Salam ustaz / tuan mufti
Saya ada pergi ke rumah orang. Saya masuk ke rumah itu pakai stokin. Dalam rumah tersebut saya terpijak karpet yang basah bekas air kencing dengan stokin. Kemudian bila balik saya pakai kasut dengan stokin tersebut.
Kemudian saya berhenti kat kedai dan beli stokin baru sebab saya rasa stokin itu lembab.Tapi saya masih pakai kasut yang sama dan belum sempat basuh.
Kemudian saya pergi ke pejabat saya dengan kasut tersebut. Saya masuk pejabat cabut kasut tapi masih pakai stokin baru tersebut. Adakah ada perpindahan najis dari stokin pertama yang saya pakai ke kasut, dan adakah ada perpindahan najis dari kasut ke stokin kedua yang saya pakai?
Persoalan saya, saya risau kalau ada perpindahan najis dari kasut ke stokin yang saya pakai dan ke lantai tempat saya kerja sebab saya masuk pejabat dengan pakai stokin. Adakah najis tersebut berpindah dari kaki saya ke lantai tempat kerja…. Tiada ain najis pada lantai. Cuma saya takut stokin itu lembap dan berpindah pada lantai. Dan hari2 saya pergi ke pejabat pijak lantai menyebabkan saya fikir najis telah tersebar ke mana2. Kalau dekat rumah mungkin saya boleh bersihkan lantai. Tapi dekat pejabat ruang lantai sangat besar dan ada meja kerja apa semua. Dan pemikiran ini telah mengganggu saya untuk ibadah dan kerja saya di pejabat. Untuk pengetahuan ustaz setiap pagi akan ada cleaner yang mop lantai. Cuma bukankah untuk membersihkan lantai perlu alirkan air. Adakah cukup sekadar dengan mop? Bagaimana dengan karpet karpet yang saya pijak di tempat kerja. Adakah berlaku perpindahan najis?
Saya waswas dengan perpindahan najis ustaz hingga mengganggu saya untuk buat kerja dan ibadah.
Terima kasih ustaz atas bantuan, semoga Allah merahmati ustaz .
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Secara umumnya, jika seseorang berasa waswas tentang kemungkinan perpindahan najis pada lantai atau karpet yang dipijaknya, maka hukum asal yang perlu dipegang adalah kekal suci selagi tiada bukti yang meyakinkan tentang wujudnya najis. Dalam Islam, sesuatu yang telah dihukumkan suci tidak akan berubah statusnya hanya kerana timbul keraguan semata-mata. Prinsip ini selari dengan kaedah fiqh yang masyhur:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.”
Kaedah ini membawa maksud bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara ialah kekal sebagaimana asalnya sehingga datang dalil atau bukti yang meyakinkan untuk mengubahnya. Contohnya, lantai atau karpet yang pada asalnya suci tidak dihukumkan najis hanya kerana keraguan atau lintasan hati semata-mata tanpa ada bukti yang jelas seperti terlihat najis atau terhidu baunya secara nyata.
Tambahan pula, para ulama menyebut bahawa melayan keraguan yang berlebihan sehingga mengganggu kehidupan seharian termasuk dalam perangkap waswas yang ditegah syarak. Oleh itu, mengabaikan keraguan yang tidak berasas adalah sebahagian daripada cara menjaga agama dan akal agar tidak terjebak dalam waswas yang berpanjangan.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat
Perpindahan najis akan berlaku sekiranya suatu benda seperti kasut yang terkena najis tersebut dalam keadaan basah. Maka, perpindahan najis tersebut berlaku kepada stoking baru. Jadi, stoking baru tersebut perlu dibasuh sehingga hilang najis yang ada pada stoking baru tersebut itu.
Begitu juga pada persoalan terhadap perpindahan najis dari stoking baru ke lantai pejabat. Sekiranya, stoking baru tersebut dalam keadaan basah dan pijak lantai maka perpindahan najis dari stoking baru ke lantai tetap berlaku. Namun, jika stoking baru tersebut dalam keadaan kering dan pijak lantai, maka tidak akan berlaku perpindahan najis.
Dalam menentukan sama ada najis benar-benar terkena pada badan, pakaian atau lantai, seseorang mestilah yakin dan pasti bahawa najis tersebut telah berpindah atau terkena pada dirinya atau pada lantai tersebut. Sekiranya hanya timbul perasaan waswas (seperti yang Encik nyatakan bahawa “takut stoking itu lembap”), maka ia tidak diambil kira dalam hukum. Hal ini seiring dengan kaedah.
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: “Sesuatu yakin tidak akan hilang kerana suatu syak (keraguan)”.
Kaedah al-yaqīnu lā yazūlu bi al-syak didasari dari al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan akal. Mengenai rujukan kaedah ini, para ulama telah memaparkan dalil-dalil yang dinilai sebagai dasar hukum kaedah al-yaqīnu lā yazūlu bi al-syak, Allah SWT berfirman:
وَمَا يَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِي مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِمَا يَفۡعَلُونَ
Terjemahnya: Dan kebanyakan mereka hanya mengikuti sangkaan. Sesungguhnya sangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk melawan kebenaran. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
[Surah Yūnus: 36]
jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya yakni yang bernajis dan yang suci dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.
Berbalik kepada persoalan yang dibahaskan, dalam isu ini cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).
Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib,Jld 2, hlm 114).
Tambahan lagi, al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:
والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ
Terjemahannya: “Asal bagi air kita adalah suci bersih # Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”
Solusi Surah Al-Nas dalam Menangani Penyakit Waswas
Surah al-Nas adalah penawar bagi orang-orang yang mengalami kegelisahan dalam hidupnya. Kegelisahan yang datang dari bisikan-bisikan (waswas) yang masuk ke dalam hati manusia. Maka surah al-Nas ini sebagai solusi dari permasalahan tersebut. Juga untuk dijadikan penguat iman, penguat jiwa dan penangkis bahaya.
a. Memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan. Sebagaimana firman Allah:
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌۭ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ٣٦
Maksudnya: Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Surah Fussilat ayat 36]
b. Membaca surah pelindung waswas
Membaca surah-surah perlindungan seperti Surah al-Falaq dan Surah al-Nas merupakan amalan yang sangat dituntut. Bahkan, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, al-Nasa’i, dan Abu Dawud, Nabi SAW menganjurkan para sahabat untuk membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nas sebanyak tiga kali setiap pagi dan petang sebagai perlindungan daripada segala bentuk kejahatan dan gangguan, termasuk bisikan waswas.
c. Tidak peduli
Ubat yang paling mujarab untuk menghilangkan waswas ialah dengan bersikap tidak peduli terhadapnya. Walaupun keraguan itu datang dengan kuat, ia akan hilang dengan sendirinya jika tidak dilayan atau diendahkan. Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa waswas akan bertambah kuat jika diberi perhatian, sedangkan cara terbaik untuk mematikannya ialah dengan mengabaikan lintasan tersebut kerana syaitan akan berundur apabila tidak dilayan.
d. Terus berlatih dengan sabar
Gangguan waswas tidak akan hilang serta-merta. Ia memerlukan latihan yang berterusan dan kesabaran yang tinggi. Untuk mengatasinya, tidak memadai hanya dengan sekali usaha, sebaliknya perlu berulang kali melatih diri sehingga gangguan tersebut benar-benar hilang. Sebagai contoh, mulakan dengan amalan kecil seperti membaca Surah al-Nas sebelum tidur, kemudian tingkatkan kepada rutin pagi dan petang, seterusnya amalkan doa-doa perlindungan dalam solat.
e. Memperkuatkan Iman & Ilmu
Waswas sering menyerang hati yang kosong daripada ilmu dan zikir. Menghadiri majlis ilmu, membaca tafsir al-Quran dan menghayati maksud zikir akan memperkukuh benteng dalaman.
f. Mendapatkan Sokongan & Rawatan Jika Perlu
Bagi pengidap waswas yang teruk hingga menjejaskan kehidupan seharian, dapatkan bimbingan ustaz berpengalaman atau kaunselor Islam. Rawatan ruqyah syar‘iyyah dan terapi psikologi Islam boleh membantu.
Kesimpulan
Dalam menentukan sama ada najis benar-benar terkena pada badan atau pakaian, seseorang mestilah yakin secara pasti bahawa najis tersebut telah berpindah atau terkena pada dirinya. Sekiranya hanya timbul perasaan waswas (seperti yang Encik nyatakan bahawa “takut stoking itu lembap”), maka ia tidak diambil kira dalam hukum. Hal ini seiring dengan kaedah.
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: “Sesuatu yakin tidak akan hilang kerana suatu syak(keraguan)”.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu ‘alam