Persoalan : MENYANYIKAN LIRIK HALLELUYAH/ HALLELUJAH (00736)

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya apakah hukum menyanyikan lagu yang mempunyai lirik Halleluyah/ Hallelujah dan apakah ada kesan kepada akidah orang Islam? Terima kasih ustaz.



Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhamad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Asal usul perkataan Halleluyah

Hallelujah juga dieja halleluiah, merupakan perkataan tahun 1530-an daripada bahasa Latin Kuno. Perkataan alleluia pula diambil dari perkataan allelouia dalam bahasa  Yunani. Ia juga diambil daripada perkataan hallalu-yah Ibrani yang bermaksud "puji ye Yehuwa,".

Perkataan ini mempunya dua elemen, yang pertama adalah hallalu, kata jamak daripada hallel yang bermaksud "untuk memuji" juga bermaksud "lagu pujian." Hallalu juga kata jamak dari hillel yang bermaksud "dia memuji.” Ia merupakan perkataan dengan latar belakang imitatif (perkataan yang dicipta dengan meniru bunyi sesuatu atau meniru simbol). Elemen kedua pula adalah yah, kependekan kata daripada perkataan Yahweh iaitu nama Tuhan. Perkataan alleluia dalam bahasa Inggeris Kuno (12 masihi.) pula berasal dari alleluie, perkataan bahasa Perancis Lama.

Kalimah ini disebut pada beberapa bahagian dalam kitab Hebrew Bible/Old Testament, kitab suci orang Yahudi. Kalimah ini berkemungkinan dinyanyikan oleh kumpulan koir  kaum Levithe (salah satu kaum Yahudi) pada zaman  Judaism kuno.

Manakala dalam New Testament, kalimah ini hanya muncul pada bahagian Relevation 19 yang diulang sebanyak 4 kali. Perkataan ini telah diterjemahkan ke dalam Septiguan (Bible versi Yahudi Greek yang dibuat pada zaman pra-Kristian). Kalimah ini bertukar bentuk dan menjadi alleluia dalam kitab Vulgate (Bible versi Kristian Latin pada abad ke-4 masihi).

Golongan awal Kristian menggunakan ungkapan ini dalam proses penyembahan/ibadah mereka. Penggunaannya didapati dalam ritual dan hymn (nyanyian puji-pujian) Kristian Ortodoks, Roman Katolik, Anglican dan Protestan. Ungkapan ini juga mula diperluaskan penggunaannya dalam Bahasa Inggeris moden sebagai ungkapan menggambarkan pujian, kegembiraan dan terima kasih. Ia juga bermaksud laungan atau nyanyian memuji.

 

Larangan Menyerupai Orang Kafir

Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang menyerupai golongan kafir, sama ada dari sudut tindakan, percakapan dan lain-lain.  Ini merujuk kepada perkara-perkara yang menjadi ciri-ciri atau tabiat khas mereka yang bukan kebiasaan orang lain.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انظُرْنَا وَاسْمَعُوا ۗ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad SAW): Raa'ina, tetapi katakanlah: Unzhurna, dan "dengarlah". Dan bagi orang-orang yang kafir siksaan yang pedih.

(Surah Al-Baqarah: 104)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut: Allah SWT melarang hambanya yang mukmin daripada menyerupai orang kafir dari sudut percakapan dan perbuatan mereka. Ini kerana orang Yahudi menggunakan perkataan yang mengandungi dua makna apabila mereka ingin mengejek orang Muslim.

Apabila mereka ingin mengatakan “dengarlah percakapan kami” mereka akan menyebut raa’ina (perhatikan atau dengarkanlah kami) namun yang mereka maksudkan adalah ar-ra’unah (bodoh dan tak betul), sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT:

مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَاسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍ وَرَاعِنَا لَيًّا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًا فِي الدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاسْمَعْ وَانظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَٰكِن لَّعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): raa’ina (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).

(Surah Al-Nisa’: 46)

Begitu juga hadis-hadis yang menerangkan bahawa mereka jika ingin memberi salam akan mengucapkan as-sam ‘alaikum, as-sam bermaksud mati. Kerana itu kita disuruh menjawab wa’alaikum (dan ke atas kamu), maka perkataan kita kembali kepada mereka, dan perkataan mereka tidak kembali kepada kita. Matlamatnya, Allah SWT melarang orang mukmin menyerupai orang kafir dari sudut perkataan dan perbuatan.

 

Manakala dalam hadis, Rasulullah SAW melarang daripada menyerupai rupa paras orang musyrik. Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

"‏ خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَوْفُوا اللِّحَى ‏"

Maksudnya: “Bezakanlah daripada orang musyrik, nipiskan misai dan biarkan janggut”.

(Muttafaqun ‘alaih)

 

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menerangkan bahawa musyrik yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah kaum Majusi (penyembah matahari). Mereka biasanya menipiskan janggut mereka, dan sebahagian mereka mencukurnya.

Walaupun musyrik yang dimaksudkan adalah Majusi, malah ia termasuk juga golongan musyrik yang lain kerana kaedah menyebut: “yang diambil kira adalah umumnya lafaz, bukan sebab yang khusus.” Walaupun hadis ini khusus mengenai golongan Majusi, namun lafaz yang digunakan adalah lafaz umum iaitu musyrik yang merangkumi semua golongan musyrik.

Antara bentuk membezakan (daripada menyerupai mereka) adalah dengan membiarkan atau membanyakkan janggut (melebatkannya).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW melarang daripada menyerupai sesuatu kaum. Dari Ibn Umar beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barang siapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk dari mereka”

(Riwayat Abi Daud no 4031)

 

Dalam kitab ‘Aunul Ma’bud, syarah Sunan Abi Daud, Syeikh ‘Azim al-‘Abaadi ketika menghuraikan makna menyerupai orang kafir, menukilkan perkataan Syeikh Muhammad Abdul Rauf al-Minawi dan al-‘Alqomi: “iaitu memakai pakaian yang secara zahirnya merupakan pakaian mereka, dan mengikuti gaya dan petunjuk mereka dari sudut pemakaian dan sebahagian perbuatan mereka.”

Beliau juga menukilkan perkataan al-Qari: “iaitu sesiapa yang menyerupai orang kafir, contohnya dalam bab pakaian dan selainnya, atau menyerupai orang fasiq, atau orang jahat, atau ahli tasawuf atau orang soleh yang baik maka dia termasuk dalam golongan tersebut (yang dia serupai), iaitu dari sudut dosa atau kebaikan. 

Al-‘Alqomi juga menyebut: “sesiapa yang menyerupai orang soleh akan mendapat kemuliaan sebagaimana mereka mendapat kemuliaan, dan orang yang menyerupai orang fasiq tidak mendapat kemuliaan, dan sesiapa yang meletakkan pada dirinya petanda kemuliaan, dia akan mendapatkannya (kemuliaan), walaupun dia tidak memenuhi (ciri-ciri dan sifat) kemuliaan.

 

Manakala Imam Ibnu Kathir mengulas hadis ini dengan mengatakan: pada hadis ini mengandungi dalalah (petunjuk) mengenai larangan keras, dan ancaman terhadap (perbuatan) menyerupai orang kafir pada percakapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah  dan sebagainya daripada perkara-perkara yang tidak disyariatkan pada kita dan (syariat) kita tidak mengakuinya.

 

Kesimpulan:

Tidak boleh menyanyikan lirik yang mengandungi perkataan hallelujah kerana ia merupakan istilah khas yang digunakan oleh orang Yahudi dan Kristian. Sekadar suka-suka menyanyi tanpa berniat ingin menyerupai orang kafir tidak boleh dijadikan alasan kerana cukup dengan melakukan perbuatan yang menjadi kebiasaan dan perkara khusus dilakukan orang kafir sudah dianggap menyerupai mereka walaupun tidak berniat demikian kerana ia boleh membawa kepada syirik kepada Allah SWT.

Begitu juga peluasan penggunaan kalimah ini dalam istilah bahasa Inggeris moden untuk mengekspresikan kegembiraan tidak boleh dijadikan alasan kerana hakikatnya, ia tetap diambil dan masih menjadi istilah khas orang Yahudi dan Kristian.

Kami menasihatkan supaya membiasakan penggunaan kalimah Islam untuk mengekspresikan perasaan seperti mengucap alhamdulillah ketika bersyukur, subhanallah ketika merasa kagum dengan perkara yang baik dan sebagainya. Begitu juga kami nasihatkan supaya menjauhkan diri dari mendengar lagu-lagu dengan lirik yang menyalahi syariat Islam kerana kita akan merasa suka dan tertarik dengannya, ini sebenarnya termasuk dalam proses normalisasi (menjadikan perkara yang bukan kebiasaan sebagai perkara biasa dan normal) perkara menyalahi ajaran Islam. Adalah lebih baik kita mendengar al-Quran atau nasyid-nasyid yang berunsur nasihat dan sebagainya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

___________________

Rujukan:

  1. https://www.britannica.com/topic/hallelujah-religious-music tarikh layar: 26/4/2021, 8.57 am.
  2. https://www.etymonline.com/word/hallelujah tarikh layar: 28/4/21, 10.10 am.
  3. https://www.merriam-webster.com/dictionary/hallelujah#synonyms tarikh layar: 28/4/21, 10.15 am.
  4. Imam Ibnu Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim, juzuk pertama, Darul Hadis, cetakan pertama tahun 1988, halaman 141-142
  5. Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari bi-Syarh Sahih al-Bukhhari, juz 11, Dar al-Fikr, cetakan pertama tahun 2000, halaman 540-541
  6. Syeikh Muhammad Asyraf bin Amir al-‘Azim al-‘Abaadi, ‘Aun al-Ma’bud, Baitul Afkar Ad-Dauliah (International Ideas Home), halaman 1729-1730