Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00426
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk HUKUM MENULIS NOVEL
Soalan Assalamualaikum.

1. Apa hukumnya jika seorang penulis menulis novel yang mempunyai
watak perempuan yang tidak menutup aurat tetapi penampilannya tidak
diterangkan secara terperinci dan penulis cuba menerangkan bahawa
tidak menutup aurat itu berdosa? Ada watak yang akhirnya menutup aurat
dan ada antara mereka yang masih tidak menutup aurat sehingga ke akhir
cerita.

2. Bagaimana pula jika novel itu mengisahkan seorang lelaki yang
banyak melakukan kerja haram seperti pelakon yang tidak menjaga batas
pergaulan, tidak solat namun penulis itu menerangkan perbuatannya
salah dan watak itu akhirnya berubah?

Terima kasih.
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Assalamualaikum Wbt.

Terima kasih di atas soalan yang diajukan.
Saudari yang dirahmati Allah SWT,

Sesungguhnya setiap umat Islam memiliki kebebasan memberikan pendapat yang juga merupakan hak individu
paling penting. Kebebasan bersuara boleh dimaksudkan kebebasan menyuarakan sesuatu pandangan secara verbal
termasuk juga tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat tanpa sekatan. Pada dasarnya, kebebasan
bersuara merupakan hak individu yang dijamin agama Islam.

Pentingnya pada zaman ini, penyampaian dakwah itu dapat disampaikan kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk.
Begitulah juga melalui bacaan dan ia dapat juga menjadi uslub dakwah.

Hukum menulis novel pada dasarnya adalah harus. Ianya bergantung kepada objektif dan motif penulisan tersebut.
Sekiranya objektif tersebut murni dan boleh mendorong kepada kebaikan, maka penulisan tersebut mendapat pahala.
Sebaliknya, jika ia mendorong kepada kemaksiatan, kemungkaran dan kejahatan maka hukumnya adalah haram.

Ini adalah sebagaimana sabit dalam hadis Nabi SAW:

إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته
إلى ما هاجر إليه

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)
berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-
Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang
dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia
niatkan.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sekiranya ia untuk tujuan dakwah iaitu sebagai kesedaran para pembaca dan menyeru mereka ke arah kebaikan,
maka hukumnya adalah harus dan mendapat pahala. Walau bagaimanapun, sekiranya penulisan itu adalah mendorong
kepada keburukan dan perkara yang ditegah syarak, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya : Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka
dengan cara yang baik.
(Surah An-Nahl ayat 125)

Penceritaan berkenaan menutup aurat itu tidaklah keterlaluan. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat banyak kinayah
apabila berkaitan dengan hal-hal sulit seperti dalam konteks hubungan suami isteri. Penulis tidak sepatutnya menulis
secara keterlaluan sehingga mampu merangsang syahwat para pembaca. Contohnya seperti bentuk badan wanita
yang digambarkan secara terperinci seolah-olah pembaca melihatnya secara jelas.

Islam telah menggariskan panduan bagi sebarang bentuk penulisan agar terpelihara daripada fitnah dan keburukan,
anatanya ialah :

i. Sesuatu idea yang disuarakan perlu mempunyai tujuan baik dan niat ikhlas. Hak kebebasan ini sepatutnya
digunakan dalam kerangka nasihat demi kebenaran dan kesabaran (al-tawasaw bil haq wa al-sabr) . Hakikat ini
hanya akan tercapai seandainya kebebasan bersuara yang diterjemahkan pada hari ini ke dalam bentuk karya
perfileman, program hiburan, penulisan novel, media cetak elektronik, blog, diskusi ilmiah, seminar dan
seumpamanya, dijadikan alat untuk mempromosi kebenaran, melahirkan rasa keinsafan umum, mencetuskan
kesedaran umat Islam terhadap ancaman musuh mereka dan lain-lain tujuan yang berorentasikan makruf.

ii. Tidak menggunakan idea dan pemikiran tersebut ke arah kemaksiatan, fitnah, gosip, dusta, tahyul, seks bebas,
imaginasi, khurafat atau bid’ah yang mendatangkan kekeliruan kepada akidah, syariah dan nilai-nilai akhlak Islam.
Islam menentang hasil kebebasan bersuara yang negatif seperti ini kerana ia bukan lagi kebaikan sebaliknya
menjadi kerosakan (mafsadah) yang mesti bendung.

iii. Tidak mempromosi idea dan fahaman mengelirukan masyarakat Islam seperti anjuran persamaan lelaki dan wanita,
pluralisme dan liberalisme Islam, ajaran sesat, penolakan hadis, mengkritik tradisi ilmu Islam, para ulama dan lain-
lain perbuatan fasad.

Justeru, setiap umat Islam hendaklah berhati-hati dalam setiap perbuatan agar tidak terjerumus ke dalam kancah
keburukan sehingga mengundang kemurkaan Allah. Selaku umat Islam, kegiatan dakwah terhadap masyarakat Islam
haruslah terus dikembangkan dengan uslub dakwah yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

Wallahua’lam.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768