Persoalan : HUKUM MELIHAT GAMBAR ISTERI TIDAK BERPAKAIAN (00728)

asslamualaikum ustaz..

hram atau halal suami mintak gambar isteri x pakai baju..sbb suami berjauhan dgn isteri untuk mencari nafkah..suami mintak gambar isteri bile masa perlu...terima kasi ustaz



Wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Selepas berlakunya akad nikah yang sah antara seorang lelaki dan wanita maka tiada lagi aurat antara mereka berdasarkan hadis:

“احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُك”

Maksudnya: “Jagalah aurat kamu kecuali daripada isteri kamu atau hamba yang kamu miliki

                                                                           (Sunan Abu Daud, hadis: 4017)

Ulama bersepakat bahawa tidak haram untuk suami melihat seluruh tubuh isterinya dan begitu juga sebaliknya. (Lihat Al-Mausu’ah Al-Feqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, jilid 32, hlmn 89)

Walaubagaimanapun tindakan berkongsi gambar yang mendedahkan aurat antara suami isteri di dalam whatsapp dan media sosial yang lain dibimbangi akan membuka ruang terdedahnya gambar tersebut kepada orang lain dan seterusnya boleh menyebabkan kemudaratan yang lebih besar. Maka perkara tersebut lebih baik untuk dielakkan dan ini bertepatan dengan beberapa kaedah fiqh iaitu:

سَدُّ الذَّرِيعَةِ

Maksudnya: Menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan.

Kaedah fiqh yang lain :

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Namun melihat kepada pasangan (yang halal) sambil masing-masing menimbulkan keghairahan kemudian diikuti dengan perbuatan onani pula mempunyai hukumnya yang tersendiri.

Hukum onani bagi mereka yang tidak mampu bernikah dan takut terjatuh ke dalam maksiat adalah harus dan tidak berdosa. Bahkan kaedah fiqhiyah juga menyebut:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: “Kemudaratan itu membolehkan apa yang terlarang

(Lihat; Dr Abd Karim Zaidan, Qawaid Fiqhiyah, hlm. 67).

Ini merupakan pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim serta pendapat daripada Ibn Aqil. Bahkan pendapat ini diperkuatkan oleh Imam Ahmad dengan riwayat bahawa para sahabat terdahulu beronani dalam perang dan ketika musafir sebagai keharusan melakukan onani apabila terdesak dan perlu. (Lihat: Al-Bada’I Wal Fawa’id, jld. 2, hlm. 870).

Adapun apabila melakukan onani itu hanya kerana mencari keseronokan dan berhibur dengannya, maka hukumnya adalah haram dan ditegah. Ia termasuk dalam perbuatan yang keji dan kotor serta memudaratkan akal serta jiwa sehingga menjadikan dirinya dikuasai oleh syahwat dan dibimbangi akan terjebak kepada perzinaan.

Namun apabila syahwat itu terlalu mendesak dan menggoda, maka tidaklah mengapa beronani dengan tangan atau apa jua alatan asalkan sekadar mencukupi untuk memuaskan syahwat demi mencegah zina.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam beronani iaitu:

a) Hukum onani akan menjadi haram apabila seorang lelaki itu menggunakan gambar lucah, atau bayangan di otaknya akan perkara kotor atau berkhayal wanita kerana ini bukan lagi beronani demi mencegah zina, sebaliknya ia sudah bertujuan mencari kepuasan dan berseronok dan perbuatan seperti itu diharamkan. Oleh yang demikian tidak digalakkan memuaskan nafsu secara online walaupun dengan pasangan yang halal, sebab ia akan menimbulkan ketagihan dan kemungkinan akan terjebak melakukan perkara yang lebih jauh lagi, sehingga membawa kepada perkara yang diharamkan oleh syarak.

Perlu diingat, tidak boleh berseronok dengan jalan atau cara yang haram.

b) Adapun sebaliknya, mereka yang terdesak cukup sahaja beronani tanpa perlu bayangan dan khayalan atau apa-apa modal yang halal atau haram kerana niatnya sekadar untuk mengurangkan tekanan seksual dan ini dibolehkan.

Begitu juga wanita yang tidak mampu menahan desakan batin maka tidak mengapa mereka beronani dengan menggunakan tangan atau apa alatan yang tidak merbahaya asalkan dibuat setelah terdesak bukan dengan sengaja atau berniat mencari keseronokan. Firman Allah SWT:

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ

Maksudnya: “Dan bertakwalah kamu kepada Allah semampu kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16).

Juga diharamkan berkhayal kotor dan menonton filem kotor kerana Islam mengharamkan perkara demikian. Sesungguhnya kelonggaran dibolehkan onani ini hanya apabila terdesak dan demi mencegah zina.

Kesimpulannya diperolehkan apabila terdesak dan perlu untuk menurunkan tekanan syahwat dengan cara beronani, namun begitu tidak digalakkan mengghairahkannya melalui online, videocall dan sebagainya. Adalah dianjurkan supaya pasangan tersebut berusaha menjaga syahwat mereka dengan berpuasa serta berusaha menghindarkan diri daripada membayangkan kelazatan berjimak bersama pasangan. Oleh yang demikian, hendaklah mereka berikhtiar untuk dapat berkumpul semula dan tidak tinggal berjauhan supaya tercapai matlamat perkahwinan yang telah dibina dengan ikatan yang diredhai oleh Allah SWT.

Ingatlah pesanan Allah SWT ini dan jadikanlah ia sebagai motivasi. Firman Allah SWT;

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ﴿٤٠﴾  فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Adapun orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri daripada hawa nafsunya maka syurgalah tempatnya.”

(Surah Al-Nazi’at: 40-41).

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahnya-Nya. Amin.

Wallahu’aklam