Assalamualaikum wbt SS Datuk Mufti dan pasukan kerja sekalian.
Saya ingin bertanya mengenai status inai celup yang kini banyak menjadi pilihan wanita untuk menghias kuku dan jari kerana sifatnya yang segera dan mudah.
Saya telah membeli inai celup dan memakainya sewaktu malam raya. Waktu itu kebetulan saya tidak boleh solat. Kemudian, setelah saya pakai inai tu beberapa hari, saya perasan yang inai ini membentuk selaput nipis berwarna merah di sekeliling jari, dan selaput ini pecah-pecah bila kita lakukan pada air dan sabun. Namun berbeza halnya dengan yang di kuku, kerana warna yang di kuku tidak membentuk selaput, ia nampak rata dan sebati saja dengan kuku.
Saya telah meminta pihak pengeluar inai celup ini untuk menyenaraikan bahan2 yang digunakan untuk membuat inai ini, kerana saya syak inai ini kalis air, namun pihak pengeluar belum memberi respons terhadap soalan saya.
Persoalannya, adakah mandi wajib dan solat saya sah kerana selaput di jari ini masih belum tanggal sepenuhnya waktu saya mandi wajib?. Ditonyoh-tonyoh pun tak mahu keluar juga. Begitu juga dengan ibu dan adik saya, adakah mereka perlu qada' solat sepanjang inai ini masih berada di jari mereka?
Dan, bagi sekiranya betul inai celup ini kalis air, bagaimana kaedah yang sepatutnya bagi pemakai tegar inai celup ini terh ibadah mereka, khususnya solat, puasa dan status mandi junub sekiranya inai ini dipakai oleh pengantin baru tanpa mengetahui bahawa ianya kalis air?
Saya telah cuba memberi kesedaran tentang ini di media sosial, namun kerana ia berbentuk persepsi dan kekurangan fakta, ramai pula penjual dan pengguna inai yang silap faham terhadap posting saya itu. Saya rasa bertanggungjawab untuk menerangkan kpd mereka duduk letak perkara sebenar, memandangkan post tersebut telah dikongsi oleh hampir 600 orang.
Maaf panjang pula karangan saya. Mohon penjelasannya ya SS Datuk Mufti dan team. Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf zahir batin.
Wa'alaikumussalam.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ia mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jilid 3, hlm. 89-90]
Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ. قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?” Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda SAW berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
(Riwayat Abu Daud, 4166)
Hukum Inai Yang Diragui;
Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?
Inai atau nama saintifiknya Lawsonia Inermis berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru; inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut). Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan didatangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.
Walau bagaimanapun, harus difahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak. Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya. [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]
Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Namun begitu adalah disarankan jika sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.
Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya diyakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang dimaksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air. Iaitu ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.
Status Ibadah Yang Dilakukan Setelah Penggunaan Inai Kalis Air
Umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa suci daripada hadas kecil dan besar merupakan syarat sah solat. Wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah.
Antara buktinya Allah SWT telah mensyariatkan hukum bersuci seperti wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan seseorang itu melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran. [Lihat: Syarah al-Yaqut al-Nafis hlm. 67]
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
Allah SWT juga berfirman:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.
[Surah al-Maidah: 6]
Antara rukun-rukun wuduk yang wajib dipatuhi ialah membasuh kedua belah tangan meliputi siku. Termasuk perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan basuhan yang sah dan sempurna ialah memastikan tiada sebarang objek atau bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke seluruh bahagian kulit tangan termasuk celah-celah jari dan kuku.
Justeru bagaimana pula status ibadah yang dilakukan setelah memakai inai yang sifatnya kalis air?
Kami berpendapat bahawa, jika sememangnya inai tersebut sifatnya kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air. Oleh itu tidak sah wuduk dan mandi wajib yang dilakukan pada ketika itu.
Sehubungan dengan itu juga, tidak sah segala ibadat yang ada kaitan dengan taharah seperti solat yang telah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib. Justeru, pemakai yang terlibat wajib untuk mengqada solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.A berkata:
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.”
[Riwayat al-Bukhari 161 dan Muslim 241]
Hadis seterusnya:
أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى
Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan bersolat.”
[Riwayat Muslim 243]
Tuntasnya, kami menyarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan. Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a beliau berkata, Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan ternakannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah SWT adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh: ketahuilah bahawa dia adalah hati”.
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahu’aklam.