Persoalan : HUKUM MENJAGA ADIK-BERADIK YANG KURANG SIHAT DAN IBU BAPA TIRI (01320)

Assalammualaikum. Saya ada dua kategori soalan. Sebelum saya menanyakan soalan saya, saya cerita situasi saya. 

Saya salah seorang daripada 8 adik-beradik. Saya adik yang ke-7. Paling sulung abang, diikuti kakak, abang, kakak, abang, kakak, saya dan bongsu adik lelaki. 

Bapa saya kahwin dua, isteri pertama melahirkan 5 anak dan isteri kedua yakni mak saya melahirkan 3 anak. Bapa saya sudah meninggal dan telah bercerai dengan kedua-dua isterinya semasa hidup dan tidak berkahwin lagi selepas penceraiannya. Kedua2 emak masih hidup. 

Hanya abang sulung, kakak sulung (anak ke-2) dan adik bongsu (anak ke-8) belum berkahwin yang lain sudah berkahwin. Saya sudah berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata. 

Soalan kategori pertama megenai penjagaan adik-beradik: 
Abang sulung dan kakak sulung saya sihat dulu tetapi jatuh sakit dan diberi klsaifikasi OKU. Abg saya masih berkerja (pengurus modelling agency) dan tangan sebelah kiri dia tidak boleh bergerak disebabkan ada ketumbuhan; tidak berduit banyak dan tiada savings. Kakak sulung menghidap kencing manis dan selepas operasi pemulihan saluran darah di kaki dia diberhentikan kerja; dia tidak boleh berjalan dengan elok, sering menggunakan wheelchair dan hanya boleh menggunakan tongkat buat sementara waktu. Kedua2 mereka berumur lebih 48 tahun. Buat masa sekarang kakak ke-4 tanggung pembelanjaan ibu tiri saya dan kakak ke-2.
1) Apakah hukum kami adik-beradik (baik yang tiri dan kandung) untuk menjaga kedua2 abang dan kakak sulung sekarang?
2) Apakah hukum kami adik-beradik (baik yang tiri dan kandung) untuk menjaga kedua2 abang dan kakak sulung nanti apabila mereka tidak lagi kerja tapi belum diklasifikasikan sebagai uzur?
3) Apakah hukum kami adik-beradik (baik yang tiri dan kandung) untuk menjaga kedua2 abang dan kakak sulung juga apabila sudah uzur ? 
4) Tolong jelaskan dari segi kadar kemampuan yang dikira sebagai mampu untuk membantu buat adik lelaki yang sudah beristeri?
5) Tolong jelaskan dari segi kadar kemampuan yang dikira sebagai mampu untuk membantu buat adik perempuan (janda; suami masih hidup) dan beranak 4? 

Soalan kategori kedua mengenai penjagaan ibu bapa:
1) Apakah hukum buat anak tiri untuk menjaga ibu bapa tiri yang uzur dan tidak berharta?
2) Apakah hukum buat anak kandung antara lelaki dan perempuan untuk menjaga ibu bapa uzur kandung ? 
3) Tolong jelaskan dari segi kadar kemampuan yang dikira sebagai mampu untuk membantu buat adik lelaki yang sudah beristeri?
4) Tolong jelaskan dari segi kadar kemampuan yang dikira sebagai mampu untuk membantu buat adik perempuan (janda; suami masih hidup) dan beranak 4? 



Jawapan Ikhtisar

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Pada asasnya, terdapat perbezaan hukum antara nafkah terhadap adik-beradik dengan nafkah terhadap ibu bapa.

 

Pertama: Penjagaan dan Nafkah Adik-Beradik

Menurut mazhab al-Syafi‘i, kewajipan nafkah kerana hubungan kekeluargaan pada asalnya berlaku antara usul seperti ibu, bapa, datuk dan nenek dengan furuk seperti anak dan cucu. Ia tidak merangkumi saudara lelaki dan perempuan. Oleh itu, abang atau kakak yang sakit, berstatus OKU, tidak lagi bekerja ataupun telah uzur tidak mempunyai hak nafkah wajib terhadap adik-beradik mereka semata-mata kerana hubungan persaudaraan.

Keadaan sakit atau uzur juga tidak dengan sendirinya mengubah hukum tersebut. Walau bagaimanapun, membantu saudara yang berada dalam kesempitan merupakan tuntutan silaturahim, ihsan dan kebajikan yang sangat dituntut oleh syarak. Sekiranya seseorang saudara berada dalam keadaan yang mengancam keperluan asas, kesihatan atau keselamatannya dan tiada pihak lain yang dapat membantunya sedangkan ahli keluarganya mampu berbuat demikian, maka bantuan yang diperlukan bagi menghilangkan kemudaratan tersebut tidak sewajarnya diabaikan.

Dalam kes yang dikemukakan, perlu juga diperhatikan bahawa ibu kandung kepada abang dan kakak sulung tersebut masih hidup. Sekiranya ibu mereka berkemampuan sedangkan mereka benar-benar fakir atau tidak mampu memenuhi keperluan hidup disebabkan penyakit atau ketidakupayaan, maka hukum nafkah antara ibu dengan anak hendaklah terlebih dahulu diambil kira menurut syarat-syaratnya.

Adik-beradik yang berkemampuan tetap sangat digalakkan bekerjasama menjaga kebajikan mereka melalui bantuan kewangan, makanan, rawatan, tempat tinggal, pengangkutan, urusan hospital atau penjagaan secara bergilir-gilir agar beban tersebut tidak dipikul oleh seorang ahli keluarga sahaja.

Ukuran kemampuan pula ialah adanya lebihan selepas memenuhi keperluan diri dan nafkah wajib terhadap pihak yang berada di bawah tanggungannya. Seseorang yang benar-benar tidak mempunyai lebihan tidak dibebankan dengan kewajipan kewangan di luar kemampuannya. Namun dia masih boleh membantu melalui tenaga, masa, pengurusan rawatan dan bentuk khidmat lain yang termampu.

 

Kedua: Penjagaan dan Nafkah Ibu Bapa

Menanggung keperluan ibu atau bapa kandung yang tidak mempunyai harta yang mencukupi dan memerlukan bantuan merupakan kewajipan anak yang berkemampuan, sama ada anak lelaki ataupun perempuan. Kewajipan ini merangkumi keperluan yang munasabah seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, rawatan serta penjagaan yang diperlukan menurut keadaan ibu bapa.

Apabila ibu atau bapa telah uzur dan memerlukan bantuan fizikal, anak-anak juga hendaklah memastikan kebajikan dan penjagaan mereka terpelihara. Ia tidak semestinya bermaksud setiap anak wajib melakukan sendiri semua urusan penjagaan, bahkan tanggungjawab itu boleh dilaksanakan melalui pembahagian tugas, penyediaan penjaga, pengurusan rawatan atau bentuk lain yang benar-benar memenuhi keperluan ibu bapa.

Adapun ibu atau bapa tiri, mereka tidak termasuk dalam hubungan usul dan furuk dari sudut nasab. Oleh itu, anak tiri tidak diwajibkan menanggung nafkah ibu atau bapa tiri semata-mata atas hubungan persemendaan tersebut. Namun berbuat baik dan membantu mereka, khususnya apabila telah terjalin hubungan kekeluargaan yang lama, merupakan suatu bentuk ihsan dan akhlak yang sangat terpuji.

Dalam kes yang dikemukakan, bapa telah menceraikan kedua-dua isterinya sebelum meninggal dunia. Oleh itu, bekas isteri bapa yang menjadi ibu tiri kepada sebahagian anak-anak tidak lagi mempunyai kedudukan sebagai isteri bapa yang nafkahnya boleh dikaitkan dengan tanggungan bapa. Anak-anak tirinya tidak mempunyai kewajipan nafkah terhadap beliau semata-mata kerana hubungan tersebut. Sebaliknya, kewajipan nafkah beliau, sekiranya memenuhi syarat, hendaklah dilihat terlebih dahulu kepada anak-anak kandungnya sendiri.

Bagi menentukan kemampuan anak lelaki yang telah beristeri atau anak perempuan yang telah bercerai dan mempunyai anak, ukuran asasnya ialah kemampuan sebenar setelah mengambil kira nafkah wajib serta keperluan munasabah dirinya dan pihak yang berada di bawah tanggungannya. Bagi wanita yang telah bercerai dan mempunyai anak, tanggungjawab nafkah bapa kandung terhadap anak-anak tersebut juga perlu diambil kira dan tidak boleh secara automatik dipindahkan keseluruhannya kepada si ibu hanya kerana perceraian.

Sekiranya terdapat beberapa orang anak yang sama-sama berkemampuan, mereka hendaklah bekerjasama memastikan keperluan ibu bapa dipenuhi. Pembahagian tanggungjawab boleh disusun secara persetujuan berdasarkan kemampuan dan keadaan masing-masing, tanpa membiarkan keseluruhan beban dipikul oleh seorang anak sahaja.

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Pendahuluan

Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan pemeliharaan hubungan kekeluargaan, kebajikan golongan yang lemah serta tanggungjawab membantu anggota keluarga yang berada dalam kesusahan. Hubungan kekeluargaan bukan sekadar pertalian darah, bahkan mengandungi hak, tanggungjawab, ihsan dan tuntutan silaturahim yang berbeza-beza hukumnya berdasarkan jenis hubungan tersebut.

Dalam situasi yang dikemukakan, kesemua lapan orang anak mempunyai bapa yang sama tetapi dilahirkan daripada dua orang ibu yang berbeza. Oleh itu, hubungan antara anak-anak daripada ibu yang berlainan ialah adik-beradik sebapa, bukan adik-beradik tiri. Adapun anak-anak yang lahir daripada ibu dan bapa yang sama ialah adik-beradik seibu sebapa. Perceraian bapa dengan kedua-dua ibu tersebut tidak pernah memutuskan hubungan nasab antara anak-anak dengan bapa mereka ataupun antara sesama adik-beradik sebapa.

Perlu juga dibezakan antara hubungan nasab dengan hubungan musaharah atau persemendaan. Isteri kepada bapa yang bukan ibu kandung seseorang lazimnya disebut sebagai ibu tiri. Hubungan tersebut tidak menjadikannya sebagai usul dari sudut nasab. Justeru, hukum nafkah terhadap ibu kandung tidak boleh disamakan secara mutlak dengan hukum terhadap ibu tiri.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan, persoalan ini dapat dirumuskan kepada dua kategori utama. Pertama, tanggungjawab membantu abang dan kakak yang sakit, berstatus OKU, tidak bekerja atau telah uzur. Kedua, tanggungjawab anak-anak terhadap ibu kandung masing-masing yang uzur dan tidak berharta, di samping persoalan mengenai kedudukan ibu atau bapa tiri serta kadar kemampuan anak lelaki dan perempuan.

Sebelum menjawab setiap persoalan secara khusus, perlu dijelaskan terlebih dahulu kedudukan nafkah kerabat menurut fuqaha.

 

Perbahasan Fuqaha Mengenai Kerabat yang Berhak Menerima Nafkah

Para fuqaha bersepakat pada asasnya bahawa terdapat keadaan tertentu yang mewajibkan nafkah antara kerabat, namun mereka berbeza pandangan tentang sejauh mana lingkungan kerabat tersebut.

Mazhab Hanafi memperluaskan kewajipan tersebut kepada kerabat yang mempunyai hubungan rahim mahram dengan syarat-syarat tertentu. Justeru, saudara lelaki dan perempuan boleh termasuk dalam lingkungan kerabat yang wajib dinafkahi menurut mazhab tersebut apabila memenuhi syarat kemiskinan, ketidakmampuan dan syarat lain yang ditentukan.

Mazhab Maliki pula lebih sempit dengan mengehadkan nafkah kerabat pada asasnya kepada ibu bapa dan anak-anak secara langsung.

Mazhab Hanbali menghubungkan kewajipan nafkah dalam kalangan kerabat tertentu dengan hubungan pewarisan serta syarat-syarat yang ditentukan oleh mazhab.

Adapun mazhab al-Syafi‘i yang menjadi asas utama jawapan ini menetapkan bahawa kewajipan nafkah kerana hubungan nasab pada asalnya berlegar pada qarabah al-ba‘diyyah, iaitu hubungan seseorang dengan mereka yang merupakan sebahagian daripadanya atau dia merupakan sebahagian daripada mereka; yakni hubungan usul dan furuk. Perbezaan asas antara empat mazhab dalam lingkungan kerabat yang wajib dinafkahi turut direkodkan dalam karya-karya fiqh perbandingan.

Imam al-Nawawi menjelaskan:

إِنَّمَا تَجِبُ النَّفَقَةُ بِقَرَابَةِ الْبَعْضِيَّةِ، فَتَجِبُ لِلْوَلَدِ عَلَى الْوَالِدِ وَبِالْعَكْسِ ... وَلَا يَلْحَقُ بِالْأُصُولِ وَالْفُرُوعِ سَائِرُ الْأَقَارِبِ كَالْأَخِ وَالْأُخْتِ، وَالْعَمِّ وَالْخَالِ، وَالْعَمَّةِ وَالْخَالَةِ وَغَيْرِهِمْ.

Maksudnya: “Sesungguhnya kewajipan nafkah berlaku disebabkan hubungan al-ba‘ḍiyyah, iaitu hubungan seseorang yang merupakan sebahagian daripada yang lain. Oleh itu, nafkah anak diwajibkan ke atas ibu bapanya dan demikian juga sebaliknya... Kerabat yang lain tidak disamakan dengan usul dan furuk, seperti saudara lelaki, saudara perempuan, bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu dan selain mereka.” [Rujuk: al-Nawawi, Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, jld. 9, hlm. 83, cet. ke-3, al-Maktab al-Islami, 1412H/1991M].

Al-Khatib al-Syirbini turut menyatakan:

وَخَرَجَ بِالْأُصُولِ وَالْفُرُوعِ غَيْرُهُمَا مِنْ سَائِرِ الْأَقَارِبِ كَالْأَخِ وَالْأُخْتِ وَالْعَمِّ وَالْعَمَّةِ.

Maksudnya: “Dengan disebutkan usul dan furuk, terkeluarlah selain kedua-duanya daripada kalangan kerabat lain seperti saudara lelaki, saudara perempuan, bapa saudara dan ibu saudara.” [Rujuk: al-Khatib al-Syirbini, Mughnī al-Muḥtāj, jld. 5, hlm. 184, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah].

Oleh itu, menurut mazhab al-Syafi‘i, seorang abang, kakak atau adik tidak mempunyai hak nafkah wajib terhadap saudaranya semata-mata disebabkan hubungan persaudaraan, sekalipun dia sakit, miskin ataupun uzur. Prinsip ini turut ditegaskan oleh Jabatan Ifta’ Jordan yang berpegang dengan mazhab al-Syafi‘i dalam fatwanya berkaitan pemberian zakat kepada saudara yang miskin.

Namun demikian, ketiadaan nafaqah al-qarabah yang wajib tidak bererti seseorang dibenarkan membiarkan saudaranya menghadapi kelaparan, kehilangan tempat tinggal, ketiadaan rawatan asas atau bahaya yang mengancam keselamatan diri. Pada tahap tersebut, isu tersebut tidak lagi semata-mata berada dalam bab “nafkah saudara”, bahkan masuk kepada kewajipan menghilangkan kemudaratan dan menyelamatkan manusia daripada kebinasaan.

Justeru, perlu dibezakan antara dua keadaan:

(Pertama), nafkah wajib disebabkan nasab, yang menurut mazhab al-Syafi‘i tidak berlaku antara adik-beradik.

(Kedua), kewajipan membantu bagi menghilangkan darurat, yang boleh menjadi wajib apabila seseorang berada dalam keadaan yang benar-benar mengancam nyawa atau keperluan asasnya, sedangkan terdapat orang yang mampu menyelamatkannya. Jika beberapa orang sama-sama mampu dan sebahagian daripada mereka telah memenuhi keperluan tersebut dengan sempurna, kewajipan berkenaan boleh terlaksana secara kifayah. Prinsip menyelamatkan manusia seperti menyelamatkan orang yang hampir binasa merupakan antara contoh kewajipan kifayah yang diiktiraf fuqaha.

 

Jawapan Kepada Persoalan Kategori Pertama

1. Hukum menjaga abang dan kakak dalam keadaan semasa

Abang sulung masih bekerja tetapi mempunyai ketidakupayaan pada tangan kirinya akibat penyakit. Selagi beliau masih mempunyai pendapatan atau harta yang mencukupi untuk menanggung makanan, tempat tinggal, rawatan dan keperluan asasnya, beliau pada asalnya bertanggungjawab memenuhi keperluan dirinya sendiri.

Sakit atau status OKU semata-mata tidak menjadikan nafkahnya wajib dipikul oleh adik-beradik. Yang menjadi ukuran ialah sama ada beliau benar-benar tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya melalui harta atau pendapatan yang dimiliki.

Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa nafkah kerabat tidak diberikan kepada seseorang yang mempunyai kecukupan sendiri atau mampu memperolehnya melalui pekerjaan yang halal dan sesuai:

وَلَا تَجِبُ النَّفَقَةُ لِمَالِكٍ كِفَايَتَهُ ... وَلَا لِمُكْتَسِبِهَا بِأَنْ يَقْدِرَ عَلَى كَسْبِ كِفَايَتِهِ مِنْ كَسْبٍ حَلَالٍ يَلِيقُ بِهِ لِانْتِفَاءِ حَاجَتِهِ إِلَى غَيْرِهِ، وَإِنْ كَانَ يَكْسِبُ دُونَ كِفَايَتِهِ اسْتَحَقَّ الْقَدْرَ الْمَعْجُوزَ عَنْهُ خَاصَّةً.

Maksudnya: “Dan nafkah tidak diwajibkan bagi seseorang yang memiliki harta yang mencukupi keperluannya … dan tidak juga bagi seseorang yang mampu memperoleh kecukupannya melalui pekerjaan, iaitu apabila dia berupaya mendapatkan kadar yang mencukupi keperluannya daripada pekerjaan yang halal dan sesuai dengannya, kerana dengan itu dia tidak lagi berhajat kepada orang lain. Namun, sekiranya pendapatannya tidak mencukupi keperluannya, maka dia berhak menerima hanya sekadar kadar kekurangan yang tidak mampu dipenuhinya.” [Rujuk: al-Khatib al-Syirbini, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma‘rifah Ma‘ānī Alfāẓ al-Minhāj, jld. 5, hlm. 185, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cet. pertama, 1415H/1994M]

Sekiranya pendapatannya hanya mencukupi sebahagian daripada keperluan, maka kekurangan yang benar-benar diperlukan boleh dipertimbangkan untuk dibantu oleh keluarga.

Kakak sulung pula telah berhenti kerja, menghidap penyakit dan menghadapi masalah pergerakan sehingga memerlukan kerusi roda atau tongkat. Sekiranya beliau tidak mempunyai harta atau pendapatan yang mencukupi dan benar-benar sukar bekerja disebabkan keadaan kesihatannya, tuntutan terhadap ahli keluarga untuk membantunya menjadi semakin kuat.

Nabi SAW bersabda:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ.

Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin ialah satu sedekah, manakala kepada kerabat terdapat dua ganjaran, iaitu sedekah dan silaturahim.”

[Riwayat al-Tirmizi, no. 658; al-Nasa’i, no. 2582; Ibn Majah, no. 1844]

 

Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi perkara penting dalam kes ini. Ibu kandung kepada abang dan kakak sulung tersebut masih hidup. Menurut mazhab al-Syafi‘i, hubungan nafkah wajib berlaku dua hala antara ibu bapa dengan anak-anak. Oleh sebab bapa mereka telah meninggal dunia, sekiranya ibu kandung mereka mempunyai kemampuan kewangan sedangkan anak tersebut benar-benar fakir dan tidak mampu memenuhi keperluan dirinya, prinsip kewajipan nafkah antara usul dengan furuk hendaklah terlebih dahulu dipertimbangkan.

Imam al-Nawawi memasukkan secara jelas bapa dan ibu dalam kalangan usul yang mempunyai hubungan nafkah dengan anak.

Ini tidak bermaksud adik-beradik lain tidak perlu membantu. Sebaliknya, mereka tetap sangat dituntut memberikan bantuan melalui kewangan, makanan, pengangkutan, rawatan, pengurusan hospital atau penjagaan harian sebagai suatu bentuk ihsan dan silaturahim.

Sekiranya abang atau kakak tersebut benar-benar tergolong dalam asnaf zakat, mereka juga pada prinsipnya boleh menerima zakat daripada adik-beradik kerana menurut mazhab al-Syafi‘i nafkah mereka tidak wajib ke atas saudara masing-masing.

 

2. Hukum apabila mereka tidak lagi bekerja tetapi belum dikategorikan sebagai uzur

Tidak bekerja semata-mata tidak menjadikan seseorang berhak menuntut nafkah daripada adik-beradiknya.

Jika abang atau kakak masih mempunyai kesihatan, kemampuan fizikal dan mental serta peluang untuk melakukan pekerjaan halal yang sesuai dengan keadaannya, syarak menganjurkan agar seseorang berusaha memenuhi keperluan dirinya.

Nabi SAW bersabda:

لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ.

Maksudnya: “Seseorang daripada kamu mengambil talinya, lalu membawa seberkas kayu api di atas belakangnya dan menjualnya, kemudian Allah memelihara maruahnya dengannya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia sama ada mereka memberinya atau tidak.”

[Riwayat al-Bukhari, no. 1471]

 

Namun, kemampuan bekerja tidak semestinya dinilai secara kasar. Seseorang yang mempunyai penyakit, kecacatan atau faktor usia mungkin masih secara teknikal “boleh bekerja”, tetapi tidak semestinya mampu melakukan pekerjaan yang pernah dilakukannya. Yang dinilai ialah kewujudan pekerjaan yang halal, munasabah dan sesuai dengan keadaan kesihatan serta kemampuannya.

Al-Khatib al-Syirbini menyebut bahawa pekerjaan yang diambil kira ialah pekerjaan yang:

مِنْ كَسْبٍ حَلَالٍ يَلِيقُ بِهِ.

Iaitu pekerjaan halal yang sesuai dengannya.

Jika mereka tidak bekerja kerana benar-benar tidak mampu atau tidak memperoleh pekerjaan yang sesuai setelah berusaha, keluarga sangat dituntut membantu. Sebaliknya, jika seseorang sengaja enggan bekerja sedangkan dia mempunyai kemampuan dan peluang yang munasabah, tidak wajar semua keperluannya dialihkan kepada adik-beradik.

 

3. Hukum apabila abang atau kakak telah uzur

Apabila abang atau kakak telah sampai kepada keadaan uzur, tidak mampu bekerja dan tidak mampu menguruskan kehidupan asasnya, tuntutan membantu mereka menjadi jauh lebih kuat.

Walau bagaimanapun, menurut mazhab al-Syafi‘i, keadaan uzur tersebut tidak menukar hubungan persaudaraan menjadi sebab nafkah wajib. Dengan kata lain, nafkah mereka tidak menjadi wajib ke atas adik-beradik atas tajuk nafaqah al-qarabah.

Namun jika mereka tidak mempunyai makanan, tempat tinggal, rawatan atau penjagaan yang sangat diperlukan sehingga boleh berlaku bahaya terhadap nyawa atau kesihatan, maka ahli keluarga yang mampu tidak boleh membiarkan kemudaratan tersebut berlaku.

Jika terdapat beberapa orang ahli keluarga yang mampu, mereka hendaklah memastikan keperluan asas tersebut ditunaikan. Jika sebahagian telah melaksanakannya dengan sempurna, tercapailah maksud kewajipan menghilangkan bahaya. Jika hanya seorang yang mengetahui keadaan tersebut dan hanya dia yang mampu membantu pada ketika itu, kewajipan berkenaan boleh menjadi lebih khusus terhadap dirinya mengikut kadar yang diperlukan bagi menghilangkan darurat.

Dalam keadaan sebegini, amat baik sekiranya adik-beradik menyusun pembahagian tanggungjawab secara kekeluargaan. Ada yang boleh menyumbang kewangan, ada yang mengurus rawatan, ada yang membawa ke hospital, membeli makanan atau ubat, dan ada pula yang menyediakan penjagaan secara bergilir-gilir. Syariat tidak menghendaki seluruh beban tersebut ditanggung oleh seorang ahli keluarga sedangkan yang lain berkemampuan membantu.

 

4. Ukuran kemampuan bagi adik lelaki yang telah beristeri

Syarak tidak menetapkan suatu angka gaji tertentu untuk menentukan bahawa seseorang itu “mampu”. Ukurannya ialah sama ada seseorang mempunyai lebihan setelah memenuhi keperluan dirinya dan tanggungan nafkah wajibnya secara munasabah.

Imam al-Nawawi menjelaskan:

لَا تَجِبُ نَفَقَةُ الْقَرِيبِ إِلَّا عَلَى مُوسِرٍ، وَهُوَ مَنْ فَضَلَ عَنْ قُوتِهِ وَقُوتِ عِيَالِهِ فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ مَا يَصْرِفُهُ إِلَى الْقَرِيبِ.

Maksudnya: “Nafkah kerabat tidak diwajibkan melainkan ke atas orang yang berkemampuan, iaitu orang yang mempunyai lebihan daripada makanan dirinya dan makanan tanggungannya bagi sehari semalam, yang dapat diberikan kepada kerabatnya.” [Rujuk: al-Nawawi, Rawḍah al-Ṭālibīn, jld. 9, hlm. 83-84].

 

Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa maksud keperluan tersebut bukan sekadar makanan, bahkan termasuk keperluan wajib seperti tempat tinggal dan pakaian yang munasabah.

Prinsip ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ.

Maksudnya: “Mulakanlah dengan dirimu. Jika terdapat lebihan maka untuk keluargamu. Jika terdapat lebihan selepas keluargamu maka untuk kaum kerabatmu.”

[Riwayat Muslim, no. 997].

 

Justeru, bagi seorang lelaki yang telah berkahwin, nafkah wajib terhadap isteri serta anak-anak yang menjadi tanggungannya perlu diambil kira. Perbelanjaan tempat tinggal, makanan, pakaian, rawatan dan keperluan asas munasabah termasuk dalam pertimbangan tersebut.

Walau bagaimanapun, semua bentuk perbelanjaan peribadi tidak boleh secara automatik dianggap sebagai “nafkah wajib” sehingga seseorang mendakwa tiada lebihan. Perbelanjaan kemewahan, gaya hidup, pembelian pilihan atau komitmen yang tidak diperlukan hendaklah dibezakan daripada keperluan asas yang benar-benar diiktiraf syarak.

Jika selepas memenuhi nafkah wajib tidak terdapat lebihan, dia tidak diwajibkan memberikan bantuan kewangan kepada adik-beradiknya. Namun dia tetap digalakkan membantu melalui tenaga, masa dan perkhidmatan.

 

5. Ukuran kemampuan bagi adik perempuan yang telah bercerai dan mempunyai empat orang anak

Prinsip kemampuan yang sama terpakai kepada wanita. Jantina tidak menjadikan hartanya kurang bernilai atau menyebabkan kewajipan yang telah sabit atasnya gugur secara automatik. Namun keadaan sebenar kewangannya perlu dinilai.

Pada asalnya, nafkah anak-anak merupakan tanggungjawab bapa mereka apabila syarat-syarat kewajipan nafkah dipenuhi.

Imam al-Syafi‘i menyatakan:

وَبَيَانُ أَنَّ عَلَى الْوَالِدِ نَفَقَةُ الْوَلَدِ دُونَ أُمِّهِ، كَانَتْ أُمُّهُ مُتَزَوِّجَةً أَوْ مُطَلَّقَةً.

Maksudnya: “Dan sebagai penjelasan bahawa nafkah anak menjadi tanggungjawab bapanya, bukan ibunya, sama ada ibunya masih berada dalam ikatan perkahwinan ataupun telah diceraikan.” [Rujuk: al-Syafi‘i, al-Umm, jld. 5, hlm. 108, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 1410H/1990M].

Imam al-Mawardi pula menjelaskan bahawa anak yang mempunyai harta sendiri pada asalnya dinafkahi daripada hartanya, sedangkan kewajipan nafkah ke atas bapa berkaitan dengan keadaan anak yang fakir dan tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi. [Rujuk: al-Mawardi, al-Ḥāwī al-Kabīr, jld. 11, hlm. 478, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah].

Oleh itu, sekiranya bekas suami masih hidup dan mempunyai kemampuan menanggung anak-anak, kewajipan asal tersebut tidak boleh diabaikan hanya kerana perceraian.

Namun dari sudut penentuan kemampuan wanita tersebut, realiti kehidupannya juga perlu diambil kira. Sekiranya beliau pada hakikatnya terpaksa menanggung keperluan asas anak-anak bagi mengelakkan mereka terabai, perbelanjaan yang benar-benar diperlukan itu tidak wajar diketepikan begitu sahaja ketika menilai kemampuan kewangannya, sekalipun beliau mempunyai hak untuk menuntut nafkah daripada bapa anak-anak.

Sekiranya pendapatan beliau hanya mencukupi untuk keperluan dirinya dan anak-anak yang berada dalam penjagaannya serta tiada lebihan yang sebenar, beliau tidak dibebankan untuk memberikan bantuan kewangan kepada abang atau kakak. Dia masih boleh membantu melalui penjagaan, penyediaan makanan, urusan hospital dan bentuk khidmat lain.

 

Jawapan Kepada Persoalan Kategori Kedua

1. Hukum anak tiri menjaga ibu atau bapa tiri yang uzur dan tidak berharta

Pada asasnya, hubungan ibu atau bapa tiri merupakan hubungan musaharah, bukan hubungan usul dan furuk dari sudut nasab. Oleh itu, tidak wujud kewajipan nafkah hanya kerana seseorang itu merupakan ibu atau bapa tiri.

Namun terdapat satu perbahasan khusus dalam mazhab al-Syafi‘i yang perlu dibezakan daripada hukum tersebut. Apabila seorang bapa yang miskin berhak menerima nafkah daripada anaknya dan dia mempunyai isteri yang masih sah, fuqaha membincangkan bahawa nafkah isteri bapa tersebut boleh termasuk dalam keperluan bapa yang perlu ditanggung.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan:

كَمَا يَلْزَمُ الْوَلَدَ نَفَقَةُ الْأَبِ يَلْزَمُهُ نَفَقَةُ رَقِيقِهِ الْمُحْتَاجِ لِخِدْمَتِهِ وَكَذَا زَوْجَتُهُ.

Maksudnya: “Sebagaimana anak diwajibkan menanggung nafkah bapanya, dia juga diwajibkan menanggung nafkah hambanya yang diperlukan untuk berkhidmat kepadanya, demikian juga isterinya.” [Rujuk: al-Khatib al-Syirbini, Mughnī al-Muḥtāj, jld. 5, sekitar hlm. 184, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah].

 

Perlu ditegaskan bahawa kewajipan tersebut bukan kerana wanita itu mempunyai hak nafkah sebagai “ibu tiri”, tetapi kerana beliau masih merupakan isteri kepada bapa yang nafkah dan keperluannya sedang ditanggung oleh anak.

Oleh sebab itu, hukum tersebut tidak terpakai kepada fakta kes ini, kerana bapa telah menceraikan kedua-dua isterinya semasa hidup dan tidak berkahwin lagi sehingga meninggal dunia. Mereka bukan lagi isteri kepada bapa ketika kematiannya.

Dengan demikian, anak-anak daripada isteri pertama tidak mempunyai kewajipan nafaqah al-qarabah terhadap bekas isteri kedua bapa semata-mata kerana beliau pernah menjadi ibu tiri mereka. Begitu juga anak-anak daripada isteri kedua tidak mempunyai kewajipan nafkah terhadap bekas isteri pertama bapa semata-mata atas hubungan tersebut.

Namun membantu bekas ibu tiri yang sudah tua, uzur dan tidak berharta tetap merupakan satu bentuk ihsan, penghormatan terhadap hubungan kekeluargaan yang pernah terjalin dan akhlak yang sangat terpuji, khususnya apabila telah hidup sebagai satu keluarga dalam tempoh yang panjang.

 

2. Hukum anak kandung lelaki dan perempuan menjaga ibu bapa kandung yang uzur

Berbeza dengan adik-beradik dan ibu tiri, nafkah terhadap ibu bapa kandung yang miskin dan memerlukan ialah kewajipan syarak apabila anak mempunyai kemampuan.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan:

يَلْزَمُهُ أَيْ الشَّخْصَ ذَكَرًا كَانَ أَوْ غَيْرَهُ نَفَقَةُ الْوَالِدِ الْحُرِّ وَإِنْ عَلَا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَالْوَلَدِ الْحُرِّ وَإِنْ سَفَلَ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى.

Maksudnya: “Seseorang, sama ada lelaki atau selainnya, wajib menanggung nafkah ibu bapanya yang merdeka walaupun ke atas, sama ada lelaki atau perempuan, serta anaknya walaupun ke bawah, sama ada lelaki atau perempuan.”

Beliau berhujah dengan firman Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Beliau kemudian menjelaskan:

وَمِنَ الْمَعْرُوفِ الْقِيَامُ بِكِفَايَتِهِمَا عِنْدَ حَاجَتِهِمَا.

Maksudnya: “Dan antara bentuk pergaulan yang baik ialah memenuhi kecukupan kedua-duanya ketika mereka memerlukan.” [Rujuk: Mughnī al-Muḥtāj, jld. 5, hlm. 183].

 

Al-Khatib al-Syirbini turut menukilkan ijmak yang dinyatakan oleh Ibn al-Mundhir:

وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ نَفَقَةَ الْوَالِدَيْنِ اللَّذَيْنِ لَا كَسْبَ لَهُمَا وَلَا مَالَ وَاجِبَةٌ فِي مَالِ الْوَلَدِ.

Maksudnya: “Para ulama telah berijmak bahawa nafkah kedua-dua ibu bapa yang tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai harta adalah wajib daripada harta anak.”

Kewajipan tersebut tidak dikhususkan kepada anak lelaki. Anak perempuan yang mempunyai harta sendiri dan memenuhi syarat kemampuan juga termasuk dalam kewajipan tersebut.

Selain nafkah berbentuk wang, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur merangkumi memastikan makan minum, rawatan, tempat tinggal, keselamatan dan bantuan fizikal yang diperlukan. Institusi fatwa Jordan turut menegaskan bahawa khidmat serta penjagaan ibu bapa tidak terbatas kepada anak lelaki tetapi turut melibatkan anak perempuan.

Dalam aplikasi terhadap kes ini, perlu diperjelaskan bahawa setiap ibu hanya merupakan ibu kandung kepada anak-anak yang dilahirkannya. Oleh itu, lima orang anak daripada isteri pertama mempunyai hubungan furuk dengan ibu pertama dan merekalah yang tertakluk kepada kewajipan nafkah terhadap beliau apabila syarat-syaratnya dipenuhi. Tiga orang anak daripada isteri kedua pula mempunyai kewajipan yang sama terhadap ibu kandung mereka sendiri.

Anak-anak daripada ibu yang lain tidak menjadi wajib menanggung bekas isteri bapa tersebut atas alasan nafkah ibu kandung, kerana tidak terdapat hubungan usul-furuk antara mereka.

 

3. Kadar kemampuan bagi anak lelaki yang telah beristeri

Dalam menentukan kemampuan seorang anak untuk menanggung ibu bapanya, syarak tidak menetapkan angka gaji tertentu.

Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan syarat kemampuan sebagai:

بِشَرْطِ يَسَارِ الْمُنْفِقِ بِفَاضِلٍ عَنْ قُوتِهِ وَقُوتِ عِيَالِهِ فِي يَوْمِهِ.

Maksudnya: “Dengan syarat pihak yang menanggung nafkah itu berada dalam keadaan mampu, iaitu mempunyai lebihan daripada keperluan dirinya dan tanggungannya pada hari tersebut.” [Rujuk: Mughnī al-Muḥtāj, jld. 5, hlm. 189]

Beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan qut atau makanan di sini turut merangkumi keperluan wajib lain seperti tempat tinggal dan pakaian.

Oleh itu, bagi anak lelaki yang telah beristeri, ukuran kemampuan dilihat selepas mengambil kira nafkah wajib diri, isteri dan anak-anak yang berada di bawah tanggungannya serta keperluan asas yang munasabah.

Sekiranya selepas memenuhi semua perkara tersebut tidak terdapat lebihan, dia tidak dianggap mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi pada waktu tersebut.

Namun apabila terdapat lebihan yang memenuhi syarat kemampuan, nafkah ibu atau bapa kandung yang miskin tidak lagi sekadar sedekah sunat, bahkan menjadi kewajipan.

 

Pembahagian tanggungan apabila terdapat beberapa orang anak

Bahagian ini perlu dijelaskan dengan berhati-hati kerana teks Mughnī al-Muḥtāj tidak menyatakan secara mudah bahawa “siapa yang lebih kaya wajib membayar lebih banyak”.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan:

وَمَنْ اسْتَوَى فَرْعَاهُ فِي قُرْبٍ وَإِرْثٍ أَوْ عَدَمِهِمَا، وَإِنِ اخْتَلَفَا فِي الذُّكُورَةِ وَعَدَمِهَا كَابْنَيْنِ أَوْ بِنْتَيْنِ أَوِ ابْنٍ وَبِنْتٍ أَنْفَقَا عَلَيْهِ، وَإِنْ تَفَاوَتَا فِي قَدْرِ الْيَسَارِ...

Maksudnya: “Sekiranya dua orang anak berada pada kedudukan yang sama dari sudut kedekatan dan pewarisan atau ketiadaannya, sama ada kedua-duanya lelaki, kedua-duanya perempuan ataupun seorang lelaki dan seorang perempuan, maka kedua-duanya menanggung nafkah tersebut, sekalipun berbeza kadar kekayaan mereka.”

Seterusnya beliau menyatakan:

وَهَلْ يَسْتَوِيَانِ فِي قَدْرِ الْإِنْفَاقِ، أَمْ يُوَزَّعُ الْإِنْفَاقُ بَيْنَهُمَا بِحَسَبِ الْإِرْثِ؟ وَجْهَانِ ... وَالْأَوَّلُ أَوْجَهُ.

Maksudnya: “Adakah kedua-duanya sama pada kadar nafkah, ataupun nafkah tersebut dibahagikan menurut kadar pusaka? Terdapat dua pandangan ... dan pandangan pertama adalah lebih kuat.” [Rujuk: Mughnī al-Muḥtāj, jld. 5, hlm. 189].

 

Teks ini jelas menunjukkan bahawa “pandangan pertama” yang dianggap awjah ialah persamaan pada kadar nafkah, bukannya pembahagian menurut nisbah pusaka atau semata-mata kadar kekayaan.

Dengan itu, sekiranya beberapa orang anak berada pada darjat hubungan yang sama dan kesemuanya memenuhi syarat kemampuan, hukum asal tanggungjawab tersebut melibatkan kesemua mereka.

Walau bagaimanapun, dari sudut pengurusan keluarga, tidak menjadi masalah sekiranya adik-beradik saling bersetuju bahawa pihak yang mempunyai ruang kewangan lebih besar menyumbang lebih banyak secara reda, manakala yang lain menyumbang melalui penjagaan, pengangkutan atau pengurusan rawatan. Persetujuan sedemikian merupakan bentuk ta‘awun dan tidak bercanggah dengan syarak. Tetapi ia perlu dibezakan daripada mengatakan bahawa mazhab al-Syafi‘i secara mutlak mewajibkan anak paling kaya membayar kadar paling banyak.

 

4. Kadar kemampuan anak perempuan yang telah bercerai dan mempunyai empat orang anak

Prinsip asas yang sama terpakai kepada anak perempuan. Kewajipan terhadap ibu bapa tidak gugur semata-mata kerana dia seorang wanita atau telah berkahwin ataupun bercerai.

Sekiranya dia mempunyai harta atau pendapatan sendiri dan terdapat lebihan sebenar selepas memenuhi keperluan wajib dirinya serta keperluan yang benar-benar ditanggung olehnya, dia termasuk dalam kalangan anak yang berkemampuan.

Namun sekiranya pendapatannya hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas dirinya dan anak-anak yang berada dalam penjagaannya, sedangkan tiada lebihan yang sebenar, dia tidak dibebankan dengan kewajipan kewangan yang tidak termampu.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Walaupun begitu, kekurangan kemampuan kewangan tidak menggugurkan tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa. Dia masih boleh menyumbang melalui penjagaan fizikal, urusan rawatan, pembelian barang keperluan, pengangkutan, penyediaan makanan, menemani ibu atau bapa di hospital atau membantu dalam bentuk lain yang mampu dilakukan.

 

Kesimpulan

Berdasarkan keseluruhan perbahasan, dapat dirumuskan bahawa menurut mazhab al-Syafi‘i, nafkah antara abang, kakak dan adik tidak menjadi kewajipan semata-mata kerana hubungan persaudaraan. Oleh itu, sakit, status OKU, tidak bekerja ataupun uzur tidak dengan sendirinya menjadikan seseorang abang atau kakak mempunyai hak nafkah wajib terhadap adik-beradiknya.

Namun membantu saudara yang berada dalam kesusahan merupakan tuntutan ihsan, silaturahim dan kebajikan yang sangat besar nilainya. Apabila keadaan telah sampai kepada darurat sehingga keselamatan, makanan, tempat tinggal atau rawatan asas seseorang terancam, kewajipan membantu boleh timbul atas dasar menghilangkan kemudaratan, bukan atas dasar nafkah persaudaraan semata-mata.

Dalam kes abang dan kakak sulung, kewujudan ibu kandung mereka yang masih hidup juga perlu diambil kira. Sekiranya mereka benar-benar fakir dan tidak mampu mencari nafkah sedangkan ibu kandung mempunyai kemampuan, hubungan nafkah antara usul dan furuk terpakai menurut syarat-syaratnya.

Adapun nafkah ibu bapa kandung yang fakir dan memerlukan merupakan kewajipan anak-anak yang berkemampuan, sama ada lelaki atau perempuan. Bagi keluarga yang dikemukakan, setiap ibu hendaklah dilihat kepada anak-anak kandungnya sendiri: anak-anak daripada isteri pertama terhadap ibu pertama dan anak-anak daripada isteri kedua terhadap ibu kedua.

Bekas isteri bapa yang bukan ibu kandung pula tidak mempunyai hak nafkah ke atas anak tiri semata-mata atas hubungan persemendaan. Perbahasan fuqaha tentang kewajipan menanggung “isteri bapa” hanya terpakai ketika wanita tersebut masih menjadi isteri sah kepada bapa yang sedang berada dalam tanggungan nafkah anak, dan tidak terpakai kepada kes apabila perceraian telah berlaku.

Akhirnya, ukuran kemampuan bukanlah ditentukan oleh jumlah gaji secara mutlak, tetapi berdasarkan kewujudan lebihan selepas keperluan diri serta nafkah wajib yang munasabah dipenuhi. Sekiranya beberapa orang anak yang sama darjat semuanya memenuhi syarat kemampuan, kesemuanya berkongsi tanggungjawab terhadap ibu bapa. Mereka boleh bermuafakat mengenai kaedah pelaksanaannya supaya kebajikan ibu bapa terjamin dan tanggungjawab tersebut tidak dibiarkan dipikul oleh seorang anak sahaja.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar dalam menunaikan hak keluarga, memelihara silaturahim serta melaksanakan setiap amanah menurut neraca syariat-Nya.

Wallahu a‘lam.