Assalamualaikum Ustaz.
Saya menanam beberapa pokok (serai, daun pandan etc.) di sekitar kawasan rumah dan pokok tersebut kadang kala dikencing Anjing dan ada najis anjing di sekitar kawasan tanaman. Bolehkah saya menggunakan tanaman tersebut dan macamana caranya untuk menyucikan tanaman tersebut.
Terima kasih ustaz
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mukadimah
Dalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama, kita tidak dapat lari dari hidup bersama. Walaupun budaya hidup orang Islam amat berbeza dengan Non-Muslim tetapi tidaklah kita disuruh bermusuh-musuhan malah dituntut supaya saling hormat-menghormati dan bertoleransi.
Sebagai Muslim kita tidak dibenarkan memelihara anjing sebagai binatang peliharaan namun boleh pula pada keadaan tertentu, seperti untuk memburu dan menjaga kebun dan tanaman. Tidak harus membunuh anjing sesuka hati hanya atas dasar ia merupakan binatang najis Mughallazah. Namun kewujudan anjing-anjing yang berkeliaran atau dilepaskan tanpa sebarang pengawasan yang mengakibatkan kesukaran untuk dihalang daripada mendatangi tempat kediaman maka sudah tentu akan didapati pada kawasan-kawasan tertentu menjadi tempat pembuangan najis anjing-anjing tersebut.
Anjing Adalah Najis Mughallazah
Menurut pandangan ulama mazhab Syafii, anjing adalah dari kategori najis berat sama ada bulunya, air liur, peluh, kencing dan lainnya. Imam al-Baihaqi menukilkan, ijmak pada hukum najis kencingnya. [Rujuk: Sunan al-Baihaqi jld. 2, hlm. 234] Pandangan ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”
[Riwayat Muslim (279)]
Imam Nawawi menjelaskan bahawa seluruh tubuh anjing, air liur, darah, dan najisnya itu adalah Najis Mughallazah, beliau berkata;
وَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا فَرْقَ عِنْدَنَا بَيْنَ وُلُوغِ الْكَلْبِ وَغَيْرِهِ مِنْ أَجْزَائِهِ فَإِذَا أَصَابَ بَوْلُهُ أَوْ رَوْثُهُ أَوْ دَمُهُ أَوْ عَرَقُهُ أَوْ شَعْرُهُ أَوْ لُعَابُهُ أَوْ عُضْوٌ مِنْ أَعْضَائِهِ شَيْئًا طَاهِرًا فِي حَالِ رُطُوبَةِ أَحَدِهِمَا وَجَبَ غَسْلُهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ إِحْدَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan pada pandangan kami (Mazhab Syafii) jilatan anjing dengan lainnya, daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya sesuatu benda yang bersih ketika ia basah, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya ialah tanah. [Rujuk; Syarah Sahih Muslim, jld. 3, hlm. 185]
Bagaimanapun cara mencuci najis anjing yang terkena tanah ialah dengan dihilangkan najis tersebut dan hanya perlu dijirus dengan air tujuh kali itu tanpa perlu disertakan tanah pada mana basuhan itu. Hal ini disebabkan tidak ada keperluan lagi untuk berbuat demikian. [Rujuk: al-Majmuk Syarah al-Muhazzab jld. 2, hlm. 586]
Cara Mencuci Najis Anjing Pada Mazhab Maliki
Menurut pandangan Mazhab Maliki anjing ialah binatang yang suci dan cara menghilangkan najisnya (kencing dan tahi) pula hanya dengan dibasuh hingga hilang ain najis tersebut sahaja, tidak perlu mengulang basuh sehingga tujuh kali. Namun pada jilatannya mereka berpendapat elok juga dibasuh sebanyak tujuh kali atas tujuan beramal (Taa'bbudi) dengan hadis di atas dan bukan disebabkan kenajisannya. [Rujuk al-Fiqh al-Maliki al-Muyassar hlm. 18-20]
Kesimpulan
Berpandukan keterangan di atas kami berpendapat;
- Wajib dihilangkan najis (tahi) pada tanaman dan di sekitar kawasan tanaman itu kemudian hendaklah dijirus air pada tanah di sekitarnya dalam kiraan tujuh kali tanpa perlu kepada jirusan air tanah lagi dan pastikan air tanah itu juga terpercik pada tanaman tersebut secara merata dan kemudian dijirus pula pada tanaman itu sebanyak kiraan enam kali.
- Namun sekiranya tanaman tersebut tidak ditanam dengan menggunakan tanah atau agak sukar untuk disertu, maka bolehlah bertaklid kepada pandangan mazhab Maliki iaitu dengan cara menjirusnya hingga yakin najis itu telah hilang. Keringanan hukum ini adalah berdasarkan kaedah
المشقة تجلب التيسير
Maksudnya: Kesukaran akan menarik kemudahan
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitamy;
وحاصل المعتمد من ذلك أنه يجوز تقليد كل من الأئمة الأربعة، وكذا من عداهم ممن حفظ مذهبه في تلك المسألة ودوّن حتى عرفت شروطه وسائر معتبراته
Maksudnya: "Kesimpulan pendapat muktamad, adalah harus berpegang kepada mana-mana mazhab yang empat dan pendapat yang lain asalkan masalah itu diketahui, dicatat dalam mazhab tersebut. Ini bertujuan supaya diketahui syarat-syarat dan apa yang berkaitan yang perlu dipatuhi". [Rujuk Tuhfah al-Muhtaj jld. 10, hlm. 109]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu'aklam.