Persoalan : BERMAIN VIDEO GAMES YANG ADA UNSUR PEMUJAAN (01056)

Assalamualaikum Tuan.

Saya ingin bertanya. Apa hukum main video game yang ada unsur seperti "sihir", "bad omen/pembawa sial", dan perkara yang haram di dunia nyata?

Tetapi pemain itu Muslim dan dia tidak mempercayai unsur2 tersebut. Dia hanya main video game itu sebagai hiburan.

Contohnya: Minecraft ada effect "bad omen" dan ada witch/ahlisihir yang campak potion.



Jawapan Ikhtisar

Wa’alaikumusalam wbt,

Hukum bermain permainan video yang para pemainnya mesti melakukan sesuatu ritual atau mempunyai unsur pemujaan atau melibatkan kepercayaan ajaran-ajaran yang menyalahi agama Islam, maka hukumnya adalah haram. Namun, sekiranya permainan tersebut bebas daripada sebarang unsur tersebut maka ia adalah harus.

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Hiburan dalam Islam

Hiburan dalam bahasa Arab adalah ‘al-Lahwu’ yang bermaksud semua perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidurnya. Hiburan boleh diterjemahkan dalam bentuk bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 8, hlm. 165]

Hukum hiburan secara asalnya adalah harus melainkan terdapat perkara yang membawa kepada haram atau melibatkan perkara haram. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hanzalah RA daripada Nabi SAW:

 يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏‏

Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.”

[Sahih Muslim 2750]

Menurut Imam al-Nawawi, kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Hal ini demikian kerana, ketika Hanzalah RA risau terhadap dirinya telah menjadi munafik kerana telah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. [Rujuk Syarah Sahih Muslim, jld. 17, hlm. 66]

Antara garis panduan berkenaan hukum berhibur:

  • Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia ini kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
  • Haram, sekiranya membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak.
  • Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.

[Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 8, hlm. 165-166]

 

Hukum Bermain Video Game Yang Mempunyai Unsur Sihir

Bermain video game adalah salah satu bentuk hiburan masa kini. Oleh itu, hukum asal bermain video game adalah harus. Namun begitu hukumnya boleh berubah kepada makruh atau haram mengikut garis panduan hukum berhibur yang telah dijelaskan.

Secara bahasa, sihir bermaksud satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya atau  perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus. [Rujuk Lisan al-’Arab, jld. 4 hlm. 384; Kamus Dewan Edisi Keempat]

Secara istilahnya memberi pengertian ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. [Rujuk al-Mughni, jld. 9 hlm. 34]

Para ulama menyatakan bahawa sihir merupakan perbuatan yang berdosa besar dan boleh membawa kepada kesyirikan. Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada terjerumus dengan sihir serta menyuruh mereka menjauhinya.

Namun, berdasarkan pemerhatian kami, sihir atau ‘magic’ dalam permainan video game adalah kesan khas yang berasaskan sumber tenaga alami seperti api atau air atau kilat sebagai kemahiran yang digunakan melalui butang permainan untuk mengalahkan musuh. Tujuan permainan tersebut juga adalah untuk menghiburkan para pemain.

Berbalik kepada persoalan, kami berpandangan sebegini:

1. Sekiranya permainan video game memerlukan pemain tersebut melakukan sebarang isyarat atau jampi atau ritual yang mempunyai unsur pemujaan atau melibatkan kepercayaan ajaran-ajaran yang menyalahi agama Islam yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah, maka hukumnya adalah haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada haram maka hukumnya juga haram.”

 

2. Sekiranya permainan video game tersebut mempunyai elemen ‘magic’ atau ‘bad omen’ sebagai kemahiran untuk tujuan bermain semata-mata maka kami berpandangan bahawa permainan tersebut adalah boleh dimainkan kerana ia bukan sihir secara hakikat. Hal ini demikian kerana, permainan ini dimainkan semata-mata atas tujuan hiburan. Oleh itu, hukum bermain permainan tersebut tidak boleh diletakkan dalam golongan yang membenarkan atau mempercayai sihir yang telah diharamkan berdasarkan hadis Nabi SAW melalui sabdanya:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَة

Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.”

[Sahih Muslim 2230]

Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa bermain video games yang mempunyai unsur ‘magic’ atau ‘bad omen’ yang tidak mempunyai sebarang ritual atau jampi atau isyarat yang berkaitan dengan keagamaan tertentu atau kefahaman yang menyeleweng daripada agama Islam adalah dibenarkan.

Wallahu a'lam