Assalam Tuan,
Saya ada soalan untuk bertanya dalam bank soalan ada satu tajuk mengenai "MAJLIS DIHIDANGKAN ARAK" dan dalam ayat kesimpulan saya agak keliru dengan satu perkataan "Saudari hanya ada dua pilihan iaitu; sama ada saudari meminta agar arak itu dibuang dari meja atau saudara keluar dari majlis jika permintaan saudara tidak diendahkan.".
Jadi, soalan saya: adakah orang muslim boleh masuk dalam majlis yang ada arak tapi meja yang ada arak boleh dibuang dari meja ?
Harap tuan boleh menjawab soalan saya.
Terima Kasih.
Shazwan Amirul.
Jawapan Ikhtisar
Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Hukum asal menghadiri majlis yang dihidangkan arak adalah haram, kerana ia termasuk dalam perbuatan meredai dan menyokong kemungkaran, sedangkan Allah SWT melarang umat Islam daripada mendekati perkara yang diharamkan serta bersekongkol dalam dosa dan permusuhan.
Namun, sekiranya seseorang tidak mengetahui terlebih dahulu bahawa majlis tersebut melibatkan hidangan arak, lalu perkara itu hanya disedari setelah berada di dalam majlis, maka dia wajib berusaha mengingkari kemungkaran tersebut sama ada dengan menasihati, meminta agar arak tersebut dialihkan atau dibuang, atau beredar dari tempat tersebut sekiranya permintaannya tidak dipedulikan.
Dalam keadaan ini, tidak dibenarkan untuk terus kekal berada dalam majlis yang jelas berlaku kemungkaran, kerana kehadiran tanpa keperluan syarie dianggap sebagai tanda reda terhadap perbuatan tersebut, sedangkan seorang Muslim dituntut untuk menjaga kehormatan diri dan agama serta menjauhi perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Pengharaman Arak dalam Islam
Allah SWT sangat melarang keras para hambanya daripada terjerumus ke dalam dosa yang berkaitan arak. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
[Surah al-Ma'idah 90]
Larangan ini bukan sahaja tertuju kepada perbuatan meminum arak, bahkan merangkumi seluruh bentuk penglibatan dengannya. Nabi SAW turut melaknat sepuluh golongan yang terlibat dalam urusan arak termasuklah penyediaannya. Baginda SAW bersabda:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَاةُ لَهُ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak. Orang yang memerah arak, orang yang meminta agar diperah, orang yang minum, orang yang membawa, orang yang meminta agar dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual, orang yang mengaut keuntungan hasil daripada jualan arak, orang yang membeli dan orang yang dijual kepadanya.”
[Sunan Tirmidhi 1295]
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa penglibatan umat Islam dalam sebarang bentuk urusan berkaitan arak termasuk menyediakan, membawa atau menghidangkannya adalah dilarang keras.
Hukum Duduk dalam Majlis yang Dihidangi Arak
Islam juga melarang seorang Muslim daripada berada dalam majlis yang berlaku kemungkaran secara terang-terangan, termasuk majlis yang dihidangkan arak. Hal ini berdasarkan kepada sebuah firman Allah SWT:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.”
[Surah al-Nisa’ 140]
Selain itu, terdapat sebuah hadis daripada Nabi SAW yang melarang umatnya daripada duduk bersama-sama dalam majlis yang dihidangkan di dalamnya arak. Sabda Nabi SAW:
ومن كان يُؤمنُ باللهِ واليومِ الآخِرِ، فلا يَجْلِسْ على مائدةٍ يُدارُ عليها بالخَمرِ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan padanya arak.”
[Sunan al-Tirmidhi 3009]
Hadis ini menjadi asas kepada larangan menghadiri majlis yang dihidangkan arak kerana ia menunjukkan unsur reda terhadap kemungkaran, walaupun tanpa turut serta meminumnya.
Oleh itu, seorang muslim itu diharamkan untuk duduk di dalam majlis yang terdapat padanya hidangan arak. Hal ini bertujuan untuk menzahirkan syiar dan keizzahan Islam, menjaga maruah dan kehormatan diri, mengelakkan fitnah ke atas diri sendiri, serta menjauhi sebarang perbuatan yang boleh merosakkan akhlak dan keperibadian seseorang itu.
Penjelasan Terhadap Soalan yang Dikemukakan
Walau bagaimanapun, sebagai penerangan lanjut berkenaan jawapan bagi soalan yang terdapat dalam Sistem eKemusykilan yang bertajuk ‘Majlis Dihidangkan Arak’ (00063) adalah seperti berikut:
- Jika seseorang mengetahui sejak awal bahawa sesuatu majlis menyediakan atau menghidangkan arak, maka hukum menghadirinya adalah haram, dan dia wajib menjauhinya.
- Namun sekiranya seseorang hadir ke sesuatu majlis tanpa mengetahui terlebih dahulu bahawa arak akan dihidangkan, lalu perkara tersebut hanya diketahui setelah berada di tempat berkenaan, maka dia hendaklah berusaha mengingkari kemungkaran tersebut dengan cara yang berhikmah, sama ada:
- meminta agar arak tersebut dialihkan atau tidak dihidangkan di mejanya, atau
- beredar dan meninggalkan majlis sekiranya permintaan tersebut tidak diendahkan.
Tindakan ini selaras dengan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar serta bagi menjaga kehormatan diri dan agama.
Kesimpulan
Kesimpulannya, menghadiri majlis yang dihidangkan arak adalah haram dan tidak dibenarkan menurut syarak. Larangan ini bertujuan memelihara kesucian agama, maruah seorang Muslim serta mengelakkan sebarang bentuk keterlibatan dengan kemungkaran. Walau bagaimanapun, dalam keadaan seseorang tidak mengetahui terlebih dahulu kewujudan arak dalam sesuatu majlis, maka dia hendaklah segera mengingkari perbuatan tersebut sama ada dengan meninggalkan majlis atau memastikan dirinya tidak terlibat secara langsung, demi menjaga tuntutan agama dan akhlak Islam.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallāhu a‘lam.