Persoalan : HUKUM NAZAR YANG DIRAGUI SAMA ADA DILAFAZKAN ATAU SEKADAR DALAM HATI (01152)

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya mengenai nazar. Saya ada baca satu artikel mengenai nazar dan jenis-jenisnya. Setiap jenis nazar disertakan dengan contoh dia. Jadi ketika saya baca pada nazar mutlak, saya tidak pasti sama ada saya ada baca ayat tersebut dengan lisan atau sekadar dalam hati. Saya hanya perasan yang mulut saya terbuka tapi saya rasa saat itu tiada suara saya yang keluar. Saya rasa mulut saya terbuka kerana saya fokus, namun saya tidak dapat memastikannya jadi saya berasa was-was akan hal ini.

Contoh nazar mutlak itu seperti ini: "Aku mewajibkan ke atas diriku  untuk berpuasa sunat isnin dan khamis". 

1. Persoalannya ustaz, adakah nazar ini diterima jika saya tidak pasti sama ada saya menyebut nya dengan lisan? Jika ya, saya sudah tentu tidak mampu nak menunaikannya, terlebih saya perempuan yang akan mengalami haid pada hari tersebut. 

2. Adakah nazar ini boleh ditebus atau dibatalkan dengan bayaran kaffarah?

3. Jika boleh dibayar melalui kaffarah, boleh kah saya memberi makanan kepada 10 orang fakir miskin atau berpuasa 3 hari berturut-turut bagi saya terlepas akan nazar ini?

4. Serta bolehkah bayaran kaffarah ini dibuat di laman web e-Mais?

Mohon pencerahan dari ustaz bagi masalah saya, kerana saya amat berasa takut kerana ini melibatkan nazar, sesuatu yang kita berjanji kepada Allah. Moga Allah kurniakan kefahaman kepada saya setelah ini. Terima kasih. 



Jawapan Ikhtisar

Wa’alaikumussalam.

Penjelasan ringkas adalah seperti berikut:

  1. Lafaz yang diragui sama ada disebut atau tidak: Nazar hanya sah jika dilafazkan dengan lisan yang jelas serta disertai niat dan kesungguhan untuk mengikat diri dengan ibadah tertentu. Sekadar membaca contoh dalam artikel, atau mulut terbuka kerana fokus membaca tanpa niat, tidak dianggap sebagai nazar. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ragu (syak), hukum asalnya ialah tidak berlaku nazar kerana syarak menetapkan prinsip al-yaqin la yazulu bi al-shakk (keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan). Maka dalam kes ini, puan tidak dikira bernazar.
  2. Kewajipan melaksanakan nazar: Jika seseorang benar-benar melafazkan nazar mutlak dengan sengaja dan yakin, maka nazar itu sah dan wajib ditunaikan. Contohnya, “Aku mewajibkan ke atas diriku berpuasa Isnin dan Khamis.” Dalam keadaan ini, ia tidak boleh dibatalkan dengan membayar kaffarah semata-mata kerana nazar mutlak tidak disamakan dengan sumpah. Berbeza dengan nazar lajjaj (nazar berbentuk sumpah), yang boleh ditebus dengan kaffarah sumpah.
  3. Kaffarah bagi nazar: Dalam kes puan, kerana nazar itu tidak wujud, maka tiada tuntutan kaffarah. Namun sebagai ilmu tambahan: sekiranya berlaku nazar lajjaj, kaedah kaffarahnya adalah sama dengan sumpah, iaitu:
    • Memberi makan 10 orang fakir miskin dengan kadar sederhana, atau
    • Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin, atau
    • Membebaskan seorang hamba. Jika tidak mampu, barulah digantikan dengan puasa 3 hari.
  4. Pembayaran melalui e-MAIS: Platform e-MAIS pada asasnya adalah untuk urusan zakat, fidyah dan wakaf. Bagi isu nazar, sekiranya benar-benar berlaku dan memerlukan pelaksanaan kaffarah, adalah lebih tepat puan berhubung terus dengan Majlis Agama Islam Negeri atau pihak berautoriti untuk panduan kaedah penunaian yang betul.

Dalam situasi yang puan alami, tidak ada nazar yang mengikat kerana tiada lafaz yang jelas dan tiada niat untuk bernazar. Maka puan tidak perlu bimbang tentang pelaksanaan ibadah tambahan mahupun kaffarah. Prinsip asal Islam ialah memudahkan dan tidak memberatkan.


Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

Pengertian Nazar

Nazar pada sudut bahasa bermaksud satu janji untuk melakukan kebaikan atau keburukan. Manakala, menurut istilah syarak pula nazar bermaksud mewajibkan sesuatu perbuatan yang asalnya tidak wajib untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam mentakrifkan nazar, beliau berkata:

النذر: التزام مسلم مكلف رشيد قربة لم تتعين نفلا كانت أو فرض كفاية

Maksudnya: Nazar merupakan satu ucapan seorang Muslim mukalaf lagi cerdik yang mewajibkan ke atas dirinya untuk melakukan kebaikan yang asalnya tidak wajib secara ‘aini, sama ada ia amalan sunat atau fardu kifayah. [Lihat Fath al-Mu’in Syarh al-Qurrah al-‘Ain, hlm. 310]

Dr. Muhammad Zuhaili juga dalam kitabnya mendefinisikan nazar itu sebagai;

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (sesuatu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak diwajibkan dalam syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak ataupun dengan mentaq’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 2, hlm. 501]

 

Syarat Sighah Nazar

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan syarat bagi rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan bahawa:

الصيغة هي الكلام الذي يصدر من الناذر، ولا يصح النذر إلا بالقول، وهو أن يقول: لله علي كذا، وإن قال: علي كذا، صح؛ لأن القربة لا تكون عليه إلا لله تعالى، فحمل الإطلاق عليه، والأكمل أن يقول في صيغة النذر مثلا: إن شفى الله مريضي فلله علي كذا، ويشترط في الصيغة أن تكون بلفظ يشعر بالتزام، فلا تنعقد بالنية

Maksudnya: Sighah merupakan ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Nazar tidak sah melainkan dengan perkataan. Apabila seseorang itu mengucapkan: “Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut: “Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah kerana perbuatan qurbah itu tidaklah  wajib keatasnya melainkan hanya untuk Allah semata-mata. Maka lafaz mutlak itu ditafsirkan sebagai merujuk kepadaNya. Bentuk yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah: “Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). Justeru, nazar tidak terhasil hanya dengan niat dalam hati tanpa ucapan. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 2, hlm. 505]

 

Terdapat juga ulama lain telah membahaskan berkenaan nazar yang hanya dihukumkan wajib untuk dilaksanakan sekiranya nazar tersebut dilafazkan. Imam Nawawi menyatakan bahawa:

(الصحيح) باتفاق الأصحاب أنه لا يصح إلا بالقول ولا تنفع النية وحدها

Maksudnya: Pandangan sahih dalam isu ini yang menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafie adalah tidak sah nazar melainkan dengan melafazkannya dengan lisan, dan tidak sah sekadar dengan niat sahaja.  [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jld. 8, hlm. 451]

 

Imam al-Suyuti juga dalam mensyarahkan kaedah al-Umur bi Maqasidiha telah menyebut bahawa:

لَوْ نَوَى ‌النَّذْر بِقَلْبِهِ وَلَمْ يَتَلَفَّظ، لَمْ يَنْعَقِد ‌النَّذْر

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu meniatkan nazar di dalam hatinya tanpa melafazkannya, maka tidak dikira ia sebagai nazar.  [Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 33]

 

Nazar Mutlak dan Hukumnya

Nazar mutlak termasuk dalam jenis Nazar Tabarrur, iaitu bernazar untuk melakukan kebaikan.

Nazar Mutlak bermaksud bernazar untuk melakukan kebaikan tanpa dikaitkan dengan sesuatu peristiwa. Sebagai contoh seseorang itu berkata "aku bernazar untuk melakukan sembahyang sunat". Wajiblah dilaksanakan apa yang telah dinazarkan seboleh yang mungkin.

Dua bentuk nazar tabarrur mestilah dilaksanakan serta tidak diserupakan dengan hukum sumpah, maka tidak boleh dibayar kifarat atas alasan untuk tidak melakukannya. [Lihat I'anat al-Talibin, jld. 2, hlm. 407, Bidayah al-Muhtaj, jld.4, hlm. 423]

Berdasarkan kepada petikan kitab di atas, dapat difahami bahawa nazar mutlak yang merupakan salah satu kategori di bawah nazar tabarrur wajib ditunaikan apabila ia telah dilafazkan. Ia tidak boleh diganti dengan kafarah untuk tidak melaksanakannya.

 

Niat dan Kesungguhan dalam Nazar

Melafazkan nazar secara rawak tanpa disertai niat yang jelas dan kesungguhan untuk melaksanakannya tidak dianggap sah dalam Islam. Hal ini demikian kerana, niat merupakan asas utama dalam setiap ibadah, bahkan ia menjadi pemisah antara amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan kebiasaan lisan semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda:

إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرئ ما نوى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang akan mendapat apa yang dia niatkan.”

[Sahih Muslim (1907)]

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: “Hukum suatu perkara itu bergantung kepada niatnya.”  

 

Justeru, sekiranya lafaz nazar hanya sekadar terlepas dari mulut tanpa disedari, maka ia tidak termasuk dalam kategori nazar yang mengikat. Situasi ini sama seperti orang yang sedang tidur atau dalam keadaan lalai, lalu lisannya menyebut lafaz talak atau sumpah; jumhur ulama berpandangan lafaz itu tidak membawa kesan kerana ketiadaan niat yang jelas.

 

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang telah diajukan, berdasarkan kepada hujah dan dalil yang telah dikongsikan;

  1. Nazar hanya dianggap sah dan wajib dilaksanakan apabila ia dilafazkan ucapan yang jelas melalui lisan. Dalam situasi sekiranya seseorang itu membaca artikel penjelasan mengenai nazar, lalu dia menyebut contoh lafaznya dengan lisan, namun tiada niat atau kesungguhan untuk benar-benar mengikat dirinya dengan ibadah itu, maka hukum nazar tidak tersabit ke atasnya. Ia hanya dianggap sebagai lafaz biasa tanpa membawa sebarang implikasi hukum.
  1. Sekiranya suatu nazar mutlak yang dilafazkan dianggap sah, maka menjadi kewajipan ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya. Nazar mutlak ini tidak boleh digantikan dengan bayaran kafarah atas alasan untuk tidak melaksanakannya, kerana nazar ini tidak disamakan dengan hukum sumpah, berbeza dengan hukum nazar al-lajjaj.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.

Wallahu’aklam.