Persoalan : ILMU QADAM (00382)

Bolehkan manusia seperti saya mempelajari ilmu Qadam?Apakah hukumnya? Sesetengah ustaz yang saya kenal mengatakan boleh dan ada juga yang mengatakan sebaliknya. Mohon pencerahan.


Ilmu Qadam atau lebih tepat ‘ilmu khadam’ adalah ilmu yang membolehkan seseorang memanggil makhluk lain sebagai khadam untuk menjalankan tugas-tugas tertentu untuk kepentingan diri seseorang seperti menjaga keselamatan rumah dan harta, melariskan jualan dan memelihara badan dari dicederakan (kebal). Makhluk tersebut akan menjadi suruhan (khadam) yang akan taat kepada tuannya. Menurut pengamal ilmu ini khadam ini adalah dari jin Islam yang bukan sahaja menjalankan tugas menurut perintah tuannya tetapi juga akan mengingatkan tuannya tentang perkara-perkara yang tidak baik. Ada yang memanggilnya sebagai 'khadam ayat' yang terhasil dari bacaan tertentu dari ayat-ayat Al-Quran. Ilmu ini digunakan dalam sebahagian amalan perubatan tradisional. Ilmu ini juga kadangkala dikaitkan dengan ilmu Nabi Khidir AS. Islam sememangnya mengiktiraf kewujudan makhluk-makhluk lain selain manusia seperti jin dan malaikat seperti mana yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Islam juga tidak menafikan dalam beberapa keadaan adanya hubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk ini sepertimana yang berlaku kepada sekumpulan jin yang terkesan apabila mendengar bacaan Al-Quran daripada Nabi Muhammad SAW (Al-Jin, 72 : 1-2) dan kisah Nabi Sulaiman AS yang memerintahkan jin untuk memindahkan istana Ratu Balqis (Surah Al-Naml, 27 : 39-40). Di samping itu, terdapat juga antara ayat-ayat Al-Quran sekiranya dibaca akan dapat memberikan kekuatan tertentu kepada seseorang dan memelihara seseorang dari perkara buruk, seperti Ayat al-Kursi daripada Surah al-Baqarah, Surah Yassin dan ayat-ayat yang lain. Ilmu Qadam (Khadam) sedikit sebanyak berkait dengan perkara-perkara di atas. Walaupun pada dasarnya ilmu ini boleh digunakan sekiranya didasarkan kepada cara yang benar, namun ia amat tidak digalakkan terutama kepada orang awam dan juga kepada mereka yang tidak mempunyai Ilmu Akidah yang mantap atas sebab-sebab berikut: 1. Ikatan pergantungan manusia akan berpindah daripada Allah SWT kepada makhluk-makhluk ini. Ini akan menjejaskan akidah seseorang dan mengakibatkan syirik kepada Allah SWT. 2. Kecenderungan ilmu ini disalahgunakan dan digunakan untuk merosakkan orang lain. 3. Banyak bercampur aduk dengan bacaan-bacaan yang tidak bersumberkan dari sumber yang sahih. والله أعلم