Persoalan : WAS-WAS TERKENA NAJIS MUGHALLAZAH (01030)

Assalamualaikum, 

Semoga kemusykilan serta perasaan was was saya terhadap perkara ini dapat dijawab. Maaf jika sedikit panjang. 

Dua hari lepas, saya diminta bos saya (bukan islam) untuk menolongnya mengambil makanan dari Grabfood. Saya mengambilnya tanpa mengetahui makanan tersebut mempunyai babi, jadi saya memegang plastik tersebut tanpa menggunakan alas/ pelapik. Dalam plastik tersebut mengandungi satu plastik air dan satu bucket pan mee yang tertutup. 

Plastik tersebut hanya basah di bahagian air, dan kering di bahagian bucket. Jadi saya memegang plastik di bahagian basah dan kering. Setelah meletakkannya, saya mendapati tangan saya mendapat kesan bau makanan (tiada zat najis yang kelihatan) tersebut pada tangan yang kering, tapi saya tak ingat sama ada mempunyai kesan minyak pada plastik tersebut atau tidak. Saya rasa plastik tersebut tidak ada kesan minyak ketika saya pegang, tapi saya menjadi was-was mengenai perkara ini. Keadaan plastik itu yang saya ingat, memang tiada kesan apa2 kerana plastik itu berwarna putih, cuma basah di bahagian air sahaja. Dan saya ada baca jika hanya terlekat bau, ia masih boleh dimaafkan tetapi saya tetap merasa was was. 

Saya hanya mencuci tangan menggunakan air dan sabun pada ketika itu. Dan saya hanya mengetahui pan mee tersebut mengandungi babi setelah memberikannya kepada bos saya, kerana kawan office bukan islam memberitahu saya setelah saya bertanya kepada mereka. Saya hanya mampu melakukan sertu setelah balik rumah pada waktu petang. Itu pun saya hanya melakukan pada tangan saya. 

Persoalan saya, adakah saya perlu sertu semua peralatan (handphone, laptop, dsb) yang disentuh setelah memegang plastik tersebut? Saya sudah melakukan solat zohor selepas kejadian itu (sebelum sertu), adakah solat saya diterima atau perlu di qada' kembali? Adakah saya perlu sertu seluruh badan saya kerana tangan saya telah menyentuh anggota badan yang lain? 

Mohon pencerahan, hal ini sangat membelenggu diri saya. Terima kasih. 



Jawapan Ikhtisar

Seseorang perlu membersihkan anggota badan dengan kaedah sertu sekiranya menyentuh najis mughallazah secara pasti. Namun, sekiranya berlaku was-was terhadap sentuhan tersebut berlaku atau tidak, maka hukum asal bagi tangan tersebut adalah suci dan tidak perlu disertu. Oleh itu, tidak perlu mengulangi semula sebarang ibadah yang telah dikerjakan kerana anggota tersebut adalah suci.

 

Jawapan Tafsil

Wa’alaikumusalam wbt,

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Kenajisan Khinzir

Secara umumnya, mazhab al-Shafi’i menyatakan bahawa khinzir termasuk di dalam kategori najis mughallazah dan wajib dibersihkan mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)”

(Surah al-Maidah: 3)

Menurut mazhab al-Shafi’i, khinzir adalah sama seperti anjing dan apa sahaja yang lahir daripada keduanya atau salah satu daripadanya dengan haiwan yang suci kerana khinzir dianggap lebih hina kedudukannya. [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 1 hlm. 240]

Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menyatakan bahawa para ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat apa-apa yang menjadi najis disebabkan oleh sentuhan sesuatu berupa air liur, kencing atau seluruh cecair, atau anggota-anggota yang kering jika bersentuhan dalam keadaan basah dan lembap, daripada anjing atau babi, dan haiwan yang lahir daripada keduanya atau salah satunya dengan haiwan yang suci, hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhannya itu dengan tanah yang suci. Ia berdasarkan hadis yang menyebutkan berkenaan cara mencuci jilatan anjing. Lalu diqiyaskan babi dengan anjing kerana ia lebih buruk halnya berbanding anjing kerana terdapat nas dalam syarak yang menyebutkan mengenai pengharaman babi dan tidak boleh memilikinya. Oleh itu, menyucikan najis mughallazah ini adalah dengan membilas air sebanyak tujuh kali basuhan, dan salah satu daripadanya dengan air tanah. [Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jld. 1 hlm. 333]

 

Was-was Berkenaan Terkena Najis Mughallazah

Persoalan berkenaan yang mirip sebegini pernah diajukan dan boleh layari jawapannya di pautan e-Kemusykilan bertajuk: Najis Mughallazah (00738).

Berbalik kepada persoalan, sesuatu perkara yang melibatkan hukum memerlukan kepada kepastian perkara tersebut berlaku. Hal ini seiring dengan kaedah:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: ‘Tidak terbina sesuatu hukum ke atas perkara yang syak.”

Oleh itu, sesuatu perkara tersebut perlulah diyakini dan jelas terjadi agar hukum dapat diberikan dengan sebaiknya. Sekiranya tiada kejelasan berkenaan perkara tersebut maka perlu kembali kepada hukum asal iaitu hukumnya adalah suci sepertimana kaedah yang menyatakan :

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita berhukum (tentukan hukum) berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Dia (Allah) yang menguasai perkara-perkara yang tersembunyi (rahsia).”

Selain itu, al-Khatib al-Syarbini turut menyatakan bahawa setiap perkara yang tidak diyakini kenajisannya, tetapi besar kemungkinan mengandungi najis seperti pakaian kanak-kanak, tukang daging yang jahil (tidak ambil kisah tentang kebersihan pakaian dan dirinya) dan orang kafir yang bergelumang dengan najis seperti memakan khinzir, pendapat yang paling rajih (tepat) adalah beramal dengan hukum asal bagi sesuatu perkara iaitu suci selagi mana tidak dipastikan kenajisannya. [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 1 hlm. 239]

 

Kesimpulan

Berdasarkan daripada pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa kenajisan makanan daripada minyak khinzir tersebut tidak berpindah kerana tidak ada bukti yang jelas menunjukkan keberadaan najis tersebut. Sehubungan dengan itu, tangan yang memegang plastik tersebut adalah suci dan tidak perlu disertu.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah-perintah-Nya.

Wallahu’alam.