Persoalan : BOLEHKAH LELAKI MENGGUNAKAN PRODUK PENJAGAAN MUKA? (01005)

Assalamualaikum w.b.t.

Kulit muka saya sangat berminyak. Lap pakai tisu, tisu tu jadi kelabu. Saya buat carian online, kebanyakannya mengatakan saya perlu pakai produk penjagaan muka (moisturiser, toner, sunscreen, dsb.). Tapi setahu saya produk lelaki ada pencuci muka sahaja. Soalan saya, bolehkah saya memakai produk penjagaan muka (moisturiser, toner, sunscreen, dsb.) dan bolehkah saya menggunakan produk yang diiklankan untuk wanita? Takut pula jika ini dikategorikan sebagai lelaki menyamai kaum perempuan.



Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Mukadimah

Sebagian besar produk penjagaan kulit di pasaran diformulasikan untuk kaum wanita. Sementara itu, banyak juga para lelaki yang menyedari pentingnya menjaga kesihatan kulit dan penampilan mereka dan walaupun terdapat produk yang diformulasikan khas bagi mereka tetapi ia amat terhad.

Menurut para pakar kajian kulit, produk perawatan kulit sebenarnya tidak memiliki kaitan gender. Jadi tidak menjadi masalah jika lelaki menggunakan produk perawatan kulit wanita dan begitu juga sebaliknya. Tidak ada yang spesifik untuk lelaki atau untuk wanita. Sebenarnya menjadi keperluan yang sama bagi lelaki atau wanita untuk menggunakan penjagaan kulit yang sesuai.

Para wanita boleh menggunakan produk untuk lelaki sekiranya sesuai dengan kulitnya. Begitu pun dengan para lelaki asalkan tidak menimbulkan masalah pada kulit. Memang ada sedikit perbezaan pada struktur kulit wajah lelaki dan wanita. Misalnya kelenjar minyak lelaki cenderung lebih aktif kerana pengaruh hormon androgen. Sedangkan wanita biasanya memiliki hormon androgen yang lebih sedikit sehingga wajahnya tidak terlalu berminyak.


Hukum Tasyabbuh

Allah SWT melaknat orang yang melakukan perbuatan Tasyabbuh dan hukumnya adalah HARAM. Ia merupakan salah satu dosa besar berdasarkan nas-nas syarak. [Rujuk: al Zawajir jld. 1, hlm. 257]

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma pada sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

[Riwayat al-Bukhari No. 5886, Abu Daud No. 4953, al-Tirmizi No. 2785]

Dalam riwayat yang lain:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

 [Riwayat al-Bukhari No 5885, Abu Daud No 4097, al-Tirmizi No 2784]

 

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinyatakan;

‏قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ.
قَالَ الْحَافِظُ: وَكَذَا فِي الْكَلَامِ وَالْمَشْيِ فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ, لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَار

Maksudnya: Al-Imam al-Tabari berkata: "Tidak harus bagi lelaki menyerupai wanita dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah juga sebaliknya". Imam al-Hafiz Ibn Hajar pula berkata, "Tidak harus menyerupai dalam percakapan dan cara berjalan manakala daripada segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. Terdapat juga di kalangan mereka tidak wujud perbezaan cara pemakaian wanita dan lelaki tetapi kebiasaannya pakaian wanita lebih sopan dan menutup aurat".

[Rujuk; Tuhfah al-Ahwazi jld. 8, hlm. 57]

Dapat difahami daripada penjelasan Imam Ibnu Hajar di atas bahawa sesuatu perbuatan atau penggunaan sesuatu benda yang tidak dikhususkan pada mana-mana gender maka hukumnya harus kedua-dua gender melakukannya.

 

Garis Panduan Penggunaan Produk Penjagaan Muka

Berdasarkan kaedah-kaedah umum dalam Islam, penggunaan produk penjagaan muka hendaklah menepati garis panduan seperti berikut:

  1. Produk itu mestilah dihasilkan daripada bahan halal. Manakala yang diperbuat daripada bahan-bahan tidak halal atau tidak suci maka hukumnya ialah najis dan tidak boleh dibawa dalam solat.
  2. Penggunaan produk tersebut atas tujuan dan niat untuk membersih, merawat dan menjaga kulit muka dan bukan dengan niat yang lain, iaitu riak dan menunjuk-nunjuk.
  3. Pemakainya hendaklah membasuh muka sebelum berwuduk kerana ditakuti produk tersebut itu akan menghalang air daripada terkena kulit muka.
  4. Tidak menggunakan bahan-bahan yang boleh membawa kemudaratan yang diharamkan, kerana Islam melarang umatnya mencampakkan mereka ke dalam lembah kemudaratan.

 

Kesimpulan

Berhubung dengan soalan yang diajukan, kami berpandangan bahawa;

  1. Diharuskan bagi umat Islam lelaki menggunakan produk penjagaan kulit dan muka, keharusan ini adalah tertakluk selagi mana produk tersebut diperbuat daripada bahan-bahan yang halal, tidak mengandungi najis dan tidak memudaratkan.
  2. Hukum lelaki menggunakan produk penjagaan wajah wanita adalah harus sekiranya ia digunakan untuk membersih dan merawat kulit wajah dan bukan atas tujuan kesombongan atau meniru penampilan seorang wanita yang dilarang dalam Islam.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam