Assalamualaikum Tuan / Puan,
Sekiranya seorang anak yang masih belum menunaikan haji. Tapi mempunyai kemampuan kewangan.
Bolehkah dia, mendahulukan ibu dan bapanya, yang tidak berkemampuan, untuk menunaikan haji terlebih dahulu?
Terima Kasih
Assalamualaikum Tuan / Puan,
Sekiranya seorang anak yang masih belum menunaikan haji. Tapi mempunyai kemampuan kewangan.
Bolehkah dia, mendahulukan ibu dan bapanya, yang tidak berkemampuan, untuk menunaikan haji terlebih dahulu?
Terima Kasih
Wa’alaikumussalam,
Jawapan Ikhtisar
Ibu bapa yang tidak berkemampuan dari segi kewangan tidak diwajibkan menunaikan haji, begitu juga anak tidak mempunyai kewajipan untuk menanggung kos perjalanan ibadah tersebut bagi mereka. Namun, jika seorang anak dengan penuh ihsan dan keikhlasan membantu ibu bapanya dari segi kewangan untuk menunaikan haji, maka mereka dianggap telah memiliki kemampuan kewangan. Sekiranya mereka juga memenuhi syarat lain seperti kesihatan yang baik dan keperluan perjalanan yang mencukupi, maka ibadah haji menjadi wajib bagi mereka berdua.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Syarat Wajib Haji
Haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi setiap Muslim. Namun kefarduan haji ini hanya wajib kepada golongan mampu serta memenuhi syarat-syarat wajib haji. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya rumah ibadah yang pertama kali didirikan untuk manusia ialah (Baitullah) yang terletak di Bakkah (Makkah), yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam. (96) Di dalamnya terdapat tanda-tanda yang jelas (di antaranya) Maqam Ibrahim. Dan sesiapa yang memasukinya, maka dia akan berada dalam keamanan. Dan bagi Allah, kewajipan manusia ialah menunaikan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Dan sesiapa yang kufur (enggan menunaikannya), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu) daripada sekalian makhluk. (97)
[Surah Ali-Imran 96-97]
Hadis daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.
[Riwayat al-Tirmizi 813]
Yang dimaksudkan dengan bekalan dan kenderaan dalam hadis di atas merujuk kepada kemampuan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat al-Quran. Oleh itu, seseorang yang tidak mampu maka tidak diwajibkan menunaikan haji kerana telah gugur salah satu syarat daripada syarat-syarat wajib haji. Para fuqaha telah merinci ciri-ciri yang menentukan seseorang itu dikira mampu bagi menunaikan ibadah haji. Jika ciri-ciri tersebut dipenuhi, maka ibadah haji itu wajib ke atasnya.
Fuqaha membahagikan kemampuan bagi mengerjakan haji kepada dua sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji karangan Dr. Wahbah Zuhaili:
Bagi orang yang berkemampuan secara langsung maka disebutkan pula ciri-cirinya seperti berikut:
[Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie jld. 2, hlmn. 274]
Maka jika seseorang itu sudah berkemampuan dan mempunyai syarat-syarat wajib haji yang lain, maka diwajibkan ke atasnya untuk menunaikan haji. Namun kewajipan menunaikan haji ini bukanlah bersifat segera bahkan ia boleh ditangguhkan.
Pelaksanaan Haji Segera atau Bertangguh
Hukum pelaksanaan ibadah haji adalah bersifat tarakhi (boleh ditangguhkan) dan bukan secara fawr (secara serta-merta). Hal ini seperti mana yang disebutkan dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah karangan Syeikh Hasan Bin Ahmad al-Kaff:
Maksudnya: Dalam mazhab Imam al-Syafie, kewajipan menunaikan haji adalah secara tarakhi (boleh ditangguhkan) dan bukan secara fawr (serta-merta), iaitu seseorang tidak berdosa jika menangguhkan haji walaupun telah berkemampuan. [Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah hlmn. 481]
Namun ada beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh menangguhkan kewajipan hajinya iaitu;
Oleh itu, meskipun seorang anak mempunyai kemampuan kewangan untuk menunaikan haji, kewajipan tersebut tidaklah bersifat serta-merta. Malah, menurut mazhab Imam al-Syafie, ia boleh ditangguhkan ke masa yang lebih sesuai. Namun, memandangkan ibu bapa biasanya lebih berusia dan peluang mereka untuk menunaikan haji mungkin semakin terhad, maka adalah sesuatu yang diharuskan dan amat digalakkan bagi seorang anak untuk mendahulukan mereka dalam menunaikan ibadah yang mulia ini.
Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa
Ibadah haji adalah kewajipan bagi setiap Muslim yang memenuhi syarat, namun tidak semua berpeluang menunaikannya kerana kekangan kewangan atau halangan tertentu. Dalam keadaan ini, seorang anak yang berusaha membantu ibu bapanya menunaikan haji dengan menampung kos perjalanan bukan sahaja meringankan beban mereka, malah turut melaksanakan satu amalan yang amat mulia di sisi Allah SWT, sebagai tanda bakti dan kasih sayang terhadap kedua-dua insan yang berjasa dalam hidupnya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
[Surah al-Isra’: 23]
Selain itu, Islam juga menganjurkan umatnya untuk saling membantu dalam perkara kebajikan Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan.
[Surah al-Maidah: 2]
Membantu ibu bapa menunaikan haji adalah salah satu amalan kebajikan dan tanda ketakwaan yang amat dianjurkan dalam Islam. Walaupun kewajipan haji bagi seorang anak tidak bersifat serta-merta dan boleh ditangguhkan, peluang bagi ibu bapa yang telah lanjut usia mungkin semakin terhad. Oleh itu, meskipun tidak diwajibkan, menyokong mereka dalam menunaikan haji adalah satu tindakan yang sangat mulia dan bererti, sebagai tanda kasih sayang serta penghormatan terhadap pengorbanan mereka sepanjang hayat.
Kesimpulan
Ibu bapa yang tidak berkemampuan tidak diwajibkan menunaikan haji, dan anak juga tidak mempunyai kewajipan untuk menanggung kos haji ibu bapanya. Namun, jika seorang anak dengan rela hati ingin menaja ibu bapanya untuk menunaikan haji, ini bermakna kedua-dua ibu bapa tersebut telah memenuhi keperluan kewangan bagi ibadah tersebut. Malah, jika semua syarat lain seperti kesihatan dan keperluan perjalanan turut mencukupi, maka kewajipan haji tertaklif ke atas mereka.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu a'lam.