Assalamualaikun tuan/puan
Saya ingin bertanya beberapa soalan.
1) 3 tahun lepas saya menjalani pembedahan membuang batu karang. Namun selepas menjalani pembedahan tersebut terdapat kebocoran di pundi kencing saya. Hasilnya air kencing saya sentiasa keluar sepanjang masa walaupun saya tidal meminum air untuk masa yang lama.
1) Jadi bagaimanakah status ibadah saya seperti mengambil wudhu, membaca al-Quran, sujud sajadah dan solat?
2)Adakah saya perlu menqadha solat saya semula sekiranya saya telah sembuh.
3) Bagaimana cara untuk saya menunaikan mandi wajib?
4) Adakah saya boleh menjalankan ibadat haji dan umrah?
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam.
- Individu yang mengalami keadaan ini hendaklah membersihkan najis terlebih dahulu, memakai pelapik yang sesuai sekiranya perlu, kemudian mengambil wuduk setelah masuk waktu solat. Wuduk tersebut membolehkan beliau menunaikan solat fardu serta ibadah lain dalam waktu tersebut walaupun air kencing masih keluar tanpa kawalan. Kebocoran pundi kencing yang menyebabkan air kencing sentiasa keluar sepanjang masa adalah termasuk dalam golongan daimul hadath. Oleh itu, ibadah yang memerlukan untuk bersuci (taharah) seperti solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf, sujud sajadah, sujud tilawah bagi orang sentiasa dalam keadaan hadas (daimul hadath) adalah SAH seperti orang yang sihat setelah mematuhi segala syarat bersuci dan ibadah bagi golongan daimul hadath.
- Tidak perlu qada semula solat setelah sembuh daripada penyakit tersebut.
- Menunaikan mandi wajib seperti biasa.
- Boleh menjalani ibadah haji dan umrah. Namun, perlu mengikut garis panduan sebagai seorang daimul hadathyang telah diputuskan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-39/1444H.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Seseorang yang hendak mendirikan solat wajib memastikan diri, pakaian serta tempat solatnya suci daripada sebarang najis. Selain itu, dia juga wajib menyucikan dirinya daripada hadas, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar. Hal ini demikian kerana, suci daripada najis merupakan salah satu syarat sah solat.
Para fuqaha telah menetapkan bahawa apa sahaja yang keluar daripada qubul dan dubur sama ada angin, kencing, tahi, darah dan lain-lain akan membatalkan wuduk seseorang.
Imam Nawawi telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa:
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالْخَارِجُ مِنْ قُبُلِ الرَّجُلِ أَوْ الْمَرْأَةِ أَوْ دُبُرِهِمَا يَنْقُضُ الْوُضُوءَ سَوَاءٌ كَانَ غَائِطًا أَوْ بَوْلًا أَوْ رِيحًا أَوْ دُودًا أَوْ قَيْحًا أَوْ دَمًا أَوْ حَصَاةً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ
Maksudnya: Adapun hukum dalam masalah ini, maka segala sesuatu yang keluar daripada qubul lelaki atau perempuan, ataupun daripada dubur kedua-duanya, akan membatalkan wuduk, sama ada yang keluar itu tahi, air kencing, angin, cacing, nanah, darah, batu kecil atau selain daripada perkara-perkara tersebut. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jld. 2, hlm. 4]
Panduan Bersuci Bagi Daimul Hadath
Bagi individu yang sentiasa berada dalam keadaan berhadas seperti kencing tidak lawas, istihadah, keluar najis secara berterusan, atau seumpamanya, golongan ini dikategorikan oleh para fuqaha sebagai daimul hadath. Keadaan ini menimbulkan cabaran dan kesukaran kepada mereka dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan tawaf yang memerlukan kepada kesucian daripada hadas.
Disebutkan dalam kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah bahawa:
ومن ذلك المرضى بأمراض لا تقعدهم عن العمل، كضعف المثانة المترتب عليها تقاطر البول بلا انقطاع في معظم الأوقات، أو كلها ونحو ذلك من مذي وغيره، ويقال له: سلس، ومثل هؤلاء المصابون بإسهال مستديم، أو بمرض في الأمعاء - دوسنطاريا - يترتب عليه نزول دم أو قيح، فحكم هؤلاء وأمثالهم أن يعاملوا في الوضوء وغيره من أنواع الطهارة معاملة خاصة تناسب أمراضهم
Maksudnya: Termasuk dalam hal ini (kepayahan) ialah para pesakit yang menghidap penyakit yang tidak menghalang mereka daripada bekerja, seperti lemah pundi kencing yang menyebabkan air kencing menitis secara berterusan pada kebanyakan waktu, atau sepanjang masa, dan seumpamanya seperti keluarnya mazi dan selainnya. Keadaan ini dinamakan salas. Demikian juga mereka yang mengalami cirit-birit berterusan, atau menghidap penyakit usus – misalnya disentri- yang mengakibatkan keluarnya darah atau nanah. Hukum bagi golongan ini dan yang seumpamanya ialah mereka hendaklah ditentukan dengan kaedah khas dalam perkara wuduk dan jenis-jenis taharah yang lain, yang disesuaikan dengan keadaan penyakit mereka. [Rujuk al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, jld. 1, hlm. 93]
Para fuqaha telah berpendapat bahawa daimul hadath ini disamakan hukumnya dengan wanita yang mengalami darah istihadah. Bagi golongan ini terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengambil wuduk untuk melaksanakan solat. Dijelaskan dalam kitab I’anah al-Thalibin, bahawa:
وحاصل ما يجب عليه – سواء كان مستحاضة أو سلسا – أن يغسل فرجه أولا عما فيه من النجاسة، ثم يحشوه بنحو قطنة – إلا إذا تأذى به أو كان صائما – وأن يعصبه بعد الحشو بخرقة إن لم يكفه الحشو لكثرة الدم، ثم يتوضأ أو يتيمم، ويبادر بعده إلى الصلاة، ويفعل هكذا لكل فرض وإن لم تزل العصابة عن محلها
Maksudnya: Kesimpulan perkara yang wajib dilakukan ke atasnya – sama ada dia seseorang yang mengalami istihadah atau kencing tidak lawas- ialah hendaklah dia terlebih dahulu membasuh kemaluannya daripada najis yang ada, kemudian menyumbatnya dengan sesuatu seperti kapas, kecuali jika perbuatan itu memudaratkannya atau dia sedang berpuasa. Jika sumbatan itu tidak mencukupi kerana terlalu banyak darah, maka hendaklah membalutnya dengan kain. Kemudian, dia hendaklah berwuduk atau bertayammum, dan segera menunaikan solat selepas itu. Perkara ini hendaklah dilakukan bagi setiap solat fardu, walaupun balutan tersebut tidak ditanggalkan daripada tempatnya. [Rujuk I’anah al-Thalibin, jld. 1, hlm. 47]
Bagi golongan daimul hadath, wuduk perlulah diambil setelah masuknya waktu solat. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama, di antaranya seperti yang dijelaskan dalam I’anah al-Thalibin bahawa:
وشمل سلس البول وسلس الريح، فلو توضأ قبل دخول الوقت لم يصح لأنه طهارة ضرورة، ولا ضرورة قبل الوقت
Maksudnya: Dan hukum ini merangkumi masalah kencing tidak lawas serta masalah kentut tidak lawas. Maka, sekiranya seseorang itu berwuduk sebelum masuknya waktu (solat), wuduknya tidak sah kerana ini merupakan taharah darurah, sedangkan tidak ada keadaan darurat sebelum masuknya waktu. [Rujuk I’anah al-Thalibin, jld. 1, hlm. 47]
Selain itu, di antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh daimul hadath ialah berkenaan dengan niat ketika berwuduk. Bagi golongan ini, mereka perlu berniat wuduk tersebut untuk mengharuskan solat tanpa berniat mengangkat hadas kerana pada hakikat keadaannya hadas tidak terangkat. Dijelaskan oleh Imam Ramli bahawa:
(وَمَنْ دَامَ حَدَثُهُ كَمُسْتَحَاضَةٍ) وَسَلَسِ بَوْلٍ أَوْ نَحْوِهِ (كَفَاهُ نِيَّةُ الِاسْتِبَاحَةِ) الْمَارَّةِ (دُونَ) نِيَّةِ (الرَّفْعِ) الْمُتَقَدِّمِ لِعَدَمِ ارْتِفَاعِ حَدَثِهِ (عَلَى الصَّحِيحِ فِيهِمَا) أَمَّا الِاكْتِفَاءُ بِنِيَّةِ الِاسْتِبَاحَةِ فَبِالْقِيَاسِ عَلَى التَّيَمُّمِ. وَأَمَّا عَدَمُ الِاكْتِفَاءِ بِرَفْعِ الْحَدَثِ فَلِبَقَاءِ حَدَثِهِ
Maksudnya: (Dan sesiapa yang sentiasa berada dalam keadaan hadas seperti wanita yang mengalami istihadah), pesakit kencing tidak lawas atau seumpamanya; maka (memadailah baginya niat untuk istibahah) -mengharuskan ibadah- sebagaimana yang telah disebutkan, (tanpa) perlu berniat mengangkat hadas. Hal ini demikian kerana, hadasnya tidak terangkat (tetap berterusan), menurut pendapat yang sahih dalam kedua-dua perkara ini. Adapun kecukupan dengan hanya niat istibahah, ia diqiyaskan kepada tayammum. Manakala, ketidakcukupan niat mengangkat hadas pula adalah kerana hadas itu masih kekal pada dirinya. [Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jld. 1, hlm. 161]
Justeru, mereka boleh berniat wuduk bagi mengharuskan solat seperti berikut:
نويت الوضوء لاستباحة الصلاة لله تعالى
Maksudnya: Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat kerana Allah Taala.
Penjelasan di atas menunjukkan bahawa terdapat hukum atau panduan khusus untuk daimul hadath dalam bab taharah. Justeru, pada asasnya untuk golongan ini boleh bersuci berpandukan seperti berikut:
- Memastikan masuk waktu solat
- Membersihkan bahagian kemaluan, menyumbat dan membalutnya dengan sesuatu misalnya kapas atau selainnya.
- Segerakan berwuduk.
- Segera menunaikan solat selepas berwuduk.
- Wajib untuk berwuduk bagi setiap kali solat fardu. Dibolehkan bagi wuduk tersebut untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat yang lain.
- Niat wuduk bagi daimul hadath ialah dengan berniat untuk mengharuskan solat tanpa niat mengangkat hadas.
Status Solat Daimul Hadath
Bagi mereka yang berada dalam keadaan daimul hadath, mereka ini berada dalam keadaan kesukaran yang berterusan. Solat yang dilaksanakan dalam keadaan ini bukanlah satu kekurangan, sebaliknya satu bentuk ketaatan mengikut kadar kemampuan yang ada.
Apabila syarat-syarat khusus bagi bersuci telah dipatuhi, maka solat yang didirikan dianggap sah secara mutlak pada ketika itu. Imam Nawawi di dalam kitabnya menjelaskan:
قَالَ أَصْحَابُنَا إذَا تَطَهَّرَتْ الْمُسْتَحَاضَةُ طَهَارَتَيْ الْحَدَثِ وَالنَّجَسِ عَلَى الْوَجْهِ الْمَشْرُوطِ وَصَلَّتْ فَلَا إعَادَةَ عَلَيْهَا وَكَذَا كُلُّ مَنْ أَلْحَقْنَاهُ بِهَا مِنْ سَلَسِ الْبَوْلِ وَالْمَذْيِ وَمَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ وَجُرْحٌ سَائِلٌ وَنَحْوُهُمْ لَا إعَادَةَ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: Telah berkata para ulama mazhab kami bahawa apabila seorang wanita yang mengalami istihadah telah bersuci daripada kedua-dua hadas dan najis mengikut tatacara yang disyaratkan, kemudian dia menunaikan solat, maka tidak perlu baginya untuk mengulang semula solatnya. Begitu juga halnya bagi setiap orang yang kami hukumkan sama dengannya, iaitu mereka yang mengalami penyakit kencing tidak lawas, sentiasa keluar air mazi, orang yang sentiasa dalam keadaan hadas, orang yang lukanya sentiasa mengalir darah, serta yang seumpama dengan mereka; kesemua mereka tidak perlu mengulang semula solat mereka. [Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jld. 2, hlm. 542]
Justeru, bagi mereka ini sekiranya mengikut kaedah bersuci seperti yang telah ditetapkan, maka solat mereka ketika itu adalah sah dan mereka tidak dibebankan dengan kewajipan mengulang semula ibadah tersebut.
Pelaksanaan Ibadah Haji dan Umrah Pesakit Daimul Hadath
Bagi pesakit daimul hadath, status mereka dalam melaksanakan ibadah haji atau umrah adalah sama dengan orang sihat pada kebanyakan rukun, kecuali pada ibadah yang mensyariatkan untuk bersuci daripada hadas iaitu tawaf.
Justeru, wajib ke atas mereka untuk memastikan diri mereka berada dalam keadaan suci sebelum melaksanakan ibadah berkenaan. Adapun bagi najis yang keluar ketika melaksanakan ibadah adalah dimaafkan kerana keuzuran pada dirinya itu.
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-39/1444H telah menyentuh berkenaan pelaksanaan ibadah haji bagi orang yang berada dalam keadaan daimul hadath, dan memutuskan seperti berikut:
“Jemaah haji yang mengalami daimul hadath boleh mengambil pandangan mazhab Maliki iaitu:
- Membersihkan najis dan boleh mengambil wuduk sebelum masuk waktu solat.
- Meneruskan solat dengan wuduk yang sama selagi ia tidak terbatal oleh lain-lain perkara yang membatalkan wuduk.
- Memperbaharui wuduk itu adalah sunat sahaja.” [Rujuk Nota Kursus Asas Haji, Minggu 9 Fiqh Wanita Dalam Ibadah Haji, Tabung Haji, hlm. 38]
Ketetapan ini bertujuan untuk memberikan kemudahan dan menghilangkan masyaqqah bagi golongan ini untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan lebih tenang dan yakin.
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan yang telah diajukan, berdasarkan kepada huraian dan penjelasan yang telah dikongsikan, maka disimpulkan bahawa kebocoran pundi kencing yang menyebabkan air kencing sentiasa keluar sepanjang masa adalah termasuk dalam golongan daimul hadath. Justeru,
- Ibadah yang memerlukan untuk bersuci (taharah) seperti solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf, sujud sajadah, sujud tilawah bagi orang sentiasa dalam keadaan hadas (daimul hadath) adalah sah seperti orang yang sihat setelah mematuhi segala syarat bersuci dan ibadah bagi golongan daimul hadath.
- Tidak perlu untuk mengqada semula solat yang telah dilakukan setelah sembuh daripada penyakit tersebut.
- Menunaikan mandi wajib seperti biasa.
- Golongan ini boleh menjalani ibadah haji dan umrah. Namun, perlu mengikut garis panduan sebagai seorang daimul hadathyang telah diputuskan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-39/1444H.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahuaklam.
