Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00430
Kategori Penyoal Individu
Kategori Akhlak
Sub Kategori Adab-adab Sosial
Tajuk MENJAWAB SALAM DARIPADA BUKAN ISLAM
Soalan Apabila orang bukan Islam mengucapkan salam kepada kita, adakah kita boleh
menjawab salam tersebut dan apabila orang bukan Islam tersebut bersin bolehkah kita
mengucapkan “bless you”.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum Wrh.

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah SWT,

Harus kita menjawab salam daripada seorang yang bukan Islam. Ini berdasarkan ayat Al-Quran yang menyebut:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٖ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡهَآ أَوۡ رُدُّوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٍ حَسِيبًا ٨٦

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Nisa’:86)

Ayat ini merupakan ayat yang umum. Frasa dalam ayat وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٖ maksudnya “apabila kamu diberi penghormatan”,ia
tidak menyatakan إذا حياكم المسلمون maksudnya “apabila orang Islam memberi penghormatan kepada kamu”,
mengkhususkan orang Islam sahaja memberi salam atau penghormatan.

Jawapan yang dianjurkan ialah dengan lafaz وعليكم . Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang menyebut “Apabila kamu
diberi salam oleh ahli kitab jawablah "wa'alaykum". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, orang Islam tidak boleh dahulu memberi salam kepada bukan Islam. Ini berdasarkan sabda Nabi
"Jangan memulakan salam kepada Yahudi dan Nasara jika kamu berjumpa salah seorang daripada mereka di jalan".
(Riwayat Muslim).

Namun seperti saranan Imam Nawawi, orang Islam boleh memberikan ucapan-ucapan yang lain kepada bukan Islam
yang menandakan penghormatan seperti selamat pagi, hari yang baik, moga Tuhan berikan kamu kebahgiaan di hari ini
dan lain-lain yang seumpamanya. (Al-Nawawi, Al-Azkar)

Dan sekiranya lafaz salam yang diberikan oleh mereka tidak jelas dan bimbang ia merupakan lafaz yang tidak baik
seperti “maut atas kamu” (السام عليكم), seperti dilakukan Yahudi kepada Rasulullah SAW dahulu, maka jawablah sekadar
“atas kamu juga” (وعليكم).

Adapun lafaz ‘bless you’ kepada orang bukan Islam yang bersin, sekiranya dilafazkan dalam makna yang umum, adalah
diharuskan.

Sekian, terima kasih.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768