Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00443
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Muamalat
Tajuk HUKUM JUAL BELI FOREX
Soalan Saya ingin mendapatkan kepastian mengenai hukum mengenai urusan jual beli (trading) emas atau perak secara online
(broker). Saya difahamkan urusan jual beli matawang (forex) secara online adalah haram. Bagaimana dengan jual beli emas
atau perak?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Sebagaimana dimaklumi bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual
spot forex) melalui platform elektronik sepertimana yang diamalkan pada hari ini melalui broker-broker forex adalah tidak
menepati hukum-hakam (Al-Sarf).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang
pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara
Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik, dan memutuskan antara lain:

ʺ....bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui
platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak Syarak dan juga tidak
sah dari sisi undang-undang negaraʺ.

Hukum ini juga adalah terpakai kepada perdagangan komoditi yang bersifat ribawi iaitu emas dan perak melalui platform
forex. Ini kerana isu-isu syariah yang timbul berkenaan dengan perdagangan emas dan perak melalui platform elektronik
adalah sama dengan isu-isu syariah dalam perdagangan forex secara online.

Secara ringkas, isu-isu syariah yang terdapat dalam operasi pelaburan emas maya adalah:

1) Isu leverage sebagaimana dalam forex secara online, operasi perdagangan emas dan perak melalui platform forex
juga dijalankan dengan adanya kemudahan leverage. Leverage telah ditakrifkan sebagai pinjaman kewangan (qard), dan
dimaklumi bahawa setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat kepada pemberi pinjam adalah riba yang
diharamkan. Unsur leverage juga menimbulkan isu pensyaratan akad jual beli di dalam akad qard.

2) Isu Qabd dalam operasi perdagangan emas dan perak menggunakan platform elektronik, isu qabd berlaku apabila
emas yang dibeli oleh pelabur ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaunnya, sehingga dia menutup
balik posisi dengan menjualnya kepada broker. Ini bermakna, tidak berlaku qabd sama ada hakiki atau hukmi ketika
transaksi pembelian emas dijalankan.

3) Penjualan sesuatu yang tiada dalam pegangan dalam konteks perdagangan emas dan perak melalui platform forex,
penjualan emas sebelum qabd berlaku dalam dua keadaan:

i. Ketika pelabur membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik emas yang dibelinya dari broker,
sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap emas tersebut.

ii. Ketika pelabur memulakan transaksi dengan membuka posisi short (menjual emas), dia telah membuat transaksi
penjualan emas yang tidak dimilikinya dan tidak ada dalam pegangannya.

Justeru, perniagaan emas dan perak menggunakan platform elektronik adalah tidak menepati hukum syarak. Ia juga
menyalahi beberapa Parameter Pelaburan Emas yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, iaitu Parameter No. 5, 11, 13, 20 dan 23.

(Rujuk Parameter Pelaburan Emas: http://www.efatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas)
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768