Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00468
Kategori Penyoal Individu
Kategori Akhlak
Sub Kategori Adab-adab Sosial
Tajuk MEMBERI MAKAN KEPADA KUCING TIDAK BERTUAN
Soalan Assalammualaikum.

Tuan,

Saya ingin memohon pencerahan mengenai memberi makan kepada kucing-kucing
yang tidak bertuan di kawasan Taman Perumahan saya.

Untuk makluman tuan, baru-baru ini dalam group \'Whatapps\' Taman Perumahan
saya ada ahli group yang berkongsi pendapat berkaitan memberi makan kucing tidak
bertuan hanya akan mengalakkan pertambahan kucing dan kucing akan membuang
najis merata-rata. Hal ini menyebabkan penduduk perlu mencuci porch setiap hari,
mencuci langsir dan kereta. (Kerana telah terkena najis kucing).

Terdapat sedikit perbalahan dalam group Whatapps lelaki dan perempuan.

Ada yang bersetuju untuk tidak memberi makanan, dan ada yang kasihan dengan
kucing-kucing yang kelaparan dan turut memberikan makanan.

Saya amat berharap dengan penjelasan Tuan Mufti akan menjawab kekeliruan saya
samada terus memberi makan kepada kucing-kucing tersebut atau pun menurut
kehendak jiran.

Sekian, Terima Kasih.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Waalaikumussalam,

Terima kasih di atas persoalan yang diajukan kepada jabatan ini. Semoga jawapan ini memberi panduan dan manfaat
kita bersama.

Berkaitan persoalan memberi makan kepada kucing-kucing yang tidak bertuan (terbiar) di taman saudari jabatan ini
berpandangan seperti berikut:

i. Para ulama dan sarjana Fiqh telah menyebutkan tentang kewajipan memberi nafkah kepada haiwan yang
dipelihara. Isu ini telah dibincangkan di dalam bab nafkah isteri, ibubapa dan anak-anak.

Antaranya para ulama merujuk kepada hadis berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عمر أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ
مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ
)رواه مسلم، صحيح مسلم، كتاب السلام، باب تحريم قتل الهرة، ج11،ص301، حديث رقم:4160.(

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Seorang perempuan telah diseksa
kerana kucing yang dikurungnya sehingga mati, maka dia dimasukkan ke dalam neraka. Dia tidak memberi kucing itu
makan dan minum ketika mengurungnya dan dia tidak pula melepaskannya mencari makanannya sendiri daripada
haiwan haiwan kecil.
(Riwayat Muslim : No. 4160)

ii. Walaupun hadis di atas berkisar tentang haiwan yang dipelihara tetapi tidak dinafikan tanggungjawab sosial yang
turut dianjurkan oleh agama Islam terhadap bintang-binatang terbiar termasuk kucing. Hadis berikut boleh dijadikan
panduan berkaitan haiwan yang terbiar:

عَنْ أبي هريرة، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ
الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنْ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا: يَا رَسُولَ
اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا فَقَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
)رواه مسلم، صحيح مسلم، كتاب السلام، بَاب فَضْلِ سَقْيِ الْبَهَائِمِ الْمُحْتَرَمَةِ وَإِطْعَامِهَا، ج11،ص304،حديث رقم:4162.(

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia
berasa sangat dahaga, lalu terjumpa sebuah perigi. Dia pun turun ke dalamnya lalu meminum (air telaga tersebut). Ketika
dia keluar dari perigi tersebut, dia ternampak seekor anjing yang menjelirkan lidahnya, memakan tanah kerana kehausan.
Lelaki itu berkata: "Anjing ini tentu sangat dahaga sebagaimana dahaga yang menimpaku sebentar tadi". Lalu dia pun
turun semula ke dalam perigi, dan memenuhkan kasutnya dengan air, kemudian dia memegang kasutnya dengan
mulutnya hingga dia berjaya memanjat sampai ke atas semula, lalu dia memberi anjing itu minum. Anjing itu bersyukur
kepada Allah atas bantuan lelaki itu, lalu Allah mengampunkannya. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulallah, adakah
bagi kami ganjaran pada haiwan seperti ini?" Baginda bersabda: "Pada setiap hati yang basah itu ada ganjaran (bagi
yang berbuat baik kepadanya)".
(Riwayat Muslim : No. 4162)

iii. Antara pengajaran yang boleh diambil dari hadis di atas ialah, terhasilnya pahala yang besar dari perbuatan memberi
minum haiwan. Pahala ini juga akan terhasil dengan perbuatan yang seumpamanya, seperti memberi makan dan lain lain
perbuatan yang bersifat ihsan terhadap haiwan, tidak kira sama ada haiwan itu dipelihara ataupun tidak.
(Imam An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jil.4, Hal.241)

iv. Jika bersifat belas kasihan terhadap haiwan yang tidak dipelihara diberikan ganjaran, apatah lagi bersifat ihsan
kepada haiwan yang dipelihara.
(Imam As-Syaukani, Nail al-Authar, Jil.7, Hal.91)

Berdasarkan huraian di atas, perbuatan memberi makan dan minum kepada kucing-kucing yang tidak bertuan (terbiar) di
taman saudari adalah satu amalan yang baik dan terpuji. Pihak saudari juga boleh berusaha untuk berhubung dengan
persatuan-persatuan yang melibatkan diri dengan haiwan-haiwan yang terbiar yang mungkin boleh membantu mengatasi
permasalahan tersebut.

Sekian terima kasih, mudah-mudahan memberi manfaat.


Disediakan oleh;

Ketua Penolong Mufti,
Bahagian Fatwa,
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768