Salam Ustaz, seringkali undangan perkahwinan disertai dengan maklum balas RSVP di mana tetamu perlu mengesahkan untuk hadir atau tidak. Boleh ustaz terangkan hukum tetamu hadir tanpa mengesahkan kehadiran melalui RSVP kepada tuan rumah?
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam.
Amalan RSVP masih belum dianggap sebagai kebiasaan umum dalam masyarakat Pulau Pinang. Justeru, kehadiran tetamu ke majlis perkahwinan tanpa mengesahkan RSVP adalah dibenarkan, selagi jemputan tersebut tidak disertai syarat khusus yang mewajibkan pengesahan.
Namun, sekiranya tuan rumah menyatakan syarat secara jelas dalam jemputan tersebut bahawa kemasukan atau peruntukan hidangan majlis adalah bergantung kepada pengesahan RSVP sahaja, maka syarat tersebut mengikat kepada jemputan. Maka, dalam situasi ini tetamu tidak dibenarkan hadir tanpa pengesahan.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hukum Memenuhi Jemputan Perkahwinan
Para ulama berpendapat bahawa hukum memenuhi atau menghadiri jemputan perkahwinan adalah wajib. Perkara ini telah disebutkan di antaranya dalam kitab Fiqh al-Manhaji:
وإجابة دعوة وليمة العرس فرض عين على مَن دعي إليها
Maksudnya: Menghadiri majlis walimah adalah fardu ain kepada sesiapa yang mendapat jemputan tersebut. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 97]
Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar r. anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
[Sahih Muslim (1429)]
Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa:
الْأَصَحُّ فِي مَذْهَبِنَا أَنَّهُ فَرْضُ عَيْنٍ عَلَى كُلِّ مَنْ دُعِيَ لَكِنْ يَسْقُطُ بِأَعْذَارٍ
Maksudnya: Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami bahawa hukum menghadiri majlis perkahwinan adalah fardu ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajipan tersebut tergugur disebabkan beberapa keuzuran. [Rujuk: Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld. 5, hlm. 253]
Beliau turut menyatakan bahawa:
وَنَقَلَ الْقَاضِي اتِّفَاقَ الْعُلَمَاءِ عَلَى وُجُوبِ الْإِجَابَةِ فِي وَلِيمَةِ الْعُرْسِ
Maksudnya: Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan kewajipan menghadiri jemputan majlis perkahwinan. [Rujuk: Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld. 5, hlm. 253]
Berikut merupakan keuzuran-keuzuran seperti yang telah dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya:
- Apabila terdapat keraguan pada makanan yang dihidangkan.
- Apabila jemputan tersebut hanya dikhususkan kepada golongan kaya sahaja.
- Sekiranya terdapat seseorang dalam majlis tersebut yang akan merasa terganggu dengan kehadirannya.
- Apabila dia tidak sesuai untuk bergaul dan duduk bersama orang tersebut.
- Apabila tuan rumah menjemput kerana takut akan kejahatannya.
- Apabila tuan rumah menjemput kerana ingin mengambil kesempatan atas kedudukannya.
- Apabila tuan rumah menjemput untuk mengajaknya membantu dalam perkara batil.
- Apabila terdapat kemungkaran dalam majlis tersebut seperti hidangan arak dan hiburan melalaikan. [Rujuk: Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld. 5, hlm. 253]
Perbahasan Ulama Berkenaan Hadir Ke Majlis Tanpa Jemputan
Para ulama juga telah membahaskan berkenaan menghadirkan diri ke sesuatu majlis tanpa dijemput oleh tuan rumah atau wakilnya, sama ada jemputan tersebut dilakukan secara umum atau khusus.
Para ulama telah mengistilahkan golongan ini sebagai al-tufaili (الطفيلي), iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan manusia tanpa mereka menjemputnya. [Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 12, hlm. 142]
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa haram bagi seseorang untuk hadir ke majlis tanpa dijemput, dan tanpa mengetahui tuan rumah reda atau tidak dengan perbuatannya itu. Imam al-Ramli dalam kitabnya telah menyebutkan:
وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ حُرْمَةُ التَّطَفُّلِ وَهُوَ الدُّخُولُ لِمَحَلِّ غَيْرِهِ لِتَنَاوُلِ طَعَامِهِ بِغَيْرِ إذْنِهِ وَلَا عُلِمَ رِضَاهُ أَوْ ظَنُّهُ بِقَرِينَةٍ مُعْتَبَرَةٍ، بَلْ يَفْسُقُ بِهِ إنْ تَكَرَّرَ
Maksudnya: Dan difahami daripada perbahasan yang telah dijelaskan bahawa haram perbuatan tatafful, iaitu memasuki tempat milik orang lain untuk menjamu makanan tanpa izinnya, dan tanpa diketahui kerelaannya ataupun tanpa adanya sangkaan yang kuat bahawa dia reda berdasarkan petunjuk yang muktabar. Bahkan, seseorang itu boleh menjadi fasik sekiranya dia mengulangi perbuatan tersebut. [Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, jld. 6, hlm. 377]
Perkara ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:
مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا
Maksudnya: Sesiapa yang telah dijemput namun tidak memenuhi jemputan, maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, maka dia telah masuk seperti pencuri dan keluar seperti perompak.
[Sunan Abi Daud (3741)]
Penggunaan RSVP dalam Undangan Perkahwinan
RSVP ialah akronim yang berasal daripada Perancis iaitu ‘Répondez S'il Vous Plaît’ yang bermaksud ‘sila respons/ sila jawab’. Ia merupakan kaedah yang digunakan untuk mengesahkan kehadiran atau ketidakhadiran seseorang di sesuatu majlis atau acara.
Kebiasaannya, RSVP ini digunakan untuk memudahkan pengurusan logistik majlis, terutamanya anggaran makanan, tempat duduk dan perbelanjaan majlis. Seiring perkembangan teknologi masa kini, kaedah ini telah mula digunakan oleh masyarakat termasuk untuk undangan majlis perkahwinan.
Berbalik kepada isu persoalan ini, kaedah fiqh yang boleh dikaitkan dengan situasi ini ialah:
العادة محكمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Berdasarkan kaedah ini, boleh difahami bahawa adat itu boleh dijadikan sebagai landasan hukum dalam sesuatu perkara yang berlaku, yang padanya tiada dalil-dalil jelas untuk menjelaskan hukumnya.
Sekiranya diteliti dalam konteks masyarakat Pulau Pinang, secara umumnya kaedah RSVP ini bukanlah amalan atau kaedah utama yang digunakan dalam urusan jemputan majlis perkahwinan. Ia juga tidak dianggap sebagai suatu adat yang wajib dipatuhi, sebaliknya hanya dipraktikkan oleh sebahagian kecil masyarakat sahaja.
Namun begitu, antara pertimbangan utama yang perlu diberikan dalam situasi ini juga adalah konsep atau syarat yang telah ditetapkan oleh tuan rumah dalam jemputan tersebut. Sekiranya jemputan ini dibuat secara umum tanpa menetapkan sebarang syarat khusus berkaitan RSVP, maka secara asasnya jemputan asal telah memberikan keizinan umum kepada para tetamu untuk hadir ke majlis berkenaan. Dalam keadaan ini, penggunaan RSVP dilihat sebagai satu bentuk permintaan bagi tujuan kemudahan pengurusan majlis, bukan sebagai syarat yang menentukan kesahan jemputan tersebut.
Sebaliknya, sekiranya jemputan itu disertakan dengan syarat khusus yang dinyatakan dengan jelas, seperti kenyataan “kehadiran atau kemasukan tidak akan dibenarkan tanpa pengesahan RSVP” atau “makanan yang disediakan adalah disediakan kepada tetamu yang membuat pengesahan RSVP sahaja”, maka dalam hal ini syarat tersebut menunjukkan bahawa hak kehadiran tetamu tertakluk kepada pemenuhan syarat berkenaan. Justeru, seseorang yang tidak melakukan pengesahan seperti yang diminta tidak lagi mempunyai hak untuk menghadiri majlis tersebut.
Kesimpulan
Tuntasnya, amalan RSVP masih belum dianggap sebagai kebiasaan umum dalam masyarakat Pulau Pinang. Justeru, kehadiran tetamu ke majlis perkahwinan tanpa mengesahkan RSVP adalah dibenarkan, selagi jemputan tersebut tidak disertai syarat khusus yang mewajibkan pengesahan, berbeza dengan hukum haram yang dihukumkan kepada al-tufaili.
Namun, sekiranya tuan rumah menyatakan syarat secara jelas dalam jemputan tersebut bahawa kemasukan atau peruntukan hidangan adalah bergantung kepada pengesahan RSVP sahaja, maka syarat tersebut mengikat kepada jemputan. Maka, dalam situasi ini tetamu tidak dibenarkan hadir tanpa pengesahan. Hal ini demikian kerana, walaupun ia bukan kebiasaan umum dalam masyarakat setempat, ia menjadi uruf khas bagi majlis tersebut dan tetamu perlu mematuhinya.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahuaklam.
