Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam.
Seseorang yang bermusafir dari Kuala Lumpur ke Seberang Jaya dianggap telah tamat musafirnya apabila memasuki kawasan Seberang Jaya kerana di situlah tempat mukimnya. Jika selepas itu dia ingin ke Kuala Lumpur ke, maka perjalanan itu menjadi musafir baharu. Oleh itu, tidak boleh jamak takdim di Sungai Petani berdasarkan perjalanan pertama dari Kuala Lumpur, namun dibolehkan jamak dan qasar sekiranya diniatkan sebagai musafir baharu dari Seberang Jaya ke Sungai Petani (jika mencukupi jarak 2 marhalah). Namun begitu, sekiranya perjalanan tersebut (iaitu dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani) dengan tidak memasuki sempadan tempat tinggalnya, maka dibolehkan baginya untuk terus melaksanakan solat secara qasar dan jamak.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillāh, segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta sekalian umat yang menuruti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.
Solat merupakan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT ke atas orang-orang beriman dalam waktu-waktu yang tertentu sebagaimana firman-Nya:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang telah ditentukan.”
[Surah al-Nisā’: 103]
Namun Islam adalah agama yang meraikan kemampuan manusia. Dalam keadaan tertentu, syarak memberi rukhsah (keringanan) kepada mereka yang mengalami kesukaran untuk menunaikan solat dalam waktunya antaranya ketika bermusafir.
Tasawwur Masalah
Penyoal bertanya:
“Sekiranya saya bermusafir dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah saya di Seberang Jaya, tetapi sebelum pulang saya ingin singgah ke Sungai Petani. Untuk ke Sungai Petani, saya mesti melalui Seberang Jaya terlebih dahulu. Soalan saya, bolehkah saya menjamakkan solat (jamak taqdim) di Sungai Petani?”
Isu utama dalam persoalan ini ialah status musafir sama ada perjalanan tersebut masih dikira sebagai musafir yang sama (KL → Sg Petani) atau telah tamat apabila memasuki Seberang Jaya (tempat mukim penyoal), dan sama ada rukhsah jamak qasar masih terpakai di Sungai Petani.
Dalil dan Nas Syara’
a. Dalil al-Quran
Firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa untuk mengqasarkan (memendekkan) solat.”
[Surah al-Nisā’: 101]
Ayat ini menjadi sandaran utama keharusan qasar ketika bermusafir, sebagai satu bentuk kemudahan yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya.
b. Dalil Hadis
Bermusafir itu juga dikatakan sebagai sekelumit daripada azab kerana dalam sesuatu perjalanan itu seseorang pastinya akan merasai kepayahan dan keletihan sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda SAW:
السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ
Maksudnya: “Musafir itu merupakan satu bentuk kesulitan atau azab.”
[Riwayat Muslim, no. 1927]
Hadis ini menjelaskan hikmah di sebalik rukhsah iaitu kerana perjalanan membawa kesulitan, maka Allah SWT mempermudah pelaksanaannya.
Tentang keharusan solat jamak pula, diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar ketika dalam perjalanan, dan menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak.”
[Riwayat al-Bukhārī, no. 1107]
Perbahasan
1. Syarat Permulaan dan Tamatnya Musafir
Para fuqaha menetapkan bahawa seseorang hanya dianggap musafir setelah dia melepasi sempadan qaryah (kawasan kediamannya). Begitu juga, musafir dianggap tamat apabila seseorang itu masuk semula ke sempadan qaryah tempat mukimnya.
Syeikh Hasan al-Kaff menjelaskan dalam al-Taqrīrāt al-Sadīdah fī Masā’il al-Mufīdah:
مجاوزة البلد، وتكون بمجاوزة السور في البلد المسور وبمجاوزة العمران في البلد غير المسور
Maksudnya: “Hendaklah seseorang itu keluar dari sempadan qaryah (kawasan tempat tinggalnya), sama ada dengan melepasi pagar sempadan jika qaryah itu berpagar, atau melepasi kawasan binaan jika qaryah itu tidak berpagar.” [Rujuk: al-Taqrīrāt al-Sadīdah, hlm. 315]
Manakala dalam al-Fiqh al-Manhajī disebutkan:
أن يتجاوز سور البلد التي يسافر منها، أو يتجاوز عمرانها إن لم يكن لها سور: لأن من كان داخل سور البلد أو عمرانها ليس بمسافر. أي فالسفر إنما يبدأ من لحظة هذا التجاوز، كما أنه ينتهي بالوصول رجوعًا إلى تلك المنطقة.
Maksudnya: “(Seseorang itu dikira musafir) apabila dia telah melepasi pagar sempadan tempat (qaryah) yang dia bermusafir daripadanya, atau melepasi bangunan qaryah tersebut sekiranya qaryah itu tidak berpagar. Ini kerana, sesiapa yang masih berada di dalam pagar qaryahnya atau kawasan bangunannya, maka dia tidak dianggap musafir. Permulaan musafir itu bermula selepas melepasinya, sebagaimana ia juga berakhir apabila dia kembali memasuki kawasan tersebut.” [Rujuk: al-Fiqh al-Manhajī, jld. 1, hlm. 186]
Sebagai sandaran, diriwayatkan daripada Anas RA:
صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَالْعَصْرَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ.
Maksudnya: “Aku menunaikan solat Zuhur bersama Nabi SAW di Madinah sebanyak empat rakaat, dan solat Asar di Zulhulaifah sebanyak dua rakaat.”
[Riwayat al-Bukhārī, no. 1039; Muslim, no. 690]
Zulhulaifah itu terletak di luar kawasan binaan Kota Madinah.
2. Aplikasi kepada Situasi Penyoal
Dalam situasi penyoal:
- Beliau bermusafir dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Seberang Jaya (tempat mukim).
- Namun, beliau ingin singgah ke Sungai Petani, yang terletak setelah melepasi Seberang Jaya.
Maka, apabila beliau memasuki Seberang Jaya, walaupun hanya melaluinya tanpa turun, beliau sebenarnya telah memasuki kawasan qaryahnya sendiri. Maka, hukum musafir asalnya (KL → Seberang Jaya) telah tamat pada ketika itu. Demikian juga, selagi mana dia masih belum memasuki sempadan qaryahnya sekembalinya daripada musafir (iaitu melalui jalan lain), maka rukhsah tersebut masih lagi terpakai ke atasnya.
Jika selepas itu beliau meneruskan perjalanan ke Sungai Petani, maka perjalanan tersebut dikira sebagai musafir baharu (Seberang Jaya → Sungai Petani), bukan sambungan daripada musafir yang pertama.
Oleh itu, beliau tidak boleh menunaikan solat jamak takdim di Sungai Petani dengan bersandarkan kepada musafir asal dari Kuala Lumpur, kerana rukhsah musafir tersebut telah tamat sebaik sahaja beliau memasuki kawasan mukimnya di Seberang Jaya. Namun, sekiranya beliau berniat untuk bermusafir semula dari Seberang Jaya ke Sungai Petani, atau perjalanannya ke sana tidak melalui sempadan qaryah tempat tinggalnya, maka perjalanan tersebut dikira sebagai musafir yang baharu. Dalam keadaan itu, beliau dibenarkan untuk menikmati rukhsah baharu, termasuk melaksanakan solat secara jamak dan qasar setelah melepasi sempadan qaryah Seberang Jaya.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penerangan yang telah dikongsikan, maka dapat difahami bahawa seseorang hanya dikira sebagai musafir setelah melepasi sempadan qaryahnya. Pada ketika itu, barulah dia berhak untuk mendapat rukhsah solat secara qasar dan jamak. Demikian juga, selagi mana dia masih belum memasuki sempadan qaryahnya sekembalinya daripada musafir, maka rukhsah tersebut masih lagi terpakai ke atasnya.
Justeru, berbalik kepada persoalan yang diajukan, sekiranya seseorang bermusafir dari Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seberang Jaya namun perlu singgah terlebih dahulu di Sungai Petani untuk menyelesaikan urusan, maka perlu diperhatikan berkenaan isu melepasi sempadan qaryah. Sekiranya perjalanan tersebut tidak lagi memasuki sempadan tempat tinggalnya (iaitu menggunakan laluan lain), maka dibolehkan baginya untuk terus melaksanakan solat secara qasar dan jamak.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.