Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00485
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk MENYIMPAN JANGGUT
Soalan Assalamualaikum,

Seperti yang kita sedia maklum adalah dilarang bagi seseorang yang berkerja didalam badan beruniform untuk
meyimpan janggut. Bolehkan larangan ini diubah oleh atas nasihat pejabat agama kepada kerajaan persekutuan dan
negeri supaya orang yang beragama islam dapat meyimpan janggut semasa berada didlaam badan beruniform. mohon
pihak mufti memberikan idea dan pencerahan memandangkan kita berada di negara islam dan perkara ini boleh
dilakukan dengan bersyarat, pegawai yang berkeinginan untuk meyimpan janggut mestilah kemas dan satu tata
tertib dikeluarkan oleh pihak agama islam dalam meyimpan janggut supaya kekemasan serta sunnah dapat dipelihara
lebih2 lagi diakhir zaman yang penuh dengan dugaan. semoga sekecil-kecil sunnah ini dapat membantu meninggatkan
orang islam dalam mengamalkan sunnah yang lebih besar disamping memartabatkan agama islam dibumi ini..
insyaaAllah..
sekian cadangan dan soalan dari pihak saya, diharap pihak Mufti bersama2 dengan saya untuk memelihara sunnah
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. InsyaaAllah..
Akhir kata..mohon maaf dan minta tunjuk ajar sekiranya ada salah dan silap di dalam soalan yang dikemukakan.
jazakAllah. Assalamualaikum
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli
keluarga baginda ﷺ, para sahabat baginda ﷻ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Permasalahan berkenaan dengan hukum memotong janggut telah sekian lama dibahas oleh para ulama. Ia merupakan
satu permasalahan yang menjadi khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama.

Di sini kami nukilkan keterangan daripada kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Menurut kesepakatan ulama,
bahawa memelihara janggut adalah dituntut oleh Syarak’. Ini kerana terdapat hadis yang warid tentangnya, antaranya:

• Hadis Ibn Umar [r.a].
Sabda Nabi SAW :خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Berbezalah kamu terhadap orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai” [Riwayat al-
Bukhari (10/349)]

• Hadis Abu Hurairah [r.a].
Rasulullah SAW bersabda: جُزُّوا الشَّوَارِبَ, وَأَرْخُوا اللِّحَى, خَالِفُوا الْمَجُوسَ
Maksudnya: “Pendekkanlah misai, dan peliharalah janggut kerana membezakan kamu dengan orang Majusi.” [Riwayat
Muslim (1/222)]

• Hadis ‘Aisyah [r.a].
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis sepuluh perkara yang merupakan fitrah manusia iaitu antaranya:
إِعْفَاءَ اللِّحْيَةِ
Maksudnya: “Pemeliharaan janggut” [Riwayat Muslim (1/223)]

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah fi’il amar (أعفوا) dengan ‘membanyakkan’
atau makna ‘memelihara’. [Lihat: Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, Jil. 35, Hal. 223]

Jumhur fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie mengharamkan
memotong janggut. Ini kerana bertentangan dengan suruhan hadis Nabi ﷺ supaya memelihara janggut. [Lihat: Al-
Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, Jil. 35, Hal. 226]

Kami bawakan juga di sini daripada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

“Adapun memelihara dan membiarkan janggut, iaitu membiarkannya serta tidak melakukan perubahan, maka ulama
Malikiah dan Hanabilah menghukumkan cukur sebagai haram dan tidak menghukumkan sebagai makruh memotong jika
lebih dari satu genggaman dan juga tidak menghukumkan sebagai makruh memotong bahagian yang di bawah halqum
seseorang, ini kerana mengikuti perbuatan Ibn Umar. Manakala ulama Hanafiah menghukumkan sebagai makruh tahrim
jika mencukur janggut. Adapun ulama Syafi’eyyah menghukumkan sebagai makruh tanzih. Al-Nawawi dalam Syarh
Muslim telah menyebut tentang sepuluh perkara yang makruh pada janggut, antaranya ialah mencukurnya kecuali
sekiranya janggut itu tumbuh pada seseorang perempuan, maka disunatkan mencukurnya.” [Lihat: Wahbah Mustafa al-
Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Jil. 1, Hal. 462]

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram ada membahaskan seperti di bawah:

“Berkenaan dengan tajuk yang kita sedang bincangkan ini ialah tentang memelihara janggut. Imam al-Bukhari telah
meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi ﷺ bersabda:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ, وَفِّرُوا اللِّحَى, وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrikin. Peliharalah janggut dan cukurlah misai.”

Dalam sebahagian riwayat perkataan "waffiru" bermaksud memelihara. Namun begitu, hadis di atas telah menjelaskan
tentang ‘illah (sebab) utamanya iaitu supaya mempunyai identiti yang berbeza dengan golongan musyrikin khususnya
orang Majusi kerana mereka selalunya menggunting janggut mereka dan ada pula yang mencukurnya. Kerana itulah
Rasulullah SAW menyuruh kita bersikap berbeza dengan mereka untuk mendidik kaum Muslimin supaya mempunyai
identiti yang tersendiri.

Maksud tidak mencukur janggut itu bukanlah dengan membiarkannya tanpa diuruskan, tetapi diuruskannya dengan baik
pada lebarnya dan panjangnya sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi.
Qadhi Iyadh berkata: “Makruh bagi seseorang mencukur janggut, mengguntingnya, memendekkannya serta
meratakannya. Tetapi jika diuruskannya supaya jangan terlalu panjang dan lebat, adalah tidak mengapa dan yang
demikian itu bagus.”

Abu Syamah al-Syafie berkata: “Memang sudah berlaku pada masa ini, ada kaum yang suka mencukur janggutnya, yang
mana perbuatan itu adalah dari perbuatan kaum Majusi yang selalu senang sekali mencukurnya.”
Aku (Syeikh Yusuf al-Qaradhawi) katakan: “Kebanyakan kaum Muslimin pada masa kini, semuanya telah mencukur
janggutnya kerana meniru musuh-musuh Islam dari kaum penjajah yang menguasai negara-negara mereka, baik dari
kaum Yahudi mahupun Nasrani. Seperti kebiasaannya orang yang dijajah suka meniru lagak orang yang menjajah
kerana kekuasaannya. Sedangkan orang Muslim itu telah melupakan apa yang disuruh oleh Rasulullah SAW supaya
membezakan diri dari orang-orang kafir dan larangan Baginda SAW supaya jangan meniru cara hidup mereka kerana
sesiapa yang meniru sesuatu kaum samalah dia seperti mereka.”

Daripada Ibn Umar [r.a.] bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka samalah dia dengan kumpulan mereka.” [Riwayat Abu
Daud, Ahmad dan Ibn Asakir]

Kebanyakan fuqaha’ menyatakan dalil pengharaman mencukur janggut dengan berpegang kepada perintah Rasulullah ﷺ
supaya memelihara janggut.

Asal hukum ini adalah wajib, khususnya apabila ‘llah iaitu sebab suruhan ialah supaya membezakan diri dengan orang
kafir dan hukumnya adalah wajib. Tidak ada berita yang dinukilkan daripada ulama salaf yang membenarkan untuk
meninggalkan kewajipan ini sama sekali.

Para ulama masa kini membenarkan untuk mencukur janggut kerana mengikut kehendak masa sekarang dan
terpengaruh dengan sebab tersebarnya bala bencana pada masa kini. Meskipun begitu, mereka tetap mengatakan
bahawa memelihara janggut itu adalah adat kebiasaan perbuatan Nabi ﷺ dan bukannya melibatkan perkara ibadat yang
berkait dengan janggut. Dan yang sebenarnya, memelihara janggut tidak sabit dengan perbuatan Rasul sahaja bahkan
dengan suruhan yang sarih jelas lagi mu’allal (hukum-hakam yang dibina berdasarkan ‘illah) iaitu untuk membezakan diri
daripada orang-orang kafir.

Ibn Taimiyah pula menetapkan secara pasti bahawa membezakan diri dengan keadaan mereka adalah perkara yang
sangat dituntut oleh syariat Islam. Dan menyerupai keadaan mereka itu boleh menimbulkan rasa kasih sayang pada diri
dan itu akan menarik keinginan untuk menyerupai mereka secara zahirnya.

Seterusnya Ibn Taimiyah berkata lagi: “Semua dalil dalam al-Quran al-Karim, al-Sunnah dan ijmak ulama telah
menekankan supaya setiap Muslim itu membezakan dirinya dengan orang kafir dan dilarang menyerupai mereka. Setiap
perkara yang diduga akan mendatang kerosakan yang pasti, meskipun secara tersembunyi, maka sudah pasti
dihubungkan dengan hukum pengharamannya. Menyerupai orang kafir pada kelakuannya akan menarik kita menyerupai
mereka dalam kelakuan dan perbuatan mereka. Kesannya mungkin tidak ketara, begitu juga kerosakan yang berlaku
hasil dari penyerupaan itu tidak kelihatan kerana itulah untuk melenyapkannya agak sukar sama sekali. Walau
bagaimanapun, apa sahaja yang boleh menarik seorang Muslim kepada kerosakan, maka syariat Islam tetap
mengharamkannya.”

Maka kita dapat lihat dalam perkara mencukur janggut ada tiga pandangan, antaranya:

• Pendapat yang menyatakan haram secara pasti iaitu apa yang dinyatakan oleh pendapat Ibn Taimiyah dan lain-
lainnya.
• Pendapat yang mengatakan makruh iaitu apa yang disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari
yang menukilkan daripada Qadhi Iyadh, sedang ulama lain tidak seorang pun yang mengatakan begitu.
• Pendapat para ulama yang sezaman menghukumkan mubah atau harus.

Barangkali pendapat yang sederhana dan yang dekat kepada yang benar iaitu pendapat yang mengatakan hukumnya
makruh sahaja. Ini kerana perintah supaya memelihara janggut itu tidaklah menunjukkan wajib yang pasti, kecuali
dinyatakan kepada kita supaya jangan menyerupai orang kafir atau membezakan diri dengan hidup orang kafir sahaja.

Perkara yang hampir menyerupai persoalan ini ialah perintah untuk menginai rambut yang beruban supaya keadaan
orang Islam itu berbeza dengan kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak menginai rambut mereka. Sedangkan ramai dari
kalangan sahabat yang tidak menginai rambut. Maka jelaslah hal ini menunjukkan mustahab iaitu dituntut dan dianjurkan
sahaja. Sesungguhnya tidak ada satu berita pun yang dinukilkan oleh ulama salaf bahawa mereka mencukur janggut
mereka. Barangkali pada zaman mereka masih belum dititik beratkan untuk mencukurnya dan ia merupakan adat
kebiasaan mereka.” [Lihat: Yusuf al-Qaradhawi: Al-Halal wa al-Haram, Hal.112-114, Maktabah Wahbah, Kaherah, 2012].

Kesimpulan.

Setelah meneliti pelbagai pendapat para ulama, maka kami bersetuju dengan pandangan yang paling asah (sahih) dalam
mazhab Syafie yang menyatakan bahawa hukum mencukur janggut adalah makruh tanzih. Ini kerana menyimpan
janggut secara terurus adalah merupakan sunnah Nabi ﷺ kita yang mulia.

Kami berpandangan bahawa sekiranya ini merupakan arahan dan keputusan yang tetap dari pihak atasan, maka
seharusnya ke atas mana-mana kakitangan untuk menghormatinya dan mengikuti segala arahan kod etika badan
beruniform. Ini bertujuan untuk menjaga kekemasan dan penampilan sebagai seorang pegawai badan beruniform.

Di sini kami juga cuba untuk memberi pandangan dan cadangan kepada pihak yang terlibat untuk meraikan permintaan
para kakitangan yang beragama Islam untuk menyimpan janggut. Ini sebagaimana apa yang telah dilakukan oleh
sebahagian badan kerajaan yang juga merupakan pasukan beruniform telah membenarkan pegawai dan anggota lelaki
menyimpan janggut berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.

Kami mencadangkan kepada pihak yang terlibat atau kakitangan badan beruniform yang terdiri daripada kalangan orang
Islam boleh mematuhi syarat dan kriteria penyimpanan janggut. Di sini kami cadangkan garis panduan asas
penyimpanan janggut:

• Janggut hendaklah diandam dan diurus supaya kelihatan kemas dan bersih.
• Dilarang mewarnakan janggut dengan apa-apa warna sekalipun.
• Janggut hendaklah tidak melebihi dua inci. Ini kerana untuk menjaga kekemasan dan keterampilan.
• Dilarang mengandam janggut dengan bentuk yang menjadi trend.
• Jambang hendaklah dinipiskan supaya kelihatan.

Panduan asas yang kami gariskan ini bukanlah merupakan satu keputusan yang tetap dan perlu diterima oleh mana-
mana pihak. Ini kerana, ia perlu melalui satu perbincangan yang matang dan menyeluruh serta perlu diputuskan oleh
pihak yang terlibat dalam menggariskan apa sahaja yang memberi kebaikan kepada semua.

Semoga dengan pencerahan dan cadangan ini akan memberi kefahaman dan pertimbangan kepada semua pihak dalam
mencari solusi penyelesaian yang terbaik. Seterusnya dengan usaha yang sedikit ini kita semua dikurniakan oleh Allah
SWT kefahaman dan balasan pada hari akhirat kelak.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768