Saya terlewat bersolat Asar bersama Imam. Terus membaca surah AlFatihah tanpa doa Iftitah
Saya dapati Imam membaca surah panjang, bolehkah saya membaca doa Iftitah kembali setelah membaca AlFatihah?
Jawapan Ikhtisar
Wa‘alaikumussalam.
Doa iftitah merupakan sunat hai’ah yang disunatkan dibaca pada permulaan solat, iaitu sebelum ta‘awwuz dan bacaan al-Fatihah. Sekiranya seseorang terlupa atau meninggalkannya sehingga telah memulakan atau selesai membaca al-Fatihah, maka waktu untuk membaca doa iftitah telah terlepas dan tidak disunatkan lagi untuk membacanya.
Oleh itu, bagi makmum yang terlewat mengikut imam dan telah membaca al-Fatihah, tidak disunatkan ke atasnya untuk membaca semula doa iftitah selepas itu, walaupun imam masih membaca surah yang panjang.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Kedudukan Doa Iftitah dalam Solat
Doa iftitah merupakan salah satu daripada sunat-sunat hai’ah dalam solat. Ia disunatkan dibaca selepas takbiratul ihram bagi setiap orang yang menunaikan solat, sama ada solat fardu atau sunat; sama ada dia imam, makmum atau solat bersendirian; lelaki atau wanita; kanak-kanak atau dewasa; orang yang sihat atau sakit; berdiri, duduk atau berbaring; musafir atau selainnya.
Antara lafaz doa iftitah yang paling afdal ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW apabila Baginda berdiri untuk menunaikan solat fardu, Baginda bertakbir lalu membaca:
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ، وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وفي روايةٍ لعليٍّ: وأنا أوَّلُ المسلمين.
Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan cenderung kepada kebenaran sebagai seorang Muslim, dan aku bukanlah daripada golongan orang-orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan itu aku diperintahkan, dan aku termasuk dalam kalangan orang-orang Islam. Dan dalam satu riwayat daripada Saidina Ali r.a; Dan aku adalah orang yang pertama daripada orang-orang Islam.” [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 1, hlm. 249]
Membaca Doa Iftitah Setelah Membaca al-Fatihah
Para ulama mazhab Syafi‘i menjelaskan bahawa sunat membaca doa iftitah mempunyai waktu yang khusus, iaitu sebelum memulakan ta‘awwuz dan bacaan al-Fatihah. Sekiranya seseorang telah memulakan ta‘awwuz atau al-Fatihah, maka waktu sunat doa iftitah telah terluput. Hal ini dijelaskan dalam Hasyiah al-Qalyubi:
مَا لَمْ يَشْرَعْ فِي التَّعَوُّذِ أَوْ الْقِرَاءَةِ لِأَنَّهُ يَفُوتُ بِذَلِكَ وَلَوْ سَهْوًا أَوْ جَهْلًا
Maksudnya: Selagi dia belum memulakan ta’awwuz atau bacaan al-Fatihah, kerana sekiranya dia sudah memulakan (ta’awwuz atau al-Fatihah), maka doa Iftitah akan terluput, sama ada disebabkan terlupa atau tidak tahu. [Rujuk: Hasyiah al-Qalyubi, jld. 1, hlm. 167]
Imam Khatib al-Syirbini juga telah menjelaskan dalam kitabnya bahawa:
وَلَوْ تَرَكَ دُعَاءُ الِافْتِتَاحِ عَمْدًا أَوْ سَهْوًا حَتَّى شَرَعَ فِي التَّعَوُّذِ لَمْ يَعُدْ إلَيْهِ فِي الْأَصَحِّ،
Maksudnya: Dan sekiranya seseorang meninggalkan doa Iftitah, sama ada secara sengaja atau kerana terlupa, sehingga dia telah memulakan ta’awwuz, maka menurut pandangan yang paling sahih, dia tidak kembali membacanya. [Rujuk: Mughni al-Muhtaj, jld. 1, hlm. 352]
Aplikasi Hukum Terhadap Situasi Penyoal
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, penyoal merupakan makmum yang terlewat (masbuk) dan terus membaca al-Fatihah tanpa membaca doa iftitah. Walaupun selepas itu didapati imam membaca surah yang panjang, namun dari sudut hukum, makmum tidak disunatkan kembali membaca doa iftitah selepas selesai membaca al-Fatihah.
Hal ini kerana doa iftitah adalah sunat hai’ah yang terikat dengan awal solat, dan ia tidak boleh dibaca selepas memulakan bacaan al-Fatihah, walaupun terdapat ruang masa ketika imam membaca surah. Oleh itu, makmum hendaklah meneruskan solat seperti biasa tanpa kembali membaca doa iftitah, dan solatnya tetap sah serta tidak terjejas.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, doa iftitah merupakan sunat yang disunatkan pada awal solat, iaitu selepas takbiratul ihram dan sebelum ta‘awwuz serta bacaan al-Fatihah. Sekiranya seseorang terlupa atau sengaja meninggalkannya sehingga telah memulakan ta‘awwuz atau membaca al-Fatihah, maka menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi‘i, doa iftitah tidak dibaca lagi, kerana waktunya telah berlalu.
Dalam konteks penyoal sebagai makmum masbuk yang telah membaca al-Fatihah, tidak disunatkan untuk kembali membaca doa iftitah walaupun imam membaca surah yang panjang. Memadai baginya meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu mengulangi sunat yang telah terluput.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan ibadah dengan tertib dan yakin.
Wallāhu a‘lam.
