Persoalan : MASALAH WASWAS DALAM KEBERSIHAN (01031)

Mohon penjelasan boleh kah orang yang ada masalah was-was teruk terhadap perkara berkaitan najis menggunakan mazhab imam lain demi mendapatkan ketenangan diri dan mengelakkan was-was menjadi semakin teruk contohnya berkaitan najis tahi cicak dan najis manusia/haiwan. Saya menghadapi masalah setiap kali ke tandas dan was-was apabila melihat ada percikan air pada kasut/stokin/pakaian atau kadang-kadang lengan baju terkena dinding tandas dan sentiasa mencuci pakaian sehingga basah-basah dan sentiasa menukar pakaian. Di rumah mudah tetapi di pejabat agak sukar menghadapi masalah was-was. 

Adakah boleh saya yakin kan saja lengan baju terkena flush atau dinding tempat buang air besar atau kadang air menitik dari paip flush adalah suci atau bagaimanakah?



Jawapan Ikhtisar:

Keraguan atau waswas itu tidak akan pernah lekang daripada diri manusia yang lemah ini sehinggakan tidak ada yang akan terlepas daripada penyakit ini sama ada tidak terlalu kerap atau yang selalu berasa waswas pada setiap masa. Maka, setiap mukalaf seharusnya menghilangkan keraguan ini dengan membina keyakinannya melalui kaedah fiqh; “asal bagi segala sesuatu itu adalah suci dan bersih”. Tambahan juga, percikan air najis yang sedikit yang sukar dielakkan juga adalah salah satu najis yang dimaafkan oleh syarak, maka tidak perlu untuk menukar kepada mazhab yang lain bagi menenangkan diri. Penggunaan mazhab yang lain tidaklah menghilangkan keraguan sepenuhnya, bahkan juga masih lagi memberikan keraguan kepadanya. Oleh itu, wajib bagi setiap mukalaf membina keyakinan diri untuk menerima asal bagi segala sesuatu itu adalah suci dan bersih sehingga ia mendapati terdapat najis secara jelas dengan bau, rasa dan warna.

 

Jawapan Tafsil:

Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.


Keraguan dari perspektif syarak’

Waswas (الْوَسْوَسَةُ) dari segi istilah fiqh diketahui sebagai pertembungan makna dalam diri dengan secara langsung dengan sebab yang timbul daripada syaitan untuknya. [Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, jild. 6, hlmn. 188].

Sebagai contoh, seseorang itu sudah melakukan wuduk’, tetapi setelah keluar dari bilik wuduk’, merasakan waswas sama ada telah melakukan wuduk’ ataupun belum lagi melakukannya. Maka, ia pertembungan dua perkara di dalam hati secara sepintas lalu disebabkan oleh bisikan syaitan. Waswas juga telah tsabit lafaz dan maknanya di dalam al-Quran iaitu bisikan dan hasutan syaitan sepertimana firman Allah SWT:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا

Maksudnya: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua (Adam dan Hawa) supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka”

(Surah al-A’raf: 21)

 

Terdapat juga hadith daripada Ibn Abbas RA, Nabi SAW berkata:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya  syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melalui saluran darah”

(Riwayat Muslim 2174)

 

Al-Imam al-Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini, beliau menukilkan daripada al-Qadhi dan selainnya bahawasanya Allah berkuasa menjadikan syaitan itu mampu bergerak dalam saluran darah kita (untuk membisikkan kejahatan) dan dikatakan juga ianya adalah isti’arah (kiasan) sahaja yang bermaksud banyaknya bisikan seolah-olah syaitan tidak akan berpisah dari manusia seperti darah yang tidak akan terpisah dari manusia. Bahkan dikatakan juga, syaitan memberikan waswas kepada manusia melalui saluran darah dan akhirnya turun ke hati. [Lihat al-Minhaj Syarh Nawawi ala Muslim ibn Hajjaj, jild. 14, hlmn. 157]

 

Aplikasi kaedah Fiqh (الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ)

Pada permasalahan waswas atau keraguan, semestinya kaedah fiqh “keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan (الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ) semestinya difahami dan diaplikasikan dengan baik supaya dapat melakukan amal ibadah dengan sempurna. Kaedah ini disandarkan dengan hadis Nabi SAW:

إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ، أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Sekiranya antara kamu merasakan sesuatu di dalam perut dan ragu-ragu dengannya sama ada telah keluar sesuatu daripadanya ataupun tidak? Maka, janganlah keluar dari masjid sehingga mendengar bunyi atau mendapati angin (kentut)”

(Riwayat Muslim 362)

 

Melalui analisis hadis ini, difahami bahawa sekiranya ragu tentang kekotoran yang keluar dari badan atau kekotoran yang terkena pada badan, maka perlu dibina keyakinan bahawa selagi mana tidak nampak kekotoran dengan jelas, maka ianya dihukumkan sebagai suci. Begitu juga dengan permasalahan seperti ragu-ragu sama ada percikan air tersebut mempunyai najis, atau air yang terkena di stokin atau lengan baju itu mempunyai najis, maka seharusnya kita menganggapnya suci dan bersih sepertimana adanya furuk kaedah fiqh ini juga iaitu:

الأصل في الأشياء الطهارة والإباحة

Maksudnya: “Asal bagi segala sesuatu adalah suci dan halal digunakan.”

 

 

Perbezaan empat mazhab dalam najis yang dimaafkan

Berkenaan dengan penggunaan mazhab lain selain daripada al-Shafi’e untuk menenangkan diri daripada keraguan, maka ia tidak harus dilakukan oleh mukalaf kerana berdasarkan kepada mazhab yang lain juga, masalah percikan air dan najis ini masih lagi dikira sebagai najis yang dimaafkan oleh syarak selagi mana ia tidaklah banyak dan nampak jelas pada mata. Pertama sekali, mazhab al-Maliki berpendapat antara najis yang dimaafkan ialah:

ما يصيب ثوب أو بدن الجزار ونازح المراحيض والطبيب الذي يعالج الجروح

Maksudnya: “Sesuatu yang terkena pada pakaian pemotong (daging) atau badannya, dan pembersih tandas dan doktor yang merawat luka” [Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, jild. 1, hlmn 18]

 

Kedua, daripada mazhab al-Hanafi, mereka berpendapat antara najis yang dimaafkan oleh syarak ialah:

ومنها رشاش البول إذا كان رقيقًا، كرؤوس الإبر، بحيث لا يُرى، ولو ملأ الثوب أو البدن، فإنه يعتبر كالعدم للضرورة

Maksudnya: “Di antaranya juga, percikan air kencing yang sedikit, seperti kepala jarum, dimana ia tidak terlihat, walaupun ia memenuhi pakaian dan badan, ia masih diibaratkan seperti tidak ada disebabkan darurat.” [Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, jild. 1, hlmn 20]

 

Seterusnya, daripada mazhab al-Hanbali, mereka berpendapat antara najis yang dimaafkan juga adalah:

ومنها ماء قليل تنجس بمعفو عنه

Maksudnya: “Di antaranya juga, air sedikit yang terkena najis dengan dimaafkan (najis tersebut)” [Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, jild. 1, hlmn 22]

 

Dan akhir sekali, para fuqaha’ dalam mazhab al-Shafi’e menggariskan syarat-syarat najis itu dimaafkan [Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, jild. 1, hlmn 20] iaitu:

  1. Najis itu tidak nampak di mata.
  2. Orang yang berjalan perlu berhati-hati untuk tidak terkena najis.
  3. Ia terkena najis semasa berjalan, sedangkan apabila ia jatuh ke tanah yang najis, maka ia tidak dimaafkan.
  4. Najis itu terkena pada pakaian atau badan.

 

Oleh hal yang demikian, perkara yang boleh disimpulkan melalui analisis empat mazhab di atas, kita dapati bahawa keempat-empat mazhab mengatakan permasalahan percikan air atau najis yang sedikit itu adalah dimaafkan oleh syarak. Maka, tidak perlu untuk menggunakan mazhab yang lain untuk menenangkan diri daripada segala keraguan kerana mazhab yang lain juga mengatakan perkara yang sama dengan mazhab al-Shafi’e.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kes dan keterangan di atas, kita dapat mengetahui bahawa keraguan atau waswas itu tidak akan terlepas daripada setiap manusia. Ia berpunca daripada syaitan yang selalu membisikkan kejahatan serta menghasut akan membuatkan hati manusia itu selalu dalam keraguan. Maka, kita seharusnya cuba menghilangkan keraguan itu dan membina keyakinan diri berdasarkan kaedah fiqh “asal bagi segala sesuatu itu adalah suci dan halal” sehingga nampak pada mata kasar kita bahawa terdapat najis dengan jelas menggunakan pancaindera kita disertai dengan bau, rasa dan warna.

          Sebagai tambahan, di dalam mazhab al-Shafi’e juga menghukumkan bahawa percikan air atau najis sedikit yang sukar untuk dielak  itu adalah dimaafkan oleh syarak, maka tidak perlu untuk menggunakan mazhab yang lain untuk menenangkan diri yang selalu merasa ragu-ragu mengenai kekotoran percikan najis tersebut.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahuaklam.