Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumussalam,
Hukum kasut terpijak pasir yang berdekatan dengan najis dihukumkan suci dan tidak perlu dibasuh. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain di dalam kereta seperti pedal, karpet atau sebagainya yang bersentuhan dengan kasut tersebut semuanya dihukumkan suci.
Jawapan Tasfil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Najis yang Dimaafkan
Para fuqaha’ telah membincangkan secara terperinci berkenaan jenis-jenis najis yang dimaafkan. Antara contoh najis yang dimaafkan ialah najis yang telah bercampur dengan tanah basah disebabkan hujan sehingga bentuk dan zat najis tersebut hilang. Hal ini sebagaimana yang disebut dalam Hasyiah al-Rasyidi:
(إن رُش الطريق به ) وكذا ماء المطر، فإذا مرت عليه الكلاب وراثت أو بالت واختلط بحيث لم يبق للنجاسة عين مميزة.. فإنه يُعفى عما أصيب من الطريق ، ويُعفى عن قليله المتيقن نجاسته ، ولا يكلف غسل رجليه، خلافاً لما توهمه بعض الطلبة.
Maksudnya: (Jika tanah itu dibasahi dengan air), demikian juga halnya dengan air hujan. Sekiranya anjing melaluinya lalu mengeluarkan najis atau kencing, kemudian ia bercampur sehingga tiada lagi kelihatan zat najis yang dapat dikenal pasti, maka dimaafkan bahagian jalan yang terkena najis tersebut. Bahkan dimaafkan juga sedikit najis yang diyakini kewujudannya. Maka seseorang tidak diwajibkan membasuh kakinya, berbeza dengan sangkaan sesetengah penuntut ilmu. [Rujuk Hasyiah al-Rasyidi ‘ala Fath al-Jawad hlm. 31-32]
Berbalik kepada soalan, sekiranya ada percikan air daripada najis yang jatuh ke kawasan tanah berpasir lalu seseorang terpijak kawasan itu maka ia dihukumkan suci. Hal ini demikian kerana, ia termasuk di dalam perkara yang dimaafkan. Tambahan lagi, percikan air yang jatuh ke pasir itu sudah tidak dapat dilihat dan ia juga sukar untuk dielakkan. Kaedah fiqh menyebutkan:
يعفى عما يتعذر الاحتراز عنه غالبا
Maksudnya: Dimaafkan atas sesuatu yang sukar untuk dielakkan secara kebiasaan.
Maka tidak perlu untuk membasuh kasut atau membasuh mana-mana bahagian di dalam kereta kerana syara’ tidak pernah menuntut seseorang untuk memberati hal berkenaan najis. Memadai ke atas seseorang berpegang kepada hukum asal, iaitu sesuatu itu dianggap suci selagi tiada bukti atau tanda jelas menunjukkan sebaliknya.
Keyakinan dalam Penentuan Najis
Dalam menentukan sama ada najis benar-benar terkena pada badan atau pakaian, seseorang mestilah yakin secara pasti bahawa najis tersebut telah berpindah atau terkena pada dirinya. Sekiranya hanya timbul perasaan waswas, maka ia tidak diambil kira dalam hukum. Hal ini seiring dengan kaedah.
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: “Sesuatu yakin tidak akan hilang kerana suatu syak(keraguan)”.
Kaedah ini bersumberkan daripada sebuah hadis Rasullullah SAW:
عن عباد بن تميم عن عمه، أنه شكا إلى رسول الله ﷺ الرجل الذي يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة، فقال: لا ينفتل -أو لا ينصرف- حتى يسمع صوتًا أو يجد ريحًا
Maksudnya: "Daripada ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan, daripada bapa saudaranya yang mengadu kepada Nabi SAW tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar daripada duburnya sesuatu atau tidak?. Nabi SAW menjawab; “Janganlah dia keluar dari solatnya sehinggalah dia yakin terdengar bunyi (kentut) atau mencium baunya ”."
[Riwayat al-Bukhari 137]
Bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut boleh rujuk pautan yang disediakan seperti berikut:
HUKUM TERPIJAK NAJIS DI JALANAN DAN MEMIJAK KARPET KERETA (01070)
KASUT PERNAH TERPIJAK NAJIS HAIWAN (01072)
WAS-WAS TERKENA NAJIS MUGHALLAZAH (01030)
PENYAKIT WAS-WAS (00830)
WAS-WAS MENGENAI HUKUM INAI CELUP (00739)
MASALAH WASWAS DALAM KEBERSIHAN (01031)
Petua Mengatasi Waswas
1. Berhenti memikirkan perkara yang dirasakan waswas tersebut.
Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan rawatan menghilangkan lintasan keraguan di dalam diri, beliau menjawab
لَهُ دَواءٌ نافِعٌ وهُوَ الإعْراضُ عَنْها جُمْلَةً كافِيَةً. وإنْ كانَ فِي النَّفْسِ مِن التَّرَدُّدِ ما كانَ - فَإنَّهُ مَتى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَما جَرَّبَ ذَلِكَ المُوَفَّقُونَ، وأمّا مَن أصْغى إلَيْها وعَمِلَ بِقَضِيَّتِها فَإنَّها لا تَزالُ تَزْدادُ بِهِ حَتّى تُخْرِجَهُ إلى حَيِّزِ المَجانِينِ بَلْ وأقْبَحَ مِنهُمْ، كَما شاهَدْناهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِها وأصْغَوْا إلَيْها وإلى شَيْطانِها الَّذِي جاءَ التَّنْبِيهُ عَلَيْهِ مِنهُ - ﷺ - بِقَوْلِهِ: «اتَّقُوا وسْواسَ الماءِ الَّذِي يُقالُ لَهُ الوَلْهانُ» أيْ: لِما فِيهِ مِن شِدَّةِ اللَّهْوِ والمُبالَغَةِ فِيهِ كَما بَيَّنْت ذَلِكَ وما يَتَعَلَّقُ بِهِ فِي شَرْحِ مِشْكاةِ الأنْوارِ، وجاءَ فِي الصَّحِيحَيْنِ ما يُؤَيِّدُ ما ذَكَرْته وهُوَ أنَّ مَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَعْتَقِدْ بِاَللَّهِ ولْيَنْتَهِ. فَتَأمَّلْ هَذا الدَّواءَ النّافِعَ الَّذِي عَلَّمَهُ مَن لا يَنْطِقُ عَنْ الهَوى لِأُمَّتِهِ. واعْلَمْ أنَّ مَن حُرِمَهُ فَقَدْ حُرِمَ الخَيْرَ كُلَّهُ؛ لِأنَّ الوَسْوَسَةَ مِن الشَّيْطانِ اتِّفاقًا، واللَّعِينُ لا غايَةَ لِمُرادِهِ إلّا إيقاعُ المُؤْمِنِ فِي وهْدَةِ الضَّلالِ والحَيْرَةِ ونَكَدِ العَيْشِ وظُلْمَةِ النَّفْسِ وضَجَرِها إلى أنْ يُخْرِجَهُ مِن الإسْلامِ. وهُوَ لا يَشْعُرُ أنَّ الشَّيْطانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فاِتَّخِذُوهُ عَدُوًّا. وجاءَ فِي طَرِيقٍ آخَرَ فِيمَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَقُلْ: آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ. ولا شَكَّ أنَّ مَن اسْتَحْضَرَ طَرائِقَ رُسُلِ اللَّهِ سِيَّما نَبِيُّنا - ﷺ - وجَدَ طَرِيقَتَهُ وشَرِيعَتَهُ سَهْلَةً واضِحَةً بَيْضاءَ بَيِّنَةً سَهْلَةً لا حَرَجَ فِيها وما جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِن حَرَجٍ، ومَن تَأمَّلَ ذَلِكَ وآمَنَ بِهِ حَقَّ إيمانِهِ ذَهَبَ عَنْهُ داءُ الوَسْوَسَةِ والإصْغاءِ إلى شَيْطانِها. وفِي كِتابِ ابْنِ السُّنِّيِّ مِن طَرِيقِ عائِشَةَ: «مَن بُلِيَ بِهَذا الوَسْواسِ فَلْيَقُلْ: آمَنّا بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ ثَلاثًا، فَإنَّ ذَلِكَ يُذْهِبُهُ عَنْهُ» وذَكَرَ العِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلامِ وغَيْرُهُ نَحْوَ ما قَدَّمْته فَقالُوا: دَواءُ الوَسْوَسَةِ أنْ يَعْتَقِدَ أنَّ ذَلِكَ خاطِرٌ شَيْطانِيٌّ، وأنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أوْرَدَهُ عَلَيْهِ وأنَّهُ يُقاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوابُ المُجاهِدِ؛ لِأنَّهُ يُحارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإذا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ
Maksudnya: Terdapat ubat yang bermanfaat bagi menghadapi lintasan keraguan (di dalam hati), iaitu bersungguh-sungguh berpaling daripadanya (sebaik sahaja dia datang), sekalipun di dalam dirinya masih ada saki-baki lintasan itu, jika dia tidak mempedulikan lintasan itu, ia tidak akan dapat menetap di dalam diri, bahkan pasti ia akan hilang dalam masa yang singkat sepertimana yang dialami oleh orang-orang yang diberi taufiq. Adapun sesiapa yang melayan lintasan itu dan menurutnya, ia akan terus bertambah kuat dan akan menjadikannya tergolong dalam kumpulan orang-orang gila, bahkan lebih buruk dari mereka. Hal ini sepertimana yang kami saksikan berlaku kepada ramai dari kalangan mereka yang diuji dengan lintasan keraguan, kemudian melayan dan menurut bisikan syaitan itu yang telah diperingatkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda: “Jagalah diri kamu dari waswas al-Ma’ (وسْواسَ الماءِ) yang disebut al-Walhan (الولهان)” iaitulah disebabkan padanya terdapat perkara yang bersangatan sia-sia seperti yang telah daku jelaskan dalam Syarh Misykah al-Anwar.
Terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim penguat akan apa yang aku nyatakan ini, bahawa sesiapa yang diuji dengan waswas, maka hendaklah dia membetulkan iktikadnya dengan Allah dan berhenti dari melayan lintasan keraguan tersebut. Oleh itu ambillah perhatian terhadap ubat yang bermanfaat ini, yang telah diajar oleh insan yang tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya (SAW). Ketahuilah bahawa sesiapa yang terhalang dari mengikuti panduan baginda, orang itu telah terhalang dari seluruh kebaikan. Ini kerana lintasan waswas adalah pasti dari syaitan. Syaitan yang dilaknat tiada tujuan lain melainkan untuk menjadikan seorang yang beriman terjebak ke dalam lembah kesesatan, ke dalam keraguan, kesempitan hidup, kegelapan dan kegelisahan jiwa, sehingga mengeluarkannya dari agama Islam. Orang itu tidak sedar bahawa syaitan adalah musuhnya, maka jadikan syaitan itu musuh (dengan tidak menurutinya). Di dalam hadis lain berkaitan orang yang diuji dengan bisikan waswas, hendaklah mengucapkan:
آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ
Maksudnya: Daku beriman kepada Allah dan kepada semua rasul utusan-Nya.
Tidak diragukan lagi bahawa, sesiapa yang mengikuti jalan para rasul Allah terutamanya nabi kita SAW, pasti akan mendapati jalan baginda dan syariat yang dibawa baginda adalah jelas, terang dan mudah. Tiada kepayahan di dalamnya, (firman Allah SWT) “dan tidaklah Dia menjadikan untuk kamu semua sesuatu kepayahan di dalam agama.” Sesiapa yang memerhatikan perkara ini dan benar-benar beriman dengannya, penyakit waswas dan condong kepada bisikan syaitan itu akan hilang darinya.
Di dalam kitab Ibn al-Sunniy dari riwayat ‘Aisyah RA dinyatakan: “Sesiapa yang diuji dengan bisikan waswas ini, hendaklah mengucapkan: “kami telah beriman kepada Allah dan kepada semua para rasul-Nya” tiga kali. Perkara ini akan menghilangkan bisikan waswas tersebut daripadanya.” Al-“izz bin ‘Abd al-Salam dan selain beliau ada menyebut perkara yang sama dengan apa yang telah daku sebutkan ini. Mereka berkata: “Ubat kepada waswas ialah dengan berkeyakinan bahawa waswas tersebut adalah dari syaitan. Iblislah yang telah mendatangkan lintasan tersebut. Maka sesiapa yang mengalaminya hendaklah memerangi Iblis dan dia berhak mendapat pahala seorang mujahid kerana melawan (bisikan waswas) Iblis yang merupakan musuh Allah. Apabila seseorang itu merasai perkara ini, pasti iblis dan syaitan akan lari daripadanya…”. [Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Jld.1, Hlm.149-150]
2. Berdoa dan berlindung dengan Allah SWT.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ
Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (memikirkan hal-hal yang meragukannya).”
[Riwayat Muslim 362]
3. Sentiasa fokus dalam setiap amalan harian
Sebagai umat Islam, kita seharusnya fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan seharian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada was-was dan gangguan syaitan
Daripada Hasan bin Ali R.A, Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu dengan memilih sesuatu yang tidak meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.
(Riwayat al-Tirmizi, 2708)
4. Sentiasa melazimkan zikir kepada Allah SWT dan mengamalkan doa-doa yang telah diajarkan oleh Baginda S.A.W. Daripada Anas bin Malik RA:
كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ: ( اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ )
Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”.
[Riwayat Bukhari 139]
Para ulama’ telah menetapkan bahawa antara sebab mengapa dianjurkan kita meminta perlindungan kepada Allah SWT ketika memasuki tandas adalah agar kita terlindung daripada gangguan syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat tersebut. Di dalam hadith daripada Zaid bin Arqam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ”.
[Sunan Abi Daud]
Kesimpulan
Kasut yang terpijak pasir yang berada bersebelahan najis ia dihukumkan suci dan tidak perlu dibasuh. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain di dalam kereta seperti pedal, karpet atau sebagainya yang bersentuhan dengan kasut tersebut semuanya dihukumkan suci.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu'aklam