Assalamualaikum wbt.
Kalau benang telekung (seurat sahaja) termasuk ke dalam mulut ketika solat, lalu kita keluarkan benang tersebut dengan segera dan telah menelan air liur tadi, adakah batal solat kita? Perlu buang tak air liur tersebut atau boleh sahaja menelannya kerana tiada rasa?
Terima kasih.
Wa'alaikumussalam..
Jawapan Ikhtisar
Solat tidak batal sekiranya ada benang yang masuk ke dalam mulut selagi mana seseorang itu tidak menelan benang itu dengan sengaja. Dan perbuatan menelan air liur setelah itu tidak membatalkan solat.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkara Membatalkan Solat
Kesahihan solat bergantung pada kepatuhan seseorang dalam memenuhi rukun dan syarat solat serta menghindari perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Para fuqaha telah membahaskan dengan terperinci mengenai perbuatan yang boleh menyebabkan solat terbatal, sama ada dari aspek percakapan atau perbuatan. Antara perbuatan yang boleh membatalkan solat ialah makan dan minum, Dr. Muhammad Zuhaili dalam kitabnya menyatakan:
الأكل أو الشرب مانع للصلاة، فإذا أكل المصلي عامداً بطلت صلاته، سواء كان الأكل أو الشرب قليلاً أو كثيراً.
Maksudnya: Makan dan minum merupakan perkara yang ditegah dalam solat. Jika seseorang yang sedang solat makan dengan sengaja, maka solatnya batal, sama ada jumlah makanan atau minuman itu sedikit atau banyak. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, jld. 1, hlmn. 230]
Imam al-Nawawi juga menyatakan perkara ini di dalam kitabnya:
قَالَ أَصْحَابُنَا إذَا أَكَلَ فِي صَلَاتِهِ أَوْ شَرِبَ عَمْدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ سَوَاءٌ قَلَّ أَوْ كَثُرَ
Maksudnya: Pandangan Ashab al-Syafi’e menyatakan bahawa apabila makan dan minum dilakukan dengan sengaja ketika solat, maka solatnya batal, sama ada dalam jumlah yang sedikit atau banyak. [Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab jld. 4, hlmn. 89]
Namun, solat seseorang tidak batal sekiranya dia menelan sesuatu secara tidak sengaja, selagi mana jumlah yang ditelannya itu sedikit. Adapun sekiranya seseorang menelan sesuatu dengan kadar yang banyak maka ia boleh membatalkan solatnya walaupun berlaku secara tidak sengaja. Kitab al-Fiqh al-Manhaji telah menjelaskan perkara ini seperti berikut:
وحد المبطل من ذلك للمتعمد؛ أيُّ قَدْرٍ من الطعام أو الشراب مهما كان قليلا . أما بالنسبة لغير المتعمد، فيشترط أن يكون كثيراً في العرف. وقد قدر الفقهاء الكثير بما يبلغ مجموعه قدر حمصة، فلو كان بين أسنانه بقايا من طعام لا يبلغ هذا القدر فبلعها مع الريق دون قصد لم تبطل
Maksudnya: Kadar memakan yang membatalkan solat bagi orang yang sengaja adalah apa sahaja kuantiti makanan atau minuman walaupun sedikit. Adapun bagi orang yang tidak sengaja, syaratnya ialah jumlah tersebut perlu dianggap banyak menurut kebiasaan umum. Para fuqaha’ menetapkan bahawa jumlah yang dianggap banyak adalah apabila keseluruhannya mencapai kadar sebesar biji kacang kuda. Jika terdapat sisa makanan di antara gigi yang tidak mencapai kadar ini, lalu tertelan bersama air liur tanpa sengaja, maka solatnya tidak batal. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji jld. 1, hlm. 169]
Oleh yang demikian, solat seseorang yang benang telekung (seurat benang) termasuk ke dalam mulutnya dihukumkan tidak batal, selagi mana dia tidak menelannya dengan sengaja. Namun sekiranya benang itu masuk ke dalam mulut dan kemudiannya dia menelannya dengan sengaja maka batal solatnya.
Menelan Air Liur Ketika Solat
Antara perkara yang boleh membatalkan solat adalah kesemua perkara yang membatalkan puasa seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan makan atau minum. Imam al-Nawawi menyatakan perkara ini di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:
وَالضَّابِطُ عَلَى هَذَا أَنَّ مَا أَبْطَلَ الصَّوْمَ أَبْطَلَ الصَّلَاةَ
Maksudnya: Kaedah yang digunakan dalam hal ini ialah apa yang membatalkan puasa juga membatalkan solat. [Rujuk al-Majmu’ Syarah al–Muhazzab jld. 4, hlmn. 89]
Meskipun begitu tidak mengapa jika seseorang menelan air liurnya ketika dia sedang menunaikan solat. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Dr. Muhammad Zuhaili ketika menjelaskan hukum menelan air liur ketika sedang solat berdasarkan kaedah di atas:
وكذا لا تبطل الصلاة ببلع الريق مهما كثر، لأنه لا يفسد الصوم، فلا تبطل به الصلاة، وكذا إذا لم يتمكن من إمساك النخامة، أو طارت الذبابة إلى حلقه، فلا تبطل.
Maksudnya: Begitu juga, solat tidak batal dengan menelan air liur, walaupun dalam jumlah yang banyak, kerana ia tidak membatalkan puasa, maka ia juga tidak membatalkan solat. Demikian juga, jika seseorang tidak mampu menahan kahak atau seekor lalat terbang masuk ke dalam kerongkongnya, solatnya tetap tidak batal. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie jld 1, hlmn. 230]
Namun sekiranya air liur bercampur dengan sesuatu yang telah merubah warna dan rasa maka menelannya akan membatalkan solat: Ini sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Fath al-Mu’in Syarh Qurah al-’Ain:
فلو ابتلع نخامة نَزَلَتْ من رأسِهِ لِحَدِّ الظاهِرِ من فَمِهِ، أو رِيقاً مُتَنَجِّساً بنحو دَمِ لِئَتِهِ وإن ابْيَضَ، أو مُتَغبراً بِحْمْرَةِ نحو تِثْبَلِ بَطَلَتْ.
Maksudnya: Jika seseorang menelan kahak yang turun dari kepalanya hingga ke bahagian zahir mulutnya, atau menelan air liur yang terkena najis seperti darah gusinya, walaupun darah itu sudah berubah menjadi putih, atau air liur yang bercampur dengan kemerahan seperti tembakau, maka solatnya batal. [Rujuk Fath al-Mu’in Syarh Qurah al-’Ain hlmn. 147]
Begitu juga sekiranya ada di dalam mulutnya sesuatu yang boleh larut seperti gula atau sebagainya kemudian dia menelannya maka para fuqaha menyatakan bahawa perbuatan menelan air liur yang bercampur dengan gula itu membatalkan solat. Ini seperti mana yang disebut di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie:
ولو كان بفمه سكرة، فذابت فبلع ذوْبَها بمصٍّ ونحوه بطلت صلاته في الأصح لمنافاة ذلك للصلاة،
Maksudnya: Jika gula berada di dalam mulutnya, lalu ia mencair dan dia menelan cairannya dengan cara menghisap atau seumpamanya, maka solatnya batal menurut pendapat yang lebih sahih kerana perbuatan itu bertentangan dengan solat. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie jld. 1, hlmn. 230]
Dr. Zuhaili menyambung lagi kenyataan ini di dalam kitabnya berkenaan sekiranya perkara yang dimasukkan di dalam mulutnya itu bukan daripada perkara yang boleh larut maka ia tidak membatalkan solat;
وإن وضع في فمه درهماً أو شيئاً آخر مما لا يذوب، ولا يتفتت، ولم يمنع القراءة فلا تبطل الصلاة
Maksudnya: Namun, jika seseorang meletakkan dirham (syiling perak) atau sesuatu yang lain di dalam mulutnya yang tidak mencair dan tidak hancur, serta tidak menghalang bacaan dalam solat, maka solatnya tidak batal. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie jld. 1, hlmn. 230]
Maka merujuk kepada soalan yang diajukan, benang bukanlah satu benda yang bersifat mencair atau larut bersama dengan air liur yang mengubah rasa atau warna air liur. Maka solat tidak batal sekiranya orang yang solat itu menelan air liur yang terkena benang yang ada di dalam mulutnya.
Kesimpulan
Bagi menjawab soalan yang diajukan kami rumuskan seperti berikut;
- Solat tidak batal sekiranya ada benang yang masuk ke dalam mulutnya selagi mana seseorang itu tidak menelan benang itu dengan sengaja.
- Perbuatan menelan air liur setelah itu tidak membatalkan solat.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu a’lam