Persoalan : ISU PEMILIKAN HARTA TANAH BERSAMA JOINT TENANCY (00774)

Assalamualaikum Dato mufti.

soalan saya, berkenaan isu pemilikan bersama tanah Joint Tenancy.

1. Apakah hukum status hukum berkenaan pemilikan tanah bersama Joint Tenancy?

2. sekiranya salah seorang drpd pemilik harta tersebut telah meninggal, bagaimanakah status pemilikan harta tersebut.?

3. jika simati mempunya waris yang masih hidup, adakah harta tersebut boleh dibahagikan mengikut Faraid?

4. bagaimanakah untuk menentukan konsep right of survivorship menepati syara supaya tidak timbul kesamaran terhadap konsep atau kontrak tersebut.?

5. Bolehkah joint tenancy tersebut terbatal dan apakah sebab2 yang membatalkan perjanjian tersebut.?

6.Apakah Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang telah mempunyai fatwa berkenaan joint tenancy?



Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

PENDAHULUAN

Joint Tenancy ini disebut di dalam Kanun Tanah Negara Akta 518 National Land Code (Penang and Malacca Titles) Act 1963  adalah seperti berikut:

Estates in absolute possession

  1. (1) Where a pre-existing estatein absolute possession in any holding is vested-

(c) in two or more persons as joint tenants, such persond shall be registered in the Interim Register as co-proprietors thereof, “with a right of survivorship”. 

Berdasarkan akta yang dikemukakan, Joint Tenancy merujuk kepada kaedah pemilikan. Iaitu semua pemilik bersama mengambil hak yang setara ke atas aset tersebut, dan selepas kematian salah seorang daripada mereka, pemilik yang masih hidup akan memiliki harta itu sepenuhnya. Antara ciri-ciri lain yang dapat difahami pada kontrak Joint Tenancy ini adalah seperti berikut:

  1. Kaedah pemilikan bersama yang menjadikan hak milik sesuatu tanah menjadi perkongsian antara dua orang pemilik atau lebih.
  2. Kesemua pemilik mempunyai hak sama rata dan adil terhadap tanah tersebut tanpa ada ketentuan yang jelas dalam kontrak sivil.
  3. Pemilikan bersama Joint Tenancy ini juga diikat dengan konsep ‘Right Of Survivorship’ iaitu jika salah seorang pemilik meninggal dunia maka pemilik yang satu lagi akan menjadi pemilik tunggal tanah tersebut.
  4. Waris daripada salah satu orang pemilik yang telah meninggal dunia tidak layak mendapat hak perwarisan daripada peninggalan hartanah yang berstatus ‘Joint Tenancy’ kerana konsep ‘Right Of Survivorship’ tersebut.
  5. Konsep ‘Right Of Survivorship’ ini telah menghalang waris si mati daripada mendapat bahagian harta pusaka.

Kontrak Joint Tenancy pada asalnya dapat dihukum berdasarkan konsep sharikah. Iaitu setiap pemilik berkongsi bahagian yang sama pada aset tersebut dan apabila pemilik bersama meninggal dunia, pemilik bersama yang masih hidup hanya menjadi pemegang amanah bagi bahagian pemilik bersama yang telah meninggal dunia dan perlu memberi hak si mati kepada warisnya. 

Apabila wujud konsep ‘Right Of Survivorship’ ini dalam Joint Tenancy maka ia telah menyebabkan hukum faraid tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya menafikan konsep sharikah tadi. Konsep ‘Right Of Survivorship’ ini jika dibandingkan di dalam beberapa kontrak di dalam fiqh maka kita dapati bahawa ia lebih cenderung kepada bentuk akad hibah secara al-Ruqba.

 

TAKRIF AL-RUQBA (الرُّقْبَى)

Kalimah رقبى  diambil daripada kata المراقبة dan  dikatakan  seseorang رقبته atau أرقبته atau ارتقبته  iaitu bermaksud menunggu[1] dan ia seperti hibah berbentuk Al-Umraa (العمرى) yang terikat dengan waktu.[2]  Hibah yang berbentuk Al-Ruqba ialah seperti kata seseorang:

“Aku jadikannya (sesuatu itu) untukmu menunggu-nunggu iaitu jika engkau mati dahulu daripada aku, kembalilah semula kepadaku, dan jika aku mati dahulu tetaplah ia untukmu”.[3]

Ini bermaksud; jika kamu mati sebelum saya, ia akan dikembalikan kepada saya. Jika saya mati sebelum kamu, ia akan kekal menjadi milik kamu. Masing-masing menunggu kematian siapa terlebih dahulu.[4]

Dapat disimpulkan bahawa al-Ruqba ini ialah hibah (pemberian) yang berserta syarat tertentu. Syarat yang dimaksudkan ialah jika penerima hibah meninggal sebelum kematian pemberi hibah maka hibah tersebut akan kembali kepada pemberi hibah yang masih hidup.

 

PANDANGAN FUQAHA

Para Fuqaha berbeza pendapat pada keharusan hibah al-Ruqba. Fuqaha bermazhab Syafie, Hanbali dan Abu Yusof[5] telah mengharuskan hibah al-Ruqba dengan membatalkan syarat yang bersamanya.[6]

(a) Imam Al-Nawawi melaporkan:

 وَأَمَّا الرُّقْبَى: فَهُوَ أَنْ يَقُولَ: وَهَبْتُ لَكَ هَذِهِ الدَّارَ عُمْرَكَ، عَلَى أَنَّكَ إِنْ مُتَّ قَبْلِي عَادَتْ إِلَيَّ. وَإِنْ مُتُّ قَبْلَكَ اسْتَقَرَّتْ لَكَ، أَوْ جَعَلْتُ هَذِهِ الدَّارَ لَكَ رُقْبَى، أَوْ أَرْقَبْتُهَا لَكَ. وَحُكْمُهَا حُكْمُ الْحَالِ الثَّالِثِ مِنَ الْعُمْرَى، وَحَاصِلُهُ طَرِيقَانِ. أَحَدُهُمَا: الْقَطْعُ بِالْبُطْلَانِ. وَأَصَحُّهُمَا: قَوْلَانِ. الْجَدِيدُ الْأَظْهَرُ: صِحَّتُهُ، وَيَلْغُو الشَّرْطُ.[7]

Maksudnya: Adapun al-Ruqba, seseorang berkata: Saya memberikan anda rumah ini untuk hidup anda, dengan syarat bahawa jika anda mati sebelum saya, ia akan kembali kepada saya. Dan jika saya mati sebelum anda, ia akan kekal milik anda, atau saya akan menjadikan rumah ini untuk anda secara Ruqba, atau saya akan menjadikannya Ruqba untuk anda. Dan hukumnya adalah seperti hukum keadaan ketiga bagi (hibah) Umraa.  Dalam perkara ini terdapat dua hikayat. Salah satunya mengatakan (hibah tersebut) batal. Dan yang paling rajih di antara dua hikayat tersebut ada dua pandangan. Qaul Al-Jadid iaitu pandangan yang rajih iaitu sahnya hibah tersebut dan dibatalkan syaratnya.

(b) Khatib Al-Syarbini menyebut di dalam Mughni:

(وَلَوْ قَالَ: أَرْقَبْتُك) هَذِهِ الدَّارَ مَثَلًا (أَوْ جَعَلْتُهَا لَك رُقْبَى) وَفَسَّرَ الْمُصَنِّفُ مُدَّةَ طُولِ ذَلِكَ بِقَوْلِهِ (أَيْ إنْ مِتَّ قَبْلِي عَادَتْ إلَيَّ، وَإِنْ مِتُّ قَبْلَك اسْتَقَرَّتْ لَك فَالْمَذْهَبُ طَرْدُ الْقَوْلَيْنِ الْجَدِيدِ) وَهُوَ الصِّحَّةُ وَيَلْغُو الشَّرْطُ (وَالْقَدِيمِ) وَهُوَ عَدَمُ الصِّحَّةِ[8]

Maksudnya; (Dan jika dia berkata: Saya akan mengRuqbakan kepada kamu) tempat tinggal ini, sebagai contoh, (atau saya jadikan ia untuk kamu secara Ruqba). Penyusun menjelaskan secara panjangnya perkara ini dengan berkata (iaitu, jika kamu mati sebelum saya, ia akan kembali kepada saya, dan jika saya mati sebelum kamu, ia akan kekal milik kamu. Berdasarkan al-Mazhab (hikayat yang terpilih) ada dua pendapat iaitu (pertama) Qaul al-Jadid iaitu sahnya (hibah), dan membatalkan syarat (dan yang kedua) al-Qaul al-Qadim mengatakan hibah itu tidak sah.

(c) Ibnu Qudamah menyebut:

نَصَّ عَلَيْهِ أَحْمَدُ، فِي رِوَايَةِ أَبِي طَالِبٍ؛ لِلْأَحَادِيثِ الْمُطْلَقَةِ الَّتِي ذَكَرْنَاهَا، وَقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: «لَا رُقْبَى، فَمَنْ أُرْقِبَ شَيْئًا، فَهُوَ لَهُ فِي حَيَاتِهِ وَمَوْتِهِ». وَقَالَ مُجَاهِدٌ: الرُّقْبَى أَنْ يَقُولَ هِيَ لِلْآخِرِ مِنِّي وَمِنْك مَوْتًا. وَرَوَى الْإِمَامُ أَحْمَدُ، بِإِسْنَادِهِ، عَنْ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، أَنَّهُ قَالَ: «لَا عُمْرَى، وَلَا رُقْبَى، فَمَنْ أُعْمِرَ شَيْئًا، أَوْ أُرْقِبَهُ، فَهُوَ لَهُ حَيَاتَهُ وَمَوْتَهُ»وَهَذَا صَرِيحٌ فِي إبْطَالِ الشَّرْطِ؛ لِأَنَّ الرُّقْبَى يُشْتَرَطُ فِيهَا عَوْدُهَا إلَى الْمُرْقِبِ إنْ مَاتَ الْآخَرُ قَبْلَهُ.[9]

Maksudnya: Ia telah dinyatakan oleh Ahmad, dalam riwayat Abi Talib; Untuk hadis-hadis mutlak yang telah kami sebutkan, dan sabda Rasulullah G: "Tidak ada pemberian secara Ruqba. Sesiapa yang dikurniakan dengan Ruqba, maka ia adalah miliknya, sama ada dia hidup atau mati.” Mujahid berkata: Seseorang berkata Al-Ruqba adalah untuk aku atau kamu dengan kematian (siapa terlebih dahulu)." Dan Imam Ahmad meriwayatkan, dengan sanadnya, dari Nabi G bahawa baginda bersabda: “Tidak ada Umraa dan Ruqba. Siapa yang diberi sesuatu dengan cara Umraa dan Ruqba maka harta itu menjadi miliknya, baik ketika masih hidup ataupun setelah dia mati.” Ini adalah jelas dalam membatalkan syarat tersebut kerana Ruqba diletakkan syarat padanya bahawa (hibah) itu perlu dipulangkan kepada pemberi Ruqba jika penerima meninggal dahulu sebelum dia (pemberi hibah).

 

Golongan yang mengharuskan hibah Ruqba ini berhujah dengan dalil daripada beberapa hadis, antaranya;

a) Zaid Bin Thabit I meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرقبى جائزة

Maksudnya: Ruqbaa adalah harus

 (Sunan al-Nasa’i: 3706)

b) Zaid Bin Thabit I meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَعْمَرَ شَيْئًا فَهُوَ لِمُعْمَرِهِ مَحْيَاهُ وَمَمَاتَهُ وَلاَ تَرْقُبُوا فَمَنْ أَرْقَبَ شَيْئًا فَهُوَ لِسَبِيلِهِ‏"‏

Maksudnya: Sesiapa yang memberi Umraa, maka ia adalah milik orang yang diberinya, baik semasa hidup dan selepas kematiannya. Dan janganlah kamu memberikan sesuatu atas dasar Ruqba, kerana sesiapa yang diberi sesuatu atas dasar Ruqba, maka ia adalah sebahagian daripada hartanya.

(Sunan an-Nasa’i: 3723)

 

c) Hanzalah I meriwayatkan bahawa beliau mendengar Tawus berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَحِلُّ الرُّقْبَى فَمَنْ أُرْقِبَ رُقْبَى فَهُوَ سَبِيلُ الْمِيرَاثِ

Maksudnya: Tidak dibenarkan Ruqba, dan barang siapa yang memberikan pemberian atas dasar Ruqba, maka itu adalah sebahagian dari harta (penerima) yang boleh diwarisi.

Sunan an-Nasa'i : 3714

 

d) Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

الْعُمْرَى جَائِزَةٌ لأَهْلِهَا وَالرُّقْبَى جَائِزَةٌ لأَهْلِهَا ‏

Maksudnya: “Umra dibenarkan untuk pemiliknya, begitu juga Ruqba dibenarkan untuk pemiliknya”

(Sunan Abi Dawud: 3558)

 

Menurut pandangan fuqaha mazhab Maliki dan Hanafi, hibah Ruqba merupakan akad yang tidak sah dan terbatal.[10]

(a) Imam Haskafi Al-Hanafi menyebut[11]:

لا تجوز الرقبى لأنها تعليق بالخطر

Maksudnya: “Tidak dibolehkan Ruqba kerana adanya syarat yang berisiko”

 

(b) Ibnul Qasim ketika ditanya mengenai Ruqba, beliau menjawab[12]:

سَأَلَهُ بَعْضُ أَصْحَابِنَا وَلَمْ أَسْمَعْهُ أَنَا مِنْهُ عَنْ الرُّقْبَى فَقَالَ: لَا أَعْرِفُهَا.فَفَسَّرْتُ لَهُ فَقَالَ: لَا خَيْرَ فِيهَا …. قَالُوا لَهُ: الرَّجُلَانِ تَكُونُ بَيْنَهُمَا الدَّارُ فَيَحْبِسَانِهَا عَلَى أَيِّهِمَا مَاتَ فَنَصِيبُهُ لِلْحَيِّ حَبْسًا عَلَيْهِ قَالَ: فَقَالَ لَهُمْ مَالِكٌ: لَا خَيْرَ فِيهِ.

Maksudnya; “Beberapa orang ulama bertanyakan kepada Imam Malik mengenai al-Ruqba. Jawab Imam Malik: Aku tidak tahu mengenainya, lalu mereka menerangkan kepada beliau mengenai Ruqba. Balas Imam Malik: Tidak ada kebaikan padanya (Ruqba)… Mereka berkata kepada Imam Malik: Dua orang lelaki yang memiliki sebuah rumah dan mereka menahan rumah tersebut sehingga di antara mereka yang mati, dan bahagian si mati itu diberikan kepada yang hidup tadi. Berkata Imam Malik: Tidak ada kebaikan padanya (al-Ruqba).

 

Golongan yang menghukum akad Ruqba ini batal berhujah dengan dalil berikut:

Dalil daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لاَ تُرْقِبُوا وَلاَ تُعْمِرُوا فَمَنْ أُرْقِبَ أَوْ أُعْمِرَ شَيْئًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ

Maksudnya: "Janganlah kamu memberikan sesuatu atas dasar Ruqba atau 'Umra. Sesiapa yang diberi sesuatu atas dasar Ruqba atau 'Umra, maka ia adalah untuk ahli warisnya."

(Sunan an-Nasa'i: 3731)

 

Hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Thabit, bahawa Nabi SAW telah bersabda;

مَن أعمَرَ عُمْرى، فهي لمُعْمَرِه مَحْياهُ ومَماتَه، لا تُرْقِبوا، فمَن أَرقَبَ شيئًا، فهو سَبيلُ الميراثِ"

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi sesuatu secara Umra, maka ia merupakan milik orang yang diberi, semasa hidup dan selepas kematiannya; dan janganlah kamu memberikan harta kepada orang secara Ruqba, kerana jika seseorang memberikan sesuatu kepada orang secara Ruqba, itu adalah kepunyaannya.

(Sunan Abi Daud: 3559)

 

Taklik pada akad dengan sesuatu yang bahaya seperti yang disebut oleh Imam Haskafi Al-Hanafi di dalam syarahnya:

لا تجوز الرقبى لأنها تعليق بالخطر

Maksudnya: “Tidak dibolehkan Ruqba kerana adanya syarat yang berisiko”

 

 

PANDANGAN LAIN

1) Jawatankuasa Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura:

Jawatankuasa ini telah membincangkan berkaitan Joint Tenancy pada mesyuarat fatwa ke-12 pada 24 Julai 2018, ke-13 pada 25 Oktober 2018, ke-14 pada 27 November 2018 dan ke-15 pada 19 Februari 2019. Jawatankuasa ini berpendapat bahawa para pemilik bersama semasa hidupnya mempunyai pilihan untuk memilih kontrak pemilikan bersama (Joint Tenancy) atau kontrak tenancy-in-common. Kedua-dua bentuk pemilikan bersama ini mempunyai maslahatnya tersendiri. Dengan memilih salah satu bentuk pemilikan bersama di atas bererti para pemilik semasa hidupnya telah bersetuju untuk memenuhi syarat yang ditetapkan serta tujuan yang ingin dipelihara oleh setiap daripada akad tersebut.[13]

 

2) Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat ke-44 pada 15 Januari 2003, memutuskan untuk menerima pakai prinsip hibah Ruqba sebagai asas Syariah dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama Tabung Unit Amanah terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.[14]

 

3) Keputusan Kes Salmah Omar & Ors Lawan Ahmad Rosli Aziz (Pentadbir Harta Pusaka Osman Mohamed, Si Mati) & Anor

Keputusan Hakim dalam perbicaraan kes tersebut yang berlangsung pada 15 Ogos 2011 menyatakan bahawa konsep ‘Right Of Survivorship’ tidak menepati hukum syarak dan telah memutuskan seperti berikut;

Memandangkan Omar telah menandatangani surat pindah hak, saya mengambil kira bahawa Omar telah mewasiatkan 1/3 daripada hartanya kepada Osman. Oleh sebab itu, saya memerintahkan supaya 2/3 daripada bahagiannya dalam tanah tersebut dikembalikan semula kepada waris Omar merujuk kepada Faraid.

 

KESIMPULAN

  1. Berdasarkan huraian di atas, konsep ‘Right Of Survivorship’ ini seakan bersamaan dengan konsep hibah secara Ruqba.
  2. Pandangan Fuqaha’ yang telah dinyatakan di atas membuktikan bahawa hukum hibah secara Ruqba yang dibincangkan oleh para fuqaha ini hanya terhad kepada dua pendapat:-
  3. a) Hukum hibah tersebut sah dan syaratnya terbatal.
  4. b) Hukum hibah tersebut terbatal sama sekali.
  5. Pandangan terkini yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Singapura telah melalui beberapa fasa pembatalan fatwa mengenai isu Joint Tenancy Akhirnya pada tahun 2019, setelah terdapat banyak aduan mengenai kesulitan yang dihadapi penduduk Muslim tempatan maka fatwa terkini dikeluarkan demi mengangkat kesulitan masyarakat Islam di Singapura.
  6. Manakala keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti terhadap keharusan Hibah Ruqba tidak bertepatan dengan pandangan majoriti fuqaha.

 

 

IRSYAD FATWA NEGERI PULAU PINANG

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 1/2023 pada 15 & 16 Februari 2023 telah memutuskan seperti berikut;

  1. Harus untuk mengamalkan jual beli hartanah atau harta secara pemilikan bersama (Joint Tenant).
  2. Konsep ‘Right Of Survivorship’ yang terikat dengan akad pemilikan bersama (Joint Tenant) ini ialah konsep yang menyebabkan; jika salah seorang pemilik meninggal dunia maka pemilik yang satu lagi akan menjadi pemilik tunggal terhadap hartanah atau harta tersebut adalah lagha dan tidak menepati syarak.
  3. Harta yang berstatus (Joint Tenant) ini tertakluk kepada hukum pusaka mengikut bahagian masing-masing.
  4. Bahagian hartanah pemilik yang meninggal dunia tidak boleh dimiliki oleh rakan pemilikan bersamanya.

 

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu'aklam

________________________

[1] Rujuk Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah terbitan Kementerian Wakaf dan Agama Negara Kuwait, cetakan ke-4, 2008, jld 23, hlmn. 5,

[2] Al-Muktamad Fi Al-Fiqh Al-Syafie oleh Dr Muhammad Zuhaili, Cetakan Ke-2 Darul Qalam Dimasyq 2010, jld. 3, hlmn. 189

[3] Rujuk Matla’ Al-Badrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Cetakan Ke-2, 2003, jld.2, hlmn. 4.

[4] Rujuk Fiqh Al-Manhaji terbitan Darul Qalam Dimasyq, cetakan ke-3, 1998, jld 3, hlmn. 109

[5] Pendapat beliau dinyatakan oleh Ibnu Abidin di dalam Hasyiah Raddul Mukhtar terbitan Darul Fikr, Cetakan ke-2 tahun 1966, jld. 5, hlmn. 707.

[6] Rujuk Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah, jld. 23, hlmn 6.

[7] Raudah Al-Tolibin oleh Imam Nawawi, terbitan Darul Kutub Al-Ilmiah Beirut, cetakan pertama tahun 1992 jld. 4, hlmn. 433.

[8] Rujuk Mughni Al-Muhtaj oleh Al-Khatib Al-Syarbini, terbitan Darul Fikr jld. 2, hlmn. 399.

[9] Rujuk Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, terbitan Darul Hadis Al-Kaherah, cetakan tahun 2004, jld. 7, hlmn. 620.

[10] Rujuk Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah, jld. 23, hlmn 6.

[11] Rujuk Al-Durr Al-Mukhtar oleh Imam Haskafi, terbitan Darul Ulum Ilmiah, Beirut, cetakan pertama tahun 2002, hlmn. 566.

[12] Rujuk Al-Mudawwanah Al-Kubro oleh Imam Malik, terbitan Syarikat Al-Quds, cetakan tahun 2004, jld. 4, hlmn. 526.

[13] Hujah bagi keputusan ini disertakan di bahagian lampiran: Fatwa Singapura.

[14] Hujah bagi keputusan ini disertakan di bahagian lampiran: Isu Pasaran Modal Menurut Perundangan Islam.