Persoalan : HUKUM BERWUDUK DENGAN TIDAK MENANGGALKAN KRIM ATAU PELEMBAB MUKA (00842)

Assalamualaikum,

Setahu saya, wudhu menjadi tidak sah sekiranya terdapat bahan yang mengubah air wudhu.

Adakah sah wudhu sekiranya seseorang tidak menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu sebelum mengambil wudhu, tetapi menanggalkan krim/pelembap tersebut ketika sedang berwudhu?

Terima kasih.



Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhamad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Kewajipan Menyempurnakan Wuduk

Diriwayatkan daripada Abdullah bin `Amr RA, beliau berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka daripada api neraka (penyebab mereka masuk ke neraka)! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.”

(Sahih Muslim: 241)

 

Syeikh Ali al-Qari menyebut:

وفيه دليل على وجوب غسل الرجلين على وجه الاستيعاب وهو المنقول من فعله - صلى الله عليه وسلم - ومن فعل الصحابة رضي الله تعالى عنهم أجمعين 

Maksudnya: "Pada hadis ini terdapat dalil kewajipan membasuh kedua-dua kaki secara meliputi (menyampaikan air kepada keseluruhan bahagian kaki yang wajib dibasuh), dan perkara ini diambil daripada perbuatan Nabi SAW dan perbuatan para sahabat RA." (Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih, jil. 2 hlm.110)

 

Manakala dalam hadis lain, Umar RA memberitahu bahawa:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya: Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada bahagian kakinya yang sebesar kadar saiz kuku kaki yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.    

(Sahih Muslim: 243)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:

فِي هَذَا الْحَدِيثِ أَنَّ مَنْ تَرَكَ جُزْءًا يَسِيرًا مِمَّا يَجِبُ تَطْهِيرُهُ لَا تَصِحُّ طَهَارَتُهُ وَهَذَا مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Maksudnya: "Pada hadis ini, (terdapat dalil yang menunjukkan bahawa) sesiapa yang meninggalkan bahagian kecil yang wajib disucikan (dibasuh atau disapu ketika wuduk) tidak sah wuduknya, dan perkara ini merupakan sesuatu yang disepakati oleh para ulama." (Rujuk Sahih Muslim bi Syarh al-Muslim, jil. 2 hlm. 134)

 

Wajib Hilangkan Perkara Yang Menghalang Air Mengenai Kulit

Para fuqaha' telah bersepakat bahawa kewujudan sesuatu benda pada anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang sampainya air kepada kulit, menghalang sahnya wuduk dan mandi wajib tersebut.  Oleh sebab itu, antara syarat wuduk ialah menghilangkan perkara yang menghalang air mengenai kulit, sama ada minyak tepu, lilin dan seumpamanya. Syarat ini disepakati oleh 4 Mazhab yang muktabar. (Rujuk; al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil. 2 hlm. 282 dan Mausu'ah Ahkam al-Thahahrah, hlm. 71) 

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu':

إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك، فمَنَعَ وصولَ الماء إلى شيء من العضو؛ لم تصحَّ طهارته، سواء كثر ذلك أم قلَّ، ولو بقي على اليد وغيرها أثر الحناء ولونه دون عينه أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو ويجري عليها لكن لا يثبت؛ صحَّت طهارته

Maksudnya: "Jika sekiranya di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak yang cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu." (Rujuk; al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, jil. 1 hlm. 464)

Perkara ini dijelaskan dalam kitab Taqrirat al-Sadidah, bahawa yang dimaksudkan dengan bebas daripada perkara yang menghalang sampainya air ke anggota wuduk ialah tidak terdapat jirim pada anggota wuduk yang menghalang sampainya air. Maksudnya, tidak terdapat sesuatu zat atau benda asing pada anggota wuduk yang kalis atau tidak telap air, adapun kesan yang ditinggalkan daripada zat tersebut, seperti kesan minyak yang cair dan warna inai pada jari seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, maka ia tidak menghalang sampainya air. Begitu juga keadaannya dengan dakwat pen, kerana ia tidak menghalang sampainya air kepada kulit. (Rujuk; Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah, hlm. 95)

 

Kadar Basuhan atau Sapuan Wajib

Setiap perbuatan rukun yang telah disebutkan, bilangan yang dituntut hanyalah sekali sahaja, namun dengan syarat ia melakukan dengan sempurna, iaitu dapat meliputi seluruh bahagian anggota wuduk dengan sekali basuhan atau sapuan. Sekiranya dengan satu kali perbuatan (basuhan atau sapuan) tidak berjaya meliputi keseluruhan anggota yang wajib dikenakan air, maka wajib melakukannya untuk kali kedua hingga kesemua bahagian anggota berjaya diliputi air.

Namun yang dituntut adalah melakukannya sebanyak tiga kali, iaitu perbuatan pertama sebagai perbuatan wajib, dan perbuatan kedua hingga ketiga adalah perbuatan sunat. Basuhan atau sapuan pertama diukur apabila berjaya meliputi keseluruhan anggota, sekiranya seseorang memerlukan sehingga dua kali untuk berjaya meliputi, maka dua kali perbuatan itu dianggap sebagai satu perbuatan.

Adapun melakukan kurang daripada tiga kali (iaitu sebanyak dua kali, dalam keadaan perbuatan pertama sudah berjaya meliputi keseluruhan anggota), atau lebih daripada tiga kali (dalam keadaan keseluruhan anggota telah berjaya diliputi), maka hukumnya makruh, dan sah wuduknya. (Rujuk; al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, jil. 1 hlm. 441-443)

 

Kesimpulan

Berkaitan dengan soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah; adakah air sampai kepada keseluruhan anggota wuduk? Bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan, ia boleh dilakukan dengan apa sahaja cara sekalipun asalkan tujuan tercapai, iaitu menyampaikan air ke anggota wuduk. Justeru, sekiranya menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu, sehingga air dapat disampaikan kepada keseluruhan anggota wuduk, maka telah terlaksana kewajipan berwuduk

Adapun sekiranya membasuh tanpa menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu, sekiranya basuhan pertama hanya menghilangkan krim/pelembap muka tetapi tidak menyampaikan air kepada kulit, wajib membasuh lagi hingga air berjaya sampai ke kulit. Setelah air berjaya sampai ke kulit baru dianggap telah melakukan basuhan atau sapuan wajib (walaupun sebenarnya melakukan dua kali atau lebih perbuatan) dan wuduknya sah. Jika krim/pelembap muka tetap ada dan menghalang air sampai ke kulit, maka tidak sah wuduk itu.

Oleh itu, kami mencadangkan agar dihilangkan terlebih dahulu krim/pelembap muka kerana ia lebih berkemungkinan dan diyakini dapat memastikan kita melaksanakan wuduk dengan sempurna. Apatah lagi telah jelas dalam hadis-hadis berkenaan orang yang tidak menyempurnakan wuduk dengan ancamannya, maka sangat wajar untuk berhati-hati dan berusaha agar kita tidak tertinggal kawasan yang sepatutnya dikenakan atau disampaikan air.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.