Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00428
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk IMAM MEMBUKA AL-QURAN KETIKA SOLAT FARDHU
Soalan Sekarang telah berlaku di masjid dan surau semasa menjadi imam solat fardhu, mereka
mereka membuka Al-Quran. Perkara ini tidak diamalkan dalam sunnah dan sahabat
Nabi, mereka mengunakan hafalan. Apakah perbuatan seperti ini dibenarkan oleh
syarak?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Terima kasih di atas soalan yang dikemukakan.

Jawapan:

Sembahyang dan membaca Al-Quran adalah dua amalan soleh. Adalah sangat dituntut jika seseorang itu mampu
membaca keseluruhan Al-Quran dalam semua sembahyangnya.

Hukum seseorang membaca mushaf Al-Quran ketika sembahyang adalah dibenarkan dan tidak makruh; sama ada dia
sembahyang bersendirian atau menjadi imam, juga sama ada ketika sembahyang fardhu atau sunat, sama ada yang
membaca mushaf itu seorang hafiz atau tidak.

Jika orang yang sedang bersembahyang membaca ayat al-Quran daripada Mushaf, maka tidak terbatal solatnya, sama
ada dia seorang hafiz atau tidak. Bahkan bagi orang yang masih belum menghafal surah Al-Fatihah, wajib baginya untuk
membaca mushaf. Jika dia membelek lembaran mushaf daripada satu helaian kepada helaian yang lain ketika sedang
bersembahyang, sembahyang itu tidak batal. (Al-Majmu’, Jil. 4, Hlm.27) 

Hujah:

1. Membaca Al-Quran itu merupakan ibadah dan membaca daripada mushaf Al-Quran juga merupakan ibadah. Tiada
dalil Syarak yang melarang menggabungkan dua ibadah tersebut.

2. Kaedah hukum Syarak menjelaskan bahawa hukum kaedah adalah mengikut hukum maksud. Maksud orang yang
membaca daripada mushaf ketika bersembahyang adalah untuk memenuhi tuntutan membaca ayat Al-Quran.

3. Hukum membaca ayat Al-Quran selepas surah Al-Fatihah adalah sunat, maka kaedah melaksanakan amalan sunat itu
juga adalah hukumnya sunat.

4. Maka membaca mushaf untuk memenuhi tuntutan membaca ayat Al-Quran itu tidak dilarang.

5. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta' Mesir:

“Membaca ayat Al-Quran daripada mushaf ketika bersembahyang adalah dibenarkan dalam hukum Syarak, sama ada
ketika sembahyang fardhu atau sunat. Amalan itu tidak dianggap makruh dan tidak membatalkan sembahyang. Perlu
diambil perhatian jua, isu ini adalah isu yang diperlisihkan dalam kalangan para ulama.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768