Bank Soalan

Maklumat Soalan
No. Rujukan 00372
Kategori Penyoal Individu
Kategori Syariah
Sub Kategori Muamalat
Tajuk BELI HADIAH MENGGUNAKAN YURAN PENYERTAAN
Soalan Assalammualaikum Wbt.

Jabatan kami akan menganjurkan seminar dan mengenakan yuran penyertaan
sebanyak RM100.00 kepada setiap peserta. Dalam seminar tersebut akan diadakan
satu sesi soal jawab untuk peserta-peserta dan peserta yang berjaya menjawab
soalan sahaja yang akan diberikan hadiah. Hadiah adalah dibeli dengan
menggunakan wang daripada yuran penyertaan tersebut.

Soalan saya, apakah hukumnya membeli hadiah menggunakan yuran penyertaan
yang dikenakan kepada peserta seminar?
Dokumen Sokongan Soalan Tiada dokumen sokongan.
Jawapan Waalaikumussalam Wbt.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain
sebagai taruhan”.

Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai:

كل لعب يشترط فيه غالبًا من المتغالبين شيئًا من المغلوب

Maksudnya:Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta
yang menang.

(Rujuk al-Ta’rifat, halaman 179)

Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada
dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
(Surah al-Baqarah, 2:219)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi.
(Rujuk Jami’ al-Bayan, 4/322).


Dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan
mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu
hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah al-Ma’idah, 5:90)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan, Halal & Haram dalam Islam
(halaman 558):-

“Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang
bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan)
sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”

Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang
diharamkan kerana mengakibatkan kerugian melalui main nasib atas pihak yang kalah. Maka, dicadangkan agar
penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang.

Adapun, yuran peserta digunakan untuk belanja pentadbiran seperti sewaan padang, dan peralatan, maka itu dibenarkan
kerana semua peserta berkongsi manfaat bersama.

Wallahua’lam.
Dokumen Sokongan Jawapan Tiada dokumen sokongan.

 

Hakcipta 2014 Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang - penang.gov.my
Paparan Terbaik Sistem adalah melalui Penggunaan Mozilla Firefox :: Paparan resolusi skrin terbaik - 1024 x 768