Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00489
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk HUKUM MENUTUP AURAT SEMASA TEMPOH IDDAH DENGAN SUAMI
Soalan Assalamu’alaikum



Saya telahpun menceraikan isteri dengan talak 1 lebihkurang sebulan setengah yang
lalu. Isteri saya masih di dalam tempoh iddah dan beliau telahpun melalui fasa haid
yang pertama dan sekarang akan memasuki fasa haid yang kedua. Sepanjang
tempoh iddah, kami masih tinggal serumah dengan 3 orang anak-anak yang masing-
masing berumur 18, 16 dan 14 tahun. Walau bagaimanapun, kami tidur di bilik yang
berasingan. Perceraian saya adalah sebab isteri sentiasa meminta dan mendesak
untuk bercerai apabila terjadi pertelingkahan. Setelah bersabar lama, akhirnya saya
nekad menceraikan dia sebab saya sudah tidak tahan dengan sikapnya yang asyik
meminta cerai.

Persoalannya, saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai hukum menutup aurat.
Melalui apa yang saya kaji, hukum menutup aurat untuk isteri yang masih di dalam
tempoh iddah bagi talak raj’i mengikut mazhab Shafi’e adalah wajib. Manakala,
mengikut ketiga-tiga mazhab yang lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali ialah isteri
tidak wajib menutup aurat ketika masih di dalam tempoh iddah dan berada di dalam
rumah suami. Isteri hanya wajib menutup aurat apabila tidak dirujuk setelah tamat
tempoh iddah. Ini adalah kerana semasa tempoh iddah, isteri masih di dalam
tanggungan dan perlindungan suami sehingga habis tempoh iddah. Yang terlarang
adalah hubungan intim di antara suami isteri kecuali setelah dirujuk.

Dalam isu ini, saya lebih berpegang kepada pendapat ketiga-tiga mazhab selain
mazhab Shafi’e. Ini adalah kerana Allah swt menyediakan tempoh iddah itu atas
pelbagai sebab. Salah satu sebab adalah bagi memudahkan kedua-dua pasangan
merujuk semula. Sekiranya isteri saya menutup aurat (memakai hijab) sepanjang
masa di rumah, ini akan menyusahkan beliau sendiri dan saya sebagai suami rasa
rimas. Ini juga menyebabkan saya dengan isteri semakin renggang. Mulanya isteri
saya tidak menutup hijab tapi tiba-tiba kelmarin, dia mula memakai hijab. Saya amat
rimas dalam keadaan begitu dan mula terasa macam semakin renggang.

Sejujurnya, saya berpendapat bahawa Allah swt tidak akan menyusahkan pasangan
yang bercerai untuk hidup dalam keadaan begini sebab sekiranya salah satu tujuan
adalah bagi memudahkan proses merujuk, saya rasa bahawa ini akan menyukarkan
lagi proses berkenaan. Dalam hal ini, saya rasa bahawa isteri saya berpegang
kepada mazhab Shafi’e manakala saya pula menerima pendapat lain-lain mazhab.

Saya telah menegur istei saya mengenai isu menutup aurat ini, namun isteri saya
berkeras mengatakan bahawa ianya adalah haram. Saya tidak mahu bertelingkah
mengenai soal ini sebab saya rasakan bahawa isteri saya benar-benar mahu
bercerai dengan saya. Saya terima kehendaknya walaupun saya agak kecewa
kerana memikirkan perasaan anak-anak yang akan berpisah nanti. Isteri saya akan
membawa bersamanya anak kedua dan ketiga manakala anak sulung kami mahu
mengikut saya.

Saya mohon supaya ustaz/ustazah memberikan penjelasan mengenai hukum yang
harus saya ikuti. Saya masih bersikap terbuka dalam menerima pendapat dari lain-
lain mazhab kerana saya tidak bertaqlid kepada mazhab Shafi’e semata-mata.
Namun, dalam hal ini, saya rasa bahawa isteri saya bertaqlid kepada mazhab
Shafi’e.

Sila berikan pendapat yang jelas untuk saya buat keputusan yang adil.

Sekian, terima kasih.

Sufi
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Wa’alaikumussalam.

Berdasarkan kepada keterangan pihak tuan boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

1. Tuan telah menceraikan isteri dengan talak satu lebih kurang sebulan yang lalu dan isteri tuan telah pun melalui fasa
haid yang pertama. Persoalannya adakah tuan telah merujuk dan membuat pengesahan kepada pihak berkuasa agama
tentang penceraian ini?
2. Tuan telah menyatakan masih tinggal serumah walaupun mendakwa telah menceraikan isteri dan masih menuntut
hak suami terhadap bekas isteri?
3. Tuan berhasrat untuk mengambil jalan penyelesaian iaitu untuk merujuk semula bekas isteri dengan cara duduk
serumah dan menuntut hak suami ke atas isteri kecuali hubungan intim.

Huraian:

1) Pengesahan Penceraian

Perkara yang paling utama dalam kes cerai ini ialah tuan seharusnya terlebih dahulu merujuk kes ini ke Mahkamah
Syariah untuk memastikan penceraian tersebut adalah sah di sisi Syarak. Menurut undang-undang Kekeluargaan Islam
yang berkuat kuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah.
Maknanya, bagaimanapun teruknya keadaan rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran
daripada Mahkamah Syariah untuk melafazkan cerai.
Melafazkan cerai samada talak 1, 2 atau 3 di luar dan tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan di bawah
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Tidak kiralah samada lafaz cerai itu disebabkan oleh permintaan atau
desakan daripada isteri atau atas kehendak suami sendiri.
Jika suami sudah terlafaz cerai di rumah, pejabat, dalam kereta atau di mana saja, asalkan tanpa kebenaran
mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu ialah merujukkan hal tersebut di Mahkamah Syariah berhampiran
tempat tinggal pasangan atau daerah bermastautin. Buat satu permohonan untuk memohon pengesahan samada lafaz
cerai tersebut sah atau tidak.
Kedua-dua, pasangan tersebut hendaklah hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz tersebut.
Mahkamah akan meneliti bentuk lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh (jelas) atau kinayah atau ta’liq. Jika sah,
maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talak telah gugur, bilangan talak yang gugur, tempoh isteri ber’iddah dan
lain-lain hal yang bersangkutan dengan perceraian.
Ada sesetengah negeri yang tidak akan mendaftarkan perceraian itu di hadapan Pendaftar Pernikahan di Jabatan
Agama Islam selagi mana pasangan tersebut tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Sesetengah negeri pula tidak ada
halangan untuk mendaftarkan perceraian tersebut samada telah didakwa atas kesalahan bercerai tanpa kebenaran
mahkamah atau didakwa kemudiannya. Yang penting, pendaftaran perceraian dibuat dan pendakwaan akan dibuat
kemudian.
Apa yang penting di sini ialah kesedaran umat Islam di negara ini, bahawa undang-undang tidak membenarkan
pasangan bercerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah. Kebenaran ini perlu bagi memastikan
masyarakat Islam tidak sewenang-wenangnya bercerai sesuka hati tanpa kawalan atau pemantauan.
Jika disabitkan bersalah, suami yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah boleh dihukum denda tidak
lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Sila lihat seksyen 125 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 untuk lebih jelas.

2. Hukum Tinggal Serumah Dalam Tempoh ‘Iddah (jika sah penceraian tersebut)

Apabila berlaku sesuatu perceraian maka haram bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam
sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya tanpa rujuk walaupun dalam iddah talak raj’ie
kerana dikhuatiri akan menjurus kepada perbuatan khalwat. Hal ini kerana, berkhalwat dengan bekas isteri tanpa rujuk
seolah-olah berkhalwat dengan perempuan ajnabiah (perempuan asing yang boleh dinikahi).
Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama isteri berkenaan
atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai atau anak-anak,
maka suami diharuskan memasuki rumah tersebut dan duduk di situ. Begitu juga sekiranya rumah itu besar dan
mempunyai bilik yang berasingan, tempat masak, tempat rehat, tempat lalu, pintu keluar masuk kesemuanya berasingan
dan tidak boleh lalu-lalang di antara mereka dalam rumah itu disebabkan oleh dinding atau pintu yang telah dikunci atau
dipaku, maka harus mereka tinggal di rumah itu.
Namun hukumnya adalah makruh walaupun tanpa mahram. Oleh itu, sekiranya rumah berkenaan tidak menepati
syarat-syarat tersebut seperti rumah itu mempunyai satu bilik sahaja, maka pasangan yang bercerai itu tidak harus
tinggal di rumah tersebut melainkan jika ada mahram. Oleh itu, apabila seorang suami hendak tinggal bersama dengan
bekas isterinya atau masuk ke tempat bekas isteri yang boleh membawa kepada khalwat yang diharamkan, maka isteri
itu hendaklah mencegahnya mengikut kemampuannya (Sila rujuk: Raudhah al-Tolibin, I’anah al-Tolibin dan Ahkam al-
Iddah fi al-Islam).
Selain itu, haram ke atas suami berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’ie sebelum dirujuk,
sama ada dengan persetubuhan atau lainnya hatta jikalau memandang tanpa syahwat sekalipun. Dalam permasalahan
ini, isteri yang telah diceraikan dengan talak raj’ie adalah seperti mana hukum isteri yang diceraikan dengan talak bain
(talak tiga). Haram bagi suami untuk menyetubuhi dan berseronok-seronok dengan bekas isterinya serta memandang
bekas isteri walaupun tanpa syahwat. Pendapat ini adalah merupakan pendapat majoriti ulamak seperti ‘Ato’, Malik,
Shafi’ī, satu riwayat dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain (Lihat: I’anah al-Tolibin, Fath al-Fattah Syarh al-Miftah li Bab al-
Nikah). Fakta ini ada disebutkan di dalam kitab “Nihayah al-Zein”:
ويحرم اﻻﺳﺘﻤﺘﺎﻉ ﺑﺎﻟﺮﺟﻌﻴﺔ ﻭﻟﻮ ﺑﻤﺠﺮﺩ اﻟﻨﻈﺮ ﻷﻥ اﻟﻨﻜﺎﺡ ﻳﺒﻴﺤﻪ ﻓﻴﺤﺮﻣﻪ اﻟﻄﻼﻕ ﻷﻧﻪ ﺿﺪﻩ
Maksudnya: “Haram bersenang-senang dengan bekas isteri yang ditalak raj’ie, walaupun hanya sekadar melihat
(auratnya). Ini kerana pernikahan yang mengharuskan ia (bersenang-senang dan melihat aurat) manakala talak
mengharamkan ia disebabkan ia bertentangan dengannya”.
Dalam Kitab “Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah” telah dinukilkan pandangan ulama daripada mazhab Shafi’ī dan Maliki
tentang isu ini:
فالطلاق رفع الحل النكاح ومقدماته، فلا يجوز الدخول عليها أو الأكل معها أو لمسها أو النظر إليها، بل يجب عليه الخروج من المسكن، إلا إذا كانت الدار واسعة ومعها
محرم مميز يستحي منه ويكون بصيرا.
Maksudnya: “Maka talak mengangkat untuk apa yang menghalalkan nikah dan permulaan-permulaannya, oleh itu tidak
boleh (bekas suami) menyetubuhinya (bekas isteri), atau makan bersamanya atau menyentuhnya atau melihatnya
(aurat). Bahkan si suami wajib keluar dari rumah, melainkan di dalam rumah yang luas dan bersamanya (bekas isteri)
anak yang mumayyiz yang mana dia berasa malu (untuk melakukan maksiat) dan menjadi pemerhati”

3. Hikmah ‘Iddah (Berpisah Sementara)

Ketetapan syarak dalam keadaan ini ada beberapa hikmah, antaranya;
1. Untuk memberi ruang kepada suami dan isteri bermuhasabah diri di samping boleh menghilang perasaan benci
disebabkan berlakunya pergaduhan tersebut.
2. Boleh menimbulkan kembali nostalgia yang manis di awal perkahwinan dan memupuk kembali perasaan cinta
apabila perasaan rindu mula timbul disebabkan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh iddah tersebut.
Berdasar huraian dan pandangan yang diberikan adalah lebih adil untuk dipertimbangkan, berilah waktu kepada isteri
untuk membuat keputusan dan jangan memaksa. Berilah ruang kepadanya sebagaimana yang disarankan oleh syarak.
Oleh sebab itulah syarak telah menetapkan tempoh iddah. Dalam tempoh tersebut masing-masing hendaklah
bermuhasabah dan mengakui kesilapan yang dilakukan. Usahlah menuding jari dengan menuduh siapa yang salah
dalam hal ini. Tetapi sebaliknya suami mulakan dahulu memohon maaf walaupun mungkin yang menjadi punca
perbalahan adalah isteri.

Sekian, wallahuaklam.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768