Persoalan : HUKUM BERTAKLID KEPADA MAZHAB MALIKI BAGI MENGATASI WAS-WAS NAJIS HUKMI (01287)

Assalammualaikum wbt tuan/puan yang dirahmati Allah.

Saya memang ada byk kes najis tersebar dan was was najis, agak teruk juga sehingga kadang buat saya stres dan study tergendala. Skrg sy dalam fasa menyembuhkan diri. Saya pernah taqlid mazhab maliki yang menyatakan najis hukmi tidak berpindah (utk isu najis hukmi seperti najis hukmi yg lupa saya sucikan dan lama baru saya ingati). Dan skrg saya kerap mengingati byk isu najis hukmi di semua tempat, lepas satu settled, satu isu lg timbul (kes najis yang lalu).

Persoalannya:

1. Bolekah saya terus taqlid mazhab maliki jika teringat ada najis hukmi yg blm saya sucikan yg terjadi pada waktu dulu (seperti 1-3 bulan lepas or lebih drp tu) bg mengelakkan saya stres dan terus memikirkannya? Sebab dlm kes najis hukmi dlm rumah sy, sy sudah taqlid sebab stres sgt fikir (risau berpindah ke tempat lain dan org lain then effect solat x sah dgn berpindahnya najis tu). Macam hampir setiap hari saya ada isu najis tu isu najis ni, ya Allah.

2. Dan skrg, tetiba sy teringat kes najis hukmi dulu yg berlaku di rumah kwn saya, adakah sy perlu ke rumah kwn saya utk membersihkan najis hukmi tersebut? rumah ni saya selalu juga pergi/lawat dan tumpang tidur. Tp utk membendung masalah najis dlm kepala otak sy yg mcm x pernah habis ni, bole tak saya taqlid mazhab maliki iaitu najis hukmi x berpindah utk kes ni? sbb sy risau nnt saya pergi sucikan d rumah kawan sy nnt timbul lg kes najis baru yg telah lama berlaku utk sy sucikan (mcm x pandai habis2), sekurang2nya kalau sy taqlid benda ni boleh tenangkan kepala otak dan hati sy utk lbh fokus dlm beribadah pada masa skrg. Demi Allah, saya taqlid bukan niat dh persendakan agama tp just nak sembuh dr masalah najis2 seperti ini yg buat sy stres dan sakit kepala kadang. Saya taktaula sy ni was was ka or mmg najis tu ada dan perlu disucikan cumanya kalau taqlid mazhab sy boleh fokus dlm beribadah skrg dan cuba utk lebih berhati dlm bab taharah skrg dan kedepannya.

3. Adakah ini permainan syaitan utk buat sy x fokus dlm beribadah? sebab sy kalau xda kes najis ni sy rajin buat byk benda baik jd kdg sy berfikir adakah ini mainan dr syaitan utk menganggu sy atau bagaimana. Boleh tak sy taqlid? benda ni ganggu study sy, kerja seharian dan kerja ibadah2 sy.. Boleh ja saya sucikan utk kes nombor 2 kt atas tu cuma nnt kes ni dh setel adalagi kes najis baru yg tlh lama berlaku timbul utk saya sucikan, sy stres... BANTU SAYA

DOAKAN SAYA SEMBUH DARI SEGALA PERKARA YG X BAIK UTK SAYA YA, semoga tuan/puan yg jwb soalan sy ni Allah ganjarkan syurga firdaus, aamiinn. Itu shj, barakallahu feek.



Jawapan Ikhtisar

Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Pertama sekali, semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan kepada saudari, menyembuhkan daripada gangguan waswas, dan memudahkan urusan ilmu, ibadah serta kehidupan seharian.

Dalam isu ini, asas yang perlu dipegang ialah Islam tidak membebankan seseorang untuk menjejaki najis berdasarkan sangkaan, ingatan lama, atau kemungkinan-kemungkinan yang tidak berkesudahan. Kaedah fiqh menyebut:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: “Keyakinan tidak hilang dengan sebab keraguan.”

Begitu juga kaedah:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: “Kesukaran membawa kepada kemudahan.”

Oleh itu:

  1. Bagi individu yang mengalami waswas yang berat sehingga menjejaskan urusan harian, pembelajaran dan ibadah, diharuskan untuk beramal dengan pendapat yang lebih ringan dalam mazhab muktabar bagi menutup pintu waswas. Dalam keadaan seperti ini, saudari boleh terus berpegang dengan pendapat mazhab Maliki dalam isu najis hukmi yang telah lama berlaku, khususnya apabila najis tersebut tidak lagi mempunyai kesan nyata seperti warna, bau atau rasa, dan hanya timbul dalam bentuk ingatan lama atau keraguan yang berulang.
  2. Saudari tidak wajib pergi ke rumah rakan semata-mata untuk mencari dan membersihkan najis hukmi lama yang baru teringat kemudian. Lebih-lebih lagi apabila usaha tersebut dibimbangi membuka pintu waswas yang lebih besar, sedangkan lokasi, keadaan dan kewujudan najis itu tidak lagi jelas secara nyata. Dalam keadaan ini, abaikan lintasan tersebut dan jangan dilayan. Rumah rakan itu kekal dihukum suci pada asalnya melainkan terdapat bukti najis yang jelas dan nyata.
  3. Waswas dalam bab najis dan taharah adalah antara pintu gangguan syaitan yang sering digunakan untuk melemahkan ibadah, mengganggu ketenangan dan menyusahkan urusan hidup. Maka rawatannya ialah dengan tidak melayan keraguan, berhenti daripada mengulang-ulang pemeriksaan, dan berpegang kepada hukum asal iaitu suci. Nabi SAW mengajar supaya orang yang diganggu waswas memohon perlindungan kepada Allah SWT dan berhenti melayan lintasan tersebut.

Sehubungan itu, saudari dinasihatkan agar tidak lagi menjejaki kes-kes najis lama, tidak menyemak semula tempat-tempat yang telah berlalu, dan tidak membina hukum berdasarkan “mungkin”, “takut-takut”, atau “kalau-kalau”. Cukup beramal dengan apa yang jelas pada masa sekarang sahaja.

Sekiranya waswas ini terlalu kuat sehingga mengganggu tidur, belajar, emosi dan kehidupan harian, dapatkan juga bantuan kaunselor atau pakar kesihatan mental yang dipercayai. Ini bukan tanda lemah iman, bahkan sebahagian daripada ikhtiar rawatan yang dibenarkan syarak.

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti petunjuk Baginda hingga hari kiamat.

Pertama sekali, kami mendoakan agar Allah SWT mengurniakan ketenangan kepada saudari, mengangkat segala kesempitan hati, menyembuhkan daripada gangguan waswas, serta memudahkan urusan ilmu, ibadah dan kehidupan seharian. Ujian waswas, khususnya dalam bab najis dan taharah, boleh menjadi sangat berat apabila ia dilayan sehingga mengganggu tumpuan belajar, ibadah dan urusan harian. Islam datang bukan untuk membebankan jiwa, tetapi untuk membimbing manusia kepada ketenangan, kebersihan dan kemudahan yang berpaksikan syarak.

Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan ke atas kamu sebarang kesempitan dalam agama.”

(Surah al-Ḥajj: 78)

Firman-Nya lagi:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Ayat-ayat ini menjadi asas bahawa hukum-hakam agama hendaklah difahami dalam kerangka kemampuan manusia. Apabila seseorang berada dalam keadaan waswas yang berat, maka pendekatan hukum yang diberikan juga perlu mengambil kira keadaan dirinya agar agama tidak bertukar menjadi beban yang menghimpit jiwa.

 

Adakah Najis Hukmiyyah Berpindah?

Najis dari sudut kesannya boleh dibahagikan kepada najis ‘ainiyyah dan najis hukmiyyah.

Najis ‘ainiyyah ialah najis yang masih kelihatan sifatnya, sama ada warna, bau atau rasa. Contohnya air kencing yang masih basah dan masih ada kesan baunya, atau darah yang masih jelas kelihatan.

Adapun najis hukmiyyah pula ialah najis yang tidak lagi kelihatan sifat-sifatnya. Tiada warna, tiada bau dan tiada rasa, tetapi tempat tersebut masih dihukum sebagai terkena najis kerana belum dibasuh dengan air mutlak menurut kaedah asal dalam mazhab Syafi‘i. Contohnya air kencing yang telah kering dan tidak lagi kelihatan sebarang kesan.

Dalam mazhab Syafi‘i, cara membersihkan najis hukmiyyah adalah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut sekali, tanpa perlu digosok secara berlebihan apabila sifat najis sudah tiada.

Hal ini disebut dalam kitab I‘ānah al-Ṭālibīn:

ومتنجس بحكمية كبول جف لم يدرك له صفة يجري الماء عليه مرة

Maksudnya: “Sesuatu yang terkena najis hukmiyyah, seperti air kencing yang telah kering dan tidak didapati lagi sifatnya, maka dialirkan air ke atasnya sekali.” (Rujuk: Abū Bakr al-Dimyāṭī, I‘ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥall Alfāẓ Fatḥ al-Mu‘īn, jld. 1, hlm. 114)

Namun, persoalan yang dibangkitkan di sini bukan sekadar cara menyucikan najis hukmiyyah, tetapi sama ada najis hukmiyyah yang telah lama berlaku, tidak lagi nyata kesannya, dan hanya timbul semula dalam ingatan seseorang yang mengalami waswas, wajib dijejaki dan dibersihkan semula atau tidak.

Dalam hal ini, terdapat perbahasan ulama tentang sama ada hukum najis yang tinggal selepas hilang ‘ain najis boleh berpindah kepada benda lain yang menyentuhnya.

Imam Zakariyyā al-Anṣārī menyebut dalam Asnā al-Maṭālib ketika membahaskan makanan beku yang terkena najis:

وَيَلْقَى سَمْنٌ جَامِدٌ تَنَجَّسَ وَكَذَا مَا حَوْلَهُ مِمَّا لَا يَتَحَقَّقُ إِلْقَاءُ الْمُتَنَجِّسِ إِلَّا بِإِلْقَائِهِ، وَيَبْقَى الْبَاقِي عَلَى طَهَارَتِهِ... فَإِنْ قُلْتَ يَنْبَغِي إِلْقَاءُ الْجَمِيعِ لِأَنَّ مَا حَوْلَ الْمُتَنَجِّسِ إِذَا تَنَجَّسَ تَنَجَّسَ مَا حَوْلَهُ، وَهَكَذَا لِوُجُودِ الرُّطُوبَةِ، قُلْتُ رُدَّ بِأَنَّ مَا حَوْلَهُ تَنَجَّسَ بِمُلَاقَاةِ عَيْنِ النَّجَاسَةِ، وَمَا حَوْلَ هَذَا لَمْ يُلَاقِهَا، وَإِنَّمَا لَاقَى الْمُتَنَجِّسَ حُكْمًا فَلَا يَنْجُسُ

Maksudnya: “Dibuang lemak beku yang terkena najis, begitu juga bahagian di sekelilingnya yang tidak dapat dipastikan pembuangan bahagian yang terkena najis melainkan dengan membuang bahagian sekitarnya sekali. Adapun baki yang lain, maka ia kekal atas hukum suci... Jika dikatakan: sepatutnya seluruhnya dibuang kerana bahagian sekitar yang terkena najis apabila menjadi najis, maka bahagian di sekelilingnya juga menjadi najis dan begitulah seterusnya disebabkan adanya kelembapan. Maka dijawab: bahagian di sekitarnya menjadi najis kerana bersentuhan dengan ‘ain najis. Adapun bahagian selepas itu tidak bersentuhan dengan ‘ain najis, sebaliknya hanya bersentuhan dengan sesuatu yang bernajis secara hukum, maka ia tidak menjadi najis.” (Rujuk: Zakariyyā al-Anṣārī, Asnā al-Maṭālib Sharḥ Rawḍ al-Ṭālib, jld. 1, hlm. 22)

Petikan ini menunjukkan bahawa dalam perincian tertentu, para ulama Syafi‘iyyah juga membataskan perpindahan najis kepada bahagian yang benar-benar bersentuhan dengan ‘ain najis. Adapun semata-mata bersentuhan dengan sesuatu yang bernajis secara hukum, maka ia tidak semestinya menyebabkan najis itu berantai tanpa penghujung.

Perbahasan ini lebih jelas dalam mazhab Mālikī. Para ulama Mālikiyyah menyatakan bahawa apabila ‘ain najis telah hilang, walaupun dengan selain air mutlak, maka tempat itu masih dianggap tidak suci untuk tujuan tertentu menurut hukum asal, tetapi hukum najis tersebut tidak berpindah kepada benda lain yang menyentuhnya. Dengan kata lain, yang tinggal hanyalah hukum, sedangkan hukum tidak berpindah.

Disebut dalam Mawāhib al-Jalīl:

وَلَوْ زَالَ عَيْنُ النَّجَاسَةِ بِغَيْرِ الْمَاءِ الْمُطْلَقِ لَمْ يَتَنَجَّسْ مُلَاقِي مَحَلِّهَا... فَهَلْ يَتَنَجَّسُ مَا لَاقَاهُ أَوْ لَا يَتَنَجَّسُ؟ قَوْلَانِ. قَالَ ابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ وَالْمُصَنِّفُ وَغَيْرُهُمَا وَالْأَكْثَرُونَ عَلَى عَدَمِ التَّنْجِيسِ

Maksudnya: “Jika hilang ‘ain najis dengan selain air mutlak, maka sesuatu yang bersentuhan dengan tempat tersebut tidak menjadi najis... Maka adakah sesuatu yang menyentuhnya menjadi najis atau tidak? Dalam hal ini terdapat dua pendapat. Ibn ‘Abd al-Salām, pengarang dan selain mereka menyatakan bahawa pendapat kebanyakan ulama ialah tidak berlaku penajisan.” (Rujuk: al-Ḥaṭṭāb, Mawāhib al-Jalīl fī Sharḥ Mukhtaṣar Khalīl, jld. 1, hlm. 165)

Imam al-Dasūqī pula menyebut dengan lebih jelas:

وَلَوْ زَالَ عَيْنُ النَّجَاسَةِ عَنْ الْمَحَلِّ بِغَيْرِ الْمُطْلَقِ... لَمْ يَتَنَجَّسْ مُلَاقِي مَحَلِّهَا عَلَى الْمَذْهَبِ، إِذْ لَمْ يَبْقَ إِلَّا الْحُكْمُ وَهُوَ لَا يَنْتَقِلُ

Maksudnya: “Sekiranya hilang ‘ain najis daripada sesuatu tempat dengan selain air mutlak... maka sesuatu yang menyentuh tempat najis itu tidak menjadi najis menurut pendapat muktamad mazhab. Hal ini kerana yang tinggal hanyalah hukum semata-mata, sedangkan hukum itu tidak berpindah.” (Rujuk: al-Dasūqī, Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘alā al-Sharḥ al-Kabīr, jld. 1, hlm. 80)

Berdasarkan perbahasan ini, bagi orang yang diuji waswas berat, khususnya dalam isu najis hukmiyyah yang telah lama berlaku, tidak lagi ada kesan nyata, dan hanya muncul semula melalui ingatan atau sangkaan, maka harus untuk berpegang kepada pendapat mazhab Mālikī bahawa najis hukmi tidak berpindah setelah hilang ‘ain najis. Ini bukan mempermainkan agama, tetapi mengambil rukhsah yang muktabar bagi menutup pintu waswas dan mengelakkan kesempitan yang berpanjangan.

Namun, perlu ditegaskan bahawa keringanan ini tidak bermaksud seseorang boleh mengabaikan najis yang jelas dan nyata. Jika pada masa sekarang seseorang benar-benar melihat ‘ain najis, seperti warna, bau atau rasa yang diyakini, maka tempat tersebut hendaklah dibersihkan. Adapun jika ia hanya ingatan lama, sangkaan, “mungkin”, “takut-takut”, atau “kalau-kalau”, maka ia tidak perlu dilayan.

 

Keraguan dan Waswas dalam Islam

Waswas ialah lintasan ragu-ragu yang datang ke dalam hati sehingga menyebabkan seseorang hilang ketenangan dan mula mempersoalkan perkara yang pada asalnya sudah jelas. Dalam bab taharah, waswas sering berlaku apabila seseorang terlalu memikirkan kemungkinan najis, mengulang basuhan, memeriksa tempat yang tidak perlu diperiksa, atau menghukum sesuatu sebagai najis tanpa bukti yang nyata.

Dalam al-Mawsū‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, waswas dihuraikan sebagai bisikan atau lintasan halus yang dicampakkan ke dalam diri, dan ia sering dikaitkan dengan gangguan syaitan. (Rujuk: al-Mawsū‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jld. 6, hlm. 188)

Perkataan waswas sendiri disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا

Maksudnya: “Setelah itu, syaitan membisikkan kepada mereka berdua supaya ia menampakkan kepada mereka aurat mereka yang selama ini tertutup daripada pandangan mereka.”

(Surah al-A‘rāf: 20)

Firman Allah SWT lagi:

مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ۝ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

Maksudnya: “Daripada kejahatan pembisik yang bersembunyi, yang membisikkan ke dalam dada manusia.”

(Surah al-Nās: 4-5)

Dalam hadis yang masyhur, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia melalui saluran darah.”

(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)

Imam al-Nawawī ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:

قِيلَ هُوَ عَلَى ظَاهِرِهِ، وَأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى جَعَلَ لَهُ قُوَّةً وَقُدْرَةً عَلَى الْجَرْيِ فِي بَاطِنِ الْإِنْسَانِ مَجَارِيَ دَمِهِ، وَقِيلَ هُوَ عَلَى الِاسْتِعَارَةِ لِكَثْرَةِ إِغْوَائِهِ وَوَسْوَسَتِهِ فَكَأَنَّهُ لَا يُفَارِقُ الْإِنْسَانَ كَمَا لَا يُفَارِقُهُ دَمُهُ

Maksudnya: “Dikatakan bahawa hadis ini difahami menurut zahirnya, iaitu Allah SWT menjadikan bagi syaitan kekuatan dan kemampuan untuk bergerak dalam tubuh manusia melalui saluran darahnya. Dikatakan juga bahawa ia merupakan kiasan bagi menunjukkan banyaknya godaan dan bisikan syaitan, sehingga seolah-olah syaitan tidak berpisah daripada manusia sebagaimana darah tidak berpisah daripadanya.” (Rujuk: al-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim ibn al-Ḥajjāj, jld. 14, hlm. 157)

Justeru, orang yang diuji waswas tidak sepatutnya berasa bahawa dirinya sedang mempermainkan agama. Sebaliknya, dia sedang berdepan satu bentuk gangguan yang perlu dirawat dengan ilmu, disiplin dan latihan untuk tidak melayan lintasan keraguan.

 

Kaedah Fiqh dalam Mengurus Waswas

Dalam isu ini, terdapat beberapa kaedah fiqh yang sangat penting.

Pertama:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: “Keyakinan tidak hilang dengan sebab keraguan.”

Maksud kaedah ini, sesuatu yang asalnya dihukum suci tidak boleh dihukum najis semata-mata kerana ragu-ragu. Rumah, lantai, pakaian, tilam, kerusi dan tubuh badan asalnya suci. Ia hanya dihukum najis apabila ada bukti najis yang jelas dan meyakinkan.

Nabi SAW pernah ditanya tentang seseorang yang merasakan seolah-olah berlaku sesuatu dalam solatnya, lalu Baginda SAW bersabda:

فَلَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah dia berpaling daripada solatnya sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati bau.”

(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)

Hadis ini menjadi asas besar bahawa keraguan tidak dilayan. Dalam bab taharah, seseorang tidak boleh keluar daripada hukum asal semata-mata kerana rasa, lintasan atau sangkaan.

Kedua:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: “Kesukaran membawa kepada kemudahan.”

Apabila waswas menjadi berat sehingga mengganggu pembelajaran, ibadah, kerja harian dan ketenangan jiwa, maka syarak membuka ruang kemudahan melalui pendapat yang muktabar bagi mengangkat kesukaran tersebut.

Ketiga:

الأمر إذا ضاق اتسع

Maksudnya: “Sesuatu perkara apabila menjadi sempit, maka diberikan keluasan.”

Kaedah ini menunjukkan bahawa apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan dan sukar, ruang keringanan diberikan oleh syarak berdasarkan kadar keperluan. Maka, dalam kes orang yang diuji waswas berat, mengambil pendapat mazhab Mālikī dalam isu najis hukmiyyah yang telah lama berlaku adalah termasuk dalam keluasan yang dibenarkan, bukan jalan mempermainkan agama.

Keempat:

الشك بعد الفراغ لا أثر له

Maksudnya: “Keraguan selepas selesai sesuatu amalan tidak memberi kesan.”

Apabila seseorang telah selesai bersuci, selesai membersihkan tempat, atau sesuatu peristiwa najis itu telah lama berlalu, maka keraguan yang datang selepas itu tidak perlu dilayan. Jika setiap ingatan lama dibuka semula, maka waswas tidak akan berakhir.

 

Hukum Bertaqlid kepada Mazhab Mālikī dalam Keadaan Waswas

Pada asalnya, seseorang yang beramal dengan mazhab Syafi‘i digalakkan untuk berpegang dengan disiplin mazhabnya dalam keadaan biasa. Namun, dalam keadaan tertentu seperti kesukaran, hajat, masyaqqah atau waswas yang berat, diharuskan untuk bertaqlid kepada mazhab muktabar lain, khususnya apabila pendapat tersebut mempunyai sandaran ilmiah dan diambil bagi mengangkat kesukaran, bukan kerana mempermainkan agama.

Dalam kes ini, saudari bertanya sama ada boleh terus bertaqlid kepada mazhab Mālikī dalam isu najis hukmi lama yang belum disucikan, khususnya kerana ia telah menyebabkan stres, mengganggu pembelajaran dan menimbulkan kerisauan berterusan tentang perpindahan najis.

Jawapannya: harus bagi saudari untuk berpegang kepada pendapat mazhab Mālikī dalam isu ini, iaitu apabila ‘ain najis telah hilang dan yang tinggal hanyalah hukum najis, maka hukum tersebut tidak berpindah kepada benda lain yang menyentuhnya. Lebih-lebih lagi apabila isu tersebut telah berlaku lama, tidak ada lagi tanda najis yang nyata, dan ia hanya muncul dalam bentuk ingatan atau keraguan yang berulang.

Taqlid seperti ini tidak termasuk mempermainkan agama kerana ia dilakukan untuk keluar daripada kesempitan waswas, bukan untuk mencari-cari keringanan tanpa keperluan. Bahkan, dalam keadaan orang yang diuji waswas, terlalu melayan keraguan boleh menyebabkan agama dirasakan berat, sedangkan syarak datang untuk membawa rahmat dan ketenangan.

Namun, taqlid ini hendaklah digunakan secara berdisiplin. Maksudnya, saudara/saudari tidak perlu lagi membuka semula fail-fail najis lama, tidak perlu menjejaki tempat yang pernah terlintas dalam ingatan, dan tidak perlu memeriksa rumah sendiri atau rumah orang lain berdasarkan sangkaan. Berpeganglah dengan satu prinsip yang jelas: sesuatu kekal suci melainkan benar-benar yakin ia terkena najis yang nyata.

 

Adakah Perlu Pergi ke Rumah Rakan untuk Membersihkan Najis Lama?

Bagi persoalan kedua, saudari menyatakan bahawa tiba-tiba teringat kes najis hukmi lama yang pernah berlaku di rumah rakan, sedangkan rumah tersebut masih sering dikunjungi dan kadang-kadang menjadi tempat bermalam. Saudari bimbang jika tidak dibersihkan, najis itu berpindah kepada tempat lain dan menjejaskan solat.

Dalam keadaan ini, saudari tidak wajib pergi ke rumah rakan untuk mencari dan membersihkan najis hukmi lama tersebut.

Ini kerana beberapa sebab:

Pertama, perkara itu telah lama berlalu. Ingatan yang datang selepas satu tempoh yang panjang tidak cukup untuk mewajibkan seseorang menjejaki dan membuka semula kes lama, khususnya bagi orang yang sedang diuji waswas.

Kedua, najis tersebut tidak lagi nyata pada masa sekarang. Jika tiada warna, bau atau rasa yang dapat dipastikan, maka hukum asal tempat tersebut ialah suci.

Ketiga, usaha pergi mencari dan membersihkan najis lama itu berkemungkinan besar akan membuka pintu waswas yang lebih besar. Selepas satu tempat dibersihkan, mungkin akan timbul pula ingatan terhadap tempat lain. Akhirnya, seseorang akan terus terperangkap dalam kitaran “ingat – risau – periksa – bersihkan – lega sekejap – ingat semula”. Kitaran seperti ini perlu diputuskan.

Keempat, berdasarkan pendapat mazhab Mālikī yang disebutkan, apabila ‘ain najis telah hilang dan yang tinggal hanyalah hukum, maka hukum itu tidak berpindah. Oleh itu, tidak perlu dibimbangi bahawa najis hukmi lama tersebut terus berpindah dari satu tempat ke tempat lain tanpa penghujung.

Maka, saudari hendaklah mengabaikan lintasan tersebut. Tidak perlu pergi ke rumah rakan untuk membersihkan tempat yang tidak lagi nyata najisnya. Tidak perlu memberitahu rakan. Tidak perlu memeriksa. Tidak perlu membayangkan laluan najis. Hukum asal rumah tersebut ialah suci.

 

Adakah Ini Gangguan Syaitan?

Berdasarkan keadaan yang diceritakan, ia sangat hampir dengan ciri-ciri waswas yang perlu diputuskan, bukan dilayan. Apabila seseorang berkata: “Kalau tiada isu najis, saya boleh fokus ibadah, belajar dan buat banyak benda baik,” kemudian isu najis datang berturut-turut hingga melemahkan ibadah dan urusan harian, maka ia termasuk pintu gangguan yang perlu ditutup.

Syaitan tidak semestinya mengganggu manusia dengan menyuruh meninggalkan ibadah secara jelas. Kadang-kadang syaitan mengganggu dengan menjadikan ibadah terasa berat, taharah terasa mustahil, solat terasa tidak sah, rumah terasa bernajis, pakaian terasa kotor dan hati sentiasa sempit. Akhirnya, seseorang bukan semakin dekat kepada Allah dengan tenang, tetapi semakin penat, takut dan hilang daya.

Nabi SAW mengajar apabila datang gangguan waswas, hendaklah memohon perlindungan kepada Allah dan berhenti melayannya. Dalam hadis berkaitan waswas dalam akidah, Baginda SAW bersabda:

فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dan hendaklah dia berhenti.”

(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)

Walaupun hadis ini datang dalam konteks waswas berkaitan persoalan akidah, kaedah rawatannya juga sangat penting dalam bab waswas taharah: mohon perlindungan kepada Allah, kemudian berhenti melayan lintasan tersebut.

 

Panduan Mengurus Waswas Najis dan Taharah

Waswas dalam bab taharah sering bermula daripada keinginan untuk berhati-hati. Namun, apabila berhati-hati itu melampaui batas, ia berubah menjadi beban yang menyusahkan. Seseorang mula mengulang basuhan, memeriksa tempat yang tidak perlu diperiksa, menghukum najis pada perkara yang tidak pasti, dan akhirnya merasakan ibadah sebagai sesuatu yang berat.

Dalam hal ini, saudari dinasihatkan supaya berpegang kepada beberapa panduan berikut:

Pertama, jangan menghukum sesuatu sebagai najis kecuali apabila benar-benar yakin. Yakin bermaksud ada bukti yang jelas, bukan sekadar rasa, bayangan, ingatan lama atau sangkaan.

Kedua, jangan memeriksa perkara yang tidak dituntut untuk diperiksa. Jika tidak nampak najis dengan jelas, maka teruskan hukum asal iaitu suci.

Ketiga, selepas selesai bersuci dengan cara yang munasabah, jangan ulang semula basuhan hanya kerana timbul rasa tidak puas hati atau rasa “mungkin belum bersih”.

Keempat, jangan menjejaki kes najis lama. Apa yang telah berlalu tidak perlu dibuka semula melainkan ada bukti najis yang jelas pada masa sekarang.

Kelima, bezakan antara berhati-hati yang dituntut dengan waswas yang dilarang. Berhati-hati membawa kepada ketenangan, manakala waswas membawa kepada kesempitan dan keletihan.

Keenam, biasakan diri untuk mengabaikan lintasan ragu-ragu. Dalam banyak keadaan, rawatan paling berkesan bagi waswas ialah tidak melayannya. Waswas menjadi kuat apabila dilayan, dan menjadi lemah apabila diabaikan secara konsisten.

Ketujuh, tetapkan satu kaedah amalan: “Saya hanya akan bertindak apabila nampak najis yang jelas. Jika tidak jelas, saya akan anggap suci.” Kaedah ini perlu dipegang walaupun hati masih rasa tidak selesa pada peringkat awal.

Kelapan, sekiranya waswas ini terlalu kuat sehingga mengganggu tidur, pembelajaran, emosi dan urusan harian, maka dapatkan juga bantuan kaunselor atau pakar kesihatan mental yang dipercayai. Ini bukan tanda lemah iman. Ia termasuk ikhtiar rawatan yang diharuskan syarak. Agama merawat jiwa, dan rawatan profesional pula membantu seseorang keluar daripada kitaran tekanan yang berulang.

 

Kesimpulan

Berdasarkan perincian di atas, maka dapat disimpulkan bahawa:

  1. Bagi individu yang mengalami masalah waswas yang berat sehingga mengganggu dan menjejaskan urusan harian, pembelajaran dan ibadah, maka diharuskan untuk berpegang kepada pendapat mazhab Mālikī dalam isu najis hukmiyyah yang telah lama berlaku, khususnya apabila ‘ain najis telah hilang dan yang tinggal hanyalah ingatan, sangkaan atau keraguan.
  2. Dalam situasi ini, tidak perlu dan tidak diwajibkan untuk pergi ke rumah rakan bagi mencari dan membersihkan najis hukmi lama yang baru teringat kemudian. Usaha menjejaki perkara tersebut dibimbangi membuka pintu waswas yang lebih besar. Hukum asal rumah rakan tersebut ialah suci melainkan terdapat bukti najis yang jelas dan nyata pada masa sekarang.
  3. Diharuskan berpegang bahawa najis hukmi tidak berpindah kepada tempat lain berdasarkan pendapat muktamad mazhab Mālikī, iaitu apabila ‘ain najis telah hilang dan yang tinggal hanyalah hukum semata-mata. Pendapat ini boleh diamalkan oleh orang yang diuji waswas bagi mengangkat kesukaran dan menutup pintu keraguan yang berpanjangan.
  4. Waswas dan keraguan yang berulang-ulang dalam bab najis merupakan antara bentuk gangguan yang boleh melemahkan ibadah dan urusan harian. Maka, rawatannya ialah dengan berpegang kepada hukum asal suci, tidak melayan sangkaan, tidak mengulang pemeriksaan, memohon perlindungan kepada Allah SWT, dan berhenti daripada mengikuti lintasan tersebut.

Semoga Allah SWT menyembuhkan saudari daripada gangguan waswas, melapangkan dada, menenangkan fikiran, memudahkan urusan pengajian, serta menjadikan ibadah saudari diterima di sisi-Nya.

Wallāhu a‘lam.