Persoalan : PERTANYAAN BERKAITAN HUKUM NFT (01117)

Assalamualaikum wbt. Tuan,

Saya, Siti Nurhidayah Binti Md Tahir, adalah calon Doktor Falsafah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang sedang menjalankan penyelidikan bertajuk "Ownership and Possession of Non-Cryptocurrency Digital Assets from Fiqh Perspective and Malaysian Law: An Analytical Study" di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Mohd Fuad Bin Md Sawari dan Dr. Mohamad Sabri Bin Zakaria.

Saya dengan rendah diri memohon pandangan ilmiah Tuan mengenai persoalan fiqh yang berikut:

"Bagaimana kedudukan hukum Islam terhadap aktiviti muamalah jual beli dan konsep pemilikan harta dalam bentuk NFT (Non-Fungible Token)?"

Pandangan dan input ilmiah daripada Tuan adalah amat bernilai dan diperlukan bagi menyempurnakan kajian akademik ini. Sekiranya Tuan memerlukan sebarang keterangan tambahan atau penjelasan lanjut berkaitan dengan persoalan yang dikemukakan, saya sedia untuk dihubungi melalui saluran komunikasi yang sesuai.

Saya amat menghargai perhatian, masa, dan kerjasama yang bakal diberikan oleh Tuan dalam menyumbang kepada khazanah ilmu pengetahuan ini.

Sekian untuk makluman dan perhatian Tuan. Terima kasih di atas pertimbangan yang diberikan.

Wassalam



Jawapan Ikhtisar

Wa’alaikumussalam.

Non-Fungible Token (NFT) merujuk kepada aset digital yang bersifat unik serta direkodkan pada teknologi blockchain, dan lazimnya mewakili pemilikan sah terhadap sesuatu karya atau item digital. NFT kini digunakan secara meluas untuk mewakili pelbagai bentuk aset seperti karya seni digital, tiket acara, dokumen penting serta barangan maya dan fizikal.

Dari sudut pandang fiqh muamalah, sebarang urus niaga jual beli yang melibatkan NFT hendaklah memenuhi rukun dan syarat akad yang sah menurut hukum Syariah. Ini termasuk kejelasan pada objek yang diniagakan, ketentuan harga, serta bebas daripada unsur gharar (ketidakpastian), maysir (spekulasi atau perjudian) dan riba.

Dalam aspek pemilikan pula, NFT berpotensi untuk dikategorikan sebagai al-māl (harta) kerana memenuhi ciri-ciri utama iaitu memiliki nilai, boleh dimiliki secara sah, serta memberi manfaat kepada pemilik.

Namun demikian, terdapat beberapa isu utama yang memerlukan penelitian serius, antaranya:

  • Unsur gharar dan maysir, khususnya berpunca daripada nilai NFT yang tidak menentu, ketiadaan aset asas, serta keterlibatan spekulasi melampau.
  • Ketidakselarasan antara teori dan amalan dalam aspek hak cipta digital dan pemilikan, yang menimbulkan kekeliruan mengenai hak sebenar pembeli.
  • Risiko penipuan, pemalsuan, serta ketidaktelusan pasaran, yang boleh menjejaskan kepercayaan dan keselamatan transaksi.

Meskipun terdapat kebimbangan Syariah yang berasas, tidak dapat dinafikan bahawa NFT menawarkan potensi besar kepada industri kreatif dan ekonomi digital Islam. Sekiranya dikawal dan diuruskan dengan berpandukan prinsip Syariah, ia mampu menjadi medium yang sah dalam memperkasa pemilikan harta intelek serta memperluas peluang ekonomi secara adil dan lestari.

Sehubungan itu, penglibatan umat Islam dalam urus niaga NFT hendaklah disertai dengan semakan pematuhan Syariah yang teliti, pembentukan garis panduan khusus, serta bimbingan berterusan agar selaras dengan maqāṣid al-Syarī‘ah, khususnya dalam aspek pemeliharaan harta (ḥifẓ al-māl), keadilan dan kemaslahatan umum.

Disebabkan masih wujud pelbagai persoalan Syariah yang belum diberikan penyelesaian tuntas dalam ekosistem NFT, satu garis panduan rasmi berasaskan hukum Syariah perlu segera dirangka. Langkah ini penting bagi memastikan NFT dapat dimanfaatkan secara halal dan diyakini sebagai sebahagian daripada aplikasi teknologi dalam kewangan Islam masa kini dan akan datang.

 

Jawapan Tafsil

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan keatas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

 

Pendahuluan

Non-Fungible Token (NFT) merupakan suatu instrumen digital yang semakin mendapat perhatian dalam ekosistem teknologi kewangan. Ia muncul sebagai aset digital unik yang didaftarkan melalui teknologi blockchain, lazimnya di atas platform seperti Ethereum, yang memberikan jaminan dari sudut ketulenan dan pemilikan. Sifat NFT yang tidak boleh ditukar ganti menjadikannya berbeza daripada mata wang kripto lain dan sekaligus memperkenalkan konsep baharu dalam pemilikan digital.

Non-Fungible Token (NFT) dikeluarkan untuk mewakili aset digital atau bukan digital. Ini termasuk karya seni digital seperti muzik, filem, imej, gif, dan sebagainya, serta barangan dunia nyata seperti seni lukis, kereta, dokumen undang-undang, tiket acara, barangan koleksi dan seumpamanya

Pada asalnya, NFT disimpan dalam teknologi rantaian blok (blockchain) sebagai sijil ketulenan atau bukti pemilikan, yang mencerminkan keunikan dan kekurangan (kelangkaan) sesuatu barang. Oleh itu, NFT merupakan representasi kepada objek dalam dunia nyata, namun bukan objek itu sendiri. Pada masa ini, NFT dihasilkan atau "dimintakan" (minted) di atas blockchain, kemudian dilelong atau dijual pada harga tetap melalui pasaran NFT dalam talian, dan disimpan dalam dompet digital pembeli.

NFT biasanya dijual sama ada pada harga tetap atau melalui kaedah lelongan di pasaran NFT atas talian, iaitu platform web untuk jual beli dan pertukaran NFT  serupa seperti bursa kripto. Sesetengah pasaran NFT menerima wang fiat seperti dolar AS, namun kebanyakannya hanya menerima mata wang kripto. Pemilik juga boleh menjual atau menukar NFT tanpa keperluan orang tengah. Sesetengah pengendali pasaran NFT turut membayar royalti kepada pencipta kandungan setiap kali berlaku penjualan, membolehkan artis dan pencipta memperoleh pendapatan walaupun NFT mereka dijual semula atau dipindah milik.

Populariti NFT telah melonjak dengan pesat khususnya sejak tahun 2022 apabila pelbagai aset seperti karya seni, muzik, koleksi digital dan hak milik maya dipasarkan dalam bentuk token unik. Fenomena ini membuka ruang luas kepada pelaburan digital, hak cipta maya dan inovasi pemilikan aset dalam bentuk tidak ketara. Walaupun begitu, perkembangan pesat ini turut menimbulkan pelbagai persoalan dari sudut hukum muamalah Islam, khususnya berkenaan aspek jual beli, pemilikan, dan keabsahan penggunaan mata wang kripto sebagai medium pertukaran.

Langkah dibawah menggambarkan langkah-langkah asas dalam proses penciptaan dan jual beli NFT di pasaran NFT:

  1. Pengguna mencipta dompet digital.
  2. Pengguna menyambungkan dompet tersebut ke pasaran NFT.
  3. Pengguna memuat naik fail NFT ke dalam pasaran NFT.
  4. NFT sama ada direkodkan serta-merta di atas rantaian blok (blockchain) atau selepas jualan rasmi.
  5. NFT dijual dalam pasaran tersebut (melalui lelongan atau harga tetap).
  6. Pasaran NFT memperoleh peratusan tertentu (% komisen) daripada setiap jualan.
  7. Token dipindahkan ke dompet digital pembeli.
  8. Pembeli boleh menjual semula atau memindahkan token tersebut kepada pihak lain.

[Rujuk: https://www.researchgate.net/publication/389031030_New_NFT_Marketplace_and_Challenges_of_Transactions_on_Islamic_NFTs ]

 

Sebagai instrumen yang berkembang dalam ekosistem digital, NFT perlu dinilai dari perspektif fiqh muamalah dengan mempertimbangkan prinsip-prinsip asas seperti kejelasan akad, ketentuan harga, ketiadaan unsur gharar (ketidakpastian), maysir (perjudian), dan riba (faedah berlebihan). Di samping itu, perlu dinilai sama ada NFT memenuhi ciri-ciri harta (mal) dalam Islam serta kesahihan kontrak digital yang diguna pakai dalam transaksi NFT.

 

Konsep al-māl (المال) dan pengaplikasiannya terhadap produk NFT

Status NFT sebagai aset dari perspektif Islam masih menjadi subjek perbincangan dalam kalangan para ulama dan pakar Syariah. Undang-undang Islam mempunyai kerangka komprehensif yang mengatur hak milik dan pemilikan harta, merangkumi aset nyata dan tidak nyata. Konsep al-māl dalam fiqh Islam merupakan asas penting dalam memahami bagaimana pemilikan dinilai dalam Islam.

Dalam konteks penilaian NFT dari perspektif etika kewangan Islam, terdapat syarat-syarat yang mesti dipenuhi agar ia boleh diterima dalam urusan kewangan patuh Syariah. NFT mestilah dalam bentuk yang diiktiraf dan dibenarkan oleh undang-undang Syariah. Dalam memantau dan mengesahkan kesahihan NFT, para pakar industri akan merujuk kepada prinsip-prinsip berikut:

  1. Maliyyah iaitu ia memiliki nilai harta yang sah.
  2. Taqawwum iaitu Sesuatu yang mempunyai kegunaan dan manfaat yang sah.
  3. Manfa‘ah Maqṣūdah iaitu ianya mestilah bernilai secara rasional dan diingini secara meluas oleh masyarakat.

Menurut para Fuqaha’, sesuatu itu hanya boleh dikira sebagai māl (harta) apabila ia memenuhi kriteria tertentu, seperti mempunyai nilai, boleh dimiliki, dan sah di sisi Syariah. Para sarjana telah mengkaji sama ada aset digital seperti NFT boleh dianggap sebagai harta yang boleh dimiliki, memandangkan sifatnya yang tidak berjasad (intangible).

Perbincangan ini lazimnya berkisar tentang konsep al-māl dalam Islam dan sama ada NFT menepati kategori harta yang boleh dimiliki, dimanfaatkan dan dijual beli menurut hukum Syariah. Dalam fiqh Islam, konsep al-māl tidak hanya terhad kepada pemilikan fizikal, bahkan merangkumi hak-hak yang mempunyai nilai dan boleh dimiliki secara sah. Ini mencakupi kedua-dua kategori: ‘ayn (aset ketara/fizikal) dan Manfaah (manfaat), menunjukkan pengiktirafan terhadap pelbagai bentuk harta, termasuk yang tidak bersifat fizikal.

Pemilikan harta dalam Islam juga tertakluk kepada syarat bahawa ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Syariah. Ini bermakna harta tersebut mesti diperoleh, dimanfaatkan dan dipindah milik dengan cara yang selaras dengan hukum Islam.

 

Definisi Harta(المال) Menurut Sarjana Islam

Menurut Kamus Dewan, harta ditakrifkan sebagai barangan berharga (seperti rumah, tanah, barang-barang kemas dan sebagainya) yang dipunyai oleh seseorang (syarikat, pertubuhan dan lain-lain). [Rujuk Kamus Dewan, 2010, Edisi Keempat, Kula Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 517]

Menurut istilah, Maal atau harta dedefinisikan oleh Fuqaha’ empat mazhab seperti dibawah:

a. Hanafiyyah

Ibnu abidin menyebut seperti berikut:

الْمُرَادُ بِالْمَالِ مَا يَمِيلُ إلَيْهِ الطَّبْعُ وَيُمْكِنُ ادِّخَارُهُ لِوَقْتِ الْحَاجَةِ، وَالْمَالِيَّةُ تَثْبُتُ بِتَمَوُّلِ النَّاسِ كَافَّةً أَوْ بَعْضِهِمْ، وَالتَّقَوُّمُ يَثْبُتُ بِهَا وَبِإِبَاحَةِ الِانْتِفَاعِ بِهِ شَرْعًا؛ فَمَا يُبَاحُ بِلَا تَمَوُّلٍ لَا يَكُونُ مَالًا كَحَبَّةِ حِنْطَةٍ وَمَا يُتَمَوَّلُ بِلَا إبَاحَةِ انْتِفَاعٍ لَا يَكُونُ مُتَقَوِّمًا كَالْخَمْرِ، وَإِذَا عُدِمَ الْأَمْرَانِ لَمْ يَثْبُتْ وَاحِدٌ مِنْهُمَا كَالدَّمِ

Terjemahan: “Yang dimaksudkan dengan al-māl (harta) ialah sesuatu yang cenderung kepadanya tabiat manusia dan boleh disimpan untuk kegunaan ketika diperlukan. (al-māliyyah) sesuatu benda itu ditentukan dengan penerimaan manusia terhadapnya sebagai harta — sama ada oleh semua manusia atau sebahagian daripada mereka.

Adapun sesuatu itu dikira mempunyai nilai (boleh diberi harga atau taqawwum) apabila ia memenuhi dua syarat: ia diiktiraf sebagai harta dan dibenarkan untuk dimanfaatkan menurut syarak.

Maka sesuatu yang dibenarkan untuk digunakan tetapi tidak dianggap harta (kerana tidak diterima umum sebagai sesuatu yang bernilai) — seperti sebiji gandum — tidak dikira sebagai harta. Dan sesuatu yang dianggap harta oleh manusia tetapi tidak dibenarkan penggunaannya oleh syarak — seperti arak — tidak dikira sebagai barang bernilai (mutaqawwim). Sekiranya kedua-dua ciri ini tidak ada — iaitu tidak dianggap harta dan tidak dibenarkan penggunaannya — maka ia langsung tidak dianggap harta, seperti darah." [Rujuk Hasyiah Ibn Abidin, Jld.4, Hlm.502]

 

b. Malikiyyah

An-Nafrawi menyebut:

وَحَقِيقَةُ الْمَالِ كُلُّ مَا مُلِكَ شَرْعًا وَلَوْ قَلَّ

Terjemahan: “Hakikat al-māl (harta) ialah: setiap sesuatu yang dimiliki secara syarak, walaupun sedikit.” [Rujuk Fawakih Dawani, Jld.2, Hlm.281]

c. Syafi’iyyah

Imam suyuthi menukilkan definisi yang diberikan oleh Imam syafie dengan katanya:

 أما المال ، فقال الشافعي : لا يقع اسم مال إلا على ما له قيمة يباع بها وتلزم متلفه ، وإن قلت وما لا يطرحه الناس ، مثل الفلس وما أشبه ذلك انتهى

Terjemahan: “Adapun ‘māl’ (harta), Imam al-Syafi‘i berkata: Tidak dinamakan sesuatu itu sebagai ‘māl’ melainkan sesuatu yang mempunyai nilai (harga), yang boleh dijual dengannya dan pihak yang merosakkannya wajib menggantinya, walaupun nilainya sedikit, dan ia bukan sesuatu yang biasa dibuang oleh manusia seperti ‘fulūs’ (duit kecil yang tiada nilai) dan seumpamanya.” Tamat (kata-kata al-Syafi‘i). [Rujuk Ashbah wal nazair, Hlm.327]

 

d. Hanabilah

Al-Buhuthi pula menyebut:

)وهو) أي: المال، شرعًا: (ما فيه منفعة مباحة لغير حاجة، أو ضرورة) فخرج ما لا نفع فيه أصلًا كالحشرات، وما فيه منفعة محرَّمة كالخمر، وما فيه منفعة مباحة للحاجة كالكلب، وما فيه منفعة تُباح للضرورة كالميتة في حال المَخمَصة، والخمرِ لدفع لقمة غَصَّ بها.

Terjemahannya: “(Dan ia) yakni: al-māl (harta), menurut syarak ialah: sesuatu yang padanya terdapat manfaat yang dibenarkan secara mutlak (tanpa keperluan atau darurat).” Dengan itu, dikecualikan (tidak dianggap sebagai harta dalam hukum syarak):

  • Sesuatu yang tidak mempunyai sebarang manfaat langsung, seperti serangga.
  • Sesuatu yang padanya ada manfaat tetapi haram, seperti arak.
  • Sesuatu yang padanya ada manfaat yang hanya diharuskan kerana hajat (keperluan), seperti anjing.
  • Sesuatu yang padanya ada manfaat yang hanya diharuskan kerana darurat, seperti bangkai ketika kelaparan yang melampau (mukhmasah), atau arak yang digunakan untuk menelan makanan yang tersangkut di kerongkong."

[Rujuk Kashaf Qina’, Jld.3, Hlm.174]

 

Pandangan Pengkaji Kontemporari Terhadap Aset NFT

Menurut pandangan Ali al-Khafifi, Muhammad Musthafa al-Syalabi, aset NFT digital boleh dikategorikan sebagai harta dalam Islam kerana ia mengandungi nilai dan manfaat yang unik kepada pemiliknya. Pandangan ini dibina berdasarkan lima aspek al-māl dalam Islam:

  1. Dari aspek kesahihan (kehalalan): NFT dianggap sebagai al-māl al-mutaqawwim sekiranya aset tersebut tidak bercanggah dengan Syariah, dan dikira sebagai al-māl ghayr al-mutaqawwim jika ia melanggar hukum Syariah.
  2. Dari sudut sifatnya: Aset NFT termasuk dalam kategori harta boleh alih (manqūl), iaitu harta yang boleh dipindah milik kepada orang lain.
  3. Dari aspek penggunaan: Aset NFT merupakan al-māl al-isti‘mālī, iaitu harta yang tidak berubah zatnya apabila digunakan.
  4. Dari segi ciri-ciri: Aset NFT merangkumi kedua-dua sifat mithlī (yang mempunyai persamaan dengan aset lain) dan qīmī (yang mungkin serupa dari segi bentuk tetapi berbeza dari sudut harga dan nilai).
  5. Akhir sekali, dari aspek pemilikan: Aset NFT dianggap sebagai harta peribadi kerana pemilikan yang sah ke atas karya digital tersebut direkodkan dalam blockchain, sekaligus mengesahkan statusnya sebagai harta milik individu.

Namun begitu, terdapat juga pandangan daripada sebahagian ulama yang tidak menerima NFT digital sebagai aset yang selari dengan prinsip Islam. Menurut Yaser Taufik Syamlan, Ketua Program Diploma Kewangan Mikro Islam, aset ketara dalam transaksi NFT adalah di luar prinsip ekonomi Islam. Tuan Kanny Hidaya, Ketua Bahagian Perbankan Syariah di DSN MUI, turut menyatakan bahawa ketiadaan barangan atau aset nyata dalam transaksi adalah dilarang menurut hukum fiqh Islam

Pandangan ini sejajar dengan mazhab Hanafi yang tidak membenarkan aset NFT dikategorikan sebagai al-māl kerana karya digital NFT dianggap tidak wujud secara hakiki, cenderung kepada nilai yang tidak boleh dimiliki secara sebenar, serta mengandungi unsur ketidaktentuan (ambiguity) yang boleh menimpa pihak penjual dan pembeli.

Walau bagaimanapun, NFT tetap mempunyai nilai kerana ia dibeli, dijual dan diperdagangkan pada harga yang tinggi. NFT juga boleh dimiliki kerana hak milik terhadap NFT adalah eksklusif kepada pembelinya dan boleh dipindah milik. Aspek ini sejajar dengan kriteria Islam bagi sesuatu untuk dianggap sebagai harta (al-māl). [Rujuk JOURNAL OF CONTEMPORARY ISLAMIC LAW, Non-Fungible Tokens (NFTs) in Islamic Perspective: Challenges and Way Forward, Hlm.3, https://www.ukm.my/jcil/wp-content/uploads/2024/08/Azlin-2024.pdf ]

 

Cabaran Pemastian Patuh Syariah dalam Ekosistem NFT

Kewangan Islam mempunyai hubungan yang erat dengan ajaran etika dan moral Islam, yang dirangka untuk memastikan semua transaksi kewangan mempromosikan keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi, dan kebajikan masyarakat. Dimensi etika ini merupakan ciri pembeza utama kewangan Islam, yang membezakannya daripada sistem kewangan konvensional. Oleh itu, pertimbangan etika dan moral dalam urusan NFT adalah sangat penting, memandangkan kepelbagaian jenis aset yang diwakili oleh NFT.

 

Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam

Dalam sistem ekonomi dan kewangan Islam, etika bukan sekadar nilai tambahan, bahkan merupakan teras utama yang menentukan keabsahan sesuatu transaksi dan keberkatan hasilnya. Berbeza dengan sistem konvensional yang menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama, sistem Islam memusatkan prinsipnya kepada keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan sosial. Etika dalam muamalah Islam menjadi asas penting dalam mengatur aktiviti ekonomi agar selari dengan maqasid al-Shariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Prinsip-prinsip asas ini telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah serta diperincikan oleh para ulama melalui disiplin ilmu fiqh muamalah. Dengan kemunculan pelbagai bentuk instrumen kewangan moden, penghayatan terhadap etika ekonomi Islam semakin penting agar tidak terjerumus dalam transaksi yang bersifat manipulatif, menindas atau membawa kepada kemudaratan umum.

 

UNSUR GHARAR DAN DHARAR DALAM TRANSAKSI NFT

Pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti al-gharar(ketidakpastian), al-maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-Gharar.”

[Riwayat Muslim, No.3881]

Gharar ditakrifkan di dalam kitab Qalyubi wa Umairah sebagai:

ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما

Maksudnya: "Sesuatu yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti." [Rujuk Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, Jld.2, Hlm.202] 

Kewujudan unsur gharar (ketidakpastian), ḍarar (kemudaratan) dalam transaksi NFT berpunca daripada beberapa faktor utama:

  1. Nilai aset NFT tidak jelas, kerana hampir semua aset NFT tidak mempunyai aset asas (underlying asset) yang nyata. Sebaliknya, nilai NFT ditentukan semata-mata berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran.

  2. Aset NFT turut diklasifikasikan sebagai gharar kerana tiada jaminan keselamatan (security guarantee) yang memadai. Ini menyebabkan kerap berlaku kes penipuan, pemalsuan dan pencurian karya seni dalam pasaran NFT demi keuntungan peribadi.

[Rujuk JOURNAL OF CONTEMPORARY ISLAMIC LAW, Non-Fungible Tokens (NFTs) in Islamic Perspective: Challenges and Way Forward, Hlm.5, https://www.ukm.my/jcil/wp-content/uploads/2024/08/Azlin-2024.pdf ]

 

Pasaran NFT dicirikan oleh risiko yang tinggi dan ketidaktentuan, kerana ia masih baharu dan tiada data sejarah yang kukuh untuk analisis. Nilai NFT sangat tidak stabil, dan seringkali dipengaruhi oleh permintaan pembeli. Meskipun keuntungan lumayan mungkin memikat pelabur, adalah sangat penting bagi pelabur menjalankan kajian menyeluruh, memahami risiko dan menilai landskap NFT dengan cermat sebelum membuat komitmen kewangan.

 

Pelancaran Koleksi NFT: Fenomena ‘NFT Drops’

NFT Drops merujuk kepada pelancaran rasmi koleksi aset digital NFT yang biasanya ditawarkan dalam tempoh yang singkat dan terhad. Acara ini kebiasaannya diumumkan lebih awal kepada umum, dan sering menggunakan pendekatan seperti sistem ‘blind box’ atau format lelongan bagi menarik minat pembeli. Fenomena ini telah menarik perhatian ramai, khususnya dalam kalangan pelabur yang menjangkakan peningkatan nilai NFT selepas pelancaran.

Namun, meskipun keunikan aset digital ini dan harapan terhadap kenaikan nilainya menjadikan NFT kelihatan berpotensi, pembelian berasaskan andaian semata-mata (bukan berdasarkan nilai sebenar atau intrinsik) boleh menggalakkan aktiviti spekulatif. Apabila permintaan melebihi nilai sebenar, gelembung pasaran (asset bubble) mudah terbentuk. Sekiranya gelembung ini meletus, ia bukan sahaja membawa kepada kerugian kewangan dalam kalangan individu, malah boleh menjejaskan aliran sumber ekonomi serta memberi implikasi negatif kepada kestabilan masyarakat secara keseluruhan. [Rujuk artikel Non–Fungible Tokens (NFTs): A Shariʿa Perspective, Hlm.37, https://www.hbku.edu.qa/sites/default/ files/nfts.pdf ]

 

Penjelasan Konsep Pemilikan dalam Transaksi NFT dan Isu Ketidakselarasan antara Teori dan Amalan

Salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam urus niaga NFT (Non-Fungible Token) ialah isu pemilikan dan hak cipta terhadap kandungan digital yang diwakili oleh token tersebut. Persoalan utama yang sering timbul adalah sama ada hak cipta kekal milik pencipta asal meskipun setelah NFT tersebut dijual, atau sebaliknya, hak itu boleh dipindah milik sepenuhnya kepada pembeli melalui transaksi di pasaran NFT.

Isu ini menjadi lebih rumit apabila didapati bahawa amalan semasa dalam pasaran NFT sering kali tidak mencerminkan teori asal mengenai NFT. Secara asasnya, NFT didefinisikan sebagai token digital yang bersifat unik kerana setiap satu direkod secara individu dalam rangkaian blockchain. Ciri ini menjadikannya tidak dapat ditiru, dan oleh itu membentuk nilai eksklusif.

Tambahan pula, NFT dikatakan mempunyai tahap autentikasi yang tinggi. Disebabkan disimpan dalam sistem blockchain yang teragih dan tidak berpusat, token ini secara teorinya tidak boleh dipalsukan, diubah suai mahupun diduplikasi. Namun begitu, hakikat di lapangan menunjukkan sebaliknya. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa penipuan dan penciplakan karya dalam bentuk NFT telah berlaku secara meluas, sehingga menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pencipta kandungan dan para pembeli. Sebagai contoh, satu kajian melaporkan bahawa lebih 80% NFT yang dimuat naik (minted) di salah satu platform terbesar dunia adalah terdiri daripada kandungan palsu atau cetak rompak.

Perbezaan yang ketara antara prinsip teori dan pelaksanaan sebenar ini akhirnya menimbulkan kekeliruan yang serius tentang kedudukan sebenar NFT sebagai aset digital yang sah dari segi pemilikan dan perlindungan hak cipta.

Justeru, karya digital yang diwakili oleh NFT perlu mendapat perlindungan hak cipta berlandaskan prinsip maqāṣid al-sharīʿah, khususnya dari sudut pemeliharaan harta (ḥifẓ al-māl). Ini kerana NFT merupakan aset digital yang membawa nilai ekonomi dan manfaat nyata. Sekiranya hak cipta tersebut tidak dilindungi secara tuntas, ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan pemilik asal, bahkan bertentangan dengan objektif Syariah yang menekankan keadilan dan perlindungan terhadap milikan sah. [Rujuk JOURNAL OF CONTEMPORARY ISLAMIC LAW, Non-Fungible Tokens (NFTs) in Islamic Perspective: Challenges and Way Forward, Hlm.4, https://www.ukm.my/jcil/wp-content/uploads/2024/08/Azlin-2024.pdf ]

Selain itu, pelaburan dalam NFT boleh memburukkan ketidaksamaan kewangan, kerana hanya mereka yang memiliki modal yang besar berpeluang untuk mengaut keuntungan, manakala masyarakat umum tidak mendapat faedah yang setimpal. Pulangan yang besar daripada pelaburan NFT boleh mengakibatkan pengagihan sumber yang tidak seimbang dan tidak memberi manfaat kepada keperluan masyarakat secara kolektif.

Dari sudut yang lain, beberapa prinsip-prinsip asas dan etika sistem ekonomi dan kewangan Islam perlu dikaji dan diperhatikan dalam isu melibatkan produk NFT, iaitu seperti berikut:

  1. Tidak mengandungi unsur perjudian atau permainan berasaskan nasib (maysir).
  2. Bebas daripada unsur gharar (ketidakpastian): Transaksi mestilah adil, telus, jelas dan membawa manfaat kepada semua pihak. Maka itu, setiap transaksi perlu dilaksanakan dengan itikad baik bagi mengelakkan sebarang kemungkinan gharar.
  3. Bebas daripada salah satu daripada tiga bentuk riba (faedah berlebihan atau penindasan).
  4. Bebas daripada kawalan dan manipulasi harga.
  5. Hak terhadap harga yang adil (fair pricing).
  6. Hak terhadap maklumat yang seimbang, mencukupi, dan tepat, termasuk ketelusan dan kesaksamaan maklumat di antara pihak-pihak yang terlibat;
  7. Bebas daripada unsur al-ḍarar (kemudaratan).
  8. Mengandungi manfaat kepada kepentingan umum (maslahah ‘ammah) dan tidak menimbulkan mudarat.


Kesimpulan

tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan NFT sebenarnya telah membawa potensi besar, khususnya kepada para usahawan industri kreatif yang boleh memanfaatkan teknologi ini untuk menonjolkan hasil ciptaan mereka. Sehubungan itu, beberapa negara telah mengadaptasi penggunaan mata wang digital yang dikeluarkan dalam bidang kuasa masing-masing.

Namun pihak yang ingin berurusan dengan NFT perlu mendapat pemahaman yang mendalam terhadap isu-isu shariah yang berbangkit. Sifat NFT yang dinamik menuntut agar setiap aset digital dinilai secara tersendiri, berdasarkan kandungan, nilai, serta impaknya terhadap masyarakat.

Memandangkan ruang aset digital ini terus berkembang, diskusi dan perbahasan ilmiah secara berterusan adalah penting bagi menyediakan panduan Syariah yang sentiasa dikemas kini, selaras dengan perubahan semasa, dan memastikan umat Islam dapat terlibat dalam ruang inovatif ini dengan cara yang konsisten dengan tuntutan agama.

Disebabkan masih wujud isu-isu Syariah yang belum diselesaikan dalam transaksi NFT, perlu ada garis panduan yang jelas berkaitan pematuhan Syariah bagi NFT bagi membangunkan pasaran NFT yang halal. Ini kerana NFT mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian daripada teknologi dalam kewangan Islam.

Pandangan ini sejajar dengan laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi kerajaan, yang mencadangkan agar dibangunkan garis panduan bagi teknologi kewangan Islam (Islamic fintech). Laporan tersebut mengesyorkan agar ditetapkan parameter khusus bagi perkhidmatan teknologi kewangan Islam, serta memperjelaskan peranan pihak berkepentingan dan penggiat pasaran. [Rujuk Laporan MDEC Islamic Fintech, 2020].

Penetapan parameter Syariah untuk NFT secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital Islam, kerana kesan positif transaksi NFT boleh memacu pertumbuhan ekonomi digital pada peringkat awal.

Walaupun NFT menawarkan satu ruang baharu dan menarik untuk kreativiti dan pelaburan, kebolehannya untuk dianggap halal dari perspektif Islam bergantung sepenuhnya kepada pematuhan terhadap prinsip etika dan moral dalam kewangan Islam.

Sehubungan itu, umat Islam diseru agar berhati-hati dan melaksanakan semakan sewajarnya (due diligence) serta mendapatkan panduan daripada ulama yang berpengetahuan dalam kewangan Islam dan aset digital sebelum melibatkan diri dalam transaksi NFT.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahua’lam