Assalamualaiku, Saya ada masuk kls fiqh solat daruttilaawah.. Ustaz dlm tu ada ajar tentang aurat bagi perempuan ketika solat dlm topik syarat sah solat.. Ustaz cakap macam ni.. Aurat wanita dlm solat wajib tutup semua kecuali muka dan tapak tangan.. Itu saya tahu..dan ustaz ada ckp jgk mesti menutup aurat pada semua arah kecuali bawah tapak kaki bgi wanita n bawah lutut bgi lelaki.. Ustaz ckp Kalo pakai Satu bahagian pakaian saja mcm sarung terus pakaian mcm telekung jubah tu just ada lubang dkt muka Dan tapak tngn jaaa x paa solat tu sah.. Tp Kalo pakai telekung dua bahagian mcm telekung biasa yg dngn kain tu, tidak sah solat Kalau pakaian dalam telekung kita pakai tu contoh mcm baju lengan pendek dan x tutup leher sbb terbukak bahagian aurat.. Kena tight in telekung tu dlm kain baru sah.. Lps tu kena pakai handsock dan tutup leher jgk walaupon pakai telekung.. Handsock tu kena pakai dekat luar lengan baju tu..Kalau solat tak pakai telekung just pakai tdung baju kurung pulak ustaz kata kena tight in tudung dekat dlm baju.. Apa yang saya musykil sekarang ini adalah berkaitan tidak sah solat memakai telekung biasa dengan kain seperti kebiasaan semua wanita di Malaysia pakai. Adakah perkara tersebut sehingga menjadikan solat kita tidak sah sedangkan telekung tersebut juga dapat menutup aurat wanita dengan sempurna. Saya baru first time dengar benda ni..mohon penjelasan tentang perkara ini.
Wa’alaikumussalam
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SA. Segala puji bagi Allah Penguasa Semesta Alam. Wahai Tuhan kami bagiMu segala puji, dan bagiMu segala syukur, sebagaimana layak bagi keluhuran zatMu dan keagungan dan kekuasaanMu.
Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: ” بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ”.
رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Islam itu didirikan atas lima (perkara): Menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis, boleh difahami bahawa rukun Islam ini terdiri daripada lima perkara, yang menjadi tiang atau tonggak kepada seluruh umat Islam. Solat merupakan rukun Islam yang kedua, dan merupakan ibadah pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Dari segi bahasa, solat ditakrifkan sebagai doa. Manakala pada hukum syarak, solat itu merupakan perbuatan dan perkataan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam.
Kesempurnaan solat itu bergantung kepada lengkapnya syarat serta rukun-rukun solat seperti yang telah ditetapkan oleh syarak. Terdapat beberapa syarat untuk menentukan sahnya solat tersebut dan diantaranya ialah menutup aurat.
Aurat dari pada definisi syarak bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. Batasan aurat bagi lelaki ketika bersolat ialah bahagian badan antara pusat hingga lutut. Adapun aurat wanita ketika bersolat dan di luar solat ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Oleh itu, wajib bagi kaum wanita untuk menutup auratnya dan tidak boleh menampakkannya sedikit pun ketika bersolat selain anggota yang dikecualikan tersebut.
Di sebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah bahawa menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin dan solat secara sendirian pada satu pendapat yang sahih.
Adapun aurat wanita di dalam solat, para ulama’ mazhab Syafi’e menyebutkan ianya adalah keseluruhan jasad wanita itu sendiri kecuali muka dan kedua tapak tangan zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan. (Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 3/166). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
Maksudnya: dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya
(Surah Al-Nur: 31)
Telah berkata Ibn Abbas R.Anhuma dan ‘Aisyah R.Anha bahawa yang dimaksudkan dengan إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ adalah muka dan juga kedua tapak tangan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (Ibn Kathir). Dar al-Tayyibah, 6/45.)
Ianya juga adalah aurat bagi wanita di luar solat ketika berhadapan dengan lelaki-lelaki ajanib baik yang muslim ataupun non-muslim iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”
Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang wanita itu apabila telah baligh maka wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, pemakaian seorang wanita ketika solat perlulah seiring dengan takrif penutupan aurat dengan betul iaitu tidak boleh dilihat auratnya dari arah keliling dan dari arah atas. Jika ternampak sedikit bahagian badan yang termasuk dalam kategori aurat dari mana-mana arah kelilingnya atau dari arah atasnya, maka solat tersebut tidak sah kerana tidak mencukupi syarat sah solat.
Hal ini telah dihuraikan oleh Sheikh Abu Bakrbin Syatha dalam Kitab I’anah At-Tolibin:
ويجب الستر من الأعلى والجوانب لا من الأسفل
Maksudnya: “Dan wajib menutup aurat dari pihak atas dan pihak keliling. Tidak dari pihak bawah.” (Lihat I’anah At-Tolibin, Juz.1, hlm. 134)
Al-Habib Abdurrahman bin Muhammad Ba’alawi al-Masyhur dalam Bughyah al-Mustarsyidin telah menghuraikan bahawa:
إلى أن قال وفى الجمل وقولهم: ولا يجب الستر من أسفل أي ولو لامرأة فلو رؤيت من ذيله في نحو قيام أو سجود لا لتقلص ثوبه بل لجمع ذيله على عقبيه لم يضر
Maksudnya: “Dalam kitab Al-Jamal disebutkan, ucapan ulama, tidak wajib menutup aurat dari arah bawah, maksudnya, meskipun bagi perempuan. Maka, bila aurat terlihat dari kaki bajunya ketika rukuk atau sujud, bukan kerana menyusutnya pakaian, akan tetapi kerana menempel dengan kedua tumitnya, maka tidak bermasalah”. (Lihat Bughyatul Mustarsyidin Juz. 1, Hlm. 105)
Kesimpulannya, sekiranya seorang wanita solat sama ada dengan memakai telekung atau pakaian seperti telekung jubah, atau apa jua pakaian, selagi mana diyakini auratnya terjaga, dan telekung atau pakaian tersebut terpelihara dari sebab-sebab yang boleh menampakkan aurat misalnya nipis, jarang dan terkoyak maka sah solatnya kerana menepati syarat sah solat iaitu menutup aurat.
Wallahu ‘alam.
