Mohon memberikan penerangan cara terbaik cuci najis cicak yang terlalu banyak yang ada dirumah yang telah lama ditinggalkan.
Jawapan Ikhtisar:
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menghilangkan najis tahi cicak tersebut dengan dicuci kesemuanya. Setelah itu sekiranya sukar untuk dielakkan pada setiap masa, maka dihilangkan najis tahi cicak sekadar termampu dan boleh melakukan solat di situ. Sekiranya terkena juga najis tahi cicak itu semasa solat, maka sah solatnya dengan syarat tidak sengaja dan tiada basahan pula pada najis atau pada anggota yang menyentuhnya. Ini kerana ia dikira terkena najis yang dimaafkan berdasarkan kaedah umum al-balwa.
Jawapan Tafsil:
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hukum tahi cicak
Sebelum memahami perbincangan dalam mengenai sesuatu hukum najis tersebut, adalah perlu untuk kita memahami terlebih dahulu dasar pembahagian najis. Najis secara asasnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu; pertama, najis mughallazah (berat) terdiri daripada segala sesuatu yang melibatkan anjing dan khinzir. Kedua, najis mukhaffafah (ringan) iaitu air kencing bayi lelaki yang berumur kurang dua tahun dan minum susu ibunya sahaja. Ketiga ialah najis mutawassitah (sederhana) iaitu najis selain daripada yang disebutkan di atas. Oleh itu, berdasarkan pembahagian tersebut, tahi cicak termasuk dalam bahagian najis mutawassitah dan perlu dibersihkan dengan air sehingga hilang zat dan sifat najis tersebut daripada bau, rasa dan warna.
Walaupun pada asal mazhab as-Shafie tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan ataupun tidak dimakan. Namun terdapat beberapa keadaan, boleh berlakunya Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan. Ia seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan mazhab Syafei, maka ia adalah najis, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan (dalam keadaan-keadaan tertentu). [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jild. 2 hlmn. 550 dan Nihayah al-Muhtaj, jild. 1, hlmn. 80]
Oleh itu, berdasarkan kes ini, sekiranya sukar untuk membersihkannya pada setiap waktu disebabkan terlalu banyak cicak berkeliaran di dalam rumah, maka ia termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan sepertimana yang disebutkan Ibn al-Imad dalam manzumahnya [Lihat Manzumah Ibn al-Imad fi al-Makfuwwat, hlmn. 87]:
بول الخفافيش عفو عند قلته إذا رمى بوله في حال طوفته
أو عمّ في مسجد أو عمّ في سكن أرضا بروثته من أجل خلطته
Maksudnya:
“Najis kelawar dimaafkan sekiranya sedikit,
apabila air kencingnya keluar semasa berterbangan,
atau merata (najisnya keluar) di masjid atau di kediaman,
najisnya yang bertaburan di tanah (yang selalu manusia berjalan atasnya)”
Al-Imam ar-Ramli menjelaskan najis kelawar sekiranya sedikit secara adat ataupun banyak sekalipun, ia termasuk dalam najis yang dimaafkan oleh syara’ disebabkan kesukaran untuk mengelak daripadanya kerana kelawar selalu berterbangan di kediaman ataupun masjid. Maka, ia juga memberi kesusahan kepada ramai manusia untuk membersihkannya pada setiap masa. [Lihat Fath al-Jawwad bi Syarh Manzumah Ibn al-Imad, hlmn. 58-59]. Oleh itu, situasi tahi cicak itu juga boleh diqiyaskan dengan najis kelawar ini disebabkan kesukaran yang tidak dapat dielakkan.
Sebagai kesimpulan, tahi cicak itu pada asalnya ialah najis pada sisi syara’ dan perlu dibersihkan dengan air sehingga hilang zat dan sifatnya daripada bau, rasa dan warna. Walaupun selepas dibersihkan tetapi masih lagi mendapati tahi cicak pada setiap masa, maka ianya termasuk najis yang dimaafkan dan hanya cukup membersihkannya sekadar yang mampu.
Umum al-Balwa
Para ulama’ dan fuqaha’ telah mengkategorikan permasalahan mengenai najis yang selalu hadir sama ada di rumah mahupun tempat ibadat ini dalam suatu kaedah yang memudahkan para mukalaf untuk melakukan ibadat di dalam situasi yang tidak dapat dielakkan. Kaedah ini dikenali dalam syariah sebagai umum al-balwa. Para fuqaha’ mentakrifkannya sebagai:
أَمَّا فِي الاِصْطِلاَحِ فَيُفْهَمُ مِنْ عِبَارَاتِ الْفُقَهَاءِ أَنَّ الْمُرَادَ بِعُمُومِ الْبَلْوَى: الْحَالَةُ أَوِ الْحَادِثَةُ الَّتِي تَشْمَل كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ وَيَتَعَذَّرُ الاِحْتِرَازُ عَنْهَا، وَعَبَّرَ عَنْهُ بَعْضُ الْفُقَهَاءِ بِالضَّرُورَةِ الْعَامَّةِ وَبَعْضُهُمْ بِالضَّرُورَةِ الْمَاسَّةِ، أَوْ حَاجَةِ النَّاسِ. وَفَسَّرَهُ الأُْصُولِيُّونَ بِمَا تَمَسُّ الْحَاجَةُ إِلَيْهِ فِي عُمُومِ الأَْحْوَال.
Maksudnya: “Adapun dari segi istilah difahami ibarahnya daripada fuqaha dengan apa yang dimaksudkan dengan umum al-balwa adalah: Situasi atau keadaan (yang sukar) yang melibatkan ramai manusia dan sukar untuk dihindari. Sebahagian fuqaha’ juga mendefinisikannya sebagai dharurat umum dan sebahagiannya mengatakan keadaan dharurat yang mendesak atau keperluan manusia. Para ulama usul pula menafsirkan (umum al-balwa) sebagai keperluan mendesak dalam semua keadaan.” [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, jild. 6, hlmn. 31-32]
Berdasarkan analisis definisi di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa umum al-balwa ini adalah sesuatu perkara yang mendatangkan kesusahan yang luar dari kebiasaan kepada manusia jika perkara itu ditinggalkan. Kesusahan itu meliputi kebanyakan manusia. Oleh itu, berkenaan dengan tahi cicak yang selalu wujud di sekitar kediaman atau masjid, maka ia memberi kesukaran umum kepada ramai manusia, maka boleh dihukumkan ianya najis yang dimaafkan berdasarkan kaedah umum al-balwa.
Kesimpulan
Oleh hal yang demikian, berdasarkan permasalahan dan keterangan di atas, asal hukum bagi tahi cicak adalah najis pada sisi fuqaha’ as-Shafie. Maka, wajib untuk membersihkan kesemua tahi cicak tersebut dengan air sehingga hilang zat dan sifat najis itu daripada bau, rasa dan warna. Sekiranya sukar untuk menghilangkan sifat najis tersebut sepenuhnya, maka wajib membersihkan zat najis tersebut sekadar yang mampu. Walau bagaimanapun, sekiranya tahi cicak itu selalu wujud di kediaman mahupun di masjid dan memberi kesukaran kepada ramai manusia untuk membersihkannya pada setiap masa, maka boleh dihukumkan sebagai najis yang dimaafkan berdasarkan kaedah umum al-balwa. Sebagai langkah berhati-hati, sekiranya tahi cicak itu terdapat pada sejadah atau lantai yang kita ingin solat atasnya, maka perlu dicuci terlebih dahulu. Dan apabila tidak dapat dihilangkannya disebabkan terlalu banyak, maka tiada masalah dan masih sah solat sekiranya terpijak ataupun terduduk di atas tahi cicak yang banyak tersebut dengan syarat tidak sengaja dan tiada basahan pula pada najis atau pada anggota yang menyentuhnya
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahuaklam.