Assalamualaikum,
Saya mempunyai sedikit pertanyaan berkaitangan dengan hukum agihan harta pusaka (rumah, wang tunai dan barang kemas). Pertanyaan ini juga bagi memberi pencerahan kepada saya bagi membantu menguruskan harta pusaka arwah di pejabat JKPTG Pulau Pinang selain membantu penambahan ilmu berkaitan faraid.
Secara salasilahnya, arwah mempunyai 3 adik beradik. Ibu dan bapa arwah telah meninggal dunia dan abang arwah juga telah meninggal dunia terlebih dahulu dari arwah dan hanya tinggal kakak kandung yang masih hidup. Mengikut pembacaan saya, harta pusaka tersebut secara keseluruhannya hanya layak difaraidkan kepada kakak kandung yang masih hidup dan anak saudara arwah tidak layak menerima sebarang harta pusaka tersebut.
Pertanyaan saya adalah, adakah harta pusaka tersebut layak difaraid kepada anak saudara di sebelah abg dan kakak?
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam.
Ahli waris yang layak menerima pusaka si mati adalah seperti berikut:
- Saudara Perempuan Seibu Sebapa
- 2 Anak Saudara Lelaki bagi Saudara Lelaki Seibu Sebapa
Manakala ahli waris yang lain adalah dzawil arham iaitu ahli waris yang tidak layak mendapat bahagian harta pusaka si mati di sisi syarak. Manakala dalam bentuk pecahan secara terperinci setiap daripada ahli waris yang layak berhak menerima bahagiannya adalah seperti berikut:
- Saudara Perempuan Seibu Sebapa [2/4]
- 2 Anak Saudara Lelaki bagi Saudara Lelaki Seibu Sebapa [1/4 seorang]
Maka, harta pusaka tersebut layak dan WAJIB difaraidkan kepada saudara perempuan seibu sebapa dan anak saudara bagi saudara lelaki seibu sebapa sahaja tanpa anak saudara lain.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hak-Hak Berkaitan Sebelum Pelaksanaan Pembahagian Pusaka
Perlu diingatkan bahawa harta pusaka bukanlah terus dibahagi tanpa ada proses yang lain yang perlu dilalui. Ia perlu melalui beberapa proses sebelum proses akhir iaitu pembahagian harta pewarisan mengikut kadar yang ditetapkan oleh syarak. Prosesnya adalah seperti berikut:
1. Tuntutan Harta Pusaka Secara Langsung.
- Zakat. Sekiranya si mati ada meninggalkan kewajiban menunaikan zakat yang mana telah cukup haul dan nisab, maka perlu dikeluarkan daripada harta peninggalannya itu.
- Gadaian. Jika si mati mempunyai hutang yang belum dilangsaikan, maka pemberi hutang mempunyai hak untuk menuntut hutangnya atau menjual barang gadaian yang digadaikannya itu.
- Kos penempatan isteri beridah selama 4 bulan 10 hari.
2. Pengurusan Jenazah.
Perlu diingatkan bahawa kos yang dimaksudkan hanya merangkumi perkara yang asas yang mesti diberi kepadanya seperti tukang mandi mayat. Bagi jenazah isteri dan anak-anak yang masih di bawah tanggungan, maka kos pengurusan ditanggung oleh suami atau bapa walaupun mereka mempunyai kemampuan untuk menanggungnya sendiri.
3. Melangsaikan Segala Hutang dalam Tanggungan Si Mati
Harta pusaka si mati setelah dibayar kos pengurusan jenazah, maka ia digunakan bagi melangsaikan hutang si mati jika dia mempunyai hutang. Firman Allah SWT:
مِنۢ بَعۡدِ وَصِيَّةٖ يُوصِي بِهَآ أَوۡ دَيۡن
Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”
[Surah an-Nisa’: 11]
4. Menunaikan Wasiat
Pelaksanaan wasiat sangat penting dalam pengurusan harta pusaka. Wasiat yang sah dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak wajib dilaksanakan sebelum pembahagian harta pewarisan pusaka dibahagi kepada ahli waris yang berhak. [Rujuk: Al-Fiqh Al-Manhaji, Jld. 5, hlm. 72-74]
Kemudian, barulah baki daripada harta tersebut dibahagikan secara adil kepada ahli waris yang berhak menurut neraca syarak.
Pembahagian Pusaka Bagi Waris Tiada Furu’
Dalam kes yang dinyatakan, apabila seseorang meninggal dunia tanpa ibu bapa dan tanpa anak, maka waris yang dilihat seterusnya ialah adik-beradik kandung serta zuriat mereka. Berdasarkan hukum faraid, saudara perempuan seibu sebapa termasuk dalam golongan ashab al-furud yang berhak menerima bahagian tertentu. Dalilnya ialah firman Allah SWT:
فَإِن كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ
Maksudnya: “Jika dia seorang sahaja (saudara perempuan), maka baginya separuh harta.”
[Surah al-Nisa’: 176]
Ayat ini menunjukkan bahawa saudara perempuan kandung tunggal berhak mendapat 1/2 harta pusaka apabila tiada anak dan tiada bapa si mati. Adapun anak saudara lelaki daripada saudara lelaki kandung pula tergolong dalam kategori ‘asabah, iaitu waris baki yang menerima lebihan harta selepas diberikan bahagian kepada waris fardu. Prinsip ini berasaskan sabda Nabi SAW:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِيَ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikan bahagian faraid kepada yang berhak, maka baki selebihnya diberikan kepada lelaki yang paling dekat (nasabnya).”
[Riwayat al-Bukhari (6737)]
Oleh itu, selepas saudara perempuan kandung menerima bahagiannya (1/2), baki selebihnya diberikan kepada anak-anak saudara lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa sebagai ‘asabah. Adapun anak saudara lelaki mahupun perempuan daripada saudara perempuan seibu sebapa atau kerabat lain yang lebih jauh termasuk dalam kategori dzawil arham, yang tidak menerima pusaka selagi masih ada waris fardu atau ‘asabah yang lebih hampir.
Kesimpulan
Kesimpulannya, si mati tidak mempunyai ibu bapa dan anak, maka waris terdekat ialah saudara perempuan seibu sebapa yang berhak menerima bahagian fardu, manakala baki harta diberikan kepada anak-anak saudara lelaki daripada saudara lelaki kandung sebagai ‘asabah, sementara anak saudara daripada saudara perempuan atau kerabat lain tergolong dalam dzawil arham dan tidak mewarisi. Oleh itu, pembahagian yang sah menurut syarak adalah terhad kepada saudara perempuan kandung dan anak saudara lelaki daripada saudara lelaki kandung sahaja.
Wallahuaklam