Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YBhg. Sohibus Samahah Prof. Madya Dato' Mufti,
Saya ingin memohon pandangan serta penjelasan hukum daripada pihak Jabatan Mufti berkaitan satu situasi yang berlaku di premis kami. Di premis ini, kami disini digalakkan untuk diperdengarkan alunan ayat suci AL-Quran pada setiap pagi selama 5 ke 10 minit bagi menghidupkan suasana rohani serta harmoni dan juga sebagai satu bentuk dakwah lembut untuk mengajak kepada kebaikan serta kesedaran agama. Siaran bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an ini dipasang melalui sistem pembesar suara umum, dan suaranya turut kedengaran hingga ke dalam tandas (disebabkan terdapat sistem audio speaker yang dipasang di dalam tandas sebagai pencegahan keselamatan kebakaran). Untuk makluman YBhg. Dato', sistem audio ini tidak dapat diasingkan daripada menerima siaran bacaan tersebut dan tidak dapat diubah keluar disebabkan faktor pemberitahuan keselamatan.
Mohon penjelasan hukum dalam Islam berkaitan perkara ini, khususnya dari sudut adab terhadap Al-Qur’an dan keperluan menjaga kesuciannya. Adakah perbuatan ini dibenarkan dan apakah saranan yang terbaik dalam mengendalikan siaran bacaan Al-Qur’an dalam premis yang sistem audio speakernya turut dipasang di dalam tandas?
Sekian, terima kasih atas perhatian dan pandangan yang diberikan.
Wassalam.
Jawapan Ikhtisar
Wa’alaikumusalam wbt,
Hukum memasang rakaman al-Quran di premis persendirian adalah harus dan dibenarkan. Namun, sekiranya suara rakaman tersebut turut kedengaran sehingga masuk ke dalam ruangan tandas — bukan pada tempat qada’ hajat secara langsung — dan keadaan itu tidak dapat dielakkan, maka ia dimaafkan. Walau bagaimanapun, jika perkara tersebut boleh dielakkan, maka ia adalah lebih utama untuk dilakukan kerana kehormatan al-Quran wajib dipelihara. Usaha untuk memartabatkan kesuciannya juga merupakan tanggungjawab utama bagi setiap orang yang beriman.
Jawapan Tafsil
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Persoalan yang diajukan, sebenarnya merujuk kepada firman Allah SWT yang menekankan tentang adab ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
[Surah al-A’raf, 204]
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat. Perkara ini sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud RA yang menukilkan athar daripada Sa‘id RA, bahawa ketika Rasulullah SAW mengerjakan solat, golongan musyrikin datang lalu mereka berbual-bual sesama mereka dengan percakapan yang sia-sia, bertujuan untuk mengganggu Baginda SAW daripada mendengar bacaan al-Quran. Imam al-Qurtubi turut menaqalkan pandangan al-Nuqāsh yang menyatakan bahawa para ahli tafsir bersepakat, perintah untuk mendengar bacaan al-Quran dalam ayat ini adalah ketika menunaikan solat fardu mahupun solat sunat. [Rujuk: Tafsīr al-Qurtubī, jld. 7, hlm. 353-354]
Hukum Memasang Rakaman al-Quran di Premis Sendiri atau Perniagaan
Hukum memasang atau mendengar rakaman al-Quran sama ada melalui radio atau telefon adalah diharuskan dan dibenarkan dan lebih baik sekiranya difahami dan ditadabburkan makna-makna ayat al-Quran tersebut. Pandangan hukum ini berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al Ifta’ al-Masriyyah seperti berikut:
قراءة القرآن في أي مكان طاهر محترم لا حرج فيها مطلقًا إذا قصد بها ذكر الله والتعبد ورجاء الثواب من الله سبحانه وتعالى أو التعليم للغير كيفية التلاوة أو أحكام القرآن وهدايته؛ ويدل على ذلك إطلاق قوله تعالى: ﴿الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ﴾ [آل عمران: 191]، وإطلاق قوله: ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا﴾ [الأحزاب: 41-42]، والقرآن أشرف الذكر، وذلك إلى جانب ما ورد من الحث على قراءة القرآن، وعلى هذا لا مانع من فتح المذياع على إذاعة القرآن الكريم في المحل وغيره مع مراعاة آداب الاستماع من الهدوء والوقار والاحترام وعدم رفع صوت المذياع بما يشوش على المستمع أو الجيران.
Maksudnya: Membaca al-Quran di mana-mana tempat yang suci dan dihormati tidaklah menjadi sebarang halangan sama sekali, jika diniatkan untuk berzikir kepada Allah, beribadah, mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, atau untuk mengajar orang lain cara bacaan, hukum-hakam al-Quran, dan petunjuknya. Hal ini dibuktikan dengan keumuman firman Allah Ta‘ala:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring.” [Surah Āl ‘Imrān: 191]
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan ingatan yang banyak, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” [Surah al-Ahzab: 41-42]
Al-Quran adalah sebaik-baik zikir. Selain itu, terdapat banyak dalil yang menganjurkan pembacaan al-Quran. Berdasarkan itu, tidak ada halangan untuk membuka siaran radio al-Quran di premis atau tempat lain, dengan syarat menjaga adab mendengar seperti tenang, berwibawa, hormat dan tidak menguatkan suara radio hingga mengganggu pendengar lain atau jiran. [Rujuk Fatwa Dar al-Ifta: https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/15175/]
Berkenaan adab mendengar al-Quran, Imam Nawawi sangat menekankan tentang sikap menghormati dan memuliakan al-Quran ke atas semua perkara. Hal ini disebabkan terdapat sebahagian daripada manusia yang lalai mengambil mudah dalam membaca al-Quran. Oleh itu, hendaklah seseorang itu menjauhi perbuatan bergelak-tawa, berbisik serta bersembang ketika bacaan al-Quran didengarkan melainkan bercakap di dalam perkara yang tidak dapat dielakkan. [Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, hlm. 92]
Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili turut menyatakan sekiranya seseorang tersebut tidak mendengar bacaan al-Quran dan tidak diam di dalam majlis yang ada bacaan al-Quran maka hukumnya adalah makruh yang bersangatan. Hal ini kerana umat Islam diperintahkan untuk menjaga adab ketika bacaan al-Quran diperdengarkan. [Rujuk Tafsir al-Munir, jld. 9, hlm. 229-230]
Dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah menyebut, diberikan keuzuran meninggalkan mendengar bacaan al-Quran bagi seseorang itu, sekiranya dia sibuk bekerja seperti di pasar untuk mencari rezeki atau di rumah ketika melakukan pekerjaan menguruskan urusan rumah tangga seperti memasak dan lain-lain. [Rujuk al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 4, hlm.86]
Oleh itu, tidak mengapa untuk tidak mendengar bacaan al-Quran yang dirakam sekiranya sibuk dengan kerja atau perkara lain yang tidak memampukan dirinya untuk mendengar secara teliti bacaan ayat-ayat al-Quran yang dirakam dan perbuatan tersebut tidak sama sekali menafikan adab dan penghormatan ke atas al-Quran.
Hukum mendengar rakaman al-Quran dengan hukum mendengar bacaan al-Quran yang dibacakan secara mubasyarah (terus) daripada pembaca adalah berbeza. Hal ini disebabkan kerana al-Quran yang dirakam atau seumpamanya tidak mengambil hukum sepertimana hukum al-Quran yang dibaca secara terus. [Rujuk Laman Web Nquran:https://www.nquran.com/ar/view/2679 ]
Keadaan ini boleh disamakan dengan membaca atau menyentuh skrin yang mempunyai ayat al-Quran melalui perisian smartphone adalah dibenarkan kerana ia hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang, bahkan tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf al-Quran yang hakiki. [Rujuk Laman Web Islamway: https://ar.islamway.net/fatwa/12723/ ]
Pasang Rakaman al-Quran dalam Tandas
Secara umumnya, hukum membaca atau mendengar bacaan al-Quran di dalam tandas adalah haram dan tidak dibenarkan.
Menurut fatwa Islamweb, sekiranya alat yang mengeluarkan bunyi (bacaan al-Quran atau zikir) itu berada di dalam tandas maka perbuatan tersebut adalah tidak dibenarkan kerana al-Quran dan zikir wajib dimuliakan. Selain itu, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam bentuk memuliakannya. Namun, jika alat tersebut berada di luar tandas maka ia tidak dilarang dengan syarat suara yang masuk ke dalam tandas bukan disengajakan dan tidak mengganggu adab terhadap al-Quran. [Rujuk Islamweb, No. 19483]
Justeru merujuk kepada persoalan, sekiranya alat pembesar suara tersebut berada dalam ruangan tandas atau bilik air dan bukannya berada dalam bilik qada hajat serta tidak dapat dielakkan daripada didengari dari dalam ruangan tandas tersebut maka ia adalah dimaafkan. Walaupun begitu, sebaiknya alat pembesar suara tersebut dialihkan dan berusaha agar kehormatan al-Quran dapat ditinggikan dengan sebaiknya.
Kesimpulan
Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa mendengar bacaan al-Quran secara rakaman dan memperdengarkannya ke khalayak ramai dalam premis persendirian adalah dibenarkan. Namun, sekiranya pancaran rakaman tersebut turut disiarkan di dalam tandas dan tiada ruang untuk alat tersebut dialihkan maka ia adalah dimaafkan.
Wallahu’alam.