Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00439
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk SOLAT DUDUK YANG BETUL
Soalan Bagaimanakah untuk melakukan solat duduk yang betul bagi yang orang yang
menghadapi masalah sakit lutut. Terima kasih
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum,

Terima kasih di atas soalan yang diajukan. Jawapan kami seperti berikut:-

Seseorang yang tidak mampu solat secara berdiri, ia dibolehkan bersolat secara duduk. Jika tidak mampu untuk duduk,
ia dibolehkan solat secara berbaring dan begitulah seterusnya. Sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang
diriwayatkan daripada Imran bin Hussain yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang beliau mengidap penyakit
buasir, lalu Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ... الحديث

Maksud :“Hendaklah engkau bersolat secara berdiri, jika engkau tidak mampu hendaklah solat secara duduk …... hingga
akhir hadis”.
(HR Bukhari)

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah:

استدل به من قال لا ينتقل المريض إلى القعود إلا بعد عدم القدرة على القيام،

Berhujah dengan hadis ini, para ulama’ yang berpendapat bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah
kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.

Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari (3/302)

Berdasarkan kepada nas tersebut, jelas menunjukkan bahawa bagi mereka yang tidak mampu berdiri, bolehlah bersolat
secara duduk sama ada diatas lantai dengan pelbagai cara seperti duduk secara iftirasy, bersila dan sebagainya, atau
duduk diatas kerusi , kerana sabda Rasulullah SAW dalam hadis tersebut adalah umum dengan menyebut قَاعِدًا (duduk).
Baginda tidak mengkhususkan duduk atas lantai, bahkan hanya menyuruh duduk secara mutlak sama ada duduk di atas
lantai, atas kerusi atau seumpamanya. Malah penggunaan Bahasa Arab juga menyebut duduk atas kerusi itu juga
dengan perkataan قُعُود (duduk). Ini amat jelas sebagaimana yang disebut dalam sunan Abi Daud dan an-Nasa’i:

عن عبد خير، رأيت علي رضي الله عنه أتي بكرسي فقعد عليه

Maksudnya : “Daripada Abdu Khair, aku melihat Sayyidina Ali r.a dibawakan kepadanya sebuah kerusi lalu ia duduk di
atasnya”
(HR Abu Daud, Jilid 1 Hal 28 No. 113 dan Sunan An-Nasa’i, Jilid 1 Hal 137 No. 93)

Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk :

Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara atau contoh yang dianggap sebagai
masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut beberapa contoh:
a. Tidak mampu untuk berdiri.
b. Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya bersolat secara berdiri.
c. Berada di atas kapal, sampan atau perahu, yang ditakuti akan tenggelam sekiranya melakukan solat secara berdiri
di atasnya.
d. Seseorang yang berasa pening kepala.
e. Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
f. Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
g. Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
h. Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya
mengalir atau lebih banyak akan mengalir keluar.

Selain itu, dibolehkan juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk, demikian
juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi.

Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi :

Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara
selainnya, berikut dinyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:

a. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berdiri di sepanjang solatnya, maka bolehlah dia solat secara duduk dari awal
hingga akhir solatnya, walaubagaimanapun beliau wajib berdiri semula pada mana mana qiam solatnya serta rukuk dan
sujud dilakukan seperti biasa sekiranya dia mampu berbuat demikian.

b. Jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih
dahulu. Kemudian dibolehkan dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud. Dan yang paling utama adalah duduk di atas
lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi. Sesiapa yang tidak mampu
untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi.

Manakala rukuk dan sujud pada kedua dua keadaan di atas wajiblah dilakukan sebagaimana biasa. Imam al-Nawawi
menegaskan dengan berkata:

واما سجوده فكسجود القائم . هذا اذا قدر القاعد على الركوع والسجود
Maksudnya: Dan adapun sujudnya (orang yang solat secara duduk) seperti sujud orang yang solat secara berdiri. Ini
apabila orang yang solat secara duduk itu mampu untuk rukuk dan sujud.
(Raudhah al-Tholibin, Imam al-Nawawi, Hal. 342)

c. Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara
berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.

Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya
dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan semasa sujud pula hendaklah menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar
tunduknya semasa rukuk. Tidaklah perlu sujud dengan meletakkan tapak tangan dan dahi di atas sesuatu yang berada di
hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai
tempat sujud.

Ini berdalilkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tabarani:

عن ابن عمر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من استطاع منكم أن يسجد فليسجد ، ومن لم يستطع فلا يرفع إلى جبهته شيئا ليسج عليه ، ولكن ركوعه وسجوده
يومئ برأسه

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mampu sujud dikalangan kamu,
maka hendaklah ia sujud dan sesiapa yang tidak mampu, maka janganlah dia mengangkat sesuatu ke dahinya untuk dia
sujud ke atasnya, tetapi rukuk dan sujudnya secara isyarat dengan kepalanya.
(Al-Mu'jam Al-Aushat 15/365)


Dan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ: عَادَ اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَرِيضًا, فَرَآهُ يُصَلِّي عَلَى وِسَادَةٍ, فَرَمَى بِهَا, وَقَالَ: "صَلِّ عَلَى اَلْأَرْضِ إِنْ اِسْتَطَعْتَ, وَإِلَّا فَأَوْمِ إِيمَاءً, وَاجْعَلْ سُجُودَكَ أَخْفَضَ
مِنْ رُكُوعِكَ.

Maksudnya: Daripada Jabir : Nabi SAW pernah menjenguk orang sakit. Baginda melihat orang itu sedang solat di atas
bantal, lalu Baginda membuangnya. Nabi SAW bersabda: "Solatlah di atas tanah jika engkau mampu, jika tidak maka
gunalah isyarat dan jadikan (isyarat) sujudmu lebih rendah daripada (isyarat) rukukmu.
(Sunan Al-Kubra (10/54) : Hadis no. 3819)

Hadis ini menjelaskan bahawa pesakit yang tidak mampu untuk sujud di atas lantai tidaklah perlu menjadikan sesuatu
benda bagi sujud di atasnya dan juga dapat dibezakan di antara rukuk dan sujud dengan dilakukan sujud lebih rendah
daripada rukuk.
(Fath Al- A'llam Syarh Bulug Al-Maram : 1/153)

Imam al-Syafei pula menjelaskan di dalam kitab Al-Umm:

ولا يرفع إلى جبهته شيئا ليسجد عليه لانه لا يقال له ساجد حتى يسجد بما يلصق بالارض فإن وضع وسادة على الارض فسجد عليها أجزأه ذلك إن شاء الله تعالى

Maksudnya: Dan tidaklah perlu dia mengangkat sesuatu benda ke dahinya untuk sujud di atasnya, kerana bahawa tidak
dikatakan baginya orang yang sujud sehingga dia sujud ke atas sesuatu yang berhubung terus dengan lantai. Maka jika
dia meletakkan bantal di atas lantai dan sujud di atasnya, maka telah memadai, In shaa Allah. (Al-Umm : 1/100)

Imam Nawawi pula mentarjih pandangan ini dan beliau menjelaskan inilah pendapat yang Asah di dalam mazhab,
katanya:

بل يكفيه الخفض المذكور قال الرافعي هذا أشبه بكلام الاكثرين لان هيئة السجود متعذرة فكيفيه الخفض الممكن

Maksudnya: Bahkan cukup sekadar tunduk yang tersebut. Berkata Imam al-Rafie: Inilah lebih hampir kepada pendapat
kebanyakan ulamak, kerana sujud seperti biasa tidak mampu lagi dilakukan, maka memadai sekadar tunduk yang
mampu dilakukan.
(Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab : 3/436)

Secara kesimpulannya bagi seseorang yang bersolat secara duduk, termasuk duduk di atas kerusi, tetapi rukun fi’li
(perbuatan) boleh dilakukan dengan sempurna, hendaklah ia dilakukan mengikut keadaan asalnya. Mana-mana rukun fi’li
yang tidak boleh dilakukan dengan sempurna sahaja, dibolehkan untuk melakukannya secara isyarat sambil duduk di
atas kerusi. Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah SWT di dalam surah al-Taghabun ayat 16: “Bertaqwalah
kamu kepada Allah setakat mana yang kamu mampu”.


Sekian, semoga memberi panduan kepada saudara.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768