Assalamualaikum Dato ,tuan tuan
Saya mempunyai kebun dan sering dikacau oleh babi dgn merosakan tanaman saya. Pada keesokan harinya saya akan membetulkan balik tanam yg telah dirosakan oleh babi tersebut dgn menanam balik. Bagaimana kedudukanya Dato, tuan tuan.
Sekian terima kasih.
Wa'alaikumussalam
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pada awalannya kami bawakan di sini dalil serta pandangan ulama berkenaan kenajisan babi.
Ulama telah berijmak bahawa babi adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran. Kesemua bahagian babi sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih.[1]
Dalil Kenajisan Babi
Firman Allah SWT:
قل لا أَجِدُ فِيمَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-An’am: 145)
Rasulullah SAW bersabda:
طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.”
Riwayat Muslim (279)
Pandangan mazhab Syafie dan Ḥanbalī terhadap nas hadis ini, mereka menqiaskan babi dengan anjing di mana anjing merupakan najis seperti yang disebut dalam hadis (إذا ولغ الكلب), maka babi lebih najis dari anjing kerana keadaannya lebih buruk daripada anjing.[2]
Pembahagian Najis: Najis ‘Aini dan Najis Hukmi
Najis Aini ialah semua najis yang berjisim yang dapat dilihat atau mempunyai sifat zahir iaitu warna atau bau seperti tahi, kencing dan darah.
Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi. Contohnya baju yang terkena kencing kemudian ia kering dan kesannya tidak zahir lagi.[3]
Kategori Kenajisan Babi
Khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah (مُغَلَّظَةٌ) ialah najis jenis yang berat, iaitu anjing dan babi. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah. Diqiaskan hukum babi kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.[4]
Cara Bersuci daripada Najis
Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat.[5]
Berdasarkan pendapat para ulama, maka menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie bahawa babi terdiri daripada najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya ialah dengan air tanah apabila terkena najisnya.
Namun begitu dalam persoalan yang diajukan hanya kesan perbuatan babi merosakkan tanaman sahaja yang didapati di kebun yang diusahakan. Akan tetapi tidak dapati kesan najis dalam kawasan tersebut. Oleh yang demikian tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis. Ini kerana pada asalnya tiada najis maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.
Adapun, bekas tapak kaki atau kawasan ia bermain atau mencari makanan dengan memusnahkan tanaman yang sukar dielak maka ia termasuk dalam perkara umum balwa iaitu perkara yang sukar dielakkan. Oleh yang demikian maka berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidaklah perlu disamak.
Wallahua’lam.
[1] Wahbah al-Zuhaili. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. jil. 1. hlm. 302
[2] Muhamamd al-Zuhaili. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. jil. 1. hlm. 46. Al-Khatib al-Syarbini. Mughni al-Muhtaj. Jil. 1, hal. 240. Ibn Qudamah.al-Mughni. Jil. 1, hal. 77.
[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40.
[4] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40.
[5] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 42.