Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00455
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk LOKASI NIAT IHRAM
Soalan Seorang jemaah wanita telah niat bersyarat untuk ihram umrah sebelum
kapal terbang yang dinaikinya melepasi miqat Qarnul Manazil dengan lafaz:
“Sekiranya aku didatangi haid, maka aku menjadi halal.” Haidnya keluar
sebaik sahaja tiba di Makkah. Memandangkan dia telah niat bersyarat, maka
dia menjadi halal dan tidak terikat dengan ihram umrah lagi. Justeru,
bagaimana jika dia hendak berniat ihram semula? Adakah boleh mula
berniat di hotel atau perlu keluar ke tanah halal atau perlu kembali ke miqat
asal tempat dia berniat (Qarnul Manazil)?
Dokumen Sokongan Soalan 28.php.jpg
Screenshot_20180328_215156.png
Screenshot_20180328_215156.png
Screenshot_20180327_133514.jpg
Jawapan
Niat ihram bagi umrah dan haji hendaklah dilakukan sebelum melepasi miqat-miqat yang telah ditentukan. Jika dari
Madinah, perlu berniat sebelum melepasi Zulhulaifah dan begitu juga miqat-miqat lain.

Dalam kes tersebut, jemaah tersebut sudah berada di Makkah. Maka, miqat yang disyaratkan ke atasnya untuk berniat
semula ihramnya adalah sama sebagaimana miqat orang Makkah iaitu hanya perlu keluar ke tanah halal walaupun
selangkah. Namun adalah lebih baik jika keluar berniat di miqat-miqat yang masyhur seperti Ji’ranah, Tan’im dan
Hudaibiyah.

Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah: “Rasulullah singgah di suatu tempat bernama
al-Muhassab, lalu baginda memanggil Abdul Rahman bin Abu Bakar dan berkata padanya: "Keluarlah bersama-sama
saudaramu (Aisyah) dari tanah haram (dalam satu riwayat ke Tan’im). Kemudiannya berniat ihram (umrah) dan tawaf
mengelilingi Kaabah. Aku menunggu kamu berdua di sini." Aisyah menceritakan: "Kami pun keluar dari Tanah Haram lalu
aku berniat ihram untuk umrah. Kemudiannya aku tawaf mengelilingi Kaabah dan mengerjakan sa'i antara Safa dengan
Marwah. Setelah itu, kami datang menemui Rasulullah SAW di tempat persinggahannya pada waktu yang sudah larut
malam." Kemudian Baginda bertanya: "Adakah engkau telah selesai umrah? Aku menjawab: Ya". Lalu baginda mengizinkan
para sahabatnya berangkat. Sesudah itu, Baginda berangkat menuju ke Kaabah untuk melakukan tawaf sebelum solat
subuh, kemudian terus menuju ke Madinah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sekiranya dia tidak berniat umrah, sebaliknya berniat ihram haji sama ada ifrad atau qiran, maka miqatnya adalah
sama seperti miqat penduduk Makkah iaitu berniat ihram haji di tempat tinggalnya. Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah
SAW telah menentukan miqat bagi mereka yang ingin mengerjakan haji dan umrah. Bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah,
bagi penduduk Syam di al-Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarnul Manazil, bagi penduduk Yaman di Yalamlam.” Kemudian
Baginda bersabda: “Miqat-miqat tersebut bagi penduduk-penduduknya dan juga bagi mereka yang bukan penduduknya
tetapi melalui miqat-miqat tersebut."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768