Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00402
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Ibadat
Tajuk DIDATANGAI HAID SELEPAS TAWAF DAN SEBELUM SA\'I
Soalan Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa dalam keadaan bersih dan
suci daripada hadas dalam menunaikan ibadat. Namun, bagaimanakah jika
seseorang wanita didatangi haid selepas tawaf dan sebelum sa\'i?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Perempuan yang mengalami haid tidak dilarang melakukan ibadat-ibadat haji dan umrah melainkan tawaf dan sembahyang
sunat untuk ihram sahaja. Apabila dia melakukan tawaf atau ketika sedang sa'i, maka dia boleh melakukan sa'i dan
menyempurnakannya tanpa apa-apa halangan kerana tidak disyaratkan melakukan sa'i dalam keadaan suci.

Sayyid Sabiq RH menyebutkan di dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah, bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat, tidak
diisyaratkan bersuci ketika sa'i di antara Safa dan Marwah.

Sabda Nabi SAW :
افعلي ما يفعله الحاج غير أن لا تطوفي بالبيت حتى تطهري

Maksudnya :“Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di
Baitullah melainkan setelah kamu suci”.
(Riwayat al-Bukhari, no. 290 dan Muslim, no. 1211)

Aisyah RA dan Ummu Salamah RA berkata : “Apabila perempuan melakukan tawaf di Baitullah dan selesai solat dua rakaat
kemudian datang haid, maka ia hendaklah bersa'i di Sofa dan Marwah.”
(Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 14396)

Seterusnya Sayyid Sabiq berkata, “Sekalipun begitu, perkara tersebut amat digalakkan agar seseorang sentiasa berada
dalam keadaan suci ketika menunaikan segala ibadatnya dan bersuci adalah perkara yang digalakkan dalam syarak.”

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya al-Idhah, antara lain : Taharah dan bersuci termasuk dalam sunat-sunat sa'i
sahaja.

Merujuk kitab at-Taudhih halaman 186 : Sunat bersa'i dalam keadaan taharah (bersuci) dan menutup aurat. Jika dia
melakukan sa'i dalam keadaan terdedah auratnya, berhadas, berjunub, haid atau menanggung najis, maka hukum sa'inya
tetap sah.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768