Persoalan : TERTIB MASUK ISLAM (01251)

Saya ada soalan A dan B

A. Saya ingin meminta pencerahan daripada pihak Mufti berkenaan tatacara seseorang yang ingin memeluk Islam semula selepas pernah murtad.

Soalan saya adalah seperti berikut:
1. Bagi seseorang yang ingin kembali memeluk Islam selepas murtad, adakah wajib untuk:
• Mengangkat jari telunjuk semasa mengucap dua kalimah syahadah?
• Bersalaman dengan imam atau pegawai agama semasa proses mengucap?
2. Adakah diwajibkan kehadiran saksi ketika mengucap dua kalimah syahadah tersebut?
3. Atau adakah memadai sekiranya seseorang itu:
• Berniat di dalam hati, dan
• Melafazkan dua kalimah syahadah dengan lidah secara yakin dan sedar,
tanpa sebarang perbuatan tambahan?

B. Saya mempelajari bahawa seseorang boleh terkeluar daripada Islam melalui percakapan tertentu. Setelah saya memahami perkara tersebut, saya merasakan bahawa saya mungkin pernah melakukan perkara sedemikian tanpa sedar.

Apabila saya menyedari hal tersebut, saya telah menarik balik kata-kata tersebut dan mengucap dua kalimah syahadah. Semasa mengucap, saya turut menaikkan jari telunjuk kerana saya pernah melihat orang bukan Islam yang memeluk Islam melakukan perkara yang sama.

Namun, pada ketika itu saya tidak mengetahui dengan jelas apakah syarat-syarat yang sebenar untuk seseorang masuk Islam semula selepas murtad. Apa yang saya fahami hanyalah keperluan untuk menarik balik kata-kata yang membawa kepada kekufuran dan melafazkan dua kalimah syahadah.


Adakah saya dikira islam?
Adakah perlu mandi wajib?
Adakah wajib tahu rukun dan syarat seperti solat juga?

Minta tolong Tuan Mufti senaraikan tertib apa yang perlu dibuat selepas kita sedar kita pernah melakukan perkara yang boleh membawa kearah murtad.

Terima Kasih



Jawapan Ikhtisar

Wa‘alaikumussalam wbt,

Bagi menjawab persoalan-persoalan yang diajukan secara ringkas adalah seperti berikut:

 

Soalan A:

  1. Tidak diwajibkan mengangkat jari telunjuk atau bersalaman dengan pegawai agama ketika mengucap syahadah. Perkara tersebut hanyalah amalan tambahan, bukan syarat sah.
  2. Tidak diwajibkan kehadiran saksi.
  3. Memadai seseorang itu berniat dalam hati serta melafazkan dua kalimah syahadah dengan yakin dan sedar untuk kembali kepada Islam.

Soalan B:

  1. Seseorang tidak dihukum keluar daripada Islam hanya kerana lintasan hati atau keraguan. Selagi tiada keyakinan pasti bahawa telah berlaku kekufuran, maka dia masih dikira sebagai Muslim.
  2. Jika benar telah terlafaz perkataan kufur secara sedar dan sengaja, maka wajib bertaubat dan mengucap syahadah semula.
  3. Tidak wajib mandi, namun disunatkan sebagai tanda penyucian.
  4. Tidak disyaratkan mengetahui semua rukun Islam untuk sah kembali kepada Islam, tetapi wajib mempelajarinya selepas itu.
  5. Tertib yang dianjurkan selepas kembali kepada Islam ialah:
    • Bertaubat dengan sebenar-benar taubat
    • Mengucap dua kalimah syahadah
    • Meninggalkan perbuatan kufur
    • Memperbaharui komitmen terhadap ibadah asas seperti solat
    • Menuntut ilmu agama secara berperingkat

 

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Definisi Murtad Menurut Perspektif Islam

Murtad secara bahasa bermaksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Dari segi istilah memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya. [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 134]

Selain itu, Allah SWT juga melarang hamba-Nya daripada melakukan perbuatan murtad. Firman Allah SWT:

وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”

[Surah al-Baqarah 217]

 

Oleh itu, terdapat tiga aspek yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar atau murtad daripada agama Islam iaitu:

Pertama: Kepercayaan (Iktikad)

Iaitu mempercayai atau meyakini kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam atau menyekutukan Allah atau menolak salah satu rukun iman. Sebagai contoh:

  • Beriman bahawasanya Allah bersifat dengan sifat yang baharu dan alam ciptaan pula bersifat qadim.
  • Menafikan sifat yang wajib bagi Allah secara ijmak atau mengisbatkan sifat yang disepakati ulama ternafi bagi Allah
  • Menghalalkan perkara yang disepakati oleh para ulama Islam tentang pengharamannya atau mengharamkan perkara yang disepakati para ulama Islam tentang hukum halalnya.

Kedua: Ucapan

Mengucapkan kata-kata yang menunjukkan penolakan terhadap Islam atau menghina Allah, Rasulullah, atau kitab suci al-Quran. Sebagai contoh:

  • Mengucapkan kata-kata untuk keluar daripada agama Islam atau mempermainkan nama Allah dan Rasulnya secara jelas daripada mulutnya.
  • Mengucapkan taklik murtad dengan menyatakan: “Jika anakku mati aku jadi Yahudi atau Nasrani.”

Ketiga: Perbuatan

Melakukan tindakan yang secara jelas menunjukkan penolakan terhadap agama Islam. Sebagai contoh:

  • Sujud kepada selain Allah seperti berhala, matahari bulan dan lain-lain
  • Mempersendakan al-Quran atau amalan-amalan dalam agama Islam untuk tujuan penghinaan.
  • Mengamalkan sihir dengan amalan menyekutukan Allah seperti menyembah matahari dan amalan-amalan yang bercanggahan dengan akidah Islam.

[Rujuk Kifayah al-Akhyar fi Ghayah al-Ikhtisar hlm. 493-495]

 

Syarat Murtad Dengan Ucapan

Murtad dengan sebab ucapan akan terjadi sekiranya dilakukan secara sengaja dalam keadaan waras serta tidak ada paksaan dari sesiapa. Oleh sebab itu murtad tidak akan berlaku jika salah satu syarat tersebut tidak wujud. Hal ini dapat difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ : اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ. أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ

Maksudnya: “Kemudian dia (seseorang yang menjumpai unta selepas kehilangannya dalam permusafiran) berkata disebabkan sangat gembira, “Ya Allah, Engkau-lah hambaku, dan akulah tuhan-Mu.” Dia tersilap oleh kerana terlampau gembira.”

 [Sahih Muslim No. 2747]

Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa seseorang yang secara tidak sengaja telah melafazkan ucapan kufur disebabkan terlampau gembira, tidak diambil kira ucapannya itu serta dihukumkan kufur pelakunya.

Merujuk kepada persoalan yang dilontarkan, jika terkeluarnya kalimah kufur tersebut dalam keadaan fikiran sedang terganggu, hilang kewarasan atau tersilap atau tersasul dalam percakapan maka ia termasuk dalam kategori perkara yang tidak disengajakan. Hal ini bersandarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

[Surah al-Ahzab 5]

Juga sepertimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

[Sunan Ibn Majah 2043]

Berdasarkan hadis di atas, ia juga merangkumi sebarang lintasan hati yang mempunyai isi kandungan tersebut. Ini disebabkan lintasan hati tersebut sebenarnya adalah datang daripada bisikan waswas syaitan yang ingin mengganggu keimanan seseorang. Bahkan, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa selagi mana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap (menjadi pegangan yang diyakini) seperti kekufuran atau lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan yang kemudiannya segera dijauhkan maka ia tidak membawa kepada kekufuran dan tiada apa-apa yang dikenakan ke atasnya. [Rujuk al-Adhkar, hlm. 273]

Mempunyai permasalahan seperti ini bukan sesuatu perkara yang normal. Oleh itu, wajib berusaha untuk mengubati penyakit sedemikian. Antara kaedah menangani waswas daripada bisikan syaitan adalah dengan sentiasa mengamalkan doa-doa yang dianjurkan bagi menghindari penyakit waswas sepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ (97) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ (98)

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.”

[Surah al-Mu’minun 97-98]

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ

Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

[Musnad Ahmad 2613]

Selain itu, dinasihatkan juga secara umum untuk sentiasa mendalami ilmu agama kerana waswas itu dapat dihindari dengan ilmu yang yakin. Menurut Ibn Hajar al-Haytami, waswas itu tidak akan dapat menguasai seseorang melainkan hanya kepada mereka yang jahil dan kurang berfikir sehingga tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sesungguhnya golongan yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah. [Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, jld. 1 hlm. 150]

 

Berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: “Keyakinan tidak hilang dengan keraguan.”

Maka, seseorang yang pada asalnya beragama Islam tidak dihukumkan keluar daripada Islam hanya berdasarkan sangkaan, keraguan atau perasaan waswas semata-mata. Oleh itu, selagi mana tidak ada keyakinan yang pasti bahawa telah berlaku ucapan atau perbuatan kufur secara sengaja dan sedar, maka seseorang itu tetap dihukum sebagai seorang Muslim.

Justeru, dalam situasi yang dikemukakan, sekiranya perkara tersebut hanya berlegar dalam bentuk lintasan, syak atau keraguan tanpa kepastian, maka individu tersebut masih berada dalam Islam dan tidak dihukumkan murtad.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, jawapan adalah seperti berikut:

1. Tidak wajib untuk mengangkat jari telunjuk atau bersalaman ketika melakukan syahadah sama ada di hadapan pegawai agama atau imam dan pihak yang berkenaan dan memadai dengan pembenaran di dalam hati serta mengungkap kalimah dengan lidah dengan penuh yakin. Perkara tersebut hanyalah adat atau amalan tambahan yang tidak memberi kesan kepada sah atau batalnya syahadah seseorang.

2. Tidak disyaratkan kehadiran saksi dalam pengucapan syahadah untuk kembali kepada Islam. Namun, kehadiran saksi adalah digalakkan bagi tujuan dokumentasi dan pengesahan di sisi undang-undang, bukan sebagai syarat sah dari sudut syarak.

3. Tidak menjadi kufur seseorang yang mengalami waswas atau keraguan berkaitan ucapan kufur, selagi mana tidak ada keyakinan bahawa ucapan tersebut benar-benar telah dilafazkan secara sengaja. Ini kerana hukum tidak terbina atas sangkaan semata-mata.

4. Sekiranya benar berlaku ucapan kufur secara sengaja dan sedar, maka wajib ke atas seseorang itu:

  • Segera bertaubat kepada Allah SWT
  • Mengucapkan semula dua kalimah syahadah
  • Berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut
  • Selain itu, disunatkan untuk mandi sebagai tanda penyucian diri serta menunaikan solat sunat taubat.

5. Tidak disyaratkan bagi seseorang yang kembali kepada Islam untuk mengetahui secara terperinci rukun Islam dan rukun iman sebelum syahadahnya dianggap sah. Walau bagaimanapun, menjadi kewajipan ke atasnya untuk mempelajari perkara-perkara asas agama secara berperingkat selepas itu.

6. Tertib yang dianjurkan bagi seseorang yang kembali kepada Islam adalah seperti berikut:

  • Menyesali perbuatan lalu dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat
  • Mengucapkan dua kalimah syahadah dengan yakin
  • Meninggalkan segala bentuk ucapan, kepercayaan atau amalan yang bercanggah dengan Islam
  • Memulakan kewajipan asas seperti solat lima waktu
  • Mempelajari ilmu fardu ain secara berperingkat bagi memantapkan akidah dan ibadah

 

Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan di atas, dapat disimpulkan bahawa murtad dalam Islam berlaku melalui tiga aspek utama iaitu iktikad, ucapan, dan perbuatan yang dilakukan secara sengaja dan sedar. Namun, jika ia tidak terjadi disebabkan oleh seseorang itu tersilap bicara, dipaksa atau mengalami gangguan waswas yang kritikal maka ia tidak dihukumkan sebagai murtad. Selain itu, lintasan hati yang buruk merupakan bisikan syaitan yang perlu diubati dengan ilmu agama serta doa. Walau bagaimanapun, jika ungkapan kufur diucapkan maka seseorang itu wajib bertaubat secara segera, memperbaharui syahadah, disunatkan mandi dan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia memadai dengan taubat dan syahadah yang tulus tanpa memerlukan syarat fizikal yang khusus.

Justeru, seseorang yang kembali kepada Islam tidak dibebankan dengan syarat-syarat yang rumit, bahkan memadai dengan taubat yang tulus dan pengucapan syahadah yang yakin. Selagi mana tidak ada keyakinan bahawa telah berlaku kekufuran secara sengaja, maka seseorang itu kekal sebagai Muslim dan tidak perlu dibebani dengan keraguan yang berpanjangan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahu’alam