Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam.
1. Hukum Nikah Tanpa Pendaftaran Di Malaysia:
Perkahwinan yang sah di sisi syarak (memenuhi rukun) tetapi tidak didaftarkan di Malaysia adalah sah dari sudut agama, tetapi tidak sah dari sudut perundangan dan pentadbiran selagi ia tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah. Kegagalan mendaftar adalah melanggar peraturan pemerintah yang membawa kepada masalah besar dalam urusan hak-hak kekeluargaan dan pusaka, serta boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.
2. Status Perkahwinan Dengan Wali Hakim Sindiket:
Perkahwinan yang menggunakan "wali hakim" yang dilantik oleh sindiket dan tidak ditauliahkan secara rasmi adalah tidak sah di sisi syarak dan undang-undang. Ini kerana hak perwalian hanya boleh dilaksanakan oleh wali yang sah atau wali hakim yang mendapat tauliah berautoriti. Pasangan wajib mengulangi akad nikah dengan wali yang sah.
3. Kedudukan Anak yang Lahir Daripada Perkahwinan Tidak Sah di Sisi Undang-undang Malaysia:
Anak yang dilahirkan daripada persetubuhan dalam akad nikah yang kemudiannya didapati tidak sah (nikah fasid) akan dikira sebagai anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah. Dalam kerangka undang-undang negeri (seperti Seksyen 114, Enakmen Pulau Pinang), anak tersebut dibenarkan mempunyai nasab kepada lelaki itu jika dilahirkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Namun, pengiktirafan ini memerlukan permohonan pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
4. Kewajipan Nafkah Jika Perkahwinan Tidak Didaftarkan:
Jika perkahwinan tersebut sah dari sudut syarak (memenuhi rukun dan syarat), lelaki tersebut wajib menjalankan tanggungjawabnya, termasuk memberi nafkah kepada isteri, walaupun perkahwinan belum didaftarkan. Kewajipan nafkah adalah tuntutan agama yang tidak gugur dengan alasan pernikahan belum didaftarkan.
5. Pandangan Syarak Terhadap Ugutan Wanita Atas Akad yang Dipertikai: Jika akad nikah tersebut adalah batil (tidak sah di sisi syarak kerana kekurangan rukun/syarat atau wali hakim yang tidak sah), maka pernikahan itu tidak menghasilkan sebarang kesan hukum perkahwinan seperti nafkah. Oleh itu, tuntutan atau ugutan wanita untuk menuntut tanggungjawab suami atas dasar akad yang batil tidak mempunyai asas hukum dan tidak diiktiraf oleh syarak.
6. Hak Tuntutan Nafkah atau Hak Isteri Bagi Perkahwinan Tidak Sah/Tidak Diiktiraf:
Wanita tidak berhak menuntut nafkah atau hak-hak sebagai isteri sekiranya perkahwinan tersebut didapati tidak sah (batil) di sisi syarak. Sekiranya perkahwinan itu sah di sisi syarak tetapi tidak didaftarkan, Mahkamah Syariah tetap tidak akan mempertimbangkan sebarang tuntutan sehingga wanita tersebut memohon dan mendapatkan perintah pengesahan nikah (isbat nikah) daripada Mahkamah terlebih dahulu.
7. Bentuk Taubat dan Jalan Penyelesaian Syarie Bagi Wanita:
Wanita tersebut wajib mengambil langkah segera untuk memperbetulkan status perkahwinan dengan memohon pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah. Jika akad didapati tidak sah atau batil, wanita tersebut wajib menghentikan hubungan tersebut serta-merta bagi mengelakkan dosa berterusan dan seterusnya membina kehidupan baru secara halal.
8. Keperluan Merujuk Mahkamah
Mahkamah Syariah merupakan pihak yang berautoriti dalam menentukan kesahihan sesuatu akad nikah. Oleh itu, sebarang pertikaian berkaitan status perkahwinan hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan fakta dan hukum syarak yang sahih. Pengesahan mahkamah bukan sahaja menjadi bukti rasmi yang diiktiraf undang-undang, malah bertujuan menjaga maqasid syariah seperti memelihara keturunan, maruah dan keadilan dalam masyarakat Islam.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Pendahuluan
Fenomena perkahwinan secara sindiket di luar negara, khususnya yang berleluasa di kawasan sempadan Thailand, telah mencetuskan kebimbangan yang serius. Amalan ini bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang perkahwinan Islam di Malaysia, tetapi juga membuka ruang kepada aktiviti penipuan dan eksploitasi terhadap kaum wanita.
Berdasarkan kajian dan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), perkahwinan sindiket ditakrifkan sebagai tindakan pasangan Muslim yang mengakadkan perkahwinan tanpa mematuhi prosedur dan peraturan yang termaktub di bawah Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam 1984 (AUKI 1984). Pernikahan jenis ini lazimnya menggunakan khidmat pihak perantaraan yang tidak bertauliah, termasuk individu yang bertindak sebagai "wali hakim" atau "jurunikah" yang diatur oleh sindiket.
Walaupun akad nikah tersebut mungkin memenuhi rukun-rukun zahir dan diisytiharkan sah oleh Mahkamah Syariah di negara asing, pernikahan yang dijalankan melalui sindiket tetap dianggap tidak sah dari segi perundangan di Malaysia. Status tidak sah ini berterusan selagi perkahwinan tersebut tidak didaftarkan dan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh AUKI 1984. Justeru, keadaan ini berpotensi mengakibatkan implikasi yang signifikan terhadap status perkahwinan pasangan, nasab anak yang dilahirkan, dan hak-hak yang sepatutnya dinikmati di sisi undang-undang Malaysia.[Rujuk “Hukum Nikah Tanpa Persetujuan Wali di Luar Negara, Penerbit Universiti Sains Malaysia Dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (2023). Hlm.12].
a) Hukum Nikah Tanpa Pendaftaran Di Malaysia
Dalam pelaksanaan akad perkahwinan, Islam telah menetapkan beberapa rukun dan syarat yang mesti dipatuhi bagi memastikan kesahihan serta keberkatan sesebuah pernikahan. Terdapat lima rukun utama dalam perkahwinan iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, lafaz akad nikah (ijab dan qabul), wali yang sah serta dua orang saksi yang adil. Kelima-lima rukun ini merupakan asas yang tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pasangan yang ingin membina rumah tangga mengikut tuntutan syarak. [Rujuk Fiqh Manhaji, Jld.4, Hlm.55]
Selain memenuhi tuntutan rukun dan syarat sah nikah menurut hukum agama, setiap pasangan Islam di Malaysia juga diwajibkan untuk mengikuti prosedur pendaftaran perkahwinan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Ketetapan ini bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi bertujuan untuk menjaga maslahat umum, melindungi hak-hak suami isteri serta memastikan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam terpelihara daripada unsur penipuan atau penganiayaan.
Ketaatan terhadap peraturan pemerintah dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah satu tuntutan agama. Ini selaras dengan prinsip bahawa arahan pemerintah yang membawa kebaikan dan maslahat kepada umat Islam wajib dipatuhi. Maka, peraturan berkaitan pendaftaran nikah termasuk dalam bidang kuasa pemerintah untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan masyarakat Islam seluruhnya.
Di samping itu, proses pendaftaran dan dokumentasi perkahwinan merupakan langkah penting bagi memastikan semua urusan berkaitan rumah tangga dapat dilaksanakan dengan sah di sisi undang-undang. Sekiranya perkahwinan tidak didaftarkan, pasangan tersebut akan berhadapan kesukaran apabila timbul tuntutan di Mahkamah Syariah seperti kes nafkah, perceraian, atau pewarisan harta.
Lebih membimbangkan, jika berlaku kematian suami dan isteri gagal membuktikan kesahihan perkahwinan yang tidak berdaftar itu, maka beliau dan anak-anak tidak layak menuntut hak pusaka suami atau bapa mereka. Ini kerana Mahkamah Syariah tidak dapat mengesahkan hubungan perkahwinan yang tidak mempunyai bukti pendaftaran rasmi. Oleh itu, pendaftaran nikah bukan sekadar formaliti, bahkan satu bentuk perlindungan undang-undang yang berpaksikan prinsip syarak demi menjaga kehormatan, keturunan dan hak-hak ahli keluarga Islam. Imam al-Syarwani menjelaskan hal ini di dalam karyanya:
فَيَجِبُ عَلَيْهِمْ طَاعَتُهُ فِيمَا لَيْسَ بِحَرَامٍ وَلَا مَكْرُوهٍ وَمِنْ مَسْنُونٍ وَكَذَا مُبَاحٌ إنْ كَانَ فِيهِ مَصْلَحَة عَامَّةٌ وَالْوَاجِبُ يَتَأَكَّدُ وُجُوبُهُ بِأَمْرِهِ بِهِ
Maksudnya: “Wajib atas mereka untuk taat kepadanya (pemimpin) dalam perkara yang bukan haram dan bukan makruh, sama ada perkara yang sunat ataupun harus sekiranya padanya terdapat kemaslahatan umum. Dan sesuatu perkara yang wajib itu bertambah kuat kewajibannya apabila dia (pemimpin) memerintahkan dengannya”. [Rujuk: Hasyiah Syarwani ala Tuhfah al-Muhtaj, Jld.3, Hlm.69]
b) Status Perkahwinan Dengan Wali Hakim Yang Dilantik Oleh Sindiket
Dari sudut hukum syarak, perwalian dalam akad nikah merupakan salah satu rukun yang penting dan tidak boleh diabaikan. Hak perwalian asalnya terletak pada wali nasab iaitu bapa, datuk atau kerabat lelaki yang memenuhi syarat sah sebagai wali. Namun demikian, sekiranya wali nasab tiada, berada jauh melebihi dua marhalah, ghaib tanpa khabar, tidak layak atau tidak mencukupi syarat seperti berakal dan adil, atau enggan menikahkan anak perempuannya tanpa alasan yang sah di sisi syarak, maka hak perwalian berpindah kepada wali hakim. Dalam keadaan ini, wali hakim mempunyai autoriti untuk menikahkan perempuan tersebut bagi memastikan akad nikah dapat dijalankan dengan sempurna menurut syarak. [Rujuk https://jksnpp.penang.gov.my/index.php/media-menu/penerbitan-mahkamah?view=article&id=88:bidang-kuasa-wali-dalam-pernikahan&catid=18:penerbitan-mahkamah ]
Dari perspektif perundangan Malaysia, kedudukan wali hakim telah diperuntukkan secara jelas di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303]. Berdasarkan Seksyen 2(1) akta tersebut, wali hakim ditakrifkan sebagai:
“Wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.”
Ini bermakna, seseorang hanya boleh bertindak sebagai wali hakim sekiranya mendapat tauliah atau kuasa rasmi daripada pihak berautoriti, sama ada Sultan, Raja, atau Yang di-Pertuan Agong melalui Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Oleh itu, mana-mana individu yang melaksanakan akad nikah menggunakan wali selain daripada wali yang ditauliahkan oleh pihak berkuasa agama, termasuk wali yang dilantik secara persendirian seperti yang berlaku dalam kes nikah sindiket, maka perkahwinan tersebut tidak menepati syarak dan peruntukan undang-undang.
Dalam konteks undang-undang Islam di Malaysia, perkahwinan yang tidak memenuhi rukun dan syarat yang sah tidak boleh didaftarkan, malah boleh membawa implikasi hukuman sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 303, termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Menurut pandangan fuqaha mazhab al-Syafi‘i, pasangan yang melaksanakan akad nikah dengan cara yang tidak sah hendaklah mengulangi akad tersebut dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya.
c) Kedudukan Anak yang Lahir Daripada Perkahwinan Tidak Sah dari Segi Undang-Undang Malaysia / Negeri Pulau Pinang
Perkahwinan yang dijalankan tetapi kemudian diputuskan tidak sah menurut undang-undang Malaysia digolongkan sebagai nikah fasid, kerana akad tersebut dianggap tidak sah secara tidak sengaja (yakni akibat kekurangan pada syarat atau rukun, bukan kerana akad haram yang disengajakan). Dalam keadaan demikian, persetubuhan antara pasangan dalam akad tersebut digolongkan sebagai persetubuhan syubhah, iaitu persetubuhan yang dilakukan atas anggapan bahawa akad itu sah, sedangkan sebenarnya ia tidak sah.
Di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), terminologi “persetubuhan syubhah” dijelaskan sebagai:
“Persetubuhan syubhah ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam.”
Berdasarkan peruntukan tersebut, meskipun akad nikah yang mendasari persetubuhan adalah fasid dan tidak sah secara undang-undang, dalam beberapa keadaan anak yang dilahirkan dalam tempoh yang ditetapkan dibenarkan mempunyai nasab kepada lelaki tersebut.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 melalui Seksyen 114 memperuntukkan bahawa:
“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”
Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa pengiktirafan ini adalah tertakluk dalam kerangka perundangan negeri dan hanya terpakai bagi kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang. Sekiranya sesuatu akad nikah didapati tidak sah di sisi undang-undang sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, maka pihak yang berkepentingan hendaklah memohon pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum sebarang hak berkaitan nasab, pewarisan harta pusaka, atau hak perundangan lain dapat disabitkan secara sah.
d) Kaitan Kewajipan Nafkah Dengan Status Perkahwinan
Memberikan nafkah kepada isteri merupakan satu kewajipan yang tidak dapat dinafikan dalam Islam. Kewajipan ini telah disepakati oleh para ulama berdasarkan ijmak dan nas-nas syarak yang jelas. Antara dalil yang menjadi sandaran utama adalah sabda Nabi SAW:
وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوف
Maksudnya: “Menjadi kewajipan bagi kamu (suami) untuk memberikan nafkah dan pakaian kepada isteri dengan cara yang makruf (baik dan berpatutan).”
[Riwayat Muslim, No.1218]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan:
فِيهِ وُجُوبُ نَفَقَةِ الزَّوْجَةِ وَكِسْوَتِهَا وَذَلِكَ ثَابِتٌ بِالْإِجْمَاعِ
Maksudnya:”hadis tersebut dengan jelas menunjukkan kewajipan suami dalam menyediakan nafkah dan pakaian kepada isterinya, dan kewajipan ini telah diakui sebagai ijmak oleh seluruh ulama”. [Rujuk Syarah Sahih Muslim, Jld.8, Hlm.184]
Selain itu, dalam aspek tanggungan nafkah, syarak menetapkan bahawa hak isteri terhadap nafkah tidak terbatal walaupun ia tidak diberikan dalam tempoh tertentu. Sebaliknya, kewajipan tersebut kekal menjadi hutang yang perlu dilangsaikan oleh suami. Imam al-Shirazi menyatakan:
إذا وجد التمكين الموجب للنفقة ولم ينفق حتى مضت مدة صارت النفقة ديناً في ذمته ولا تسقط بمضي الزمان
Maksudnya: "Sekiranya terdapat tamkin (iaitu ketaatan dan kesediaan isteri terhadap suami) yang mewajibkan suami memberi nafkah, namun suami gagal menunaikannya sehingga berlalu satu tempoh masa, maka nafkah itu menjadi hutang yang wajib dijelaskan oleh suami dan ia tidak gugur hanya kerana masa telah berlalu." [Rujuk Al-Muhazzab, Jld.3,Hlm.155]
Kenyataan ini memberi gambaran yang jelas bahawa tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah adalah bersifat kekal dan tidak boleh diabaikan. Ia merupakan elemen penting dalam menjamin kebajikan isteri serta kelangsungan institusi rumah tangga menurut syariat Islam.
Dalam konteks undang-undang dan kesahan perkahwinan, adalah penting untuk membezakan antara dua keadaan berikut:
- Perkahwinan yang tidak sah di sisi syarak dan tidak berdaftar
Sekiranya sesuatu akad nikah tidak memenuhi rukun dan syarat sah perkahwinan menurut hukum syarak, maka ia tidak diiktiraf oleh agama mahupun undang-undang. Dalam situasi ini, tidak timbul sebarang tanggungjawab suami isteri seperti pemberian nafkah, tempat tinggal, perlindungan atau hak-hak lain. Oleh itu, lelaki yang berperanan sebagai “suami” dalam perkahwinan sedemikian tidak mempunyai sebarang kewajipan dari sudut syarak atau undang-undang terhadap wanita berkenaan.
- Perkahwinan yang sah dari sudut syarak tetapi belum didaftarkan di sisi undang-undang
Dalam keadaan ini, sekiranya semua rukun dan syarat sah perkahwinan telah dipenuhi – termasuklah kehadiran wali, dua orang saksi yang adil serta lafaz ijab dan qabul – maka perkahwinan tersebut dianggap sah dari segi agama sebelum proses pendaftaran dijalankan. Justeru itu, suami tetap bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isterinya, termasuk kewajipan memberi nafkah.
Kesimpulannya, tanggungjawab suami untuk menyediakan nafkah kepada isteri adalah kewajipan agama yang tidak boleh dipandang ringan. Malah, status perkahwinan sama ada sudah berdaftar atau belum didaftarkan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan hak-hak asas isteri yang telah ditetapkan oleh syariat.
e) Pandangan Syarak Terhadap Ugutan Wanita Kepada Lelaki Atas Alasan Diabaikan Tanggungjawab Perkahwinan Sedangkan Akad Nikah Dipertikai Kesahihannya
Dari sudut hukum syarak, akad nikah yang tidak memenuhi rukun dan syarat sah seperti ketiadaan wali yang sah, saksi yang adil, atau pelaksanaan akad tanpa kelayakan pihak yang berakad dikategorikan sebagai akad batil.
Akad batil tidak menghasilkan sebarang kesan hukum yang diiktiraf oleh syarak. Ini termasuklah hak-hak perkahwinan seperti nafkah, tempat tinggal, serta hak waris-mewarisi. Oleh itu, tindakan wanita mengugut atau menuntut tanggungjawab daripada lelaki berdasarkan akad nikah yang tidak sah adalah termasuk dalam yang tidak mempunyai asas hukum.
f) Hak Tuntutan Nafkah Atau Hak Isteri Bagi Wanita Dalam Perkahwinan Tidak Sah Atau Tidak Diiktiraf Oleh Undang-undang
Sekiranya perkahwinan tersebut tidak sah dari segi syarak, maka wanita tersebut tidak berhak menuntut nafkah atau hak sebagai isteri kerana akad nikah yang tidak menepati rukun dan syarat sah tidak melahirkan sebarang kesan hukum.
Manakala, jika akad itu sah di sisi syarak tetapi tidak didaftarkan atau tidak diiktiraf di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri, maka perkahwinan tersebut dianggap tidak sah di sisi undang-undang sehingga ia disahkan oleh Mahkamah Syariah. Dalam keadaan demikian, tuntutan nafkah atau hak isteri tidak akan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah kerana perkahwinan tersebut belum memenuhi keperluan pendaftaran dan pengesahan seperti diperuntukkan oleh undang-undang.Hanya perkahwinan yang sah di sisi syarak dan disahkan melalui perintah Mahkamah Syariah berhak menimbulkan kesan hukum seperti nafkah, tempat tinggal, dan hak penjagaan anak.
Oleh itu, wanita berkenaan perlu terlebih dahulu memohon pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah bagi mengesahkan kedudukan akad tersebut sebelum sebarang tuntutan nafkah atau hak perkahwinan dapat dikemukakan secara sah di sisi undang-undang.
g) Bentuk Taubat Dan Jalan Penyelesaian Syarie Bagi Wanita Yang Terlibat Dalam Sindiket Nikah Haram.
- Memperbetulkan Akad dan Status Perkahwinan
Dalam konteks ini, menjadi “orang ketiga dalam rumah tangga orang lain” dalam erti kata lain berpoligami bukanlah masalah utama, kerana Islam membenarkan poligami dengan syarat ia dilaksanakan mengikut hukum dan prosedur yang sah. Namun, masalah sebenar timbul apabila perkahwinan tersebut tidak didaftarkan secara sah serta dijalankan melalui cara yang salah seperti menggunakan sindiket nikah haram atau tanpa wali dan kebenaran Mahkamah Syariah.
Oleh itu, wanita tersebut perlu mengambil langkah segera dengan memohon pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah untuk menilai kesahihan akad. Jika akad didapati tidak sah, maka perintah pembubaran akan dikeluarkan dan hubungan perlu dihentikan serta-merta.
- Menghentikan Hubungan yang Tidak Sah
Jika Mahkamah Syariah memutuskan bahawa akad tersebut batal atau tidak sah, wanita berkenaan wajib segera memutuskan hubungan tersebut bagi mengelakkan dosa berterusan.
- Membina Kehidupan Baru dengan Jalan Halal
Setelah memperbetulkan status perkahwinan dan bertaubat, wanita tersebut hendaklah memulakan kehidupan baru yang berlandaskan jalan halal dan keredaan Allah. Pintu keampunan Allah sentiasa terbuka bagi hamba-hamba-Nya yang benar-benar ingin berubah.
Keperluan Merujuk Mahkamah
Dalam sistem perundangan Islam di Malaysia, Mahkamah Syariah merupakan institusi yang mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan atau menafikan kesahihan sesuatu akad nikah. Oleh itu, sebarang isu yang melibatkan pertikaian status perkahwinan, sama ada sah atau sebaliknya, wajib dirujuk kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan keputusan yang muktamad dan berautoriti.
Rujukan kepada Mahkamah Syariah ini amat penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian fakta, bukti, dan prinsip hukum syarak yang sahih. Hal ini selaras dengan peruntukan undang-undang Islam negeri yang menetapkan bahawa hanya Mahkamah Syariah berhak menentukan kesahan akad, perwalian, serta segala kesan hukum yang timbul daripadanya seperti nafkah, pusaka, dan hak penjagaan anak.
Selain menjamin keadilan kepada semua pihak, pengesahan melalui Mahkamah Syariah juga berperanan sebagai bukti rasmi yang diiktiraf oleh undang-undang. Ia sekali gus mengelakkan kekeliruan, pertindihan tuntutan, dan penyalahgunaan hukum syarak oleh pihak yang tidak berautoriti. Dengan itu, tindakan merujuk Mahkamah bukan sahaja menepati kehendak undang-undang, bahkan ia merupakan satu langkah menjaga maqasid syariah dalam memelihara keturunan (hifz al-nasl), maruah, dan keadilan dalam masyarakat Islam.
Kesimpulan
Perkahwinan yang dijalankan secara sindiket di luar negara, khususnya tanpa pendaftaran sah di Malaysia, menimbulkan komplikasi yang serius terhadap hukum syarak dan perundangan. Walaupun terdapat kemungkinan akad nikah itu sah dari segi rukun syarak (menimbulkan kewajipan nafkah), ia tetap dianggap tidak sah dari sudut undang-undang dan pentadbiran, yang mana melanggar perintah pemerintah demi maslahat umum. Isu kesahihan wali hakim yang dilantik sindiket pula akan membatalkan akad nikah. Implikasi daripada perkahwinan ini adalah besar, terutamanya melibatkan kesukaran dalam urusan nasab anak (walaupun ada kelonggaran di bawah persetubuhan syubhah), tuntutan nafkah, dan waris-mewarisi. Justeru, tindakan paling utama bagi pasangan adalah memohon pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah bagi memastikan status perkahwinan, hak, dan kewajipan dapat disahkan mengikut peruntukan undang-undang Islam di Malaysia, seterusnya membolehkan pasangan bertaubat dan menghentikan hubungan yang tidak sah jika akad mereka didapati batal.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu'alam