Persoalan : APAKAH HUKUM MEMBUNUH DIRI DISEBABKAN TEKANAN PSIKOLOGI? (00748)

Assalammualaikum.
Saya faham bunuh diri adalah haram dan berosa besar.
Pertanyaan saya:
Bagaimana jika dia membunuh diri itu ada sebab
1. Kemurungan/depresi
2. Psikotik(Psikologi) - khususnya skizofrenia (berkaitan psikologi)
3. Impulsif - biasanya apabila dipengaruhi oleh alkohol atau dadah
4. Seruan untuk meminta pertolongan - biasanya kerana masalah duniawi
5. Keinginan filosofikal untuk mati - biasanya mereka yang sakit terminal.
6. Kesilapan - buat sesuatu yang diketahui bodoh/membahayakan lalu terbunuh CTH : merokok, merempit, bawa  kereta laju.

Apakah hukum bagi situasi di atas?

Bagaimana pula jika individu yang bunuh diri itu melalui perjalanan hidup yang gelap dan tiada didikan yang sempurna.?

Saya tanya sebab isu sekarang ramai yang bunuh diri atas sebab satu faktor di atas.

Saya perlu dapat jawapan segera kerana saya pelajar Psikologi UMS . Ini penting kepada bidang ilmu yang saya pelajari.

Rozaidi Bin Omar

Student Ums



Wa’alaikumussalam wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

            Tindakan bunuh diri dengan sengaja sudah sedia maklum bahawa hukumnya haram dan berdosa besar berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا  ٢٩ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ عُدۡوَٰنٗا وَظُلۡمٗا فَسَوۡفَ نُصۡلِيهِ نَارٗاۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا  ٣٠

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

(Surah al-Nisa’: 29-30)

Dan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: Sesiapa yang sengaja terjun daripada bukit dan membunuh dirinya, akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.

(Sahih Al-Bukhari, hadis no. 5778)

            Secara dasarnya hukum bunuh diri adalah haram secara sepakat dan terdapat beberapa pandangan berbeza terhadap hukum mendirikan solat jenazah pembunuh diri dan ada juga pendapat yang terpencil bahawa taubat dosa membunuh diri ini tidak diterima. (Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, jld. 6, hlm. 283)

Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

(Riwayat al-Bukhari, hadis no.3463)

            Sebahagian ulama berpendapat zahir hadis ini menunjukkan bahawa orang yang membunuh diri dengan sengaja adalah jatuh kafir kerana kekal di dalam neraka adalah hukuman ke atas orang kafir sahaja. (Lihat Mafatihul Ghaib, jld. 19, hlm. 151)

Dan yang menguatkan pendapat mereka ialah firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡئَسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ  ٨٧

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

(Surah Yusuf: 87)

Dan kebiasaannya orang yang membunuh diri ini mereka yang sudah berputus asa dari rahmat tuhan.

            Manakala jumhur ulama tidak berpendapat sedemikian dan mereka masih berpendapat bahawa golongan ini masih Islam tetapi telah melakukan dosa besar dan nasib mereka diserahkan kepada Allah berdasarkan apa yang difahami daripada sabda Nabi SAW sewaktu Bai’atul Aqabah iaitu sesiapa yang melakukan dosa maka nasibnya kembali kepada Allah, jika Allah mahu mengazabnya maka diazab, jika tidak, maka diampunkan. (Rujuk hadis riwayat Al-Bukhari, hadis no 678).

            Didikan yang diterima seseorang dan sejarah silamnya yang gelap bukanlah tiket untuk melakukan perkara yang dilarang Allah apatah lagi bunuh diri kerana ilmu itu wajib dituntut seperti sabda Nabi SAW:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim”

 (Riwayat Ibnu Majah, hadis no. 224)


Bahkan meminta mati kerana musibah dunia yang dihadapinya juga adalah ditegah di dalam Islam berdasarkan sabda Nabi SAW:

لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي.

Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku”

(Riwayat al-Bukhari, hadis no. 5671, dan al-Nasa’i, hadis no. 1820)

             Adapun bagi seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan tanpa sengaja dalam keadaannya hilang akal sehingga dia terbunuh maka perbuatannya itu tidak dipertanggungjawab ke atasnya sebagaimana yang ternyata di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”.

(Riwayat Abu Daud, hadis no. 4403)

Dan bagi golongan yang melakukan kesilapan seperti merokok, merempit dan membawa kereta dengan laju sehingga terbunuh, maka perbuatan seperti itu ditegah di dalam Islam berdasarkan firman Allah SWT:  

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

 Maksudnya: " Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."

(Surah al-Baqarah: 195)

Jika pelaku tidak berniat untuk membunuh diri tetapi ia berlaku kerana kesilapan semata-mata, ada pendapat ulama yang mengklasifikasi perkara itu sebagai terbunuh tanpa sengaja. (Rujuk Al-Iqna’, jld. 2, hlm. 495; Al-Mughni, jld. 10, hlm. 35).

Dan pendapat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, sabda Nabi SAW:

‏ إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ ‏

Maksudnya: “Allah telah mengampuni daripada kaumku atas kesalahan dan kealpaan, dan apa yang mereka dipaksa lakukan.”

(Riwayat Ibnu Majah, hadis no. 2045)

Walaupun tidak mendapat dosa tetapi tetap perlu membayar diat daripada harta si pelaku. Dan ini merupakan pandangan sebahagian ulama. Pendapat yang lain tidak mewajibkan bayaran diat. (Rujuk As-Syarh Al-Kabir, jld.9, hlm. 669)

            Sebagai manusia kita tidak boleh menghakimi iman seseorang secara pasti. Jika ada yang menghakimi si pelaku tersebut sebagai kafir atau selainnya maka ia tidak harus diterima secara bulat-bulat terutama jika tiada pengakuan daripada si pelaku sebelum terbunuh. Ini berkesinambungan dengan hadis Usamah RA, sabda Nabi SAW:

" أفلا شققت عن قلبه؟ "

Maksudnya: “Apakah kamu telah membelah hatinya (untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak)?”

(Riwayat Muslim, hadis no. 96)

            Lebih utama kita menganggap mereka masih Islam dan jika benar sekalipun mereka membunuh diri dengan sengaja maka semestinya tindakan mereka itu adalah dosa besar.

            Kesimpulannya, tiada sebarang dalil daripada syarak yang membenarkan bunuh diri dengan apa sebab sekalipun. Jika seseorang itu masih waras dan membunuh diri kerana sebab kemurungan, depresi maka itu sudah terbukti pelaku itu berdosa besar. Dan jika pelaku tersebut disabitkan bahawa dia hilang akal mahupun gila, maka tindakan si pelaku yang membunuh diri itu tidak dikira sebagai dosa besar.  Penyakit skizofrenia atau yang lain, jika disabitkan bahawa ianya menyebabkan hilang akal maka pesakit yang menghidap penyakit tersebut telah terkeluar dari taklif. Tetapi haruslah diingatkan bahawa golongan seperti ini tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan dan seharusnya dirawat bertepatan dengan tuntutan maqasid syariah ‘حفظ النفس’ iaitu menjaga nyawa.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahualam.