Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Soalan Pertama:
Dalam situasi yang dijelaskan, puan tidak meyakini dengan jelas sama ada tompokan kecil pada karpet tersebut benar-benar darah atau bukan. Maka, hukum asal karpet tersebut kekal suci dan ia tidak perlu dihukumkan najis semata-mata kerana sangkaan atau keraguan.
Namun, sekiranya puan meyakini bahawa tompokan itu adalah darah, cara penyucian yang telah dilakukan adalah memadai sekiranya ‘ain najis telah dihilangkan dan air mutlak telah dialirkan ke kawasan tersebut. Tidak disyaratkan penggunaan sabun, dan tidak disyaratkan kawasan itu kering terlebih dahulu sebelum dialirkan air. Adapun sedikit kesan warna yang masih tinggal selepas dibasuh, jika sukar dihilangkan, ia dimaafkan dan tidak menjejaskan kesucian.
Soalan Kedua:
Buih-buih sabun yang dilihat di bawah pintu tandas tidak dihukumkan najis semata-mata kerana berada berhampiran kawasan puan membersihkan diri ketika haid. Selagi tidak diyakini bahawa buih tersebut bercampur dengan darah haid atau najis, maka hukumnya kekal suci. Keraguan semata-mata tidak memberi kesan kepada hukum, dan puan dinasihatkan agar tidak melayan perasaan was-was tersebut.
Soalan Ketiga:
Bagi wanita haid yang mengalami darah yang banyak, hukum asal darah haid adalah najis dan perlu dibersihkan sekadar kemampuan. Jika air bilasan jelas bercampur darah lalu terkena pakaian atau badan, maka asalnya ia perlu dibersihkan.
Namun, sekiranya puan telah berusaha membersihkan kawasan kemaluan dan sekitarnya semampu mungkin, tetapi masih berlaku percikan atau titisan yang sedikit dan sukar dielakkan, maka keadaan tersebut termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana kesukaran yang berulang dan umum al-balwa. Oleh itu, puan tidak perlu membebankan diri secara berlebihan sehingga perlu membuka semua pakaian setiap kali masuk ke tandas, melainkan jika terdapat najis yang jelas dan mampu dibersihkan dengan mudah.
Soalan Keempat:
Keputihan yang keluar berterusan perlu dilihat keadaannya. Jika ia keluar sekali-sekala dan masih ada tempoh yang cukup untuk bersuci dan menunaikan solat, maka puan hendaklah menunggu waktu yang sesuai, membersihkan diri, berwuduk dan solat seperti biasa.
Namun, jika keputihan itu benar-benar berterusan sehingga sukar mendapat tempoh bersih yang mencukupi untuk berwuduk dan solat, maka puan mengambil hukum orang yang sentiasa berhadas. Dalam keadaan ini, puan hendaklah membersihkan kawasan yang terkena najis, memakai pelapik sekadar kemampuan, kemudian berwuduk selepas masuk waktu solat. Satu wuduk digunakan untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat.
Bagi solat qada pula, pendekatan yang lebih berhati-hati ialah memperbaharui wuduk bagi setiap solat fardu qada. Namun, puan tidak perlu menjadikan qada solat sebagai beban yang terlalu berat sehingga menimbulkan keletihan fizikal dan tekanan emosi. Laksanakanlah secara berperingkat, sedikit demi sedikit, kerana syarak tidak datang untuk menyusahkan, bahkan untuk membimbing hamba kembali kepada Allah dengan tenang dan teratur.
Jawapan Tafsil
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Berdasarkan persoalan yang diajukan, dapat difahami bahawa puan sedang menghadapi beberapa keadaan berkaitan taharah ketika haid, iaitu keraguan terhadap tompokan pada karpet, hukum buih sabun di kawasan tandas, titisan air selepas istinjak ketika darah haid banyak, serta masalah keputihan yang berterusan ketika hendak menunaikan solat qada.
Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan cermat kerana ia bukan sekadar berkaitan hukum najis dan bersuci, bahkan turut menyentuh masalah waswas yang boleh menyebabkan seseorang merasa terbeban dalam ibadah. Oleh itu, jawapan ini akan dihuraikan berdasarkan beberapa asas penting dalam fiqh taharah.
Waswas Berkenaan Perpindahan Najis
Dalam menentukan sama ada sesuatu najis benar-benar terkena pada badan, pakaian, lantai, karpet atau tempat tertentu, syarak menetapkan bahawa hukum tidak dibina di atas sangkaan, andaian atau perasaan waswas semata-mata. Hukum hanya berubah apabila wujud keyakinan atau tanda yang jelas bahawa najis benar-benar ada atau telah berpindah.
Justeru, selagi mana seseorang tidak meyakini secara pasti bahawa najis telah mengenai atau berpindah kepada sesuatu tempat, maka hukum asal kesucian tidak berubah. Sesuatu yang asalnya suci kekal dihukumkan suci sehingga terbukti sebaliknya dengan yakin.
Perkara ini bersandarkan kepada kaedah fiqh iaitu:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Sesuatu keyakinan tidak akan hilang kerana satu syak (keraguan).
Kaedah ini memberi makna bahawa keyakinan asal terhadap kesucian sesuatu tempat, pakaian atau badan tidak boleh dihilangkan semata-mata kerana timbul rasa ragu-ragu. Jika seseorang hanya berkata, “mungkin terkena najis”, “barangkali sudah berpindah”, atau “saya tidak pasti sama ada ia darah atau bukan”, maka keraguan seperti ini tidak mencukupi untuk menghukumkannya sebagai najis.
Kaedah ini juga bersumberkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW:
عَنْ عَبَّادِ بْنِ تَمِيمٍ، عَنْ عَمِّهِ:أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: الرَّجُلُ الَّذِي يُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ يَجِدُ الشَّيْءَ فِي الصَّلَاةِ؟ فَقَالَ: (لَا يَنْفَتِلْ - أَوْ: لَا يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا).
Maksudnya: Daripada ‘Abbad bin Tamim meriwayatkan, daripada bapa saudaranya yang mengadu kepada Nabi SAW tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar daripada duburnya sesuatu atau tidak? Nabi SAW menjawab: “Janganlah dia keluar dari solatnya sehinggalah dia yakin terdengar bunyi (kentut) atau mencium baunya”.
[Sahih al-Bukhari (137)]
Hadis ini menunjukkan bahawa syarak tidak membenarkan seseorang membatalkan hukum asal yang yakin hanya kerana lintasan ragu-ragu. Selagi tiada tanda yang jelas, maka hukum asal masih kekal.
Dalam keadaan sekiranya seseorang tidak pasti bahawa perpindahan najis itu benar- benar berlaku atau tidak, maka para fuqaha Syafie telah menjelaskan bahawa hukum asal sesuatu benda adalah suci melainkan terdapat bukti yang jelas menunjukkan ia bernajis.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab menyebutkan bahawa:
الْأَصْلُ الطَّهَارَةُ إِلَّا إِذَا تَيَقَّنَّ النَّجَاسَةَ
Maksudnya: Asal (segala sesuatu) adalah suci kecuali jika kita yakin tentang kenajisannya. [Rujuk: al-Majmu’ Syarh al- Muhadzab, jld. 1, hlm. 177]
Berdasarkan asas ini, berbalik kepada situasi pertama yang dikemukakan, tompokan kecil berwarna merah atau coklat pada karpet tidak semestinya dihukumkan sebagai darah haid. Puan sendiri menyatakan bahawa tidak pasti sama ada tompokan itu benar-benar darah atau bukan. Maka, dalam keadaan tidak pasti, hukum asal karpet tersebut ialah suci.
Tambahan pula, warna merah atau coklat semata-mata tidak mencukupi untuk menetapkan bahawa ia adalah darah haid, lebih-lebih lagi apabila tompokan itu terlalu sedikit dan tidak dipastikan melalui tanda yang jelas. Maka, karpet tersebut tidak perlu dihukumkan najis semata-mata kerana sangkaan.
Namun begitu, sekiranya puan meyakini bahawa tompokan itu memang darah haid, maka darah haid adalah najis dan hendaklah disucikan sebagaimana najis mutawassitah. Cara menyucikannya ialah dengan menghilangkan ‘ain najis terlebih dahulu, kemudian mengalirkan air mutlak ke kawasan yang terkena najis sehingga hilang sifat-sifat najis, iaitu bau, warna dan rasa.
Dalam situasi puan telah menggosok tompokan tersebut dengan kapas basah dan kemudian mengalirkan air mutlak ke kawasan berkenaan. Maka, jika ‘ain najis telah hilang dan air mutlak telah dialirkan, cara penyucian tersebut adalah memadai.
Tidak disyaratkan kawasan itu mesti kering terlebih dahulu sebelum dialirkan air. Tidak disyaratkan juga menggunakan sabun untuk menjadikan basuhan itu sah. Sabun hanyalah alat bantu untuk memudahkan hilangnya kesan, bau atau kotoran, tetapi bukan syarat sah penyucian najis menurut hukum syarak.
Adapun jika masih tinggal sedikit kesan warna selepas dibasuh, sedangkan ‘ain najis telah hilang dan kesan itu sukar dihilangkan, maka kesan tersebut dimaafkan. Ini kerana yang dituntut ialah usaha menghilangkan najis menurut kemampuan yang munasabah, bukan memaksa diri sehingga menimbulkan kesusahan dan waswas yang berpanjangan.
Hukum Buih Sabun di Kawasan Tandas
Bagi situasi kedua, puan melihat buih sabun di kawasan bawah pintu tandas selepas mandi ketika haid. Buih tersebut berada tidak jauh daripada kawasan membersihkan diri, namun puan tidak melihatnya secara dekat dan tidak pasti sama ada ia bercampur najis atau tidak.
Dalam keadaan ini, hukum buih tersebut kekal suci. Ia tidak boleh dihukumkan najis semata-mata kerana berada berhampiran tempat seseorang mandi atau membersihkan diri ketika haid. Kedudukan sesuatu benda yang hampir dengan tempat najis tidak menjadikannya najis secara automatik.
Najis hanya dihukumkan berpindah apabila diyakini berlaku perpindahan najis, seperti nampak darah mengenainya, jelas terdapat perubahan sifat yang menunjukkan ia bercampur najis, atau terdapat bukti yang kuat sehingga menghasilkan keyakinan. Adapun sekadar melihat buih dari jauh, kemudian timbul rasa ragu-ragu sama ada ia bernajis atau tidak, maka itu tidak memberi kesan kepada hukum.
Oleh itu, buih-buih sabun tersebut tidak wajib dibersihkan kerana tidak diyakini bernajis. Puan dinasihatkan agar tidak melayan perasaan waswas dalam keadaan seperti ini. Membuka ruang kepada andaian demi andaian dalam bab najis akan menyebabkan ibadah menjadi berat, sedangkan syarak datang membawa kemudahan dan ketenangan.
Percikan Air Basuhan Najis Ketika Haid
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kebersihan. Bersuci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat merupakan antara syarat sah solat. Namun pada masa yang sama, Islam juga tidak membebankan seseorang dengan perkara yang berada di luar kemampuan atau sangat sukar dielakkan.
Allah SWT berfirman:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan atas kamu sebarang kesukaran dalam agama.”
(Surah al-Hajj: 78).
Begitu juga firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah: 185).
Dalam kaedah fiqh juga disebutkan:
المشقة تجلب التيسير
Maksudnya: “Kesukaran membawa kepada kemudahan.”
Kaedah ini tidak bermaksud seseorang boleh bermudah-mudah dalam perkara najis, tetapi ia bermaksud bahawa apabila berlaku kesukaran yang nyata dan berulang, maka syarak memberi ruang keringanan sekadar keperluan.
Telah dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa:
وجعل الطهارة من النجاسة شرطاً لصحة الصلاة سواء في الثوب أم البدن أم المكان.
إلا أن الدين راعى اليسر، وعدم الحرج، فعفا عن بعض النجاسات لتعذر إزالتها، أو مشقة الاحتراز عنها، تسهيلاً على الناس، ورفعاً للحرج عنهم، وإليك بعض هذه المعفوات: رَشاش البول البسيط الذي لا يدركه الطَّرْف المعتدل إذا أصاب الثوب أو البدن، سواء كانت النجاسة مغلظة أم مخففة أم متوسطة.
Maksudnya: Islam juga telah menetapkan bahawa bersuci daripada najis sama ada pada pakaian, tubuh badan atau tempat sebagai satu daripada syarat sah solat. Namun, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Oleh itu, Islam memaafkan sesetengah najis yang susah untuk dihilangkan dan sukar memelihara diri daripadanya bagi memudahkan dan mengelak daripada sebarang kesulitan. Antara najis yang dimaafkan ialah: percikan kencing yang sedikit yang tidak dapat dilihat sama ada pada pakaian atau badan, sama ada najis tersebut mughallazah, mukhaffafah atau mutawassitah. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, jld. 1, hlm. 43]
Berdasarkan kenyataan ini, terdapat najis tertentu atau kesan najis yang dimaafkan apabila ia terlalu sedikit, sukar dielakkan, dan menyebabkan kesukaran yang berulang kepada seseorang.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, darah haid adalah najis. Maka, jika air bilasan yang jelas bercampur darah haid terkena pada pakaian atau badan dalam kadar yang nyata dan mudah dibersihkan, maka ia hendaklah dibersihkan.
Namun, bagi wanita yang mengalami haid dengan darah yang banyak, khususnya ketika beristinjak atau membersihkan kemaluan selepas membuang air kecil, kemungkinan berlaku titisan air yang bercampur dengan sedikit darah atau kesan darah adalah sesuatu yang sukar dielakkan sepenuhnya. Apatah lagi jika setiap kali masuk tandas puan terpaksa membuka semua pakaian, memeriksa setiap bahagian badan dan seluar secara berulang-ulang sehingga menimbulkan kepenatan dan tekanan.
Dalam keadaan seperti ini, sekiranya puan telah berusaha membersihkan kawasan kemaluan dan sekitarnya semampu mungkin, kemudian masih berlaku percikan kecil atau titisan yang sedikit yang sukar dielakkan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana masyaqqah dan umum al-balwa.
Umum al-balwa bermaksud keadaan kesukaran yang meluas dan berulang sehingga sukar untuk seseorang menghindarinya secara sempurna. Dalam keadaan seperti ini, syarak memberi keringanan agar seseorang tidak terperangkap dalam beban yang melampaui kemampuan.
Oleh itu, puan tidak perlu membebankan diri secara berlebihan sehingga perlu membuka semua pakaian setiap kali masuk ke tandas hanya kerana takut kemungkinan air bilasan terpercik. Memadai membersihkan kawasan yang jelas terkena najis, berhati-hati dengan kadar yang munasabah, kemudian berpaling daripada waswas selepas selesai bersuci.
Dalam masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa keringanan ini tidak bermaksud mengabaikan kebersihan. Jika terdapat darah atau najis yang jelas kelihatan pada seluar, pakaian atau badan, dan ia mudah dibersihkan, maka hendaklah dibersihkan. Tetapi jika sekadar sangkaan, percikan yang terlalu sedikit, atau perkara yang sukar dielakkan setelah seseorang berusaha sedaya upaya, maka ia dimaafkan.
Keputihan yang Berterusan dan Solat Qada
Keputihan atau kelembapan faraj merupakan antara isu yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan wanita. Dalam mazhab Syafi‘i, keputihan yang keluar daripada bahagian dalam faraj dihukumkan najis dan membatalkan wuduk apabila keluar ke bahagian zahir yang wajib dibasuh. Perkara ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam al- Bujairami dalam kitabnya:
وَالْحَاصِلُ أَنَّهُ مَتَى خَرَجَتْ مِنْ مَحَلٍّ لَا يَجِبُ غَسْلُهُ فَهِيَ نَجِسَةٌ لِأَنَّهَا حِينَئِذٍ رُطُوبَةٌ جَوْفِيَّةٌ، وَهِيَ إذَا خَرَجَتْ إلَى الظَّاهِرِ حُكِمَ بِنَجَاسَتِهَا
Maksudnya: Kesimpulannya, apabila cecair tersebut keluar daripada bahagian yang tidak wajib dibasuh, maka ia dihukum sebagai najis. Hal ini demikian kerana pada ketika itu ia dianggap sebagai kelembapan dalaman (keputihan) dan apabila ia keluar ke bahagian zahir faraj, maka dihukumkan sebagai najis. [Rujuk: Hasyiah al- Bujairami ‘ala al-Khatib, jld. 1, hlm. 108]
Maka, berdasarkan pandangan mazhab Syafi‘i, keputihan yang keluar ke bahagian zahir hendaklah dibersihkan kerana ia najis, dan keluarnya juga membatalkan wuduk.
Namun begitu, perlu dibezakan antara dua keadaan.
Keadaan pertama ialah keputihan yang keluar sekali-sekala. Dalam keadaan ini, seseorang hendaklah membersihkan kawasan yang terkena keputihan, kemudian berwuduk dan menunaikan solat seperti biasa. Jika ada waktu yang cukup untuk bersuci dan solat dalam keadaan bersih, maka dia tidak mengambil hukum da’im al-hadath.
Keadaan kedua ialah keputihan yang keluar secara berterusan atau terlalu kerap sehingga seseorang sukar mendapat tempoh yang cukup untuk membersihkan diri, berwuduk dan menunaikan solat tanpa keluar semula keputihan tersebut. Dalam keadaan ini, barulah dia mengambil hukum orang yang sentiasa berhadas atau da’im al-hadath, sebagaimana hukum wanita yang mengalami istihadah.
Bagi golongan da’im al-hadath, beberapa perkara perlu diberi perhatian:
Pertama, hendaklah membersihkan faraj atau kawasan yang terkena keputihan sekadar kemampuan.
Kedua, hendaklah memakai tuala wanita, pantyliner, kapas atau pelapik yang sesuai bagi mengurangkan keluarnya najis ke pakaian, sekiranya tidak memudaratkan dan mampu dilakukan.
Ketiga, hendaklah mengambil wuduk selepas masuk waktu solat fardu. Wuduk bagi da’im al-hadath tidak dilakukan sebelum masuk waktu, kerana ia adalah wuduk darurat yang dikaitkan dengan keperluan menunaikan solat dalam waktunya.
Keempat, satu wuduk digunakan untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat. Selepas selesai satu solat fardu, jika hendak menunaikan solat fardu yang lain, maka hendaklah memperbaharui wuduk.
Berhubung solat qada, solat qada juga mengambil hukum solat fardu. Maka, bagi seseorang yang benar-benar berada dalam hukum da’im al-hadath, pendekatan yang lebih berhati-hati ialah memperbaharui wuduk bagi setiap solat fardu qada yang hendak dilakukan.
Walau bagaimanapun, puan tidak perlu menjadikan qada solat sebagai suatu beban yang terlalu berat sehingga menimbulkan keletihan fizikal dan tekanan emosi. Syarak memerintahkan qada solat yang ditinggalkan, namun pelaksanaannya boleh disusun secara berperingkat menurut kemampuan. Apa yang penting ialah adanya usaha yang konsisten, bukan memaksa diri menyelesaikan terlalu banyak solat dalam satu masa sehingga akhirnya menimbulkan rasa jemu, tertekan dan waswas.
Sebagai contoh, puan boleh menyusun qada solat secara sedikit demi sedikit, seperti satu atau dua solat qada pada waktu yang mampu, dengan menjaga kaedah bersuci yang telah dijelaskan. Pendekatan ini lebih menenangkan dan lebih dekat dengan tujuan syarak yang membimbing manusia beribadah dengan tertib, bukan menjerumuskan mereka ke dalam kesusahan yang tidak berkesudahan.
Dalam menghadapi masalah keputihan yang berterusan, puan juga tidak perlu memeriksa keadaan diri secara keterlaluan. Setelah masuk waktu solat, bersihkan diri, pakai pelapik jika perlu, ambil wuduk dan teruskan solat. Jika keputihan keluar selepas itu tanpa dapat dikawal, maka ia tidak membatalkan solat bagi orang yang benar-benar mengambil hukum da’im al-hadath, selagi dia telah mengikuti langkah-langkah bersuci yang ditetapkan.
Panduan Mengurus Waswas
Melihat kepada keseluruhan soalan, jelas bahawa isu utama bukan hanya berkaitan darah, air bilasan, buih sabun atau keputihan, tetapi juga berkaitan waswas yang mengganggu ketenangan dalam beribadah.
Waswas dalam bab taharah sering bermula daripada keinginan untuk berhati-hati. Namun, apabila ia dilayan secara berlebihan, ia boleh berubah menjadi beban yang menyusahkan. Seseorang mula mengulang basuhan, memeriksa tempat yang tidak perlu diperiksa, menghukum najis pada perkara yang tidak pasti, dan akhirnya merasakan ibadah sebagai sesuatu yang berat.
Dalam hal ini, puan dinasihatkan supaya berpegang kepada beberapa panduan berikut:
Pertama, jangan menghukum sesuatu sebagai najis kecuali apabila benar-benar yakin.
Kedua, jangan memeriksa perkara yang tidak dituntut untuk diperiksa. Jika tidak nampak najis dengan jelas, maka teruskan hukum asal iaitu suci.
Ketiga, selepas selesai bersuci dengan cara yang munasabah, jangan ulang semula basuhan hanya kerana timbul rasa tidak puas hati atau rasa “mungkin belum bersih”.
Keempat, bezakan antara berhati-hati yang dituntut dengan waswas yang dilarang. Berhati-hati membawa kepada ketenangan, manakala waswas membawa kepada kesempitan dan keletihan.
Kelima, biasakan diri untuk mengabaikan lintasan ragu-ragu. Dalam banyak keadaan, rawatan paling berkesan bagi waswas ialah tidak melayannya.
Sebagai panduan dan rujukan tambahan, terdapat beberapa pertanyaan yang mempunyai isu hampir sama berkaitan persoalan ini, antaranya
- Waswas Perpindah Najis Mutawasitah (01134)
https://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=WC0KMg==
- Waswas dalam Terpijak Najis (01105)
https://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=WC0JMw==
- Waswas dalam Bab Istinjak (01045)
https://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=WCwNMw==
- Masalah Waswas dalam Kebersihan (01031)
https://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=WCwKNw==
- Was- Was Najis Tersebar (01181)
https://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=WC0BNw==
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara berikut:
Pertama, bagi tompokan kecil pada karpet yang tidak diyakini sama ada darah atau bukan, hukum asal karpet tersebut kekal suci. Ia tidak dihukum najis semata-mata kerana warna merah atau coklat yang menimbulkan keraguan. Namun, jika diyakini ia adalah darah dan telah dibersihkan dengan menghilangkan ‘ain najis serta mengalirkan air mutlak, maka ia dihukumkan suci. Penggunaan sabun tidak diwajibkan, dan sedikit kesan warna yang sukar hilang selepas basuhan adalah dimaafkan.
Kedua, buih sabun di bawah pintu tandas tidak dihukumkan najis selagi tidak diyakini bercampur najis. Keraguan semata-mata tidak mengubah hukum asalnya yang suci.
Ketiga, bagi wanita haid yang mengalami darah yang banyak, darah haid tetap najis dan perlu dibersihkan sekadar kemampuan. Namun, percikan atau titisan kecil yang sukar dielakkan selepas seseorang berusaha membersihkan diri termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana masyaqqah dan umum al-balwa.
Keempat, keputihan yang keluar ke bahagian zahir menurut mazhab Syafi‘i adalah najis dan membatalkan wuduk. Jika ia keluar sekali-sekala, maka hendaklah dibersihkan dan berwuduk seperti biasa. Namun, jika ia keluar secara berterusan sehingga sukar mendapat tempoh cukup untuk bersuci dan solat, maka ia mengambil hukum da’im al-hadath. Dalam keadaan ini, wuduk diambil selepas masuk waktu, dan satu wuduk digunakan untuk satu solat fardu serta beberapa solat sunat. Bagi solat qada, pendekatan yang lebih berhati-hati ialah memperbaharui wuduk bagi setiap solat fardu qada.
Kelima, puan dinasihatkan supaya tidak membebankan diri secara berlebihan dalam bab taharah. Bersuci adalah tuntutan agama, tetapi melayan was-was bukan tuntutan syarak. Islam datang untuk membersihkan manusia, bukan untuk menjerat mereka dalam ketakutan yang tidak berpenghujung.
Tuntasnya, ambillah jalan pertengahan yang diajarkan syarak: bersihkan najis apabila yakin, abaikan keraguan apabila tidak pasti, dan jangan menghukum diri dengan beban yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman, ketenangan dan kekuatan kepada puan dalam melaksanakan ibadah dengan yakin dan tenteram.
Wallahu a‘lam.