleh Imam Ghazali tersebut amat bertepatan dengan konsep kesederhanaan yang diajarkan oleh Islam.

 

Petua Mengatasi Waswas

1. Berhenti memikirkan perkara yang dirasakan waswas tersebut.

Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan rawatan menghilangkan lintasan keraguan di dalam diri berkata:

لَهُ دَواءٌ نافِعٌ وهُوَ الإعْراضُ عَنْها جُمْلَةً كافِيَةً. وإنْ كانَ فِي النَّفْسِ مِن التَّرَدُّدِ ما كانَ - فَإنَّهُ مَتى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَما جَرَّبَ ذَلِكَ المُوَفَّقُونَ، وأمّا مَن أصْغى إلَيْها وعَمِلَ بِقَضِيَّتِها فَإنَّها لا تَزالُ تَزْدادُ بِهِ حَتّى تُخْرِجَهُ إلى حَيِّزِ المَجانِينِ بَلْ وأقْبَحَ مِنهُمْ، كَما شاهَدْناهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِها وأصْغَوْا إلَيْها وإلى شَيْطانِها الَّذِي جاءَ التَّنْبِيهُ عَلَيْهِ مِنهُ - ﷺ - بِقَوْلِهِ: «اتَّقُوا وسْواسَ الماءِ الَّذِي يُقالُ لَهُ الوَلْهانُ» أيْ: لِما فِيهِ مِن شِدَّةِ اللَّهْوِ والمُبالَغَةِ فِيهِ كَما بَيَّنْت ذَلِكَ وما يَتَعَلَّقُ بِهِ فِي شَرْحِ مِشْكاةِ الأنْوارِ، وجاءَ فِي الصَّحِيحَيْنِ ما يُؤَيِّدُ ما ذَكَرْته وهُوَ أنَّ مَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَعْتَقِدْ بِاَللَّهِ ولْيَنْتَهِ. فَتَأمَّلْ هَذا الدَّواءَ النّافِعَ الَّذِي عَلَّمَهُ مَن لا يَنْطِقُ عَنْ الهَوى لِأُمَّتِهِ. واعْلَمْ أنَّ مَن حُرِمَهُ فَقَدْ حُرِمَ الخَيْرَ كُلَّهُ؛ لِأنَّ الوَسْوَسَةَ مِن الشَّيْطانِ اتِّفاقًا، واللَّعِينُ لا غايَةَ لِمُرادِهِ إلّا إيقاعُ المُؤْمِنِ فِي وهْدَةِ الضَّلالِ والحَيْرَةِ ونَكَدِ العَيْشِ وظُلْمَةِ النَّفْسِ وضَجَرِها إلى أنْ يُخْرِجَهُ مِن الإسْلامِ. وهُوَ لا يَشْعُرُ أنَّ الشَّيْطانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فاِتَّخِذُوهُ عَدُوًّا. وجاءَ فِي طَرِيقٍ آخَرَ فِيمَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَقُلْ: آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ. ولا شَكَّ أنَّ مَن اسْتَحْضَرَ طَرائِقَ رُسُلِ اللَّهِ سِيَّما نَبِيُّنا - ﷺ - وجَدَ طَرِيقَتَهُ وشَرِيعَتَهُ سَهْلَةً واضِحَةً بَيْضاءَ بَيِّنَةً سَهْلَةً لا حَرَجَ فِيها وما جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِن حَرَجٍ، ومَن تَأمَّلَ ذَلِكَ وآمَنَ بِهِ حَقَّ إيمانِهِ ذَهَبَ عَنْهُ داءُ الوَسْوَسَةِ والإصْغاءِ إلى شَيْطانِها. وفِي كِتابِ ابْنِ السُّنِّيِّ مِن طَرِيقِ عائِشَةَ: «مَن بُلِيَ بِهَذا الوَسْواسِ فَلْيَقُلْ: آمَنّا بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ ثَلاثًا، فَإنَّ ذَلِكَ يُذْهِبُهُ عَنْهُ» وذَكَرَ العِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلامِ وغَيْرُهُ نَحْوَ ما قَدَّمْته فَقالُوا: دَواءُ الوَسْوَسَةِ أنْ يَعْتَقِدَ أنَّ ذَلِكَ خاطِرٌ شَيْطانِيٌّ، وأنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أوْرَدَهُ عَلَيْهِ وأنَّهُ يُقاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوابُ المُجاهِدِ؛ لِأنَّهُ يُحارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإذا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: “Terdapat ubat yang bermanfaat bagi menghadapi lintasan keraguan (di dalam hati), iaitu bersungguh-sungguh berpaling daripadanya (sebaik sahaja dia datang), sekalipun di dalam dirinya masih ada saki-baki lintasan itu, jika dia tidak mempedulikan lintasan itu, ia tidak akan dapat menetap di dalam diri, bahkan pasti ia akan hilang dalam masa yang singkat sepertimana yang dialami oleh orang-orang yang diberi taufiq. Adapun sesiapa yang melayan lintasan itu dan menurutnya, ia akan terus bertambah kuat dan akan menjadikannya tergolong dalam kumpulan orang-orang gila, bahkan lebih buruk dari mereka. Hal ini sepertimana yang kami saksikan berlaku kepada ramai dari kalangan mereka yang diuji dengan lintasan keraguan, kemudian melayan dan menurut bisikan syaitan itu yang telah diperingatkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda: “Jagalah diri kamu dari waswas al-Ma’ (وسْواسَ الماءِ) yang disebut al-Walhan (الولهان)” iaitulah disebabkan padanya terdapat perkara yang bersangatan sia-sia seperti yang telah daku jelaskan dalam Syarh Misykah al-Anwar.

Terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim penguat akan apa yang aku nyatakan ini, bahawa sesiapa yang diuji dengan waswas, maka hendaklah dia membetulkan iktikadnya dengan Allah dan berhenti dari melayan lintasan keraguan tersebut. Oleh itu ambillah perhatian terhadap ubat yang bermanfaat ini, yang telah diajar oleh insan yang tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya (SAW). Ketahuilah bahawa sesiapa yang terhalang dari mengikuti panduan baginda, orang itu telah terhalang dari seluruh kebaikan. Ini kerana lintasan waswas adalah pasti dari syaitan. Syaitan yang dilaknat tiada tujuan lain melainkan untuk menjadikan seorang yang beriman terjebak ke dalam lembah kesesatan, ke dalam keraguan, kesempitan hidup, kegelapan dan kegelisahan jiwa, sehingga mengeluarkannya dari agama Islam. Orang itu tidak sedar bahawa syaitan adalah musuhnya, maka jadikan syaitan itu mush (dengan tidak menurutinya). Di dalam hadis lain berkaitan orang yang diuji dengan bisikan waswas, hendaklah mengucapkan:

آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ

Maksudnya: “Daku beriman kepada Allah dan kepada semua rasul utusan-Nya.”

Tidak diragukan lagi bahawa, sesiapa yang mengikuti jalan para rasul Allah terutamanya nabi kita SAW, pasti akan mendapati jalan baginda dan syariat yang dibawa baginda adalah jelas, terang dan mudah. Tiada kepayahan di dalamnya, (firman Allah SWT) “dan tidaklah Dia menjadikan untuk kamu semua sesuatu kepayahan di dalam agama.” Sesiapa yang memerhatikan perkara ini dan benar-benar beriman dengannya, penyakit waswas dan condong kepada bisikan syaitan itu akan hilang darinya.

Di dalam kitab Ibn al-Sunniy dari riwayat ‘Aisyah RA dinyatakan: “Sesiapa yang diuji dengan bisikan waswas ini, hendaklah mengucapkan: “kami telah beriman kepada Allah dan kepada semua para rasul-Nya” tiga kali. Perkara ini akan menghilangkan bisikan waswas tersebut daripadanya.” Al-“izz bin ‘Abd al-Salam dan selain beliau ada menyebut perkara yang sama dengan apa yang telah daku sebutkan ini. Mereka berkata: “Ubat kepada waswas ialah dengan berkeyakinan bahawa waswas tersebut adalah dari syaitan. Iblislah yang telah mendatangkan lintasan tersebut. Maka sesiapa yang mengalaminya hendaklah memerangi Iblis dan dia berhak mendapat pahala seorang mujahid kerana melawan (bisikan waswas) Iblis yang merupakan musuh Allah. Apabila seseorang itu merasai perkara ini, pasti iblis dan syaitan akan lari daripadanya…”. (Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Jld.1, Hlm.149-150)

 

2. Berdoa dan berlindung dengan Allah SWT.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (memikirkan hal-hal yang meragukannya).”

(Sahih Muslim, No.362)

 

3. Sentiasa fokus dalam setiap amalan harian

Sebagai umat Islam, kita seharusnya fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan seharian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada was-was dan gangguan syaitan

Daripada Hasan bin Ali R.A, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu dengan memilih sesuatu yang tidak meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

(Riwayat al-Tirmizi, 2708)

4. Sentiasa melazimkan zikir kepada Allah SWT dan mengamalkan doa-doa yang telah diajarkan oleh Baginda S.A.W. Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ: ( اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ )

Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”.

(Sahih al-Bukhari, No.139)

Para ulama’ telah menetapkan bahawa antara sebab mengapa dianjurkan kita meminta perlindungan kepada Allah SWT ketika  memasuki tandas adalah agar kita terlindung daripada gangguan syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat tersebut. Di dalam hadith daripada Zaid bin Arqam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ”.

(Sunan Abu Daud, No.5)

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan isu waswas boleh rujuk pautan yang disediakan di bawah ini;

WAS-WAS TERKENA NAJIS MUGHALLAZAH (01030)

PENYAKIT WAS-WAS (00830)

WAS-WAS MENGENAI HUKUM INAI CELUP (00739)

MASALAH WASWAS DALAM KEBERSIHAN (01031)


Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.