Jawapan Ikhtisar
Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Berdasarkan situasi yang dikemukakan, sekiranya kotoran tersebut hanyalah kotoran biasa, berada pada rekahan bawah kaki, tersembunyi, sukar dikesan dan sukar dibersihkan melainkan dengan usaha tambahan seperti menggosok kuat atau menggunakan berus, maka terdapat ruang kemaafan dari sudut kesukaran dan kebiasaan.
Oleh itu, jika seseorang telah berwuduk dan menunaikan solat, kemudian selepas itu baru menyedari adanya kotoran yang tersembunyi pada rekahan kaki tersebut, maka tidak perlu mengulangi wuduk atau solat yang telah ditunaikan, selama mana ia bukan najis yang diyakini dan tidak jelas kelihatan ketika berwuduk.
Bagi solat yang akan datang, memadai membersihkan bahagian tersebut sekadar kemampuan dan kebiasaan. Tidak diwajibkan memeriksa secara berlebihan sehingga membawa kepada waswas. Jika berada di luar dan tiada berus, cukup dibasuh dan digosok sekadar yang mampu dengan tangan atau air yang ada.
Namun, jika kotoran itu jelas kelihatan, mudah dibersihkan, dan diyakini menghalang air daripada sampai ke kulit, maka hendaklah ia dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk bagi menyempurnakan taharah dan keluar daripada khilaf ulama.
Kesimpulannya, Islam tidak membebankan seseorang di luar kemampuannya. Yang dituntut ialah membersihkan anggota wuduk dengan kadar yang munasabah menurut kemampuan, bukan menyelidik secara melampau sehingga menimbulkan waswas.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Wuduk Sebagai Syarat Sah Solat
Wuduk merupakan antara syarat utama bagi sahnya solat. Seseorang yang ingin mendirikan solat wajib berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil, dan kesucian tersebut diperoleh melalui wuduk yang sah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga ke siku, dan sapulah kepala kamu serta basuhlah kaki kamu hingga ke buku lali.”
[Surah al-Ma’idah: 6]
Selain itu, Rasulullah SAW menegaskan kepentingan wuduk melalui sabda Baginda:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ مَنْ أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwuduk.”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Nas-nas ini menunjukkan bahawa kesempurnaan taharah, termasuk kesahihan wuduk, merupakan asas penting sebelum seseorang mendirikan solat.
Kewajipan Memastikan Air Sampai ke Anggota Wuduk
Antara syarat sah wuduk ialah air hendaklah sampai ke seluruh anggota yang wajib dibasuh. Bagi anggota kaki, kawasan yang wajib dibasuh ialah seluruh kaki hingga ke buku lali. Oleh itu, pada hukum asalnya, sebarang bahan yang mempunyai jirim dan menghalang air daripada sampai ke kulit hendaklah dihilangkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
Imam al-Nawawi daripada mazhab shafie menjelaskan:
وَلَوْ تَشَقَّقَتْ رِجْلُهُ، فَجَعَلَ فِي شُقُوقِهَا شَمْعًا أَوْ حِنَّاءً، وَجَبَ إِزَالَةُ عَيْنِهِ، فَإِنْ بَقِيَ لَوْنُ الْحِنَّاءِ، لَمْ يَضُرَّ، وَإِنْ كَانَ عَلَى الْعُضْوِ دُهْنٌ مَائِعٌ فَجَرَى الْمَاءُ عَلَى الْعُضْوِ، وَلَمْ يَثْبُتْ، صَحَّ وُضُوءُهُ، وَلَوْ كَانَ تَحْتَ أَظْفَارِهِ وَسَخٌ يَمْنَعُ وَصُولَ الْمَاءِ، لَمْ يَصِحَّ وُضُوءُهُ عَلَى الْأَصَحِّ
Maksudnya: “sekiranya seseorang mempunyai rekahan pada kakinya lalu mengisi rekahan tersebut dengan lilin atau inai, maka bahan yang mempunyai jirim itu wajib dibuang sebelum berwuduk. Jika selepas dibersihkan hanya tinggal kesan warna inai tanpa sebarang lapisan yang menghalang air, maka hal itu tidak menjejaskan kesahihan wuduk. Begitu juga, jika terdapat minyak yang bersifat cair pada anggota wuduk dan air masih dapat mengalir serta sampai ke kulit, maka wuduknya tetap sah. Sebaliknya, sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku yang menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh, maka wuduk tersebut tidak sah menurut pendapat yang paling kuat dalam mazhab al-Syafi‘i." [Rujuk: al-Nawawi, Rawḍah al-Ṭālibīn, jld. 1, hlm. 64]
Berdasarkan kenyataan ini, dapat difahami bahawa bahan seperti lilin, cat, tar, gam, tanah yang tebal atau kotoran yang benar-benar berlapis sehingga menghalang air daripada sampai ke kulit hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.
Namun begitu, perbahasan ini perlu dilihat dengan cermat. Tidak semua kesan kotoran dianggap sebagai penghalang air. Jika yang tinggal hanyalah kesan warna, kesan yang sangat nipis, atau kotoran yang tidak diyakini menghalang air, maka ia tidak semestinya menjejaskan kesahihan wuduk.
Perbezaan Antara Kotoran Biasa dan Najis
Dalam persoalan ini juga perlu dibezakan antara kotoran biasa dengan najis. Jika kotoran tersebut hanyalah kotoran biasa seperti tanah, debu, daki atau kerak pada rekahan kulit, maka perbahasannya tertumpu kepada sama ada ia menghalang air daripada sampai ke kulit atau tidak.
Adapun jika kotoran tersebut diyakini sebagai najis, maka wajib dibersihkan kerana solat mensyaratkan suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Namun, selagi tidak ada keyakinan bahawa ia najis, maka ia tidak dihukumkan sebagai najis semata-mata berdasarkan sangkaan.
Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”
Maka, seseorang tidak perlu menghukumkan sesuatu kotoran sebagai najis hanya kerana rasa ragu-ragu atau waswas, melainkan terdapat tanda atau keyakinan yang jelas.
Hukum Kotoran yang Sukar Dihilangkan dan Berlaku Secara Meluas
Walaupun hukum asal menuntut agar bahan penghalang air dihilangkan, para ulama turut membincangkan keadaan yang sukar dielakkan, khususnya apabila kotoran itu sedikit, tersembunyi, berada di celah atau rekahan, sukar dikesan, dan sukar dibersihkan melainkan dengan usaha yang berlebihan.
Dalam mazhab Hanafi, al-‘Allamah al-Shurunbulali menyebut dalam Marāqī al-Falāḥ:
ولا يمنع الدرن أي وسخ الأظفار سواء القروي والمصري في الأصح فيصح الغسل مع وجوده
Maksudnya: “Dan kotoran tidak menghalang kesahihan bersuci, iaitu kotoran di bawah kuku, sama ada bagi penduduk kampung atau penduduk bandar menurut pendapat yang lebih sahih. Maka sah mandi atau wuduk walaupun kotoran itu masih ada.” [Rujuk: al-Shurunbulali, Marāqī al-Falāḥ, hlm. 31]
Dalam mazhab Maliki pula, dinyatakan dalam Mawāhib al-Jalīl bahawa kesan dakwat pada tangan seorang penulis diberikan pengecualian daripada hukum umum berkaitan bahan penghalang, kerana kesan tersebut sukar dielakkan bagi orang yang pekerjaannya sentiasa melibatkan dakwat. Imam Malik pernah ditanya tentang seorang penulis yang berwuduk dalam keadaan terdapat kesan dakwat pada tangannya, lalu beliau menyedarinya selepas solat. Imam Malik berpendapat bahawa wuduk dan solatnya tidak terjejas selagi air telah dialirkan ke atas bahagian tersebut, kerana keadaan itu termasuk perkara yang sukar dielakkan bagi golongan tersebut. [Rujuk: al-Hattab, Mawāhib al-Jalīl, jld. 1, hlm. 201]
Dalam mazhab al-Syafi‘i pula, walaupun pendapat yang paling sahih menyatakan bahawa kotoran yang menghalang air di bawah kuku boleh menjejaskan wuduk, terdapat juga pandangan yang memberikan ruang kemaafan dalam keadaan tertentu. Al-Kurdi menukilkan daripada al-Ziyadi dalam Syarḥ al-Muḥarrar:
وَهَذِهِ الْمَسْأَلَةُ مِمَّا تَعُمُّ بِهَا الْبَلْوَى فَقَلَّ مَنْ يَسْلَمُ مِنْ وَسَخٍ تَحْتَ أَظْفَارِ يَدَيْهِ أَوْ رِجْلَيْهِ فَلْيُتَفَطَّنْ لِذَلِكَ
Maksudnya: “Masalah ini termasuk dalam perkara yang meluas berlaku dalam kalangan manusia. Sangat sedikit orang yang benar-benar bebas daripada kotoran di bawah kuku tangan atau kaki mereka. Maka hendaklah perkara ini diberikan perhatian.” [Rujuk: Ibn Hajar al-Haytami, Tuḥfah al-Muḥtāj, jld. 1, hlm. 187]
Begitu juga dalam mazhab Hanbali, Imam al-Mardawi menjelaskan bahawa terdapat pandangan yang memberikan kelonggaran bagi kotoran yang sukar dielakkan, khususnya bagi golongan pekerja seperti petani dan mereka yang sentiasa terdedah kepada kotoran akibat pekerjaan. Hal ini kerana wujudnya unsur kesukaran untuk menghilangkan kotoran tersebut secara berterusan. [Rujuk: al-Mardawi, al-Inṣāf, jld. 1, hlm. 344]
Perbahasan para ulama ini menunjukkan bahawa hukum berkaitan bahan penghalang air tidak boleh dilihat secara sempit tanpa mengambil kira keadaan sebenar seseorang. Syarak menuntut kesempurnaan bersuci, namun pada masa yang sama syarak juga mengambil kira kesukaran, kebiasaan dan keadaan yang sukar dielakkan.
Prinsip Kemudahan Dalam Keadaan Sukar
Kelonggaran yang diberikan kepada orang yang sukar menghilangkan kotoran tertentu adalah berasaskan prinsip umum syarak yang tidak membebankan seseorang melebihi kemampuannya.
Allah SWT berfirman:
لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”
[Surah al-Baqarah: 286]
Allah SWT juga berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuan kamu.”
[Surah al-Taghābun: 16]
Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apa sahaja yang aku perintahkan kepada kamu, maka lakukanlah sekadar kemampuan kamu.”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Dalam kaedah fiqh disebutkan:
المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Kesukaran membawa kepada kemudahan.”
Kaedah ini tidak bermaksud seseorang boleh sengaja mengambil mudah urusan taharah. Sebaliknya, ia bermaksud apabila seseorang telah berusaha membersihkan anggota wuduk menurut kadar kebiasaan dan kemampuannya, tetapi masih terdapat perkara tersembunyi yang sukar dikesan atau sukar dihilangkan, maka syarak tidak membebankannya dengan sesuatu yang melampaui kemampuan biasa.
Aplikasi Kepada Kes Rekahan Bawah Kaki
Berdasarkan soalan yang dikemukakan, kotoran tersebut berada pada rekahan bawah kaki, tidak disedari sebelum ini, dan hanya keluar setelah digosok kuat atau diberus. Keadaan seperti ini berbeza daripada kotoran yang jelas kelihatan, mudah dibuang dan nyata menghalang air.
Jika kotoran itu tersembunyi dalam rekahan, sukar dikesan ketika berwuduk, dan sukar dibersihkan melainkan dengan usaha tambahan seperti memberus atau menggosok kuat, maka terdapat ruang kemaafan menurut sebahagian ulama. Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu telah berwuduk dan solat dalam keadaan dia menyangka wuduknya sempurna, kemudian selepas solat barulah menyedari perkara tersebut.
Syeikh ‘Abd al-Rahman Ba‘alawi menyebut:
أَمَّا الْوَسَخُ الَّذِيْ يَجْتَمِعُ تَحْتَ اْلأَظْفَارِ فَإِنْ لَّمْ يَمْنَعْ وُصُوْلَ الْمَاءِ صَحَّ مَعَهُ الْوُضُوْءُ وَإِنْ مَنَعَ فَلاَ فِي اْلأَصَحِّ وَلَنَا وَجْهٌ وَجِيْهٌ بِالْعَفْوِ اخْتَارَهُ الْغَزَالِيُّ وَالْجُوَيْنِيُّ وَالْقَفَالُ بَلْ هُوَ أَظْهَرُ مِنْ حَيْثُ الْقَوَاعِدُ مِنَ الْقَوْلِ بِعَدَمِهِ عِنْدِيْ إِذِ الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ فَيُجُوْزُ تَقْلِيْدُهُ بِشَرْطِهِ وَلَوْ بَعْدَ الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Adapun kotoran yang terkumpul di bawah kuku, jika ia tidak menghalang sampainya air maka wuduk sah bersamanya. Jika ia menghalang, maka tidak sah menurut pendapat yang paling sahih. Namun, terdapat satu pandangan yang kuat yang memberikan kemaafan, dipilih oleh al-Ghazali, al-Juwaini dan al-Qaffal. Bahkan pandangan ini lebih menepati kaedah fiqh pada pandanganku, kerana kesukaran membawa kepada kemudahan. Maka harus bertaqlid dengan pandangan tersebut menurut syarat-syaratnya, walaupun selepas solat.” [Rujuk: ‘Abd al-Rahman Ba‘alawi, Bughyah al-Mustarshidīn, jld. 1, hlm. 45]
Kenyataan ini memberi ruang kepada orang awam dalam keadaan yang benar-benar menyukarkan, khususnya apabila kotoran itu tersembunyi, sedikit, berlaku pada celah atau rekahan, dan tidak disedari kecuali selepas ibadah selesai.
Adakah Perlu Mengulangi Wuduk dan Solat?
Dalam kes yang ditanya, sekiranya seseorang telah berwuduk dan menunaikan solat, kemudian selepas itu baru menyedari ada kotoran tersembunyi pada rekahan bawah kaki yang hanya dapat dikeluarkan setelah digosok atau diberus, maka tidak perlu mengulangi wuduk dan tidak perlu mengulangi solat yang telah ditunaikan, selagi kotoran tersebut bukan najis yang diyakini dan bukan kotoran jelas yang sengaja dibiarkan.
Hal ini kerana keadaan tersebut termasuk dalam perkara yang sukar dikesan dan sukar dielakkan. Tambahan pula, seseorang tidak dituntut menyelidik setiap celah dan rekahan secara berlebihan sehingga menimbulkan waswas.
Namun, sekiranya sebelum berwuduk seseorang melihat dengan jelas terdapat bahan berjirim yang tebal, mudah dibersihkan, dan diyakini menghalang air daripada sampai ke kulit, maka hendaklah bahan tersebut dibersihkan terlebih dahulu. Jika dia sengaja membiarkannya dalam keadaan mengetahui ia menghalang air, maka wuduknya tidak sempurna dan solatnya hendaklah diulang.
Adakah Perlu Memeriksa Rekahan Kaki Setiap Kali Hendak Solat?
Bagi solat yang akan datang, seseorang hanya perlu membersihkan kaki menurut kadar kebiasaan ketika berwuduk. Memadai membasuh kaki, menggosok bahagian yang biasa terkena air, dan memastikan tiada kotoran yang jelas kelihatan serta mudah dibersihkan.
Tidak wajib memeriksa setiap rekahan kaki secara terperinci setiap kali hendak berwuduk. Pemeriksaan yang melampau boleh membuka pintu waswas, sedangkan syarak tidak membina ibadah atas keraguan yang berlebihan.
Jika berada di luar rumah dan tiada berus, maka memadai membasuh dan menggosok bahagian tersebut sekadar kemampuan dengan tangan dan air yang ada. Tidak wajib mencari berus atau alat khusus semata-mata untuk mengeluarkan kotoran yang tersembunyi dalam rekahan kaki, kecuali jika kotoran itu jelas, mudah dibersihkan dan diyakini menghalang air.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan di atas, hukum bagi persoalan ini boleh dirumuskan seperti berikut:
- Jika kotoran pada rekahan bawah kaki itu tersembunyi, sukar dikesan dan sukar dibersihkan melainkan dengan usaha tambahan seperti memberus atau menggosok kuat, maka terdapat ruang kemaafan menurut sebahagian ulama.
- Solat yang telah dilakukan tidak perlu diulang, selagi kotoran tersebut bukan najis yang diyakini dan bukan kotoran jelas yang sengaja dibiarkan.
- Untuk solat akan datang, memadai membersihkan kaki sekadar kemampuan dan kebiasaan ketika berwuduk.
- Tidak wajib memeriksa setiap rekahan kaki secara berlebihan kerana hal tersebut boleh membawa kepada waswas.
- Jika kotoran itu jelas kelihatan, mudah dibuang dan diyakini menghalang air sampai ke kulit, maka hendaklah ia dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
Kesimpulannya, Islam menuntut kesempurnaan dalam taharah, tetapi tidak membebankan seseorang melampaui kemampuan. Bersuci hendaklah dilakukan dengan cermat dan tenang, bukan dengan rasa waswas yang memberatkan. Apa yang zahir dan mampu dibersihkan hendaklah dibersihkan, manakala perkara yang tersembunyi, sukar dikesan dan menyukarkan diberi keluasan oleh syarak.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar dalam agama, menjauhkan kita daripada waswas, dan menerima ibadah kita dengan rahmat-Nya.
Wallahu a‘lam.