Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00420
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk WIRID DAN DOA SELEPAS SOLAT BERJEMAAH
Soalan Saya mewarisi amalan orang-orang tua saya di kampung berwirid secara berkumpulan
dan berdoa selesai sembahyang berjemaah. Akhir-akhir ini dikhabarkan, cara yang
dilakukan itu tidak dilakukan semasa hayat Rasulullah SAW malah apa yang dilakukan
itu adalah bidaah. Saya ingin penjelasan, apakah benar bahawa yang dilakukan itu
salah?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Persoalan ini dapat dibahagikan kepada dua perkara yang perlu difahami, seperti berikut:-

Pertama: Wirid dan zikir selepas solat mempunyai nas. Ia hendaklah dibaca sebagaimana diambil daripada Nabi SAW,
melalui hadis-hadis yang sahih.

Begitu juga dengan berdoa selepas solat sama ada secara umum atau khusus. Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz:

يَا مُعَاذُ إِنِّي اُحِبُّكَ لا تَدَعْ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ، اَللَّهُمَّ أعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Hai Muaz, aku menyayangimu. Justeru jangan kamu tinggalkan untuk berdoa setiap kali selepas solat
dengan membaca doa ini: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingatimu, bersyukur kepadamu dan membaikkan dalam
beribadat kepadamu.”

Riwayat Ahmad (no: 22119), Abu Daud (no: 1524), dan al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (no: 9937). Dinilai sahih oleh Ibn
Hibban dalam Sahihnya (no: 2020), dan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (no: 751)

Kedua: Berkenaan dengan cara berkumpulan dan dengan meninggikan suara memang tidak dilakukan oleh Rasulullah
SAW. Justeru, masalah ini menjadi khilaf di kalangan ulama’ sama ada bidaah atau tidak. Pembahagian bidaah itu sendiri
terbahagi kepada dua iaitu bidaah yang baik dan bidaah yang tercela atau tidak.

Kami cenderung kepada pendapat yang meraikan suasana setempat iaitu dibolehkan berzikir beramai-ramai. Namun
hendaklah berhati-hati agar tidak mengganggu para jemaah lain yang sedang bersolat dan seumpamanya, iaitu tidak
terlalu meninggi suara terutama apabila menggunakan "speaker" yang kuat.

Untuk penjelasan lebih lanjut, bolehlah merujuk kepada beberapa kitab seperti al-Azkar karangan Imam al-Nawawi
Rahimahullah dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2012, bertarikh 29 Mac 2012
bersamaan 06 Jamadil Awwal 1433 telah memutuskan bahawa :-

i. Bagi orang yang solat seorang diri dan makmum, adalah lebih baik berdoa dengan suara yang perlahan sekadar
hanya dapat didengari oleh dirinya sendiri.

ii. Manakala bagi solat berjamaah pula, adalah sunat bagi imam membaca zikir dan doa dengan suara sekadar boleh
didengari oleh para jamaahnya, jika ia bertujuan untuk mengajar mereka (jamaah) atau untuk mereka sama-sama
mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam, tetapi janganlah sampai mengganggu para jamaah lain yang sedang
melaksanakan solat dan ibadah yang lain.

Antara hujahannya adalah seperti berikut:

a. Jika seorang imam itu bertujuan untuk membimbing makmum, maka bolehlah dijahrkan kedua-duanya, iaitu zikir dan
doa itu, selagi tidak menggangu para jemaah lain yang sedang solat. Hujahnya seperti berikut :-

وقال الشافعى في الأم أختار للإمام والمأموم أن يذكر الله تعالى بعد السلام من الصلاة ويخفيا الذكر إلا أن يكون إماما يريد أن يتعلم منه فيجهر حتي يري انه قد تعلم منه
ثم يسر فان الله تعالى يقول ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها يعني والله أعلم الدعاء ولا تجهر حتى تسمع غيرك ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك. إنتهى. (فائدة) قال شيخنا
أما المبالغة فى الجهر بهما في المسجد بحيث يحصل تشويش علي مصل فينبغى حرمتها

Berkata Imam Al-Syafie di dalam Al-Umm : “Saya memilih bagi imam dan makmum hendaklah berzikir ke hadrat Allah
setelah memberi salam, mereka melakukannya secara perlahan kecuali imam yang bermaksud untuk mengajar
(supaya dapat diikuti), maka bolehlah dengan suara yang keras dan setelah mengetahui bahawa makmum telah dapat
mengikutinya, maka kembalilah berzikir dengan suara yang perlahan. Sesunguhnya Allah Ta’ala berfirman : “Dan
janganlah kamu meninggikan suara di dalam solat (doa) kamu dan janganlah kamu merendahkan suara padanya
(yakni doa), janganlah ditinggikan suara sehingga didengari oleh orang lain dan jangan pula direndahkan sehingga
kamu sendiri tidak mendengarnya. Selesai. (faedah) Berkata Guru kami : Adapun keterlaluan mengangkat suara di
dalam masjid ketika berzikir dan berdoa sehingga mengganggu orang yang sedang mengerjakan solat, maka sayugia
dihukumkan haram.
حاشية إعانة الطالبين للعلامة أبي بكر المشهور بالسيد البكري ابن السيد محمد شطا الدمياطي على حل الفاظ فتح المعين)
صفحة 185-186, المجلد الأول, دار الفكر)


b. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari Rahimahullah bahawa Imam Ibnu Hajar
Rahimahullah berkata :-

أما المبالغة في الجهر بهما في المسجد بحيث يحصل تشويش علي مصل فينبغي حرمتها
“Adapun berlebih-lebihan (keterlaluan) pada mengangkat suara di dalam masjid ketika berzikir dan berdoa sehingga
mengganggu orang yang sedang mengerjakan solat, maka sayugia dihukumkan haram.”

(حاشية إعانة الطالبين للعلامة أبي بكر المشهور بالسيد البكري ابن السيد محمد شطا الدمياطي على حل الفاظ فتح المعين,
صفحة 185-186, المجلد الأول, دار الفكر)

Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768