Persoalan : HUKUM MENGERAT ATAU MENGAMBIL ANAK POKOK BUNGA/TUNAS/RANTING POHON ATAU POKOK BUNGA DI TEPI JALAN ATAU TAMAN (00559)

As Salam Pejabat Mufti,

Saya ada kemusykilan disini, apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas, atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga yang banyak yang hidup di tepi jalan raya atau di taman untuk di tanam di rumah sendiri. Adapun tujuan mengerat sedikit ranting untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut, sesetengah yang lain sebagai tujuan perubatan Tradisional dan juga untuk ditanam di rumah kerana sesetengah tumbuhan agak susah didapati dan mahal. Sesetengah tumbuhan yang ada seperti tidak dijaga dan terbiar.

Cara mengerat atau mengambil anak pohon tersebut adalah dengan cara mengerat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut. Harap mendapat penjelasan.



Wa'alaikumussalam.

Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya. Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”

(Surah al-Baqarah: 188)

Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja. Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya. Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.

Wallahu’aklam.