Assalamualaikum Ustaz.
Saya ada main satu game ni namanya EvoCreo. Gamenya macam pokemon iaitu game kumpulkan monster dan lawan untuk jadi champion.
Game ni singleplayer, tidak ada interaksi dengan manusia lain. Hanya dengan NPC(Non-Player Character) yg AI dan bukanlah manusia sebenar.
Dalam game ni, player boleh cari NPC lain yang ada monster dan lawan NPC itu. Kalau menang, duit dalam wallet player tu bertambah, kalau kalah kene bagi ke NPC tu maka hilang duit.
Adakah ini dikira judi?
Ia bukan duit sebenar. Hanya duit fiction didalam game tu yang player dapat bila selesai misi/quest seperti menang lawan NPC. Saya TIDAK beli duit digital itu menggunakan duit nyata, segala duit itu 100% hasil permainan game itu.
Tidak datang dari alam nyata, dan tidak pergi ke alam nyata.
100% duit ficition kekal didalam game itu
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumusalam wbt,
Hukum asal bermain permainan EvoCreo adalah harus kerana asas permainan ini bukan bermatlamatkan perjudian. Namun, sebahagian misi dalam permainan ini mempunyai elemen pertaruhan tetapi tidak menggunakan sebarang wang atau harta yang hakiki. Sehubungan dengan itu, kami berpandangan bahawa memainkan misi permainan tersebut adalah makruh namun hukumnya menjadi haram jika sekiranya tujuan permainan itu adalah untuk melatih kemahiran berjudi.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Hukum Berhibur
Secara umumnya, bermain permainan video adalah termasuk dalam perkara hiburan. Hukum berhibur secara asalnya adalah harus melainkan terdapat perkara yang membawa kepada haram. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hanzalah RA daripada Nabi SAW:
يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ
Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.”
[Sahih Muslim 2750]
Menurut Imam al-Nawawi kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Hal ini demikian kerana, ketika Hanzalah RA risau terhadap dirinya telah menjadi munafik kerana telah lalai daripada mengingati Allah SWT maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. [Rujuk Syarah Sahih Muslim, jld. 17, hlm. 66]
Antara garis panduan berkenaan hukum berhibur:
- Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia ini kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
- Haram, sekiranya membawa keburukan kepada individu .dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak.
- Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.
[Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 8, hlm. 165-166]
Hukum Bermain Permainan ‘EvoCreo’
Menurut dapatan kami, permainan ini merupakan sebuah permainan pengembaraan dunia terbuka (open world adventure) yang dibangunkan untuk platform Android, di mana pemain akan mengembara merentasi alam maya yang luas untuk mengumpul dan menjinakkan pelbagai jenis raksasa. Pemain boleh membangunkan, melatih dan mengatur strategi untuk raksasa mereka agar dapat bersaing dalam pertempuran arena menentang pemain lain untuk merebut kemenangan.
Berdasarkan pemerhatian kami, asas permainan ini secara umumnya bukan permainan judi yang memerlukan para pemain menyalurkan wang ringgit untuk mendapatkan sesuatu barang melalui aturcara ‘Spin’ atau ‘Loot Box’ yang mempunyai ciri-ciri perjudian tersebut. Tujuan permainan ini juga hanya berhibur melalui cara mendapatkan raksasa secara maya melalui pertarungan dengan Non-Player Character (NPC) untuk mendapatkan raksasa tersebut atau ganjaran yang berupa wang permainan maya yang hanya boleh dimainkan di dalam permainan sahaja.
Menurut kepada persoalan yang diutarakan, terdapat satu misi dalam permainan tersebut yang memerlukan para pemain berlawan dengan Non-Player Character (NPC) dengan mempertaruhkan sejumlah wang maya permainan antara pemain dan NPC yang kemudiannya salah satu daripada mereka mendapatkan keuntungan dan salah satu lagi mendapat kerugian. Walaupun begitu, kami berpandangan ia bukan perjudian, hal ini demikian kerana tiada harta yang hakiki yang bernilai dipertaruhkan serta keuntungan dan kerugian yang berlaku tidak memberikan sebarang kesan secara langsung yang jelas kepada kehidupan hakiki pemain. Selain itu, penggunaan wang maya sebagai taruhan adalah tidak sama seperti menggunakan wang ringgit untuk bertaruh.
Walau bagaimanapun, sekiranya bermain permainan seperti ini terdapat unsur melatih seseorang pemain untuk berjudi atau bertaruh maka hukumnya adalah makruh dan haram serta wajib menghindarinya sekiranya tujuan permainan itu adalah untuk melatih kemahiran berjudi. Hal ini dapat dikiaskan dengan beberapa larangan daripada Nabi SAW yang melarang umatnya bermain dengan peralatan yang mempunyai nilai judi. Sebagai contoh, Nabi SAW melarang umatnya bermain dadu, sabda Nabi SAW:
مَنْ لَعِبَ بِالنَّرْدَشِيرِ فَكَأَنَّمَا صَبَغَ يَدَهُ فِي لَحْمِ خِنْزِيرٍ وَدَمِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bermain dadu seperti mencelup tangannya di dalam daging khinzir dan darahnya”.
[Sahih Muslim 226]
Selain itu, Nabi SAW juga melarang kita daripada menyerupai sesuatu kaum, baik dalam permainan ataupun cara hidup. Sabda Nabi SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
[Sunan Abu Dawud 4031]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pernyataan di atas, kami menyimpulkan hukum asal bermain permainan EvoCreo adalah harus dan asas permainannya tidak berpandukan kepada perjudian tetapi terdapat misi permainan yang mampu menjadi bentuk latihan kepada perjudian dengan menerapkan elemen pertaruhan. Sehubungan dengan itu, para pemain dinasihati agar menghindari elemen pertaruhan yang terdapat dalam permainan tersebut.
Wallahu’alam.