Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00467
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Munakahat
Tajuk KEMUSYKILAN
Soalan Saya dan isteri pernah bercinta sebelum berkahwin...semasa
bercinta, kami pernah memutuskan hubungan ditengah
jalan...tetapi ada satu hari, saya bersembang2 dgn isteri pasal
zaman kami bercinta...jd sy tersebut \"ingat tak waktu kita
BERCERAI sekejap dulu?\"...saya terus tersentap...soalan saya
apakah status ayat ni pada hubungan kami suami isteri??
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan
Assalamualaikum,

Segala pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Terima kasih di atas persoalan yang diajukan. Jawapan kami seperti berikut:

Lafaz cerai yang saudara ucapkan semasa alam percintaan tiada ada kaitan dengan perkahwinan masa kini. Merujuk
kepada syarat sah perceraian ada lima (5); antaranya ialah lafaz talak seorang suami kepada isterinya yang sah. Adapun
lafaz cerai kepada bukan isteri maka lafaz itu tidak sah dan tidak diambil kira oleh syarak.

Huraian lanjut berkaitan talak (perceraian) adalah seperti berikut:

Pada asalnya, lafaz talak yang jelas itu menjatuhkan talak, sekalipun tanpa niat. Ini termasuklah menyebut perkataan
cerai. Manakala, lafaz talak yang kinayah (tidak jelas, kiasan), tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat
ketika ucapan itu disebut.

Ini berdasarkan sebuah hadis hukum yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah;
nikah, talak dan rujuk.

Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.

Namun begitu ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talaq secara sarih/jelas tidak
menjatuhkan talaq:

i) Orang yang tidur
ii) Orang yang gila
iii) Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
iv) Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang
diceraikan.
v) Penggunaan lafaz yang tidak difahami
vi) Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur

Pada menghuraikan keadaan yang ketiga, kami memetik kenyataan daripada kitab al-Muʿtamad fi al-Fqh al-Syafie
(4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak
jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang
berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”

Justeru tidak jatuh talak bagi keadaan seperti yang diceritakan oleh penanya diatas dan tidak perlu dirujuk.

Sekian, wallahua’lam.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768